Sunday, June 12, 2016

KINI PENGUASA BANK NEW YORK TURUT SIASAT BON AS$6B 1MDB


“The New York kini, penguasa bank bersama-sama Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat serta Federal Reserve and Securities dan Exchange Commission sedang dalam kerja menilai peranan Goldman Sachs dalam kaitannya dengan 1MDB.”

Kumpulan Goldman Sachs - Goldman Sachs Group Inc. – kini disiasat pula oleh pihak berkuasa (penguasa) bank di New York (mereka adalah pengeluar atau yang meluluskan lessen penggendalian bank) mengenai kutipan dana bagi tabung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut seorang pakar berkaitan perkara itu, siasatan dibuat untuk memastikan sejauh mana peranan bank berkenaan dalam skandal antarabangsa.

Malah, Goldman Sachs diberikan tempoh selama lima hari sehingga 16 Jun ini untuk menjawab semua soalan berkaitan 1MDB yang dikemukakan oleh penguasa bank di New York.

Sebelum ini, Goldman Sachs sudah sisiasat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Federal Reserve and Securities dan Exchange Commission di New York sahaja.

Sementara di beberapa negara lain, 1MD turut disiasat oleh pelbagai pihak dan dikatakan sebagai antara skandal  terbesar di dunia.


Untuk rekod, tahun lalu,  Goldman Sachs membayar sebuah firma guaman untuk menilai semula  keputusan dan tindakannya dalam hubungan dengan 1MDB.

Perjanjian bon 1MDB – berjaya mengumpul AS$6 bilion pada 2012 dan  2013 – mendapat perhatian kerana wujudnya  komisen yang dilihat mengatasi purata perbelanjaan dan komisen biasa iaitu melebihi sebanyak sembilan (9) peratus atau AS $593 juta. (Untuk mengetahui siapa terlibat dalam kerja berkaitan bon ini, baca di sini).

Jabatan Perkhidmatan Kewangan di New York (New York’s Department of Financial Services atau ringkasnya DFS), meminta Goldman Sachs pada Khamis untuk menyerahkan laporan bagaimana ia berjaya mengumpul AS$6 bilion melalui jualan bon untuk 1MDB.

Menurut sepucuk surat, pihak penguasa bank meminta Goldman untuk menyediakan laporan  overview mengenai setiap siasatan di Amerika Syarikat dan di luar negara itu pada 14 Jun ini mengenai bagaimana ia terbabit dengan tabung yang dikenali sebagai 1MDB.

Selain itu Goldman Sachs juga diminta supaya mengadakan penilaian semula dalam (internal review) yang dikhususkan kepada sama ada peraturan rahsia bank dilanggar, atau ‘bendera merah’ (larangan tertentu) tidak dienfahkan, menurut seseorang yang mahir mengenai perkara itu.

Ini bermakna The New York, penguasa bank kini bersama-sama Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat serta Federal Reserve and Securities dan Exchange Commission sedang dalam kerja menilai peranan Goldman Sachs dalam kaitannya dengan 1MDB.

Goldman Sachs, melalui jurucakapnya, enggan membuat ulasan terhadap permintaan Bloomberg untuk berbuat demikian.

Ketika ini 1MDB semakin mendapat perhatian  oleh pihak berkuasa antarabangsa melalui penyiasatan yang dikaitkan dengan rasuah dan pemindahan wang haram.


Pendakwa sekurang-kurangnya di empat negara -  Singapura, Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat - sedang meneliti aliran wang daripada jentera pelaburan 1MDB yang ditubuhkan bertujuan membangunkan negara.

Antara soalan popular oleh pihak berkuasa antarabangsa ialah sama ada ia ada kaitan dengan orang politik di Kuala Lumpur yang mendapat keuntungan daripada wang 1MDB, tidak terkecuali Perdana Menteri Malaysia.

Perdana Menteri adalah penasihat 1MDB dan sejauh ini menafikan melakukan sebarang salah laku atau terbabit dengan kegiatan rasuah dalam urusan berkaitan 1MDB.

