Saturday, October 3, 2015

TERIMA KASIH SHAHBUDIN, ANDA SUDAH MENYELAMATKAN ZAHID…


Pertanyaan blogger Shahbudin Husin :“Bagaimanakah dengan perbelanjaan Zahid  dan keluarganya ke Indonesia ini? Adakah ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, termasuk penggunaan jet rasmi atau separuh daripadanya dibiayai wang pembayar cukai manakala separuh lagi melalui wang poketnya sendiri memandangkan majlis perkahwinan anak lelakinya itu merupakan acara peribadi keluarganya? Begitu juga dengan pegawai, kakitangan kementerian, rakan-rakan dan kaum keluarganya yang turut ikut serta, apakah segala-galanya "ditanggung beres"  oleh kerajaan atau atas tanggungan masing-masing?”

Selanjutnya syor Shahbudin: Untuk mengelakkan fitnah dan salah faham, lebih-lebih lagi dalam dunia ketelusan sekarang ini, adalah perlu Zahid menjelaskan semua perkara ini secara jujur dan terbuka...Oleh itu, hanya penjelasan selengkapnya daripada Zahid sendiri dapat memadamkan segala tanda tanya ini.”


Saya melihat pertanyaan dan syor ini tidak ada salahnya.

Hanya orang yang mempunyai ‘niat atau bersalah sahaja’ yang melihat daripada perspektif negatif. Jika tiada apa-apa yang berlaku, ia adalah pertanyaan biasa tetapi kerana kepada orang politik dilihat ‘bermotifkan politik’

 Tabik kepada Shahbuddin kerana berani.

Bagi saya Shahbudin sudah MENYELAMATKAN DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI daripada fitnah dan bala politik yang berpanjangan.

Kerana iitu, jangan jadikan Shahbudin sebagai mangsa kerana dia amat membantu Dr Ahmad Zahid. Saya amat yakin, bukan Shahbudin sahaja yang tertanya-tanya mengenai perkara ini.

Nasib baik majlis tidak menjadi viral negatif seperti yang pernah berlaku kepada pemimpin lain sebelum ini. Penjelasan segera oleh Dr Ahmad Zahid dan besannya sangat dialu-alukan.

Tanpa pertanyaan Shahbudin, apakah akan ada penjelasan sedemikian?

Melalui persoalan di blog Shahbudin itu, Dr Ahmad Zahid dapat membuat jawapan, malah besan Zahid juga membuat ulasan yang jelas bahawa TIADA PENGGUNAAN WANG RAKYAT DALAM MAJLIS DI JAKARTA ITU.


Besan kepada Dr Ahmad Zahid, Datuk Seri Chairul Anhar yang juga merupakan Presiden Diaspora Indonesia di Malaysia berkata, beliau juga berharap tiada pihak menyalahgunakan kebebasan media untuk membuat fitnah terhadap individu tertentu.

"Sebagai seorang yang beriman dan menganut adat-adat ketimuran, saya berharap kepada semua pihak janganlah acara yang baik seperti pernikahan ini dijadikan bahan propaganda politik kerana perbuatan jahat tersebut sangat bertentangan dengan moral dan mana-mana norma agama pun.

"Pada pandangan saya, apa yang terjadi di media atas talian bukan isu politik tetapi ada sekelompok orang yang cuba menyebar fitnah kepada besan saya dengan memanfaatkan kebebasan media. Dan seandainya saya tidak membantah isu tersebut, akan semakin banyak orang yang tidak berdosa menjadi korban (fitnah)," katanya.

Malah, Chairil yang telah mengenali Dr Ahmad Zahid lebih 20 tahun itu sekali lagi menegaskan bahawa majlis meraikah pernikahananak perempuannya di hotel Ritz Carlton, Jakarta 19 September lalu dibiayainya 100 peratus.

"Resepsi di Ritz Carlton Jakarta pada 19 September adalah bagi pihak anak perempuan saya. Sudah pasti 100 peratus biayanya daripada saya. Kalau ada yang mengatakan biaya resepsi saya dibantu oleh pihak lain, maka kenyataan tersebut adalah suatu fitnah dan penghinaan yang paling kejam untuk keluarga besar saya," kata Chairil yang berasal dari Bukittinggi, Sumatera.

