Sunday, February 5, 2017

BANTAHAN PH, PPBM TERHADAP PERINTAH TRUMP BENAR BELAKA...


Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PKR, DAP dan AMANAH) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Jumaat lalu dengan membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat(AS) Donald Trump, jelas sekali merupakan langkah tepat dan betul.

Terang lagi bersuluh, apa yang dilakukan oleh PH dan PPBM itu langkah yang berani serta menyertai dunia membantah perintah eksekutif Presiden AS itu.

Mereka tidak gentar untuk menyatakan yang benar terhadap pemimpin paling berkuasa di dunia!

Pembantah Malaysia  membuktikan kepada rakyat negara ini bahawa perjuangan mereka tidak memilih ‘bulu’ atau kepentingan pihak atau pemimpin tertentu.

Bantahan mereka bukan kecil jika dibandingkan dengan bantahan terhadap hanya seorang pemimpin Myanmar, Aun Sang Su Yi dalam isu Rohingya.

Kenapa dikatakan begitu?

Ia kerana semalam kerajaan Presiden AS akhirnya mengakui tindakan bantahan oleh rakyat AS dan banyak negara di dunia itu tidak suatu keputusan salah.

Malah Trump sendiri mematuhi perintah Hakim Persekutuan menghentikan larangan perjalanan walaupun Trump sebelum ini mengecam dan memecat hakim sebelum ini.


Jumaat lalu (27 Januari 2017),  Trump menandatangani perintah eksekutif melarang kemasukan warga negara dari tujuh negara - Iran, Irak, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman selama 90 hari.

Pembatalan ini merupakan tindakan menarik balik sebahagian kawalan ke atas dasar imigresen bagi  negara yang diawasi setelah disahkan undang-undang oleh Kongres yang didominasi anggota dari Partai Repubikan pada 2015 yang mencadangkan perubahan program penerimaan visa.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengumumkan penggantungan semua tindakan untuk melaksanakan perintah Imigresen dan pemeriksaan standard pelancong kembali seperti sebelum larangan perjalanan itu ditandatangani.

Apa ertinya ini? di AS, Hakim Persekutuan berkuasa mengatasi Presiden.

Ia menggambarkan amalan demokrasi yang telus,  penuh dengan sikap menghormati dan menjunjung perlembagaan.

Ia dilaksanakan walaupun terpaksa berdepan dengan kehendak Presiden yang dianggap paling berkuasa di dunia.

Anehnya, Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO dan ‘sekutunya’ PAS tidak menunjukkan sebarang aksi kepada tindakan Rumah Putih itu.

Tidakkah mereka melihat apa yang dilakukan oleh perintah Presiden AS itu sebagai  sesuatu yang menekan orang Islam?


Di mana perjuangan UMNO dan PAS yang mendakwa mereka berjuang melindungi umat Islam?

Apakah dua parti itu sudah berubah sikap untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal negara luar khususnya AS kerana bimbang tindak balas daripada negara berkenaan?

Kenapa PAS turut bimbang sama, kalaupun  ‘kita bolehlah faham’ dalam konteks UMNO, khususnya di kalangan pemimpin Pemudanya yang begitu pasif.

Sedarkah mereka, tindakan itu menggambarkan betapa dua parti itu – UMNO dan PAS - sebenarnya – sudah tiada atau hilang arah khusus dalam memerangi tindakan tidak adil negara asing terhadap umat Islam?

Kenapa mereka boleh duduk bersama dalam isu Rohingya yang juga diperkatakan dengan meluas oleh pembangkang, namun dalam isu perintah eksekutif  Trump ini, dua parti itu \menyepikan diri?

Seorang pegawai Jabatan Negara semalam berkata, jabatan itu sudah menarik balik pembatalan visa sementara yang dibatalkan berikutan perintah eksekutif Presiden itu minggu lalu - selagi ia tidak dicop atau ditanda 'batal'.

Menurut jabatan itu, kira-kira 60,000 visa telah dibatalkan sejak perintah itu ditandatangani.