DFS mempunyai kuasa dalam perkara ini kerana ia mengeluarkan lessen untuk penggendalian di  New York. Sementara lesen untuk menggedalikan bank peringkat nasional (seluruh negara) dikeluarkan oleh Office of the Comptroller of the Currency.

Sebagai sebahagian tuntutan maklumatnya untuk siasatan lain, DFS meminta  Goldman Sachs turut membekalkan mereka dokumen temubual yang sudah dijadualkan dengan saksi-saksi.

Ia meminta salinan termasuk bahan persembahan melalui slaid yang dibuat sama ada kepada pendakwa di Amerika Syarikat atau juga di luar negara.

Surat kepada Goldman Sachs itu dibuat pada ketika Maria Vullo, pemangku superitendan DFS, menunggu undi oleh Senat negeri New York untuk mengesahkan kedudukannya yang dijangka akan diadakan bulan ini.

Penguasa sebelum ini, Benjamin Lawsky, memiliki reputasi di kalangan penguasa natarabangsa sebagai seseorag yang tegas dan agresif dalam menyiasat dan menguasakan peraturan terhadap bank global.

Untuk bacaan lanjut sila dapatkan bahan di sini dan di sini.

(Nota : untuk pembaca yang baru mengikuti isu ini, beberapa laporan media asing pada 6 Jun lalu, menyebut bahawa pasukan penyiasat Amerika Syarikat sedang cuba untuk menentukan sama Goldman Sachs melanggar undang-undang apabila ia gagal memberi amaran berhubung transaksi yang mencurigakan yang membabitkan firma pelaburan negara yang bermasalah, 1MDB, masih belum terjawab.

Juga apakah ada asas dakwaan WSJ bahawa wujudnya perbuatan atau kejadian bahawa sebahagian danasebanyak AS$3 bilion itu kemudian dipindahkan kepada Perdana Menteri Malaysia melalui bank yang berpangkalan di Switzerland?

Goldman Sachs turut disiasat untuk menentukan sama ada ia gagal mematuhi Akta Kerahsiaan Bank Amerika Syarikat yang memerlukan institusi kewangan untuk melaporkan urus niaga mencurigakan kepada pihak berkuasa.

"Penyiasat percaya bank (Goldman) mempunyai sebab untuk mengesyaki wang yang dikumpulkannya itu tidak digunakan untuk tujuan yang dimaksudkan, dan amaran sepatutnya dikeluarkan apabila GoldmanSachs diarah memindahkan AS$3 bilion kepada sebuah cawangan bank swasta Switzerland, BSI SA dan bukannya kepada bank global besar, seperti lazimnya untuk pemindahan saiz berkenaan.

Satu lagi amaran, kata mereka adalah semasa jualan bon dan mengapa ia dlakukan secara tergesa-gesa.

Perjanjian itu dilakukan pada Mac 2013 iaitu dua bulan selepas Najib berurusan dengan ahli bank Goldman semasa mesyuarat Forum Ekonomi Dunia tahunan di Davos, Switzerland dan dua bulan sebelum kempen pilihan raya umum ke-13.) baca selanjutnya di sini.

Saturday, June 11, 2016

JAMBATAN MANONG...TIDAK HANYA PM, BN, BERTERIMA KASIH JUGALAH KEPADA AMANAH!!!


"...yang membezakan AMANAH dan PAS di PRK Kuala Kangsar ialah ketika PAS masih khayal dengan RUU 355, AMANAH mengambil tanggungjawab menjadi pembangkang yang baik dengan memperkatakan isu rakyat setempat yang akhirnya menyebabkan BN tergesa-gesa membuat janji bagi meredakan rintihan rakyat di Manong."

Bercakap mengenai jambatan menyeberangi Sungai Perak di Manong, Kuala Kangsar, saya teringat ketika menjalankan tugasan Berita Harian di Bukit Chawi, Kampung Gajah pada 1983.

