Monday, October 12, 2015

PAKATAN HARAPAN – PAS AKAN BUAT PUSINGAN-U DEMI PUTRAJAYA?

 

"PAS tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan Amanah yang ditubuhkan bekas pemimpin parti itu kerana "pengkhianatan"....pengkhianat parti lebih teruk daripada musuh." 
- Presiden PAS,Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Pakatan Harapan berdepan dengan cabaran besar, khususnya daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam usahanya cuba memasukkan semua parti pembangkang ke dalam pakatan itu.

Kenyataan-kenyataan pemimpin PAS sebelum ini tidak berpihak kepada usaha PKR yang berusaha menarik parti itu ke dalam Pakatan Harapan.

Untuk bekerjasama dengan PKR seperti di Selangor dan beberapa negeri lain mungkin tidak sukar bagi PAS.

Pada 23 September 2015 lalu, PAS secara rasmi membuat kenyataan dengan memutuskan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang baru dibentuk oleh PKR, DAP dan Amanah.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata parti  itu hanya akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR.

“PAS menghormati hak mana-mana pihak untuk merangka agenda politik tersendiri. Walaubagaimanapun PAS tidak akan terlibat dengan Pakatan Harapan,” katanya menerusi kenyataan.

PAS berdepan dengan dua parti yang dianggap musuh ketika ini – DAP dan Amanah- yang mana menurut pemimpin PAS, sukar untuk mereka ‘duduk semeja’ dan bekerjasama dalam pilihan raya.

Ini dibuktikan daripada kenyataan ,  Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi bahawa PAS sama sekali tidak boleh bekerjasama dengan pengkhianat parti itu , merujuk kepada Amanah.

Dengan melabel mereka yang menyertai Amanah sebagai “pengkhianat-pengkhianat PAS’, Nasrudin berkata label itu perlu dikekalkan sehingga mereka bertaubat dan sedar dengan tindak-tanduk mereka.

“Pengkhianat mesti dikekalkan rasa bersalahnya disepanjang zaman sehingga ia menyesal dan kembali bertaubat kepada Allah SWT. Mengiktiraf pengkhianat akan menghilangkan rasa bersalah mereka yang terlibat. Ini sangat tidak baik untuk sebuah perjuangan, tegasnya dalam satu kenyataan 23 September lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan PAS tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang ditubuhkan bekas pemimpin parti itu kerana "pengkhianatan",

Menyifatkan perbuatan Amanah mengkhianati perjuangan mereka, presiden PAS itu berkata pengkhianat parti lebih teruk daripada musuh.

Hadi berkata, PAS sedia bekerjasama dengan pihak lawan, namun tidak akan melakukan perkara sama terhadap pengkhianat parti.

"Orang yang khianat pada perjuangan tiada pilihan sama ada dia balik atau dihapuskan, dia bertaubat. Ini cara perjuangan Islam, tak boleh orang yang ada rekod khianat perjuangan, tak boleh sama sekali," katanya melalui rakaman video yang dikongsi melalui laman Facebook PAS.

Rakaman video tersebut merupakan sedutan sesi soal jawab antara Hadi dan peserta program Mukhayyam Tarbawi PAS kawasan Machang di Rusila, Terengganu pada 3 September lalu.

Semalam, mesyuarat khasMajlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan supaya keahlian Pakatan Harapan akan diperluaskan.

Ia sebagai untuk cuba memasukkan PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak.

Resolusi itu dibuat mesyuarat khas parti itu, dipengerusikan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali membacakan resolusi itu selepas selesai mesyuarat selama dua jam yang diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam semalam.

"Kami membuat resolusi untuk menjemput PAS, PSM juga parti daripada Sabah dan Sarawak untuk menyertai kami," katanya.

Mesyuarat tersebut diadakan selepas petisyen khas oleh 25 ahli MPP meminta dibincangkan mengenai status gabungan parti pembangkang baharu itu yang ditubuhkan bulan lalu oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara.

Azmin juga menasihatkan semua parti pembangkang agar tidak bercakaran sesama sendiri.

"Biarkan parti masing-masing selesaikan hal mereka sendiri secara dalaman dan jangan cuba masuk campur urusan parti lain. Jika kita terus berbalah, maka rakyat akan hilang keyakinan kepada kita untuk menawan Putrajaya," katanya.