Sebelum ini Dr Ahmad Zahid  berkata: "Saya harap Shahbudin Husin yang mengenali saya sejak tahun 1987. Jangan main dengan perkataan dengan menyoal dan menyuruh saya menjelaskannya. Dia patut jumpa saya untuk (mendapatkan) penjelasan. Kenapa perlu dia tanya saya supaya menjelaskan kepada umum, sebab saya tak guna atau salah guna dana awam."


Di pihak Shahbudin pula, “…sebagai warganegara Malaysia yang baik hati, saya dengan ini telah pun memadam atau mengeluarkan artikel bertarikh 20 September 2015 itu daripada blog saya iaitu shahbudindotcom dengan serta merta sebagai menghormati saranan SKMM itu.

“Saya menerima seadanya saranan tersebut dan terima kasih kepada pembaca dan penjenguk blog ini yang banyak menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada saya. Insya Allah, saya akan terus menulis seperti biasa berdasarkan gerak hati dan apa yang saya rasakan betul untuk diketengahkan.”

Alhamdulilah, bukalah minda dan berbaik sangkalah kerana Shahbudin dan Dr Ahmad Zahid bukan baru kenal. Sudah 20 tahun mengenali antara satu sama lain.

Cumanya, sebagai pemimpin yang sedang melonjak naik, Dr Ahmad Zahid terpaksa bersedia menerima ujian dan jangan cepat melatah.

Apapun, kepada Shahbudin, tulisan anda sudah membolehkan rakyat Malaysia dan Indonesia tahu bahawa Dr Ahmad Zahid tidak mengeluarkan belanja, sebaliknya, besannya yang berbelanja 100 peratus!

Tuesday, September 29, 2015

PENGAJARAN DARIPADA PERCAKARAN DALAM KABINET NAJIB….


Akhirnya terbukti bahawa keputusan memanggil Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang untuk memberi penjelasan kepada Wisma Putra bukan sahaja mengikut prosedur dan protokol Kementerian Luar Negeri, malah dilakukan atas dasar kepentingan negara.
 
Menurut sebuah blog dengan tajuk 'Nazri Buli Reezal - Memalukan Kabinet Najib', satu sejarah sudah tercatat, hanya pada Kabinet Najib, menteri dan menteri serta menteri dan timbalan menteri bercakaran sesama sendiri.

Malah tindakan menteri 'membuli' timbalan  menteri itu adalah julung-julung kali berlaku dalam sejarah Kabinet Malaysia.

Ia gara-gara hasrat memanggil seorang Duta China yang dilihat tidak wajar melakukan lawatan ke satu kawasan yang dianggap sensitif dan sedang hangat dibicarakan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini menegaskan, perkara itu dilakukan dengan mendapat persetujuan daripada Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman setelah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Amat malang dan tidak benar sama sekali untuk membuat andaian bahawa saya sebagai Timbalan Menteri telah membuat keputusan sendiri tanpa mengikut prosedur dan protokol Wisma Putra.

Saya amat kesal apabila ada pihak tertentu yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas sehingga merumitkan usaha Wisma Putra untuk mengendalikan isu ini secara baik, tegas dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam yang mendakwa tindakan Reezal Merican itu tidak mengikut protokol Kementerian Luar Negeri.
 

Dalam pada itu, Reezal juga berkata tindakan memanggil Duta Besar China itu untuk memberikan penjelasan kepada Wisma Putra adalah amalan biasa dan sudah dimaklum kepada Anifah.

“(Perkara) yang luar biasa dan dianggap tidak ‘berprotokol’ adalah apabila anggota pentadbiran kerajaan sendiri yang 'melompat' dan mula membuat tuduhan longgar terhadap tindakan yang diambil oleh Wisma Putra.

“Tiada tindakan semberono yang diambil dalam perkara yang melibatkan hubungan diplomasi antarabangsa. Sebaik diberikan amanah untuk membantu Kementerian Luar Negeri, saya cukup berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan umum,” tegasnya.

Reezal Merican berkata lagi, tindakan Nazri yang mempertikaikan keputusan kolektif Wisma Putra itu disifatkannya sebagai satu tindakan yang lemah, cetek dan cuai.
 

“Wisma Putra diterajui oleh mereka yang mempunyai kemampuan untuk menilai keperluan sesuatu tindakan diambil, selari dengan kepentingan dan maruah Malaysia di persada antarabangsa,” katanya lagi.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini turut mengecam anggota Kabinet yang “campur tangan” dalam keputusan Wisma Putra untuk memanggil Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

Beliau berkata, adalah amalan biasa bagi kementeriannya untuk memanggil duta, dan tidak memerlukan campur tangan daripada anggota Kabinet lain.