Ketika itu kalau mahu ke Seberang Perak jika melalui Teluk Intan - Kampung Gajah, terpaksa melalui Bota Kiri dan Bota Kanan – kerana  belum ada jambatan di Kampung Gajah.

Betapa beruntungnya rakyat di Parlimen Pasir Salak apabila mendapat jambatan berkenaan.

Kini rakyat di Manong pula diumumkan akan mendapat kemudahan jambatan kerana jika menggunakan laluan darat untuk ke Pekan Manong dari Kuala Kangsar, perjalanannya adalah sejauh 45 kilometer.

Namun,  bagi penduduk Kuala Kangsar, khususnya di Manong, kalau berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) kerana mendapat jambatan berkenaan, jangan hanya setakat mereka sahaja.

Mereka juga sewajarnya berterima kasih kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).



Kalau tidak kerana ada suara parti baru itu yang bertanya Mana Jambatan Manong Yang Sudah 5 Kali Pecah Tanah?’ mungkin ia tidak akan diumumkan dengan begitu segera oleh Perdana Menteri.

Jika tanggapan saya tidak benar dan memang sudah dirancang awal sebelum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, mana-mana pihak boleh memperbetulkan kenyataan saya ini. Terima Kasih.

Saya tidak mengatakan tiada perancangan tetapi kebetulan dengan adanya PRK ini, rakyat di kawasan itu tiba-tiba sahaja mendapat salah satu nikmat besar daripada kerajaan.

Juga yang membezakan AMANAH dan PAS di PRK Kuala Kangsar ialah ketika PAS masih khayal dengan RUU 355, AMANAH mengambil tanggungjawab menjadi pembangkang yang baik dengan memperkatakan isu rakyat setempat yang akhirnya menyebabkan BN tergesa-gesa membuat janji bagi meredakan rintihan rakyat di Manong.

Mengejutkan juga kerana pengumuman itu dibuat sehari selepas keluar pertanyaan seperti dilaporkan oleh Malaysia Dateline pada 9  Jun lalu itu. Reaksi spontan BN tiba-tiba muncul.

Alhamdulilah, yang baik kita terima dengan tangan terbuka.


Pada 9 Jun lalu, parti AMANAH menuntut kerajaan BN  menunaikan janji mereka untuk membina Jambatan Seberang Manong yang telah lama dinantikan penduduk di kawasan tersebut.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, kerajaan BN perlu menyatakan tarikh yang tepat bila jambatan tersebut akan siap dibina dan tidak memberikan harapan palsu kepada rakyat.

Asmuni Awi menegaskan : "Kami menuntut dalam pilihan raya kecil ini pihak kerajaan menunaikan janji yang sudah dibuat sejak tiga pilihan raya yang lalu. Kami mencabar pihak kerajaan BN tolong tetapkan tarikh bila akan dibina dan akan disiapkan jambatan Seberang Manong itu.

"Sudah lima kali pecah tanah sampai dah tak ada tanah nak dipecahkan," kata beliau dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar.

Menurutnya, lebih 10,000 penduduk Manong masih menunggu jambatan itu dibina untuk menyeberangi Sungai Perak.

Sehingga kini, mereka masih menggunakan bot penambang untuk menyeberangi Sungai Perak walaupun menteri kanan pernah menjadi wakil rakyat di parlimen tersebut.


Tidak apalah soal berapa kali pecah tanah – jikapun tidak benar - tetapi pengumuman itu pasti melegakan penduduk di mana sebelum ini dikatakan menggunakan bot penambang yang beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 6 petang,

Kadar bayaran dikenakan pergi balik ialah seringgit seorang dan RM2 sekiranya membawa motosikal.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Kadir pada 10 Jun (semalam) menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan BN beberapa kali mengecewakan pengundi Manong di Kuala Kangsar berikutan cadangan pembinaan Jambatan Manong.

Sebaliknya, tegas pengerusi BN Perak itu beliau telah menyemaknya beberapa kali namun ternyata tiada sebarang upacara pecah tanah bagi tujuan tersebut.