Azmin berkata, rundingan dan perbincangan akan diteruskan dalam cubaan untuk mendapatkan lebih ramai pihak menyertai platform mereka yang sama.

"Kami akan terus berhubung dengan mereka yang sealiran fikiran dengan parti," katanya.

Susulan pembentukan Pakatan Harapan tanpa penyertaan PAS, parti Amanah dan DAP menghadapi risiko bertanding 3 penjuru selepas PAS menganggap Amanah dan DAP sebagai lawan mereka.
Kedudukan semakin rumit apabila semalam, presiden Amanah,  Mohamad Sabu berkata Amanah sedia untuk bertanding 3 penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang jika terpaksa.

Namun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Amanah akan memberikan peluang kepada PAS sepenuhnya berunding bagi memastikan pembangkang hanya akan bertanding satu lawan satu dalam pilihan raya tersebut.
"Sebenarnya hal pilihan raya ni kami belum bincang lagi. Kita cuba yang terbaik untuk mengelaknya, tetapi jika terpaksa, apa boleh buat," katanya.
Mat Sabu berkata, Amanah kini memberikan tumpuan kepada pengemasan struktur parti serta mendaftar keahliannya.

"Kami fokus kepada pembentukan kawasan dan cawangan serta penambahan keahlian sekarang ini," katanya.

Malah, Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan parti Islam ituakan bergerak sendiri berdasarkan senario dalaman parti itu.


Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan PAS akan bersendirian lagi selepas ini susulan kedudukan parti itu dalam gabungan parti pembangkang baharu yang bakal terbentuk masih tidak pasti.
"Dalam politik tiada yang mustahil," beliau dipetik berkata pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Kuala Terengganu pada 9 September lalu.
Menurut Hadi, parti itu pernah bergerak sendiri sebelum ini tanpa bergantung dengan mana-mana parti komponen. Katanya, pengalaman tersebut secara tidak langsung mematangkan PAS.

"PAS pernah berdikari. PAS juga pernah bersama dengan parti komunis sebelum merdeka. Kita pernah dengan sosialis. PAS pernah bersama kerajaan campuran pada 1970 dengan Umno-Perikatan dan menyertai koalisi pemerintah Barisan Nasional (BN) pada 1974.
"PAS juga pernah bersendiri. Pernah pada 1982 semua ahli Parlimen PAS dalam kerajaan Kelantan tiada. Hanya tinggal Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tapi kini sudah 20 tahun lebih kita perintah Kelantan. DAP baru satu penggal saja menjajah," katanya.
Kini kita hanya mempu menunggu sama ada PAS akan membuat pusingan U dengan alasan tersendiri menyartai Pakatan Harapan atau tegas dengan kata-kata akan bergerak sendiri menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak.

Saturday, October 10, 2015

1MDB - PENDEDAHAN BNM BUKA SENARIO BARU KEPADA SIASATAN, PENDAKWAAN….


Selepas jawapan 1MalaysiaDevelopment Bhd (1MDB) dan susulan jaminan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin, dalam isu hutang firma pelaburan kerajaan itu, isu 1MDB diharapkan reda.
Namun ia semakin bertambah kusut apabila kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan terhadap 1MDB mendapati, firma pelaburan negara itu membuat pendedahan tidak tepat atau tidak lengkap bagi mendapatkan kebenaran membuat pelaburan luar negara.
Atas dasar itu, bank pusat itu membuat keputusan membatalkan 3 kebenaran yang diberikan kepada 1MDB untuk pelaburan berjumlah AS$1.83 bilion (RM7.53 bilion).
BNM turut mencadangkan peguam negara memulakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB kerana pelanggaran di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.
BNM menjelaskan, ia mencadangkan prosiding jenayah kepada Pejabat Peguam Negara atas alasan "...pendedahan tidak tepat atau tidak lengkap maklumat penting..." dan bukan kerana pengubahan wang atau dakwaan perbuatan jenayah sebagaimana ditonjolkan media dan ahli politik pembangkang tertentu.
1MDB berkata ia menghormatisepenuhnya hak BNM untuk membatalkan kebenarannya yang terdahulu dan mengeluarkan apa-apa arahan yang difikirkan patut di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Keputusan ini diambil walaupun Pejabat Peguam Negara mengesahkan tiada kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai 1MDB.

