Monday, November 10, 2008

SELEPAS PUAS TUNGGU ISYARAT

Akhirnya sehingga hari akhir Mesyuarat Bahagian UMNO semalam, isyarat tidak juga datang untuk mengetahui siapakah yang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd Najib Najib mahu dalam hiraki UMNO.

Dengan Kepala Batas tidak mencalonkan sesiapa dan Bahagian UMNO Pekan hanya mencalonkan Najib, ahli dan pemimpin UMNO meraba-raba dan membuat tafsiran sendiri siapa yang sepatutnya menjadi No. 2 dalam UMNO dan Kerajaan selepas Mac 2009 nanti.

Oleh kerana mengharapkan isyarat tidak ada daripada bos, maka mulalah timbul pelbagai ramalan khususnya meneliti pencalonan di kalangan Setiausaha-Setiausaha Politik Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk dijadikan petunjuk.

Antara yang diberikan perhatian ialah Ketereh, Kota Bharu, Wangsa Maju, Kuala Krai, Sembrong, Rembau serta juga bahagian-bahagian yang dikatakan pemimpin mereka rapat dengan kedua-dua mereka itu.

Mereka yang duduk ‘di bawah dagu’ pemimpin berkenaan dikatakan tahu apa yang bos mereka sedang fikirkan.

Di Bahagian UMNO Wangsa Maju umpamanya,Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Shafie Abdullah pada 8 November lalu terpaksa ‘bersilat’ apabila berkata, tindakan beliau mencadangkan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Timbalan Presiden dibuat atas kapasitinya sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju.

Mohd. Shafie berkata, beliau sebenarnya lebih rapat dengan seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan secara perbandingannya Muhyiddin tidak begitu mengenali beliau.

"Tetapi yang mahu dipilih ialah bakal Timbalan Perdana Menteri dan saya rasa dia adalah seorang calon yang lebih baik," katanya.

Beliau menjelaskan, perkara itu tidak wajar dikaitkan dengan kerjayanya sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Terpulang kepada ahli untuk membuat tafsiran tetapi saya calonkan Muhyiddin atas kapasiti ketua bahagian, bukannya sebagai Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri.

"Setiausaha Politik adalah kerja saya tetapi bagi urusan politik di peringkat bahagian, saya perlu bercakap sebagai ketua bahagian," jelasnya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Betul atau tidak ‘petunjuk bahagian-bahagian di bawah ini adalah ramalan semata-mata’.
Pencalonannya adalah seperti berikut:

Ketereh:

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh yang bermesyuarat 8 November mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dengan gandingan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sebagai Timbalan. Bagi jawatan Naib Presiden, bahagian itu mencalonkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Rais Yatim. (Siapa orang penting di sini? Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad)

Wangsa Maju:

Perwakilan UMNO Bahagian Wangsa Maju yang bersidang 8 November sebulat suara memilih gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti. Bagi jawatan Naib Presiden perwakilan memberi sokongan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. (Siapa orang penting di sini? Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Shafie Abdullah)

Kota Bharu:

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dengan gandingan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden. Bagi Naib Presiden pula, Umno bahagian berkenaan mencalonkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. (Siapa di sini? Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fatmi Salleh)


Kuala Krai:

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Krai semalam sebulat suara menggandingkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti. Bagi jawatan Naib Presiden perwakilan memberi sokongan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. (Siapa orang penting di sini? Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Datuk Ramzi Abdul Rahman)

Rembau:

Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Rembau semalam sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden manakala Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden. Bagi Naib Presiden ialah Tan Sri Mohd. Isa Samad; Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. (Siapa orang penting di sini? Khairy Jamaluddin)

Tampin:

Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tampin sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden manakala Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden. Bagi Naib Presiden ialah Tan Sri Mohd. Isa Samad; Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dan Datuk Seri Shafie Apdal. (Siapa orang penting di sini? Datuk Shaziman Abu Mansor)


Sembrong:

UMNO Bahagian Sembrong bersidang pada 26 Oktober mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak bertanding jawatan Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Bagi jawatan Naib Presiden parti, bahagian itu mencalonkan ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
(Siapa orang penting di sini? Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein).


Gandingan Najib-Muhyiddin – Wangsa Maju, Sembrong, Kota Bharu,
Gandingan Najib-Ali Rustam – Ketereh, Rembau, Tampin
Gandingan Najib-Muhammad Taib – Kuala Krai

Naib Presiden:

Hishamuddin – Ketereh, Wangsa Maju, Kota Bharu, Sembrong, Kuala Krai (Rembau dan Tampin tidak mencalonkan)
Ahmad Zahid – Wangsa Maju, Kota Bharu, Kuala Krai, Rembau
Shafie – Wangsa Maju, Kota Bharu, Tampin dan Sembrong
Rais – Ketereh, Rembau dan Sembrong
Isa Samad – Rembau dan Tampin
Syed Hamid – Ketereh
Jamaluddin – Tampin
Khaled Nordin – Kuala Krai


Daripada pencalonan-pencalonan di atas jelas bahawa wujud persamaan di kalangan bahagian yang diterajui Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri bagi gandingan Najib-Muhyiddin dan calon Naib Presiden.

Sementara gandingan Naib Ali Rustam pula wujud persamaan Ketereh, Rembau dan Tampin.

Tidaklah diketahui sama ada persamaan itu secara kebetulan atau petunjuk. Sama-samalah kita lihat nanti!

No comments:

Post a Comment