"Cerita permohonan Jambatan Manong ini (memang ) ada permohonan dan betul. Tapi cerita pecah tanah ini dah beberapa kali saya semak dengan ADUN Manong. Tak tahulah kalau-kalau orang yang lebih lama dari kami boleh ingat.

“Yang saya tahu pecah tanah tak ada,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong Kuala Kangsar Perak.

Pada majlis sama, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM43.5 juta untuk membina jambatan tersebut yang akan menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong.

“Jambatan Manong ini dah lama menjadi bualan tapi belum ada lagi majlis pecah tanah atau letak batu asas jadi saya nak umumkan mengikut standard JKR (Jabatan Kerja Raya).

"Saya dengan ini meluluskan pembinaan Jambatan Manong dengan peruntukan RM43.5 juta,” kata Najib dalam majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong, Kuala Kangsar.

Perdana Menteri turut berkata kelulusan projek tersebut merupakan hadiah kerajaan kepada penduduk Manong sempena bulan Ramadan.

Pembinaan jambatan itu akan disertakan dengan pembinaan jalan sepanjang tiga kilometer di sekitar kawasan tersebut.

Menurut laporan Bernama, pembinaan jambatan itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk daripada 100 keluarga yang terdiri daripada kalangan pekebun getah dan kelapa sawit untuk berurusan di Pekan Manong atau untuk ke bandar Kuala Kangsar.

Kini rakyat sedang menunggu janji.

Seperti dikatakan oleh Asmuni semalam bahawa apaa yang beliau nak nyatakan ialah penegasan yang diminta, bukan mengenai peruntukan dan bila nak buat dan bila boleh siap.

“Jadi ini satu lagi politik. Masih tidak dijawab bila jambatan itu nak dibuat. Sebab ini isu lama. Bila jambatan itu nak dibuat. Bila peruntukan itu diluluskan dan datang daripada Rancangan Malaysia yang mana?

“Dan ini saya nyatakan ia satu cara BN untuk meredakan suasana di Manong di mana rakyat sedar mereka sentiasa ditaburi janji manis tetapi di peringkat akhir pelaksanaan tidak dilakukan,” katanya.
Asmuni turut menyelar kerajaan BN yang menafikan wujudnya majlis pecah tanah sebanyak lima kali di kawasan pembinaan jambatan itu.

Perkara itu memang sudah berlaku dan telah dilaksanakan ahli Parlimen terdahulu iaitu Tan Sri Rafidah Aziz.


“Yang bercakap tidak tahu dan perdana menteri tak tahu. Saya nak beritahu yang buat pecah tanah ini calon yang terdahulu. Yang sudah tidak jadi lagi ahli Parlimen di sini. Jadi Najib tidak tahu mengenai ini. Jadi calon ataupun petugas dan pegawai BN tidak tahu perkara ini. Tetapi kita tegaskan bahawa, seperti jambatan ini, setiap kali pilihan raya, setiap kali itu hanya dibina selepas lima penggal.” tegas Asmuni.

Thursday, June 9, 2016

PERANG WSJ, PMO BERTERUSAN SELAGI WUJUD ‘DAKWAAN PALSU’

Tim Leissner (paling kanan) ketika menjadi eksekutif Goldman Sachs dikatakan menguruskan tiga jualan bon pada 2012 dan 2013 dengan 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion, dengan menyumbang AS$593 juta, menurut Bloomberg.
“Kita berharap dakwaan WSJ ini semuanya palsu. Wang derma RM2.6 bilion itu memang derma daripada Arab Saudi – tidak kiralah daripada ‘raja atau putera, yang hidup atau yang dah mati’ tetapi bukan daripada sebahagian dana yang yang dipindahkan oleh Goldman berkenaan.”

“No bank in Singapore received US$3 billion (S$4 billion) from a Goldman Sachs-arranged bond issue for scandal-hit Malaysian state fund 1Malaysia Development Berhad (1MDB), the Monetary Authority of Singapore has found.

