Tuesday, December 2, 2008

BAHAYA PERKAUMAN DIBALAS PERKAUMAN

Satu daripada cabaran besar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika ditakdirkan menjadi Perdana Menteri mulai Mac depan ialah menjamin soal perkauman dapat diredakan dan semua kaum kembali bersatu.

Ini kerana jika dibiarkan, rakyat akan melihat bahawa negara kita ini menghadapi terlalu banyak masalah sepanjang masa.

Saya berharap dan berdoa pemimpin UMNO jangan terperangkap dengan permainan ‘tangan ghaib’ yang sedang menguji UMNO dan kesabaran orang Melayu sekarang.

Kita kena berhati-hati kerana ada orang yang sedang memasang jerat supaya UMNO terperangkap dan orang Melayu dan bukan-Melayu menjadi huru hara.

Memang benar pendapat bahawa bukan masanya lagi untuk UMNO berlembut kononnya ingin menjaga perasaan rakan-rakan BN, kerana rakan mereka dalam Barisan Nasional (BN) semakin membuat onar dan semakin tidak menghormati pemimpin Melayu.

Sikap biadap dengan menyalakan api perkauman perlu dibendung tetapi tidakkah ini disebabkan oleh kelemahan kepimpinan UMNO sendiri yang gagal membuktikan ia sebuah parti yang kuat dan parti komponen lain perlu menumpangnya untuk menjamin terus berkuasa?

Kenapakan sebelum ini UMNO dilihat sebagai parti dominan dan parti komponen lain merasakan mereka menjadi kuat apabila ‘bersekongkol’ dengan UMNO?

Kenapa kini lain pula jadinya?

Mungkin parti komponen melihat UMNO kini lemah dan kerana itu ia membuat pelbagai desakan dan cara melembutkan mereka ialah menjamin UMNO menjadi parti yang diterima oleh rakyat selain diiktiraf melaksanakan peranan penting memacukan negara.

Peranan untuk memperkuatkan UMNO dan menggembalikan keyakinan bukan Melayu ini bukan mudah kerana ada dua pihak yang sedang ‘membakar’ dan ‘menyalakan’ fahaman perkauman.

Ia datang daripada dalam apabila setiap kaum melihat kepentingan kaum sendiri mengatasi kepentingan bersama dan ‘tangan ghaib’ dari luar yang sedang membakar api dalam sekam untuk melihat Barisan Nasional (BN) berpecah belah.

Benar kata Najib bahawa beliau tidak menafikan ada keperluan untuk -parti dalam BN menyuarakan pendapat masing-masing - tapi ia mestilah dibuat secara berhemah.

Apapun, hanya kepimpinan yang kuat sahaja mampu melakukan tugas ini dengan berjaya. Pemimpin yang lembik dan lemah akan terikut-ikut dengan suasana dan menyebabkan BN berada dalam terhoyonh-hayang.

Benar juga kata Najib bahawa isu-isu yang dianggap perkauman yang menyentuh ketuanan Melayu tidak wajar dibincangkan secara terbuka serta dijadikan pertikaian atau permasalahan selain polemik antara kaum.

Namun mengapa soal perkauman dan yang membabitkan kepentingan kaum diperkatakan secara terbuka oleh pemimpin dalam BN tidak putus-putus hari ini?

Jawapannya ialah ‘kita sendiri yang menyediakan ruang untuk orang menikam diri kita’ atau dengan kata lain kita kononnya cuba bersikap terbuka dan keterbukaan itu pula tidak dipagar atau digariskan hadnya.

Akibatnya kerana gagal mengawal dan menjamin ia dibincangkan secara berhemah menyebabkan pemimpin kaum bercakap untuk kaumnya bukan untuk kepentingan rakyat seluruhnya.

Apakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal mengawal atau sengaja membiarkan masalah perkauman diperkatakan kerana sebab-sebab tersendiri?

Selain itu, mungkin pemimpin parti komponen tidak merasakan Dewan Tertinggi BN sebagai tempat membicarakan isu-isu ini kerana ia sering terkeluar daripada kawalan kerana kepimpinan yang lemah.

Najib berusaha menjelaskan, “sebenarnya apabila kita buat struktur BN, salah satu daripada tujuannya ialah supaya sebahagian besar daripada pertikaian atau permasalahan dan juga polemik ini boleh diutarakan secara tertutup melalui saluran khas dalam BN.