Walaupun masih tidak jelas berapa ramai daripada kumpulan itu akan terus tidak memiliki visa kerana ia dibatalkan secara fizikal, namun langkah terbaru ini setidak-tidaknya membawa suatu harapan atau ‘ada cahaya kecil di hujung terowong’.

Keputusan Trump mematuhi keputusan Hakim Persekutuan itu jelas menunjukkan apa yang dilakukan oleh pembangkang pada 3 Februari )kelmarin) sangat relevan, apa lagi apabila PH dan PPBM bertindak menyerahkan memorandum bantahan ke atas Trump di Kedutaan AS di ibu negara. 


Bantahan itu berikutan tindakan Trump mahu menyekat rakyat tujuh buah negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman daripada memasuki negara itu.

Pemimpin utama PH dan PPBM yang diiringi ratusan orang yang berkumpul selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, berarak sejauh 600 meter ke Kedutaan AS sambil melaungkan slogan “No Ban, No Wall” dan mengangkat pelbagai sepanduk.

Memorandum itu kemudiannya diserahkan pada jam 3.15 petang kepada wakil kedutaan berkenaan.

Jika dilihat kepada bantahan, ia bukan hanya berlaku di Kuala Lumpur. Ia juga berlaku di negara lain seperti  Kanada, Itali serta Jerman, apa lagi di AS sendiri.

Pada ketika Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi menyataan kesalnya terhadap pengumuman Trump, Perdana Menteri dan Menteri Luar kita menyepi seribu bahasa.

Indonesia seperti Malaysia tidak termasuk dalam senarai itu namun Presiden Joko Widodo walaupun meminta rakyatnya bertenang, tetap mengingatkan tentang perlunya menjunjung prinsip kesetaraan.

"Prinsip konstitusi saya kira jelas bahwa yang namanya keadilan, yang namanya kesetaraan, harus terus diperjuangkan," tegasnya.

UMNO dan PAS sebaliknya bimbang tidak tentu pasal bahawa  Washington akan bertindak balas jika mengadakan bantahan.

Retno Marsudi...menyataan kesalnya
Kenapa jadi begini?

Sedangkan nyata sekali apa yang cuba dilakukan olehj Trump, iaitu  Pesiden dari sebuah negara yang mendakwa ia paling liberal dan demokratik, sangat tidak demokratik, salah dan bersifat ‘tekanan membuta tuli’.
.
Ahli Parlimen DAP dari kawasan Petaling Jaya Utara, Tony Pua menyifatkan  dasar tidak demokratik yang dilaksanakan Trump itu bukan sahaja dilihat dunia sebagai diskriminasi terhadap umat Islam, malahan kemanusiaan secara keseluruhannya.

“Mengapakah Najib (Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri) sehingga kini masih tidak kata apa-apa? Adakah kerana beliau takut dengan pihak berkuasa AS yang kini sedang menyiasat skandal melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan, tindakan Trump itu bukannya untuk menentang militan Daesh sebaliknya bertindak rasis kepada umat Islam.

 "Kita tak ada masalah jika mereka kata militan dan pengganas tidak dibenarkan masuk ke sesuatu negara, tapi ini bukan soal militan dan pengganas. Ini soal hal asasi manusia. Kemungkinan selepas ini negara-negara lain pula yang akan disekat," katanya.

Amat nyata, UMNO dan PAS semakin hilang ‘roh, perasaan dan semangat’ menyokong isu dan nasib umat Islam pada ketika kemarahan masyarakat dunia terhadap langkah sekatan itu, masih meluap-luap.

Menyedihkan lagi sikap berdiam diri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai tindakan Trump itu tetap menjadi tanda tanya.

Kenapa mereka berdua tidak berkata apa-apa?

Apakah kedua-duanya mempunyai kebimbangan sendiri?

Apakah dengan menyepi diri akan membolehkan mereka mengelak daripada dijadikan sasaran atau serangani peribadi oleh pihak-pihak tertentu di AS?

Juga dengan menyepi diri apakah kedua-dua mereka yakin bahawa apa juga tuduhan ‘salah laku’ melibatkan perkara tertentu tidak akan dibuka atau disebut kesnya oleh pihak seperti media, senator atau juga Jabatan Kehakiman negara berkenaan dan negara Barat lain?