"1MDB bersedia bekerjasama dengan BNM, bagi menangani kebimbangan mereka dan mencari penyelesaian yang berdaya maju kepada perkara yang tertangguh ini," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut 1MDB, sejak siasatan BNM dimulakan pada Jun 2015, pengurusan dan lembaga pengarahnya memberi kerjasama yang menyebabkan kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Selain menyerahkan jawapan bertulis dan berkongsi dokumen, anggota lembaga pengarah 1MDB, kakitangan semasa dan bekas kakitangan ditemu bual BNM, dengan kenyataan saksi direkod secara terperinci.
Pendedahan BNM itu  jelas bertentangan dengan pengumuman peguam negara Khamis lalu iaitu tiada pendakwaan akan dijalankan walaupun bank pusat meminta dikaji semula keputusan yang tiada tindakan lanjut diperlukan ke atas 1MDB berhubung pendedahan palsu itu.
Jabatan Peguam Negara berkata, pegawai 1MDB disiasat di bawah akta tersebut, kerana secara sedar dan melulu membuat kenyataan palsu.
Bank Negara menyerahkan kertas siasatan (IP) kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 Ogos.
Ia dikembalikan pada 11 September kepada bank pusat itu, yang menjawab kepada jabatan tersebut pada 1 Oktober, meminta satu kajian semula.
Namun, peguam negara berkata, ia memutuskan untuk mengekalkan pendirian sebelum ini, atas alasan tiada bukti baharu.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, peguam negara mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa kesalahan jenayah.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menyifatkan Jabatan Peguam Negara tidak telus dalam “membersihkan” 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membuat pendedahan palsu.


Beliau turut mempersoalkan apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut terbabit dalam keputusan itu.

Menulis dalam blognya www.chedet.cc petang semalam,  bekas perdana menteri itu berkata, peguam negara kini bertindak "melampaui" peranan seorang hakim dengan menganggap cadangan BNM melaksanakan pendakwaan terhadap 1MDB sebagai tidak perlu.

"Ia akan kelihatan seperti peguam negara sudah membuat penghakiman, menolak kes itu sebagai tidak mempunyai merit untuk perbicaraan di mahkamah undang-undang. Dan apabila rayuan dibuat, rayuan itu ditolak beliau atas alasan yang tidak jelas. Terdapat kekurangan ketelusan di sini," tulis Dr Mahathir,
Bagi Tun Dr Mahathir:"Dalam kes seperti ini rakyat ingin tahu sama ada perdana menteri terlibat atau tidak. Dengan menolak kes ini, syak wasangka akan kekal dalam minda rakyat. Malah orang berfikir keputusan peguam negara mungkin bukan dibuat peguam negara.”
Juga yang menarik berkaitan isu ini, dua peguam turut memberikan pendapat.  Peguam Amer Hamzah Arshad berkata walaupun kenyataan BNM juga mengakui kuasa tersebut, namun kesimpulan yang kukuh dapat dibuat iaitu bank pusat mempunyai bahan mencukupi untuk membuka semula kes itu.
Peguam New Sin Yew pula berkata, sudah tiba masanya negara mempunyai pendakwa raya yang bebas, berasingan daripada peguam negara yang turut berperanan menjadi ketua penasihat undang-undang kerajaan.
Majlis Peguam dan pihak berkepentingan selama ini mendesak perkara ini kerana pelantikan itu dibuat oleh Agong atas nasihat perdana menteri.
NewSin Yew berkata hanya pendakwa raya yang dilihat tidak berat sebelah dan bebas akan memperolehi keyakinan orang ramai.
Beliau juga berkata semua agensi penguatkuasa seperti BNM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu diberi kuasa pendakwaan dan bebas daripada pendakwa raya.
"Amalan ini akan menggalakkan 'check and balance' (semak dan seimbang) terhadap satu sama lain," katanya.
Persoalanya, apakah  Rakyat boleh cabar keengganan peguam negara dakwa 1MDB?
Menurut Peguam Amer, sesiapa sahaja, termasuk BNM boleh mencabar keputusan peguam negara bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesalahan, walaupun bank pusat itu mahu kes tersebut dikaji semula.
Menurutnya, meskipun ia tidak pernah berlaku di Malaysia, namun pernah terjadi di negara Komenwel yang lain.
"Jika seseorang merasakan wujud niat jahat dalam keengganan peguam negara untuk mendakwa, seseorang itu boleh pergi ke mahkamah untuk mendapat remedi," kata peguam jenayah itu.