MAS was refuting a Wall Street Journal (WSJ) report alleging Goldman Sachs had wired the US$3 billion from the bond issue arranged in 2013 to a 1MDB-controlled account at the Singapore branch of small Swiss private bank BSI.”

Ini kenyataan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura yang dilaporkan oleh Straits Times Singapura hari ini.

Ini pula kenyataan terbaru The Wall Street Journal:


Baru saja nak tahniah kepada Setiausaha Akbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad kerana jawapannya kepada ‘dakwaan palsu The Wall Street Journal (WSJ)’, tiba-tiba WSJ kata ia sudah memperbetukan kenyataannya.

WSJ dalam kenyataan terbaru menyebut wang disalurkan ke bank Swiss BSI SA, tanpa merujuk kepada BSI Singapura (kini sudah ditutup).

WSJ pada minggu ini, melaporkan perolehan daripada bon 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Goldman Sachs Group Inc (Goldman) bernilai AS$3 bilion telah disalurkan melalui bank Switzerland yang mempunyai cawangan di Singapura.


Sebelum itu, Goldman dilaporkan mengumpulkan AS$3 bilion menerusi terbitan bon 1MDB pada Mac 2013, yang sepatutnya untuk membiayai projek hartanah utama di Kuala Lumpur demi meningkatkan ekonomi negara.

WSJ yang  memetik ‘sumber yang mendedahkan’ turut mengatakan bank berkenaan tidak mengetahui bagaimana 1MDB menggunakan wang yang dikumpulkan untuk firma pelaburan Malaysia itu.

Yang menjadi isu sekarang ialah, pasukan penyiasat sekarang cuba untuk menentukan sama ada Goldman gagal mematuhi Akta Kerahsiaan Bank Amerika Syarikat yang memerlukan institusi kewangan untuk melaporkan urus niaga mencurigakan kepada pihak berkuasa.


"Penyiasat percaya bank (Goldman) mempunyai sebab untuk mengesyaki wang yang dikumpulkannya itu tidak digunakan untuk tujuan yang dimaksudkan, dan amaran sepatutnya dikeluarkan apabila Goldman diarah memindahkan AS$3 bilion kepada sebuah cawangan bank swasta Switzerland yang kecil di Singapura dan bukannya kepada bank global besar, seperti lazimnya untuk pemindahan saiz berkenaan.

Satu lagi amaran, kata mereka adalah semasa jualan bon dan mengapa ia dlakukan secara tergesa-gesa.

Perjanjian itu dilakukan pada Mac 2013 iaitu dua bulan selepas Najib berurusan dengan ahli bank Goldman semasa mesyuarat Forum Ekonomi Dunia tahunan di Davos, Switzerland dan dua bulan sebelum kempen pilihan raya umum ke-13.

Tengku Sariffuddin semalam sekali lagi membidas WSJ kerana melakukan pembohongan apabila mendakwa Goldman memindahkan AS$3 bilion daripada dana terbitan bon 1MDB kepada BSI Bank di Singapura dengan sebahagian dana itu kemudian dipindahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 

Walaupun keseriusan dakwaan mereka, katanya, WSJ sama sekali tidak memberi sebarang bukti untuk menyokong dakwaan mereka - ia kini menjadi proses standard pelaporan mereka mengenai Malaysia.

Sebagai satu taktik pengecut untuk mengelak daripada disaman, WSJ memetik semua dakwaan mereka menggunakan sumber-sumber yang tidak dinamakan seperti' mereka yang biasa dengan perkara itu' dan 'penyiasat-penyiasat' tanpa nama," tegas Tengku Sharrifuddin.

Malah, sekali lagi juga Setiusaha Akhbar Perdana Menteri itu mengaitkan nama bekas Perdana Menteri dengan mengatakan “sumber-sumber ini mungkin atau mungkin tidak wujud atau  hanya proksi-proksi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kegagalan kempen anti-Najib beliau.”

Kenapa setiap penafian yang dibuat Setiausaha Akhbar Perdana Menteri ini tidak lepas daripada menyebut nama Tun Dr Mahathir?