“Tapi kebelakangan ini, saluran ini kurang digunakan. Ada pihak tertentu lebih minat untuk membuka perkara ini secara terbuka.”

Memang tindakan seumpama itu sama sekali tidak menguntungkan parti tetapi apa yang dilakukan oleh Pengerusi BN dalam mengawal suasana ini?

Apabila keadaan ini berlaku, amat sukar untuk Malaysia tenang kembali.
Belajarlah daripada peristiwa 1969 dan kini api perkauman itu sedang ditiupkan melalui cara terbaru iaitu bukan terus daripada parti pembangkang dan parti lawan tetapi elemen-elemen itu disuntik melalui parti komponen seperti Gerakan dan MCA.

Namun bukan semua yang memperkatakan mengenai perkara ini, sebaliknya melalui pemimpin tertentu yang sedang berusaha mencari populariti dalam parti untuk menjamin tempat mereka kekal atau dinaikkan pangkat.

Juga dengan membuka mulut, diharapkan Presiden parti dan Pengerusi BN akan menutup mulut mereka dengan jawatan yang berbaloi.

Beringatlah apabila mendesak supaya dikenakan tindakan terhadap Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek atau juga Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang mempersoalkan Ketuanan Melayu.

Mereka tidak akan mengeluarkan kenyataan begitu sahaja jika tidak ada sokongan atau ‘dahan untuk berpaut’.

Mungkin pendapat mereka sangat biadab dan sengaja menghina institusi kesultanan Raja-Raja Melayu apabila secara terbuka menolak konsep ketuanan Melayu , namun ia tidak wajar sehingga mendesak anugerah Datuk Seri yang dikurniakan oleh Raja Melayu kepada mereka ditarik balik.

Persoalan juga ialah apakh perlu meminta beliau menuntut maaf secara terbuka kepada orang Melayu mengenai kenyataannya berhubung 'ketuanan Melayu', yang didakwa 'memfitnah dan berbaur hasutan' untuk membenci orang Melayu.

Dalam notis tuntutan yang dibuat Tetuan Azam Aziz & Rose Maria, anggota Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd Apis Md Johar, semalam turut menuntut Chua menarik balik kenyataan itu yang dibuatnya dalam dalam ucapannya pada satu majlis, Khamis lalu di Sunway Resort & Spa di Petaling Jaya, yang turut dimuatkan dalam laman webnya http://drchua9.blogspot.com itu dalam tempoh 24 jam selepas menerima notis tuntutan itu.

Mohd Apis berkata Dr Chua juga perlu memuatkan permohonan maafnya itu dalam laman webnya dengan deraf permohonan maaf itu perlu terlebih dahulu diluluskan oleh mereka.

Jangan bermain api dan jangan api dibalas dengan api.

Cadangan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee supaya Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat mengambil tindakan tegas ke atas kedua-dua pemimpin tersebut, rasanya lebih rasional.

Tindakan oleh ketua parti komponen terhadap ahlinya adalah lebih wajar daripada tindakan oleh pihak lain yang boleh ditafsirkan sebagai keputusan bersifat perkauman.

Atau juga – walaupun mereka orang penting parti - Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh melihat kenyataan Soi Lek daripada sudut undang-undang kerana secara jelas mempunyai unsur menghasut dan boleh memecah belahkan perpaduan rakyat.

Lebih afdal sekiranya Dewan Tertinggi BN dijadikan forum forum berkesan untuk mendisiplinkan pemimpinnya agar tahu arah tuju dan kepentingan bersama.

Dewan Tertinggi BN jangan membiarkan pemimpin komponen bercakap mengikut kepentingan kaum mereka tanpa wujudnya pandu arah dan ‘kawalan tertentu’ supaya cakap-cakap dan pandangan pemimpin part komponen BN tidak melencong atau terkeluar daripada batasan-batasan keharmonian dan kepentingan bersama antara kaum.

1 comment:

  1. Salah siapa? Kalau tanya pada pencacai Umno tentu mereka kata salah PKR - PAS - DAP.

    Tanya pada orang berfikiran waras, mereka kata salah pemimpin UMNO!

    ReplyDelete