Sunday, December 14, 2008

MENJAMIN PENGGIAT SENI PEROLEH JAMINAN PENDAPATAN

Saya mengalu-alukan usaha kerajaan menjamin pendapatan insan seni seperti yang saya sebutkan dalam posting sebelum ini.

Bagi saya mereka insan istimewa dan kreativiti yang dianugerahkan Allah kepada mereka jangan dipersia-siakan.

Dan apabila Menteri Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyuarakan bahawa kementerian itu akan merangka satu mekanisme yang sesuai untuk penggiat seni tanah air memperoleh jaminan pendapatan apabila tidak lagi berkecimpung dalam dunia seni, ia sangat dialu-alukan.

Apapun, untuk bersiap sedia bagi melangkah ke alam ‘pencen dengan dunia seni’, penggiat seni perlu lebih dahulu menjalankan perniagaan atau bergiat untuk pendapatan yang stabil.

Apabila Menteri menyebut perkara berkenaan saya teringatkan kepada pelakon Raffi Hussain, 49, meninggal dunia sebelum beliau sempat menyudahkan filem pertama arahannya berjudul The Chini pada 14 Oktober lalu.

Hakikatnya, industri perfileman tanah air kehilangan penggiatnya apabila Rafi adalah pengarah dan pelakon.

Filem yang dilancarkan pada 25 Ogos 2003 itu tidak dapat disiapkan kerana pengarah berasal dari Kelantan itu sukar memohon pinjaman kredit menerusi skim Peruntukkan Meningkatkan Pengeluaran Filem Cereka berjumlah RM1.5 juta bagi membiayai penggambaran filem tersebut.

Skim itu diperuntukkan oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) menerusi agensi di bawahnya iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi membantu para penerbit filem tempatan.

Di mana silap dan siapa yang menyebabkan masalah berlarutan tidaklah diketahui.

Dan meskipun pinjaman Allahyarham itu akhirnya disokong Finas dan telah pun diluluskan, tetapi dalam kes tersebut beliau terpaksa melalui jerit perih hampir empat tahun lamanya sebelum berjaya mendapatkan dana itu.

Menurut laporan Utusan Malaysia 22 Oktober 2008, Allahyarham merupakan antara penerbit yang begitu serius dan telah banyak ‘berhabis’ dalam usahanya untuk merealisasikan filem dalam genre tersebut yang diterbitkan menerusi syarikatnya, Raffi Hussain Corporation (M) Sdn. Bhd. dengan usahasama produksi Pro Cine Co. Ltd. dari Bangkok, Thailand.

Permohonan pinjaman itu dibuat selepas Allahyarham mendapati modal awal sebanyak RM250,000 yang telah dikeluarkannya tidak mencukupi bagi membiayai penggambaran The Chini yang menampilkan 10 hingga 15 minit adegan dalam bentuk animasi.

Hakikatnya, penerbitan filem-filem sejarah dan budaya amat penting sebagai suatu khazanah negara untuk diwarisi oleh generasi akan datang, di mana selain itu ia juga akan mempelbagaikan lagi genre filem tempatan serta boleh diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, sudah sampailah ketikanya Finas membuka mata lebih luas dengan memberi galakan serta bantuan kepada para pembikin filem yang mempunyai semangat dan kesedaran seperti yang telah ditunjukkan oleh Allahyarham.
Kita tentunya tidak seronok dan kurang yakin apabila usaha untuk menerbitkan filem-filem dalam genre itu kelak akan direbut atau diambil alih oleh syarikat-syarikat produksi dari luar negara.

Ini kerana, negara kita amat kaya dengan nilai-nilai budaya pelbagai kaum dan juga sejarah yang cukup menarik untuk diadaptasi serta dikembangluaskan menerusi layar perak.

Saya difahamkan, bukan setakat Allahyarham seorang, tetapi pengarah Mamat Khalid pada peringkat awalnya juga dikatakan menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank daripada skim SPFC bagi menerbitkan filem terbaru arahannya berjudul Estet.

Selain itu, Finas haruslah memberi sokongan, laluan dan mengenal pasti kalangan penerbit dan pengarah yang benar-benar serius dalam menghasilkan filem-filem dalam genre sejarah dan budaya.

Tetapi pada masa sama, Finas juga haruslah membantu kalau ada lagi pengarah yang menghadapi masalah seperti Raffi Hussain dan Mamat Khalid supaya matlamat untuk melihat lebih banyak filem genre budaya dan sejarah dapat dihasilkan pada masa depan.

Apa yang menarik, Menteri itu berkata semalam, antara yang dicadangkan ialah mengadakan kursus untuk golongan artis dalam pelbagai bidang kemahiran seperti katering, perhotelan dan bengkel supaya mereka boleh menjalankan perniagaan.
Melancarkan KRU Studios Cyberjaya semalam Shafie berkata pembayaran pencen kepada golongan artis, Shafie berkata memang ada cadangan di peringkat awal namun agak sukar dilaksanakan kerana pendapatan artis tidak sekata.

Bagaimanapun, katanya usaha kerajaan bagi membantu golongan artis tetap ada dengan menggalakkan mereka berniaga.

Menteri itu berkata, perkara itu telah dibawa dalam mesyuarat Kabinet dan turut dibincangkan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam mengenai usaha membantu golongan itu.

Mengenai cadangan supaya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diletakkan semula di bawah Kementerian Penerangan, Shafie berkata perkara itu kemungkinan besar tidak akan berlaku.

"Ini kerana RM15 juta telah diperuntukkan kepada FINAS untuk membangunkan industri perfileman dan kesenian negara. Saya yakin Finas akan kekal (di bawah) kementerian ini," katanya.

Pada 3 Disember lepas, Kementerian Penerangan mencadangkan kepada Kabinet supaya FINAS dan pemberian lesen bagi penyiaran radio dan televisyen swasta diletak di bawah tanggungjawab kementerian berkenaan.

Saya mengharapkan Pengerusi Finas yang baru, Razali Ibrahim akan memahami masalah penggiat seni ini kerana Finas sepatutnya bukan setakat memberi galakan dan pinjaman semata-mata.

Ini bersesuaian dengan piagam pelanggan Finas sendiri untuk menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas dalam menggalak, memelihara dan memudahkan perusahaan perfileman Malaysia.

Malah Finas turut berjanji untuk:
• Memberi perkhidmatan yang cekap, mesra, adil dan saksama.
• Menyediakan latihan untuk meningkatkan lagi kualiti dan produktiviti sumber manusia di dalam industri perfileman.
• Menyediakan alat dan kemudahan infrastruktur yang memenuhi keperluan industri.
• Memberi khidmat nasihat kepada pengamal perfileman dalam usaha meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran.
• Memantau dan menyelaras aktiviti perfileman ke arah membangunkan industri berlandaskan fakta.
Sudah tibalah masanya perbadanan itu menyediakan terus Geran Khas kepada kalangan pembikin filem yang mempunyai masalah untuk mendapatkan pembiayaan membikin filem dalam genre budaya dan sejarah tempatan.

Kalaulah faktor skrip yang lemah dan tiadanya pengalaman mengarah merupakan alasan yang terpaksa ditanggung oleh pengarah seperti Raffi Hussain, maka di situlah letaknya peranan Finas selaku badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan bagi menggalak serta membantu industri perfileman di negara ini.

Malah, jika diteliti atas faktor pengalaman penerbit dan pengarah yang pernah menikmati dana Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) daripada Finas, tidak semua filem yang diterbitkan hasil pinjaman dana itu berjaya menarik perhatian penonton dan mendapat kutipan tiket yang tinggi.

No comments:

Post a Comment