“Sebenarnya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri lain.

“Sebaliknya campur tangan mereka memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai. Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pemimpin Umno Sabah itu berkata, beliau tidak pernah membatalkan arahan duta China bertemu dengan Wisma Putra bagi memberikan penjelasan.

"Saya berasa amat dukacita kerana beberapa menteri Kabinet mengambil tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada saya terlebih dulu.

"Untuk makluman, saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya memanggil duta besar China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau," katanya.

Semalam akhbar vernakular melaporkan pemangku menteri luar, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membatalkan arahan bertemu Huang yang dilaporkan dikeluarkan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sementara Malaysiakini melaporkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai berkata Reezal melanggar protokol apabila memanggil Huang ke Wisma Putra.

Bagaimanapun, Reezal memberitahu The Malaysian Insider arahan tersebut datang daripada Anifah.

Menegaskan perkara memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra merupakan amalan biasa, Anifah berkata ia bertujuan meminta penjelasan mengenai kenyataan yang dibuatnya semasa lawatan ke Jalan Petaling di Kuala Lumpur tempoh hari.

"Wisma Putra cuma ingin meminta beliau mengesahkan sama ada kenyataannya itu disalah tafsir atau sebaliknya.

"Wisma Putra membuat perkara yang sama dengan duta Amerika Syarikat, duta Vatican dan duta Singapura pada masa lalu. Ini amalan biasa dan selaras dengan Artikel 41, Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961," katanya.

Anifah yang kini berada di New York, Amerika Syarikat kerana menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai negara berdaulat, Malaysia perlu menyampaikan pendirian kepada China dengan jelas.



Apapun hari ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengakui beliau membuat kesilapan sewaktu berurusan hal diplomatik di mana Duta China dipanggil berhubung kenyataan yang dibuatnya di Jalan Petaling pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Nazri yang juga MP Padang Rengas menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk campur tangan dalam hal ehwal Kementerian Luar Negeri.

"Tidak ada niat untuk campur tangan," katanya dalam satu kiriman SMS sebagai maklum balas kepada pertanyaan Malaysiakini.

Menteri Umno itu berkata demikian ketika diminta mengulas rakan sejawatnya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang meluahkan rasa kecewa bahawa beberapa menteri telah mencampuri perkara tersebut tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Tidak mengapalah, yang berlaku sudah berlaku. Ia pengajaran walaupun tidak sepatutnya berlaku di kalangan mereka yang dianugerahkan kepercayaan untuk mentadbir negara.

Friday, September 25, 2015

TEKANAN HIDUP RAKYAT - PENDEKATAN PERKAUMAN BUKAN PENYELESAIAN....


Pendekatan perkauman dalam politik tidak sesuai, lebih-lebih lagi ketika ini, apabila sesuatu etnik bukan ditekan atau dijadikan mangsa ekonomi oleh suatu etnik yang lain.

Saya berpendapat tindakan untuk menunjukkan kekuatan Melayu kepada bukan Melayu ketika ini memang tidak sesuai sama sekali.

Harap-harap jangan ada pertelingkahan kaum yang diakibatkan oleh salah faham.

Kalau ada juga, mungkin tangan ghaib cuba berbuat sesuatu untuk kepentingan kedudukan atau sokongan kepadanya.

Kemiskinan rakyat kini bukan kerana peniaga Cina menekan orang Melayu dengan menaikkan harga barang atau sebagainya sesuka hati.

Juga bukan kerana orang bukan Melayu menjalankan dasar diskriminasi dalam apa juga bidang, khususnya perniagaan untuk melemahkan kuasa ekonomi orang Melayu.

Yang pasti,  himpitan hidup ketika ini yang dirasai oleh orang bawahan dan kelas menengah adalah akibat faktor luaran yang memerlukan langkah-langkah berkesan kerajaan menanganinya.

Dengan kata lain, pentadbiran negara perlu berhemah dan diuruskan dengan cekap. Menabur duit oneoff  kepada rakyat hanya langkah sementara dan bukan langkah berkesan.

Apakah kejatuhan harga minyak, kejatuhan nilai ringgit atau juga kejatuhan harga getah dan kelapa sawit diakibatkan oleh orang bukan Melayu yang menjadikan ramai orang Melayu merasai bebannya?

Bukan. Bukan sama sekali.


