Thursday, December 4, 2008

KUALA TERENGGANU - MAT SABU KEMBALI LAGI?

(Bahagian Pertama)

PAS sebelum ini mengatakan kekalahannya pada kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum lepas kerana ‘calon luar’.

Namun kini rakan-rakan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menyatakan persetujuan mereka untuk menyokong calon yang diletakkan oleh PAS pada pilihan raya kecil yang akan diadakan nanti.

Nenek glamour Maimun Yusof, 89, sudah bercadang untuk bertanding buat kali kedua pada pilihan raya kecil untuk kerusi Parlimen Kuala Terenggan.

Bagaimana dengan Mohamad Sabu? Mahukah beliau berdepan sekali lagi dengan Maimun dan calon Barisan Nasional (BN)?

‘Abe Mat’ bukan kecil anak, beliau pernah bertanding di Kedah dan Kelantan, juga pernah menjadi AhliM Parlimen Kubang Kerian.

Maimun yang memerlukaan tajaan untuk bertanding itu berkata dia berasa bersalah jika tidak bertanding demi agama dan bangsa.

Pilihan raya kecil bagi kerusi P.36 Kuala Terengganu akan diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran merangkap anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Razali Ismail pada Jumaat lalu.

Pada pilhan raya umum lepas, Razali memperoleh 32,562 undi untuk mengalahkan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu yang meraih 31,562 undi. Seorang calon bebas Maimun Yusof mendapat 685 undi.

Tiga daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Terengganu dikuasai Pas dan hanya satu DUN dikuasai BN. Menurut PAS, keselarasan parlimen Kuala Terengganu untuk dimenangi mampu untuk membela ma-syarakat keseluruhannya.

Soalnya apakah PAS akan sekali lagi mempertaruhkan Mohamad Sabu sebagai calon bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu?

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu PAS terus mengekalkan Mohamad Sabu sebagai calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

"Untuk menjadi Ahli Parlimen memerlukan orang seperti Mat Sabu kerana dianugerahkan dengan lidah yang lantang dan berani, isu yang dia bawa juga bukan dibuat-buat. Walaupun saya dah lama menjadi penceramah, lidah saya masih tidak sehebat dia," katanya di sini hari ini.

NIk Aziz yakin Naib Presiden Pas itu mampu membawa kemenangan kepada parti.
Beliau menyatakan rasa tertariknya dengan kewibawaan dan keperibadian Mat Sabu yang begitu lantang menyuarakan sebarang isu secara jujur dan ikhlas.

"Saya gemar kepada Mat Sabu. Oleh kerana beliau dah bertanding dulu, jadi saya rasa tiada sebab Pas tidak boleh ambilnya semula.

"Bagaimanapun ini merupakan pendapat peribadi saya, pimpinan parti masih belum bermesyuarat untuk memutuskan calon. Pas akan tetap bertanding di Kuala Terengganu yang pernah ditandingi oleh Mat Sabu. Insya-Allah akan menjadi Yang Berhormat kelak.

Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani, berharap calon yang bakal dikemukakan oleh pucuk pimpinan parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu nanti adalah terdiri daripada orang muda.

Langkah itu perlu bagi memastikan Pas mampu menarik lebih ramai pengundi melibatkan golongan tersebut.

“Walaupun calon yang bakal bertanding itu akan diputuskan oleh Pas Pusat, namun Pemuda Pas negeri masih me-letakkan harapan agar calon tersebut dipilih daripada kalangan orang muda,” katanya.

Menurut beliau, selain itu calon yang diputuskan itu juga mestilah rakyat tempatan yang berpendidikan, berakhlak serta mempunyai komitmen tinggi terhadap parti selain mampu membawa perubahan untuk rakyat.

Menurut beliau, Pas ada peluang jika dilihat dari segi perkembangan politik semasa, permasalahan rakyat khususnya keadaan hidup mereka yang susah serta hasil pendapatan yang tidak seberapa perlu diubah.

Katanya, perjuangan yang ikhlas untuk membantu dan menegakkan hak rakyat yang diperjuangkan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) adalah jelas dan sebarang penyelewengan dalam pentadbiran perlu diubah.

Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Md Isa kelmarin mengesahkan parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan tidak lama lagi.

Nasaruddin berkata pemilihan calon akan melalui proses biasa iaitu berdasarkan cadangan daripada peringkat cawangan, diperhalusi di peringkat bahagian sebelum dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Syura Jawatankuasa Pusat.

"Majlis mesyuarat Syura Jawatankuasa Pusat dijangka akan membuat keputusan akhir berhubung calon yang akan bertanding pada mesyuarat, 21 Disember depan.

Berdasarkan kenyataan Nasaruddin itu, saya nampak peluang Mohamad sudah tertutup rapat.
Di pihak BN, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Barisan Nasional (BN) yakin dapat mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terenganu pada pilihan raya kecil nanti berdasarkan kejayaannya pada pilihan raya umum Mac lepas.

Beliau yang juga Pengerusi BN, berkata tiada sebab untuk BN gagal mengekalkan kerusi itu kerana segala persiapan dan jentera parti akan digerakkan bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

"Kita menang dahulu dan saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh menang kali ini," katanya kelmarin.

Mengenai ramalan sesetengah pihak bahawa BN bakal menghadapi tentangan sengit daripada pembangkang pada pilihan raya kecil itu nanti, Abdullah berkata : "Apa-apa pun, sama ada sengit atau tidak, kita kena hadapi pilihan raya dengan kekuatan."

No comments:

Post a Comment