Dunia Islam memerhatikan sikap kita.

AS dan  negara Barat lain tidak akan melepaskan sesiapa jika terbukti ada yang melakukan sesuatu yang dianggap ‘mnyusahkan institusi politik dan kewangan’ di negara mereka.


Menyepikan diri untuk mengelakkan kontroversi tidak menjamin seseorang akan terkecuali daripada tindakan dan serangan-serangan bersifat peribadi akibat daripada perbuatan mereka sendiri sebelum ini.

Thursday, February 2, 2017

DI MANA PPBM MAHU TEMPATKAN DIRINYA DI DUN PADA PRU14?


Dengan kedudukan di mana PAS menolak kerjasama dengan AMANAH dan DAP, apa kesannya kelak dari segi reaksi dan tindakan dua parti itu jika terjadinya kerjasama itu dalam menghadapi PRU14 akan datang?

Segala-galanya masih kabur dan di awang-awangan.

Tarikh yang ditunggu semalam (1 Februari 2017) untuk dapatkan keputusan pasti rundingan PAS-PPBM pada hakikatnya belum ada apa-apa.

Walaupun sebelum ini, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mesyuarat semalam  menjadi penentu kepada kerjasama antara PAS dan partinya, ternyata sejauh ini kedua-duanya hanya  bersetuju membentuk jawatankuasa teknikal bersama.

Ia mungkin kesan serangan PAS yang bertubi-tubi terhadap Dr Mahathir.

Kenyataan bahawa "rangka kerjasama persefahaman politik" akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk diperhalusi, ia membawa makna jelas – menunggu persetujuan peringkat tertinggi parti untuk menentukan hala tuju sebenar.

Hakikat dan  nyata, pertemuan delegasi PAS yang diwakili Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan delegasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diketuai Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih jauh dan samar-samar dalam mewujudkan kerjasama antara dua parti itu dalam pilihan raya.

Mesyuarat semalam boleh diumpamakan hanya sebagai permulaan, bukan  “penentu” kerjasama pilihan raya antara PPBM dan PAS, apa lagi untuk menjamin satu lawan satu (pembangkang dan Barisan Nasional (BN) sahaja.

Perwakilan PAS dan PPBM hanya membawa pulang “rangka kerja persefahaman politik” yang dicapai dalam pertemuan semalam. Kepimpinan tertinggi kedua-dua parti akan memutuskan apa langkah berikutnya.

Hakikatnya, jika dilihat secara mendalam usaha PAS dan PPBM ini, ia membawa kepada pertanyaan berikut:

Pertama, apakah kerjasama itu meliputi keseluruhan pilihan raya, termasuk di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri yang kedua-duanya bertanding?

Kedua, apakah ia akan berlaku di beberapa negeri sahaja contohnya di Terengganu sebaliknya tidak di Kelantan, Johor dan Kedah;


Ketiga, jika diwujudkan kerjasama, apa kesan kepada ‘hubungan semakin baik UMNO dan PAS’sejauh ini terhadap kerjasama PPBM dengan AMANAH, DAP dan PKR?

Keempat, bagaimana kedudukan PPBM dalam Pakatan Harapan (PH) di mana amat jelas kini PAS dan AMANAH dan DAP tidak lagi boleh ‘duduk semeja’?

Kelima, apa tujuan PPBM menjalinkan kerjasama dengan PAS – menjadi pemerintah bersama atau hanya menjadi ‘ekor kepada PAS yang akan berlagak sebagau ‘tuan’?

Pertanyaan ini ada kaitan dengan lima  negeri – Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor - di mana PPBM dan PAS menunjukkan kegairahan untuk meletakkan calon mererka.

Di Johor rasanya PPBM boleh bersendirian kerana sejauh ini pengaruh PAS tidaklah begitu besar walaupun ia memiliki tiga kerusi DUN (seorang melompat ke AMANAH) berbanding dengan UMNO yang memiliki 31 kerusi (selepas seorang ADUN melompat ke PPBM).