Di sinilah kita perlu merenung kembali apakah sesuai kita menggunakan pendekatan perkauman dalam mengorak langkah politik atau perjuangan kita.

Saya bersetuju dengan analisis oleh seorang penganalisis berpangkalan di Singapura Dr Ooi Kee Beng mengambil pandangan perkauman merupakan ciri "standard" dalam politik Malaysia, dan ia selalu "ada" untuk digunakan ahli politik.
"Perkauman adalah kad utama. Ia selalu boleh digunakan.
"Tetapi kini Melayu adalah majoriti dan dari segi ekonomi, mereka mengawal syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mengawal kerajaan dan Parlimen... jadi mengatakan yang mereka diancam adalah tidak masuk akal."
Ooi yang merupakan timbalan pengarah Institut Yusof Ishak ,Institute of South East Asian Studies (ISEAS) berkata, lebih ramai orang mahukan Putrajaya fokus kepada pentadbiran baik berbanding asyik bercakap tentang hak kaum.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/isu-perkauman-tak-berkesan-ketika-ekonomi-teruk-kata-penganalisis
Pandangan Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkata, penggunaan isu perkauman tidak akan bertahan perlu diambil perhatian yang mendalam.

Ini kerana menurutnya,  kerana orang ramai perlu memikirkan kelangsungan hidup mereka apabila ekonomi mula memburuk.

Kedudukan ekonomi hari ini umpamnya dalam konteks kejatuhan ringgit amat membimbangkan dan ini tidak ada kena mengena dengan isu perkauman.

Hari ini ringgit melepasi paras 4.38 berbanding dolar Amerika dicetuskan oleh tahap mengehadkan kerugian, dalam dagangan rendah di pasaran. Peniaga menyifatkan lonjakan itu disebabkan arahan belian (melepasi paras 4.38) bagi mengimbangi kedudukan spekulatif yang dilakukan sebelum ini.
Ringgit mencatat tahap terendah, pada paras 4.3900 berbanding dolar, sejak krisis kewangan Asia 17 tahun lepas, pagi ini.
Unit tempatan itu kini tertekan akibat kurangnya petunjuk domestik selain harga minyak mentah yang lemah. yang menjejaskan minat global untuk mengambil risiko.
Dengan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah, penurunan nilai yuan China ekoran kebimbangan mengenai ekonomi China, juga menyumbang kepada satu lagi pusingan penyusutan nilai ringgit.
Walaupun ada beberapa kebaikan daripada kedudukan nilai ringgit yang menjunam, namun kenaikkan harga barang amat dibimbangi dan begitu juga harga perkhidmatan lain.
Memburukkan keadaan GST yang dikenakan untuk berapa barangan keperluan rakyat,  semakin menghakis pendapatan orang ramai.
Jadi, jangan salahkan rakyat yang sedang dihimpit cabaran kehidupan jika percaya cakap-cakap Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa “ekonomi dan mata wang negara hanya akan pulih jika Datuk Seri Najib Razak disingkirkan.”
Rakyat yang semakin lemas akan berpaut kepada harapan baru dan kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa  jika mata wang dan ekonomi mahu dipulihkan, Najib mesti berhenti menjadi perdana menteri. 
"Hanya apabila beliau berhenti menjadi perdana menteri Malaysia, ekonomi negara akan pulih, nilai ringgit meningkat semula dan kos sara hidup turun. Hanya selepas penyingkirannya rakyat Malaysia boleh berdiri sama tinggi dengan negara lain semula," kata bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu melalui blog popularnya chedet.cc hari ini.
Bagi rakyat, kenyataan siapakah akan mereka percayai ketika ini – sama ada oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang ‘berusaha membawa cahaya’ atau orang seperti Dr Mahathir yang sudah membuktikan keupayaannya mengatasi krisis ekonomi seperti pada akhir 1980-an dan 1996-1998?
Dalam konteks sekarang, soal perkauman dan parti bukan menjadi agenda utama rakyat.
Yang penting bagi mereka, dahan atau kapal manakah yang boleh mereka naiki!
Masalah ekonomi dunia akan berlarutan agak panjang dan sesiapa atau pihak mana yang mampu memberikan jawapan, di situlah rakyat akan berpaut.
Jika UMNO mahu rakyat, khususnya orang Melayu terus yakin kepadanya, inilah masanya menawarkan jawapan kepada penyelesaian masalah ekonomi yang melanda orang Melayu.
Dengan menawarkan jalan perkauman atau menyalahkan kaum dan etnik lain dalam mendapatkan jawapan kepada masalah ekonomi negara yang sedang merudum dan nilai ringgit yang semakin menjunam, ia adalah langkah PALING BANGSAT bagi perjuangan UMNO.
Rakyat, khususnya yang menyokong UMNO sebagai parti teras yang memerintah negara ini mahukan cadangan dan jawapan MUNASABAH bukan dengan cara cuba menghuruharakan negara demi kepentingan segelintir pemimpin yang rakyat sendiri sudah mual dan jijik dengan janji-janji dan dasar pemulihan yang dikemukakan!

