Shukur Alhamdulliah.
Sebagai rakyat kita berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan kesusahan rakyat apabila menurunkan harga minyak sebanyak 10 sen berkuat kuasa tengah malam semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan melalui satu kenyataan semalam, petrol RON97 diturunkan daripada RM2 kepada RM1.90 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter.
Ini merupakan kali keenam kerajaan menurunkan harga minyak sejak Ogos lepas iaitu pada 23 Ogos, 24 September, 15 Oktober, 1 November dan 18 November 2008.
Pada 17 November lalu kerajaan mengumumkan harga minyak diturunkan sebanyak 15 sen berkuat 18 November dengan harga petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.
Kerajaan mengumumkan penurunan itu sejajar dengan penurunan harga bahan api itu di pasaran dunia.
‘‘Oleh kerana harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya,” kata beliau.
Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$47.64 (RM172.93) setong.
Harga petrol dan diesel yang turun sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa tengah malam semalam bagi membolehkan rakyat menikmati penurunan harga bahan api dunia yang turun secara ketara akhir-akhir ini.
Penurunan ini jelas sekali akan mengunci mulut pihak-pihak yang sebelum ini berdegar-degar menghentam kerajaan kenapa minyak tidak dapat diturunkan kepada kadar yang lebih murah.
Pada penurunan lalu, akhbar Indonesia menyifatkan kerajaan Malaysia cukup responsif kerana menurunkan harga minyak sebanyak lima kali dalam tempoh empat bulan.
Berita utama Media Indonesia melaporkan tindakan pemerintah Indonesia untuk menurunkan harga bahan bakar agak "lamban" atau perlahan. Indonesia mengumumkan menurunkan harga minyak petrol sebanyak 500 rupiah atau kira-kira 18 sen berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Pada masa ini, harga runcit petrol premium di Indonesia dijual pada harga 6,000 rupiah (RM2) seliter.
Penurunan yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia kali ini sebanyak 10 sen seliter berbanding 15 sen sebelum ini menjadikan harga berkedudukan lebih rendah daripada ketika harga mula dinaikkan kali pertama Jun lalu sebanyak pada ketika harga berada pada RM1.92.
Penurunan pada ketika rakyat sedang merancang perbelanjaan tahun hadapan adalah rahmat lebih-lebih lagi pada suasana ekonomi tidak menentu akibat tekanan ekonomi dunia.
Lebih menggembirakan ia berlaku ketika beberapa perayaan penting akan menjelang tiba, khususnya Aidiladha, Krismas, Tahun Baru dan Tahun Baru Cina.
Apa yang dinantikan kini ialah bilakah pula akan berlaku penurunan harga barang.
Isnin lalu (1 Disember 2008), Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memastikan harga barang makanan diturunkan selaras dengan penurunan harga minyak mesti merupakan barangan yang digunakan rakyat setiap hari.
Dalam nada kesal, Perdana Menteri berkata, peniaga kebiasaannya begitu liat malah lewat untuk menurunkan harga barang pada setiap kali harga minyak diturunkan tetapi begitu cepat pula tanpa disuruh menaikkan harga apabila harga minyak naik.
"Saya dah beritahu Shahrir (Datuk Shahrir Abdul Samad), bahawa barang yang diturunkan mesti barangan yang digunakan setiap hari. Ini satu masalah yang dihadapi oleh rakyat," kata Perdana Menteri.
Reaksi daripada itu, semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata harga barangan di seluruh negara dijangka dapat diselaraskan dan diturunkan mulai suku pertama tahun hadapan berdasarkan penurunan harga bahan mentah di pasaran.
Beliau memberi jaminan itu berdasarkan kajian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berikutan penurunan harga minyak di pasaran buat masa kini.
Menurutnya, kadar harga barangan keperluan pada masa sekarang masih sukar diturunkan secara menyeluruh kerana masih terikat dengan kos pemprosesan yang lama semasa harga minyak berada di paras tertinggi.
Dalam masa yang sama, Shahrir memberitahu, pihaknya mengadakan kerjasama dengan semua pasar raya besar bagi menyelaraskan penurunan harga barangan sama ada di dalam atau di luar bandar.
Datuk Shahrir, rakyat mahu lihat keputusan!
No comments:
Post a Comment