DAP mempunyai 13 kerusi berbanding MCA dua dan MIC sebanyak tiga kerusi dan Gerakan (1).

Di Kelantan pula, apakah PAS memilih untuk bekerjasama dengan PPBM bagi menjamin ia terus menjadi kerajaan negeri jika diasak bertubi-tubi oleh UMNO dan AMANAH?

Tidak berkemungkinankah PAS akan main silap mata dengan UMNO dan yang kelak akan rugi ialah PPBM yang hanya menumpukan kerusinya di kawasan DUN atau Parlimen yang dimenangi UMNO sahaja.

Ini bermakna hanya 12 DUN dan empat Parlimen sahaja mempunyai ruang untuk PPBM bertanding dan itupun bergantung kepada persetujuan dengan PAS dan AMANAH.

Di Terengganu, PAS sedang bersiap sedia dengan bala tenteranya konon akan menawan kerajaan negeri kali ini dengan paling tidak di 20 kerusi DUN dan menambah kerusi Parlimen.

PPBM mungkin berpeluang bertanding di mana-mana antara 17 kerusi yang kini dipegang oleh UMNO. Sementara turut juga berpeluang untuk meletakkan calon sekurang-kurangnnya di tiga daripada empat  kawasan Parlimen UMNO yang mungkin boleh ditandingi ialah di Besut, Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu.

Itupun dengan restu PAS jika bekerjasama. Dengan nafsu yang begitu menggelegak di kalangan pemimpin PAS yang ada sudah menunjukkan ‘watak Menteri Besar’, apakah PPBM akan diberikan kerusi yang banyak?

Apa pula kedudukan AMANAH yang kini memiliki kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan PKR yang sudah bertapak sejak dua pilihan raya umum di Terengganu?

Begitu juga di Selangor di mana ketika ini PAS mempunyai 13 kerusi di DUN selepas dua ADUN melompat ke AMANAH (PPBM tidak mempunyai sebarang kerusi di DUN).

Sementara DAP ada 15 kerusi dan PKR kini mempunyai 13 daripada 14 kerusi selepas bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi ADUN Bebas.

Pelik sedikit di Selangor kerana walaupun PAS dan DAP serta AMANAH ‘sedang berperang’, kerajaan PH masih utuh di negeri itu sekurang-kurangnya sehingga PRU14 akan datang.

Di sebalik itu, pemimpin PAS nampaknya kurang senang dengan PPBM yang turut mengintai beberapa kerusi UMNO di Selangor.

Di Kedah ada 15 kawasan Parlimen dan 36 DUN. Pada PRU14, PAS menang sembilan (9) sahaja  kerusi DUN berbanding 16 pada 2008.

Dengan jentera pilihan raya dikemudikan oleh Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan dianggap antara faktor yang memenangkan BN di Kedah pada pilihan raya umum lalu, peranan beliau jangan dilihat sebelah mata.

Ketika ini PPPB mempunyai peluang untuk bertanding di 18 kerusi UMNO (pada PRU13, UMNO memang 19 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan). UMNO menjadi 18 selepas ADUN Ayer Hitam itu menjadi ADUN PPBM.

PAS juga berkurangan satu kerusi kepada AMANAH di DUN Pengkalan Kundor, Dato Ir. Phahrolrazi Zawawi (kanan) melompat ke AMANAH.

Parti lain di DUN Kedah ialah MCA (2), PKR (4) dan DAP dengan dua kerusi.
Inilah situasi yang berlaku ketika ini.

Persoalannya apakah PPBM rela menjadikan dirinya sebagai ‘ekor’ kepada PAS semata-mata jika bekerjasama,  atau menjadi ‘rakan politik’ yang bermakna diberikan kedudukan yang lebih baik dalam rangka kerjasama.

Di Johor, Kedah dan mungkin Terengganu, PPBM jika dengan strategi dan umpan yang mengena,  boleh membuat kejutan dengan menjadi peneraju dan PAS menjadi rakan politik yang bermakna.

Namun, ia perlulah bergantung kepada percaturan dan perundingan dengan PAS, lebih-lebih lagi di Terengganu.