Takut atau bimbang benarkah PMO dengan bekas Perdana Menteri ini seolah-olah isu 1MDB itu hanya diketahui oleh Tun Dr M?

Juga apakah benar WSJ hanya mengikut telunjuk bekas Perdana Menteri itu?

Tengku Sariffuddin berkata setiap minggu lebih banyak dakwaan WSJ dan sumber tanpa nama dibuktikan sebagai pembohongan.

Dengan menyampaikan pembohongan yang tidak disahkan oleh musuh kerajaan sebagai fakta, WSJ telah menjadi alat yang rela dalam kempen mereka secara terbuka untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dengan menggunakan 1MDB sebagai alasan, katanya.

Beliau berkata ia perlu disiasat mengapa WSJ menerbitkan begitu banyak pembohongan terbukti mengenai sebuah negara dan mengapa sebuah akhbar antarabangsa mengambil sikap 'menyebelahi' dalam urusan dalaman negara.
 


Dengan perkembangan terbaru, iaitu pembetulan fakta itu, nampaknya kenalah tunggu perkembangan selanjutnya apakah dakwaan WSJ itu mempunyai kredibiliti atau sebaliknya.

Sesuatu yang pasti, ‘perang’ dan ‘serang-menyerang’ antara Pejabat Perdana Menteri dengan WSJ akan berterusan.

Ini kerana dakwan yang dibuat oleh WSJ dan beberapa laporan media asing pada 6 Jun lalu, yang menyebut pasukan penyiasat Amerika Syarikat sedang cuba untuk menentukan sama Goldman  melanggar undang-undang apabila ia gagal memberi amaran berhubung transaksi yang mencurigakan yang membabitkan firma pelaburan negara yang bermasalah, 1MDB, masih belum terjawab.

Juga apakah ada asas dakwaan WSJ bahawa wujudnya perbuatan atau kejadian bahawa sebahagian dana itu kemudian dipindahkan kepada Najib melalui bank yang berpangkalan di Switzerland?

Kita berharap dakwaan WSJ ini semuanya palsu.

Wang derma RM2.6 bilion itu adalah memang derma daripada Arab Saudi – tidak kiralah daripada ‘raja atau putera, yang hidup atau yang dah mati’ tetapi bukan daripada dana yang yang dipindahkan oleh Goldman ini.

Juga, kita berharap maklumat yang disalurkan, termasuk mungkin oleh Tun DR Mahathir itu hanya ‘fitnah dan berniat jahat’ yang sengaja mahu menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri semata-mata.

Tuesday, June 7, 2016

RUU – RAKYAT MEMERHATI PENDIRIAN, KEBERANIAN PERDANA MENTERI


“Banyak pihak, termasuk dalam UMNO sendiri  mengesyorkan agar pemimpin yang mengugut untuk meletak jawatan dipecat sahaja daripada Kabinet. Bagaimana dengan PBB  yang mempunyai 14 Ahli Parlimen kerana jika dicampur dengan ketua-ketua parti BN yang memberontak itu, ia mungkin menjadi 20 kesemuanya.”

Di mana muka Perdana Menteri, timbalannya serta menteri-menteri yang bercakap mengenai Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355 Mahkamah Syariah (RUU) kini mahu disorokkan?

Bantahan demi bantahan disuarakan secara terbuka seolah-olah pemimpin parti komponen kini sudah tidak peduli lagi kesan atau akibatnya. Mereka sudah tidak takut dengan tindakan.

Kini bukan pemimpin MCA, Gerakan, MIC, SUPP, PBS dan parti kecil lain dari Sabah sahaja yang menolak RUU yang dianggap akan membawa kepada Hudud.

"Kami berbilang kaum dan umat Islam hanya 25 peratus. Kami bukan Kelantan." - Adenan Satem
Sudah empat pemimpin Sarawak – seorang Ketua Menteri yang dipuja-puji dan terbaru seorang Menteri kini menolak RUU itu jika dibentangkan.

Ia jelas turut mencabar UMNO. Ini kerana pemimpin UMNO yang membantu membolehkan Presiden PAS mengemukakan usul di Dewan Rakyat.