Amer menemui kes di mana peguam negara, yang juga pendakwa raya akhirnya merangka pertuduhan terhadap tertuduh selepas agensi penyiasatan merayu semakan semula.

Thursday, October 8, 2015

PADAN MUKA...DAP SEMAKIN MERENDAH-RENDAHKAN KEMAMPUAN PAS


"PAS semakin hilang kawalan di Kelantan. Kekurangan kerajaan negeri Kelantan tidak begitu jelas semasa Nik Aziz ada tetapi sekarang orang Kelantan tidak perlu lagi menaruh kepercayaan mereka terhadap kerajaan negeri.” - Tony Phua
Kesian dengan PAS. Ia kini benar-benar kesaorangan. Terpencil.
Di kalangan sekutunya dalam pembangkang pun, nampak sangat PAS cuba di pinggirkan.
Dap sudah beri isyarat bahawa mereka tidak memerlukan PAS pada pilihan raya umum akaan datang.
Nampak jelas DAP selesa dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) sahaja.
SetiausahaPublisiti DAP Tony Pua semalam berkata, gabungan baharu pembangkang yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan akan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang tanpa PAS sekalipun.
Amat jelas, PAS yang membuat keputusan tidak menyertai gabungan baharu pembangkang terus diserang DAP.
Hubungan DAP dan PAS putus secara rasmi apabila muktamar PAS yang lalu meluluskan usul memutuskan hubungan dengan parti itu selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik bertali arus.

Hadi dikritik atas dakwaan culas menghadiri mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat (PR).

Beliau juga sering menggunakan kuasa vetonya dalam parti dengan membangkang keputusan yang dibuat timbalannya pada masa itu, Mohamad Sabu dalam mesyuarat majlis presiden PR.
Malam semalam pada majlis makan malam mengutip dana bagi parti serpihan mereka, Amanah, Tony Phua berkata PAS sebenarnya sudah mula tidak mempamerkan prestasi yang baik di kubu kuat mereka Kelantan sejak kematian bekas mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dengan bangga beliau mngemukakan soalan: "Jadi tanpa PAS adakah kita akan mampu menang?

Biar saya beritahu anda, kita boleh. Ia tidak mudah ataupun percuma tetapi kita boleh. PAS semakin hilang kawalan di Kelantan. Kekurangan kerajaan negeri Kelantan tidak begitu jelas semasa Nik Aziz ada tetapi sekarang orang Kelantan tidak perlu lagi menaruh kepercayaan mereka terhadap kerajaan negeri.”

Malah beliau turut memberi contoh prestasi PAS yang merudum dan amat jelas kelihatan sewaktu bencana banjir besar di Kelantan hujung tahun lalu.

Tony Phua berkata ketika itu,  seolah-olah kerajaan negeri "langsung tidak ada".

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu merujuk kepada kontroversi bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan hujung tahun lalu dengan mendakwa bahawa kerajaan negeri dan persekutuan dilihat sama-sama lambat menghulurkan bantuan.

Menurutnya, sebaliknya DAP mengusahakan projek pembinaan semula rumah di negeri itu yang dikenali sebagai Impian Kelantan.

Bercakap dalam majlis makan malam meraih dana Amanah semalam, Pua turut mengungkit bangkangan Hadi terhadap keputusan persetujuan DAP dan PKR mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, jika PAS menyertai gabungan baharu pembangkang sekalipun, mereka tidak akan mempercayai parti itu yang semakin merosot pentadbirannya.

"Jika bersama kita sekali pun, belum tentu prestasi mereka baik," katanya.

Biarpun demikian, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata partinya tidak akan memutuskan hubungan dengan PAS walau apa cara sekali pun.