Seperkara lagi, apa kesan hubungan politik PAS-PPBM di Johor kerana kerusi yang dimiliki DAP agak besar (13 kerusi DUN) dan untungkah jika bekerjasama dengan PAS di Johor berbanding dengan DAP?

PPBM perlu beringat dengan melihat sikap PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum ini, di mana PKR yang mempunyai hanya satu kerusi di DUN di dua negeri itu, mereka bagaikan ‘anjing buruk kepala’ sahaja di mata pemimpin PAS.

Apakah PPBM sanggup menerima atau berharapan seperti siatuasi PKR di Kelantan dan Terengganu, jika mereka bekerjasama di negeri yang PAS dilihat mempunyai kekuatan?

Atau PAS sudah berubah daripada sikap lamanya yang sering memandang rendah kepada rakan sekerjasama mereka?

Mungkinkah PAS akan melayan PPBM tidak seperti yang diberikan kepada PKR dan DAP apabila sudah mencapai cita-cita mereka?

Apa yang diharapkan rangka kerjasama hasil mesyuarat semalam diperhalusi dengan baik oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani Presiden masing-masing pada waktu terdekat.

Yang juga penting kepada PPBM ialah kerjasama dengan Pakatan Harapan di mana ketika  Konvensyen Pakatan Harapan November lalu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyatakan hasrat parti untuk menyertai gabungan itu.

Dengan kedudukan di mana PAS menolak kerjasama dengan AMANAH dan DAP, apa kesannya kelak dari segi reaksi dan tindakan dua parti itu jika benar wujud atau terjadinya kerjasama PAS-PPBM dalam menghadapi PRU14 akan datang?


Apakah PPBM akan berada dalam kedudukan ‘tidak selesa’ dengan AMANAH dan DAP, disamping PKR akan sangat berwaspada dengan sikap PPBM untuk beberapa ketika ini?

Wednesday, February 1, 2017

APAKAH ANNUAR MUSA ‘KAMBING HITAM’ ATAU PERMULAAN BANTERAS SKANDAL?


Maruah MARA perlu ditegakkan seadil-adilnya kerana ia juga maruah Melayu. Jangan MARA dilihat pengurusannya buruk, kelak akan memberi gambaran bahawa pengurusan orang Melayu sering dikaitkan dengan perbuatan rasuah dan pecah amanah.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sudah akur dan berlapang dada dengan keputusan penggantungan jawatannya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pengerusi Pelaburan MARA Berhad.

Ia menggambarkan ketelusan beliau.

Malah jelas sekali beliau memahami kedudukannya yang dilantik Menteri, malah mengatakan menerima apa saja secara berlapang dada dan penuh kebertanggungjawaban terutama dalam rangka menjalankan tugas yang di amanahkan kepada beliau.

Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO menegaskan, beliau utamakan prinsip integriti dan amanah.

Lagipun,  penggantungan jawatan Annuar sebagai Pengerusi MARA boleh anggap sementara dalam proses membantu siasatan Jawatabkuasa Audit Dalaman selesai.

Cumanya, apakah jika dibebaskan, beliau akan kembali ke jawatan itu semula?

Juga pertanyaan ialah,  apakah penggantungan turut dibuat kesan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Annuar?

Ia pastinya akan mengambil masa beberapa ketika untuk membuktikan sama ada Annuar bersalah atau sebaliknya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat Majlis MARA itu tidak melibatkan pelantikan dan pemberhentian yang memerlukan kuasa menteri dengan persetujuan Perdana Menteri.

Ini jelas bahawa pada asasnya Annuar masih menjadi Pengerusi MARA.

Kerana itu, semua pihak perlu menghormati keputusan Majlis MARA yang ingin menyelesaikan isu membabitkan MARA dan anak syarikat mereka secara tuntas.

Yang penting, siasatan dalaman ini diharapkan dapat diselesaikan dengan segera untuk memudahkan ia membantu siasatan oleh SPRM.

Semalam, Mesyuarat Khas Majlis MARA diadakan berikutan permohonan kesemua Ahli Majlis MARA dan ditandatangani oleh semua Ahli Majlis MARA termasuk wakil kerajaan bertujuan  melantik Jawatankuasa Audit Dalaman.