Apa pendirian UMNO dalam hubungannya dengan pemimpin parti komponen lain ketika ini?

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, usul dan rang undang-undang kerajaan ditolak mentah-mentah oleh menteri dan pemimpin berpengaruh dalam pakatan pemerintah, sama ada ketika Perikatan mahupun Barisan Nasional (BN).

Rakyat sedang memerhati pendirian pemimpin BN, khususnya Presiden UMNO dan timbalannya mengenai kesan RUU yang dibentangkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.


Walaupun ia dikatakan bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 berkaitan dengan had jumlah hukuman, namun banyak yang menjangka kesan daripadanya akan menjangkau kesan lebih luas.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya ulangi, Menteri di Jabatan Perdan Menteri, Nancy Shukri bertegas tidak akanmengundi dan hadir ke Parlimen sekiranya usul atau rang undang-undang itu dibentangkan.

Ini menteri yang paling hampir dengan Pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut membuat kenyataan terbuka pada ketika kempen pilihan raya kecil di dua Parlimen sedang berlangsung.

Beliau mengulangi dan tetap dengan kenyataannya sebelum ini dan mematuhi  kenyataan yang dibuat Presiden Parti Bumiputera Bersatu (PBB),Tan Sri Adenan Satem.

PBB adalah parti tunjang kerajaan Barisan Nasional dan kedua terbesar di Parlimen apabila mempunyai seramai 14 Ahli Parlimen selepas UMNO yang mempunyai 86 wakil rakyat.

Pada Ahad (5 Mei) lepas , parti politik terbesar di Sarawak itu menegaskan  tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian oleh Presiden PAS mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah.

Ketua Menteri yang juga Presiden PBB berkata, ini kerana Sarawak adalah sebuah negeri berbilang kaum dengan populasi orang Islam terdiri daripada kira-kira satu perempat daripada keseluruhan penduduk.

"Kita tidak akan menyokong RUU hudud. Kami berbilang kaum dan umat Islam hanya 25 peratus. Kami bukan Kelantan.

"Pada dasarnya, kami menentang Rang Undang-undang hudud," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat parti itu di Kuching.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar DouglasUggah berkata Sarawak tetap dengan pendiriannya untuk tidak melaksanakan hudud di negeri itu.

Bagi Nancy, rakyat Malaysia  hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama.

“Saya tetap dengan kenyataan presiden saya. Memandangkan di Sarawak rakyat bukan Islam lebih ramai berbanding yang menganut agama Islam. Bukan sahaja saya akan menolak, saya juga tidak akan berada di sana (Parlimen) untuk mengundi,” katanya kepada pemberita di SMK Sungai Besar, hari ini.

Baginya terserah kepada Presiden PAS walaupun menurut Nancy, RUU itu bukan hudud tetapi usaha memberi kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman.

“Kita harus faham hudud ataupun bukan hudud, apa yang mereka lakukan adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apa yang kita ada ini sudah mencukupi, kita tidak perlu menambah lagi hukuman. Tetapi jika mereka tetap mahu lakukan, ia terserah kepada mereka,” katanya.

Kita menunggu apa langkah dan tindakan yang akan diambil oleh pemimpin atasan terhadap ketua-ketua parti yang ‘memberontak’ akibat isu RUU ini.

Banyak pihak, termasuk dalam UMNO sendiri  mengesyorkan agar pemimpin yang mengugut untuk meletak jawatan dipecat sahaja daripada Kabinet.

Malah jika perlu, parti komponen itu juga sewajarnya disisihkan daripada BN. Lagipun parti itu bukan menyumbang banyak kerusi pun kepada BN.

Namun bagaimana dengan PBB  yang mempunyai 14 Ahli Parlimen dan jika dicampur dengan ketua-ketua parti BN yang memberontak itu, ia mungkin menjadi 20 kesemuanya.

Apakah BN ‘ada telor’ untuk mengambil tindakan atau memecat mereka?