Wednesday, November 12, 2008

JASA UMNO SABAH PERLU DIHARGAI

Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak terlepas memerhatikan pertandingan jawatan tertinggi dalam UMNO sekarang.

Bukan sekadar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sahaja yang menjadi minat mereka.
Mereka memerhatikan bagaimana pemimpin UMNO Sabah ‘dilayan’ melalui pemilihan jawatan tinggi UMNO berasaskan kepada sumbangan UMNO Sabah sebagai tunjang kerajaan BN peringkat Pusat.

Mereka berharap UMNO Sabah diberikan layanan sewajarnya kerana kejayaan membangunkan Sabah yang memerlukan penilaian seadil-adilnya daripada pemimpin UMNO bahagian-bahagian di Semenanjung.

Perbincangan dengan beberapa orang pemimpin BN Sarawak menimbulkan beberapa perkara berikut:

1. Kemasukan UMNO ke Sabah bagaikan suatu rahmat kepada seluruh rakyat Sabah dan mereka mengundi BN. Persoalannya sejauh mana Kerajaan Pusat dan UMNO Pusat menghargai sumbangan mereka;

2. Sokongan padu kepada UMNO oleh pemimpin Sabah memerlukan ‘penghargaan setimpal’ dalam meletakkan pemimpin UMNO dalam hiraki UMNO Pusat;

3. Perpaduan pemimpin UMNO Sabah antara sebab Pakatan Rakyat gagal menumbangkan Kerajaan Pusat dan bagaimana pemimpin UMNO Sabah wajar ‘diperlakukan’;

4. Keteguhan dan kestabilan politik Sabah hasil kerjasama pelbagai kaum di Sabah melenyap dan ‘melumpuhkan gerakan’ menuntut dan membawa Sabah keluar dari Malaysia yang kedengaran begitu kuat sebelum ini. Ini juga sumbangan UMNO Sabah yang menjamin paksi kuasa berada dalam keadaan teguh;

5. Pemimpin UMNO bukan meminta banyak. Seperti ditegaskan oleh Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini, pemimpin UMNO Sabah hanya meminta kerusi Naib Presiden dan Majlis Tertinggi sahaja, selain jawatan untuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Kata seorang pemimpin BN Sarawak, jika UMNO melihat pentingnya kerjasama dan sumbangan UMNO Sabah, kedudukan pemimpin UMNO Sabah perlu dihargai dan diiktiraf.

“Jika pemimpin UMNO Semenanjung hanya mementingkan kalangan mereka sahaja dan membelakangkan sumbangan pemimpin UMNO Sabah dalam UMNO, pemimpin BN Sarawak bimbang mereka juga akan diperlakukan sedemikian,” katanya di bangunan Parlimen.

Untuk pemilihan kali ini, bagi jawatan Naib Presiden, Shafie menjadi calon tunggal dari Sabah yang berdepan dengan tiga calon Johor dan seorang masing-masing Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Paling hampir calon UMNO Sabah memenangi kerusi Naib Presiden ialah lapan tahun lalu apabila percubaaan Datuk Seri Osu Sukam gagal.

Sementara daripada 73 layak bertanding Majlis Tertinggi, enam yang layak dari Sabah ialah Datuk Seri Musa Aman Datuk Lajim Ukin, Datuk Anifah Aman, Bung Moktar Radin. Datuk Masidi Manjun dan Datuk Seri Salleh Said Keruak melebihi 10 pencalonan atau 5 peratus kuota kelayakan.

Kelmarin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussin mengakui sumbangan UMNO sebagai tunjang kerajaan Barisan Nasional serta kejayaan membangunkan Sabah menjadi bukti kemasukan parti itu ke negeri itu suatu rahmat kepada seluruh rakyat.

Katanya, sejak parti itu bertapak di negeri ini kira-kira 17 tahun lalu, pelbagai perubahan dapat dilihat pada hari ini. Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, antara kejayaan besar UMNO di Sabah ialah memperjuangkan nasib golongan bumiputera Islam dan bukan Islam.

“Sebelum ini kita (UMNO) adalah pembangkang di Sabah, kita ditekan tetapi kini kita telah pun buktikan. Tentunya masih teringat bagaimana keadaan kita ketika menjadi pembangkang dulu. Kita boleh tengok (parti pemerintah masa itu) pilih kasih, banyak daripada kita tidak dinaikkan pangkat, malah biasiswa ditarik dan pelajar kita di luar negara pun dipanggil balik.

“Tetapi apabila UMNO memerintah, semua itu tidak berlaku lagi,” katanya semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Putatan di Wisma Pertanian di Kota Kinabalu kelmarin. Pada persidangan itu, beliau mengekalkan jawatan apabila menang tanpa bertanding.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, UMNO hari ini semakin bertapak kukuh di Sabah dengan mempunyai 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri, meskipun bermula dengan 18 kerusi.

Pada 2 November lalu, Shafie berkata satu daripada tiga kerusi Naib Presiden parti perlu diberikan kepada pemimpin UMNO Sabah sebagai menghargai peranan parti itu dalam pilihan raya umum lepas.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu berkata, pengorbanan rakyat Sabah dalam memastikan kejayaan UMNO sebagai tunggak BN perlu diiktiraf dengan meletakkan seorang daripada pemimpin UMNO di negeri itu sebagai pemimpin nombor tiga dalam parti.

“Jawatan ini selaras dengan hasrat kita untuk memperkuatkan jambatan sedia ada antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Di Dewan Rakyat kini, UMNO Sabah mempunyai 13 kerusi dan menjadi penyumbang kedua terbesar di Dewan Rakyat selepas Johor.

Tidakkah ini menggambarkan betapa sumbangan UMNO Sabah itu memerlukan pengiktifan sewajarnya terhadap kepimpinan negeri itu?

No comments:

Post a Comment