Mesyuarat tergempar itu dipengerusikan oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin di ibu pejabat MARA di Kuala Lumpur.

Dr Yusof Yacob..kanan.
Ia bagi menyiasat isu yang berkaitan dengan tajaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan MARA Bhd (PMB) serta beberapa isu lain yang diviralkan dalam media sosial.

Siasatan bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat kepada MARA.  Annuar tidak dijemput hadir kerana mesyuarat berkaitan dengan beliau. Ini wajar.

Jika penggantungan ini proses biasa seperti disebutkan oleh Menteri, memperkukuhkan lagi kenyataan beliau bahawa Majlis Mesyuarat MARA berkuasa penuh dalam keputusan menggantung,  sementara menunggu siasatan juruaudit dalaman diselesaikan.

Setiap pihak sewajarnya menghormati keputusan Majlis Mesyuarat MARA yang ingin menyelesaikan isu yang membabitkan MARA dan anak syarikat mereka secara telus.

Malah, diharapkan kemelut yang dilihat sebagai skandal yang melanda MARA ini  dapat diselesaikan dengan segera.

MARA dilihat sebagai institusi orang Melayu dan pengurusan berintegriti perlu ditegakkan.

Jangan kerana MARA yang rapat dengan orang Melayu dilihat pengurusannya buruk, kelak akan memberi gambaran bahawa pengurusan orang Melayu sering dikaitkan dengan perbuatan rasuah dan pecah amanah.

Ini sangat penting. Maruah MARA perlu ditegakkan seadil-adilnya kerana ia juga maruah Melayu.

Berkaitan dengan siasatan SPRM, ia adalah proses biasa apabila suruhanjaya itu membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Annuar sebagai Pengerusi MARA.

SPRM dilapokan akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menjalankan siasatan beberapa isu rasuah dan salah guna kuasa didakwa dikaitkan dengan ketua penerangan UMNO itu.

Dengan skop siasatan yang disempitkan kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan, rasanya siasatan menjadi lebih mudah.

Apa lagi apabila SPRM akan turut  bergantung kepada hasil siasatan MARA mengenai tadbir urus.

Cumanya persoalan ialah apakah siasatan oleh SPRM itu diasaskan kepada laporan media, termasuk media sosial atau memang ada laporan khusus kepada SPRM mengenai isu ini?○

SPRM sering menyebut, ia hanya membuka kertas siasatan jika ada laporan dan tidak mengutip maklumat melalui laporan media, apa lagi media soaial.

Jika ada laporan, ia daripada siapa?

Berikutan kedudukan ini, adalah wajar semua pihak juga mematuhi permintaan SPRM agar  semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes tersebut.

Berilah ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

Juga jangan pertikaikan siasatan audit dalaman MARA megenai  beberapa perkara termasuk penajaan PMB dan UniKL untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Apa sahaja keputusannya kelak akan membebaskan MARA daripada sebarang tuduhan atau kecaman bahawa ia cuba melindungi orang politik khususnya UMNO.

Kini terserlah, MARA sedang menegakkan  prinsip integriti dan amanah seperti juga di pihak Annuar sendiri.

Biarklah kes seperti ini menjadi pengajarandan dicontohi untuk membersihkan kerajaan yang ada daripada sebarang skalndal.

Ada juga laporan media dan media sosial yang memperkatakan wujudnya ‘perbuatan skandal kewangan’ dalam institusi berkaitan kementerian yang lain tetapi masih tiada tindakan.

Apakah Annuar dijadikan ‘kambing hitam’ semata-mata atau ini  langkah permulaan ke arah membersihkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan lainnya daripada salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah?


Wednesday, January 25, 2017

DR AHMAD ZAHID JANGAN BAGI NYAWA KEPADA ‘IKAN BURUK KEPALA’…


“Jika Dr Ahmad Zahid maksudkan "rosak ikan bermula di kepala" itu pembangkang, maka kenyataan itu adalah pengecut. Nak sebut pembangkang pun takut dan terpaksa berkias-kias?”
  