"Kita tak boleh bakar jambatan dengan mereka, kita tetap perlu bercakap dengan mereka. Jika tidak, kita akan bertanding dalam suasana pilihan raya yang sama-sama merugikan semua pihak.

"Ia mungkin OK buat DAP dan PAS (tidak bertegur sapa) tetapi kami perlu mengemudi ruangan ini dan menjadi jambatan di antara mereka," katanya sewaktu berada sepentas dengan Pua sewaktu sesi soal jawab selepas makan malam itu.

Wednesday, October 7, 2015

1MDB – RAJA-RAJA MELAYU MAHU PEMIMPIN LAKSANAKAN AMANAH ILAHI…


Kita tidak pasti apakah ia suatu amaran atau hanya peringatan semata-mata apabila Raja-Raja Melayu semalam bersuara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Yang pasti, apabila Raja-Raja Melayu bersuara ia memang kes berat.

Malah, mereka yang menyebabkan krisis ini, yang tidak jujur dan yang cuba melengah-lengahkan siasatan dan penyelesaian adalah yang MENSABOTAJ ekonomi negara – pasaran kewangan dan iklim ekonomi.

Ada kebenaranya jika  Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak.

Dengan membiarkan ia berlarutan dan memakan masa terlalu lama, dibimbangi berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.
  
Bagi Raja-Raja Melayu, ia dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Jadi kenapa mereka ini dibiarkan dan tidak dikenakan TINDAKAN TEGAS kerana melakukan sabotaj terhadap negara, termasik kejatuhan ringgit?


Bukan sekadar itu sahaja, RAJA-RAJA MELAYU MENGINGATKAN INSTITUSI-INSTITUSI KERAJAAN YANG BERKAITAN, PERLU MENYEMPURNAKAN AMANAH ILAHI DAN KEPERCAYAAN RAKYAT SECARA TELUS, BERKREDIBILITI DAN BERINTEGRITI.

Semalam, Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Di sini secara jelas disebut ‘KERAJAAN’.

Siapa kerajaan? Siapa memimpin kerajaan?

Dalam satu kenyataan semalam, Raja-Raja Melayu (baginda sekalian) menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara semalam.

Dalam kenyataan itu disebut secara jelas bahawa SEMUA PIHAK BERTANGGUNGJAWAB UNTUK MEMBERI KERJASAMA YANG SEBENAR DAN JUJUR AGAR USAHA SERTA MAKSUD SIASATAN TERSEBUT BERJAYA.

Fahami betul-betul perkataan yang disebut iaitu semua pihak, bertanggungjawab, jujur dan berjaya.

Amat nyata bahawa isu 1MDB ini sudah menjadi sesuatu yang berlanjutan begitu lama dan ada sesetengah pihak yang `TIDAK MEMBERIKAN KERJASAMA dan TIDAK JUJUR.

Raja-Raja Melayu mahukan agar segalanya mencapai KEJAYAAN.

Raja-Raja Melayu memberi amaran: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.

"Akibatnya rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit 

Malaysia secara mendadak, sehingga memberi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia.

Jadi, kepada yang berpendapat bahawa !MDB tidak ada kena mengena dengan kejatuhan ringgit, baik menilai semula pendirian mereka.

Ternyata pendapat mereka salah dan bertentangan dengan pendirian Raja-Raja Melayu.

Memburukkan keadaan, perbuatan merea menyebabkan wujudnya suasana negative ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara.

Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.
  
Ia juga dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
  
"Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara.
  
"Demi memastikan kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang," menurut kenyataan itu.

Untuk itu, Raja-Raja Melayu berharap  badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi kerajaan yang berkaitan, perlu menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.
 
Raja-raja juga mahukan para pemimpin sentiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

Kepentingan peribadi?

Pemimpin atau siapa yang ada kaitan antara 1MDB dengan kepentingan peribadi?

Merekalah sebenarnya yang perlu menunjukkan ketaatan kepada seruan Raja-Raja Melayu dan mematuhi perintah Ilahi kerana masalah 1MDB adalah masalah rakyat dan negara.

TERIMA KASIH RAJA-RAJA MELAYU KERANA PERINGATAN INI!