JADIKAN ANWAR PM - PAKATAN HARAPAN BANKRAP IDEA

 


Semakin terserlah kini Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) seperti juga Pakatan Rakyat sebelum ini,  memang bankrap idea.

Matlamat penting mereka hanya untuk Anwar. Bagi mereka meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah satu-satunya keutamaan. Yang lain datang selepas  itu.

Dalam sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 kelmarin, Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pembangkang masih menamakan suaminya sebagai calon Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya mentadbir negara.

Wan Azizah berkata, pembangkang percaya Anwar merupakan pemimpin paling sesuai untuk mena­ngani pelbagai isu nasional seperti kemelut ekonomi, salah urus tadbir, kebajikan rakyat dan perpaduan kaum.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana kesalahan meliwat.

Tak habis-habis dengan Anwar. Apakah tanpa Anwar, pakatan pembangkang akan lesu?

Kerana itu tidak hairanlah apabila PAS menyifatkan keputusan Pakatan Harapan untuk melantik Anwar Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang sebagai perkara yang tidak realistik.

Mana realistiknya?

Dalam soal pemilihan Perdana Menteri, sewajarnya pembangkang perlu berpijak di bumi nyata.

Walaupun pembangkang mungkin menang pilihan raya umum dan berjaya membebaskan Anwar tetapi rekod buruk akibat dipenjarakan itu akan menghantui pembangkang selama-lamanya.

Berbanding dengan Barisan Nasional (BN), pemimpin pelapis yang akan mengambil alih pentadbiran negara tidak ‘memegang rekod’ seburuk Anwar.

Persoalannya, tidak ada orang lainkah  dikalangan pemimpin yang ada dalam Pakatan Harapan itu  layak menjadi Perdana Menteri? Jawapannya kini memang tidak ada.

Jika demikian, layakkan parti seperti itu berangan-angan mahu mengambil alih tampuk pemerintahan negara?

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak boleh dianggap satu keputusan konklusif kerana Penasihat PKR itu masih berada di dalam penjara.

Malah PAS, walauapun tidak menyertai rundingan Beja Bulat, turut membincangkan  dalam mesyuarat kelmarin dan mengambil ketetapan bahawa sesuatu keputusan yang mukta­mad mestilah sesuatu yang realistik.

“Maksudnya, dalam keadaan Anwar sekarang di mana, takkan kita boleh buat satu keputusan yang konklusif bahawa dia yang akan menjadi Perdana Men­teri,” katanya di Kota Bharu, kelmarin.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor , TanSri Abdul Khalid Ibrahim secara sinis menegur pakatan pembangkang yang yang sebulat suara memutuskan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Khalid, keputusan itu mungkin menimbulkan pelbagai isu sekiranya tidak disusuli dengan penelitian yang terperinci dari sudut undang-undang memandangkan Penasihat PKR itu telah disabit dan menjalani hukuman penjara ketika ini.

 
“Perkara itu (keputusan pilih Anwar sebagai Perdana Menteri) perlu mengambil kira tentang undang-undang sama ada praktikal atau tidak,” katanya.

Berdasarkan apa yang diputuskan ini, langkah pertama pakatan ini sudah tersasar .

Mereka perlu melangkah lebih jauh dan jika langkah pertama sudah tersasar, pastinya  langkah-langkah berikut akan terus tersasar dan akan mengambil masa yang agak lama untuk kembali ke landasan yang betul.

Kita hanya berdoa agar rakyat tidak turut tersasar dan perjuangan menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah tindakan yang tidak tepat.

Mungkin kerana soal seperti inilah, PAS perlu menimbang dan berfikir panjang untuk bersetuju dengan hasrat menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.


PAS jangan jadi parti bangkrap idea seperti PKR, DAP dan Amanah sebaliknya tentukan arah perjuangan yang betul, kalaupun tidak mahu menjadikan UMNO sebagai rakan seperjuangannya.