Isu  "rosak ikan bermula di kepala" oleh Ahli Parlimen Bagan Datoh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu menggambarkan diri beliau sendiri?

Beliaukah yang sudah rosak yang akan menyebabkan UMNO /Barisan Nasional (BN) akan roboh pada pilihan raya akan datang?

Memang tidak logik berandaian sedemikian. Tak kanlah Dr Ahmad Zahid mengutuk diri sendiri. Mesti ada sasaran, sama ada individu atau kumpulan.

Jika pembangkang, apa  pula mahu berkias-kias. Terus sahaja sebut pembangkang, habis cerita.

Tetapi berselindung di sebalik cerita ‘ikan’ akan menyebabkan banyak tafsiran.

Persoalannya kenapa pula kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu ‘berbelit-belit’ jika dimaksudkan ‘ikan’ itu sebagai pembangkang?

Untuk elak salah banyak tafsiran, jangan buat kenyataan yang boleh menyebabkan wujudnya tafsiran.

Katakan sahaja pembangkang memang mahu beliau kalah. Itu sahaja.

UMNO Perak boleh menafikannya. Juga jika perlu,  UMNO Pusat pun boleh menafikannya.

Namun realitinya, jika Dr Ahmad Zahid maksudkan "rosak ikan bermula di kepala",  itu  pembangkang, maka kenyataan itu boleh dianggap pengecut.

Saarani...cuba bersilat.
Nak sebut pembangkang pun takut dan terpaksa berkias-kias?

Mengetahui Dr Ahmad Zahid bukan begitu.

Apa beliau nak takut sangat. Dengan bekas Presiden UMNO ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO pun beliau berani timbulkan isu ‘rasuah dan kolusi’ pada 1990-dan.

Inikan pula dengan pembangkang. Lagipun, pembangkang adalah musuh terang-terangan. Lojiklah jika pembangkang mahu jatuhkan Najib Presiden UMNO dan pemangku Timbalan Presiden.

Pada Jumaat lalu Timbalan Perdana Menteri itu mendedahkan terdapat usaha untuk menjatuhkan beliau sebagai Ahli Parlimen Bagan Datoh dalam PRU ke-14 akan datang.

Beliau menyifatkan usaha tersebut umpama 'rosak ikan bermula di kepala' ketika beliau berucap pada majlis Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan BN Empat Peringkat di Bahagian Bagan Datoh.

Dr Ahmad Zahid yakin usaha menjatuhkan beliau tidak akan berhasil sekiranya jentera BN melipatgandakan usaha pada PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa (mandat kerajaan BN bakal berakhir pada Jun 2018).

Jadi tidak usahlah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mahu ‘main wayang’ atau ‘bersilat dalam isu ini’.

Jika banyak Saarani bercakap, nanti akan ada pula tohmahan lin bahawa ada pihak UMNO Perak pula yang terlibat.

Saarani semalam menafikan terdapat usaha untuk menjatuhkan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. Malah katanya, "rosak ikan bermula di kepala" yang diucapkan oleh Dr Ahmad Zahid adalah ditujukan kepada pembangkang bukan ahli UMNO-BN.

Walaupun beliau berada di majlis Dr Ahmad Zahid pada hari Timbalan Presiden UMNO itu berucap, tetapi  apa yang diucapkan oleh Saarani sebagai usaha  mengagalkan bos beliau di Bagan Datoh itu sebenarnya bukan dari pembangkang.

Siapa tidak mahu menjatuhkan Dr Ahmad Zahid kalau mereka daripada pembangkang?

Sudah pasti semua parti dalam Pakatan Harapan (PKR, DAP dan AMANAH) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu mengalahkan Dr Ahmad Zahid.

Tak cakap pasal ikan, buruk di kepala atau apa sahaja kiasan, rakyat Malaysia atau juga rakyat luar negara memang maklum.

Dr Ahmad Zahid sendiri tidak usah berkias dan Saarani pula tidak usah mahu memusingkan isu mengenai  apa yang dikatakan oleh Dr Ahmad Zahid.

Timbalan Pengerusi BN Pusat sudah pasti mahu dijatuhkan oleh pembangkang. Itu strategi dan rancangan politik pembangkang Malaysia.

Kata-kata Saarani bahawa “…(Dr Ahmad Zahid) jika ibarat ikan, maka mereka akan busukkan kepala terlebih dahulu (dirinya),” tidak akan dapat mempengaruhi pendapat umum.

Begitu juga dengan permintaan Dr Ahmad Zahid agar jentera BN Bagan Datoh bekerja lebih kuat, tiga kali ganda daripada PRU13 lalu, menjelaskan lagi apa yang dimaksudkan pemimpin penting UMNO itu.

Dr Ahmad Zahid tidak bimbang musuh dari depan, belakang, atas atau bawah. Yang dibimbanginya musuh dari dalam selimut.

Tidak guna menyebut atau salahkan pembangkang, khususnya di Bagan Datoh atau Perak kerana kerja mengalahkan UMNO/BN itu kerja mereka. Ia kerja tidak sukar.


Namun mengesan musuh dari dalam itu yang sukar, kerana itu kena kerja kuat tiga kali ganda.

Saarani yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong turut menafikan sebarang krisis dalaman UMNO di negeri itu membabitkan pimpinan utama negeridengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Setahu saya tiada krisis kepimpinan di Perak. Terdapat solidariti kukuh menyokog Datuk Seri Zahid sebagai timbalan perdana menteri dan Datuk Seri Zambry Abd. Kadir sebagai menteri besar juga perdana menteri Datuk Seri Najib.

"Malah tidak ada gerakan di mana mahu menjatuhkan kedua-dua pemimpin besar dari Perak ini oleh mana-mana kepimpinan pusat," ujarnya.

Apakah factor itu yang membolehkan Saarani berkata pembangkang putar-belit kenyataan Dr Ahmad Zahid?

Saarani pun berbelit-belit dalam  menafi dan menangkis isu ini dan menyalahkan  pembangkang dengan menganggap ia sebagai suatu spin yang  jelas menggambarkan tembelang pembangkang.

Hakikatnya tidak kerana ‘ikan’ yang disebut Dr Ahmad Zahid itu sebenarnya mendedahkan ‘tembelang  pemimpin UMNO/BN sendiri’ yang menggambarkan ada ketua atau orang penting yang sedang mengintai jawatan Dr Ahmad Zahid.

Tidak usahlah bermain politik kebudak-budakan dan ‘lempar batu sembunyi tangan’.

Daripada menyalahkan pembangkang melalui isu ‘ikan’, baik Dr Ahmad Zahid cepat-cepat buang ‘ikan’ yang sedang membusuk itu.

Itu lebih baik dan bermaruah. Menyalahkan pembangkang akan memberikan ‘nyawa semula’ kepada ikan berkenaan.


Kesannya kelak Dr Ahmad Zahid yang akan ditelan oleh ‘ikan yang pernah memburuk di kepala’.

Kerana gagal membuang ‘ikan’ itu, Dr Ahmad Zahid akan jadi mangsa.

Pembangkang tidak berwajah ‘ikan’ berkenaan tetapi wajah ‘ikan’ itu sebenarnya ada dalam UMNO/BN.

Memang budaya ‘ikan’ ini sudah menjadi amalan dan ‘makanan harian’ UMNO.

Dr Ahmad Zahid sendiri janganlah berkias-kias lagi.

Anggaplah ia sebagai suatu game atau strategi DO OR DIE. Tidak membunuh ikan itu, ikan itu akan 'membunuh beliau'.

Gunakan jentera Bagan Datoh sebanyak tiga kali ganda untuk menghapuskan ‘ikan’ yang berbahaya yang mungkin menyerang pada waktu malam atau subuh itu terlebih dahulu,  sebelum berdepan dengan pembangkang  yang menjadi musuh beliau dan UMNO/BN di bawah terik matahari pada hari siang.

Itulah sebaik jalan untuk Dr Ahmad Zahid, bukan melalui kenyataan berkias-kias atau kenyataan yang boleh mendatangkan berbagai tafsiran.!