Thursday, March 27, 2014

PERANAN MALAYSIA, NAJIB BAGI KEAMANAN DI FILIPINA SANGAT BESAR, WAJAR DIHARGAI



"Rakyat Filipina akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran Malaysia memberi sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai itu...sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, telah memainkan peranan penting."
- Presiden Filipina Benigno Aquino III

Pada ketika pemimpin PAS sibuk dengan pergolakan politik yang berlaku di Mesir, mereka langsung tidak mempedulikan jiran sebelah rumah – Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) - yang didamaikan oleh Malaysia.

Bagaikan ‘tidak ada apa-apa’ yang penting kepada mereka, pemmpin PAS tidak pun membuat ulasan mengenai perjanjian bersejarah ini sedangkan ia juga membabitkan masyarakat Islam.

Itulah pemimpin PAS hanya membuat perkiraan berdasarkan keuntungan politik kepada mereka semata-mata?

Mana-mana yang dirasakan mereka tidak mendapat apa-apa atau memberikan kelebihan kepada kerajaan, mereka akan ‘buat dekk’ (pura-pura tidak tahu).

Pemimpin PAS boleh bersandiwara seolah-oleh tidak ada apa-apa berlaku sedangkan Filipina adalah jiran kita, lebih-lebih MILF yang dilanda krisis sekian malah, masalah masa 17 tahun merundingkan keamanan dengan Manila bukanlah sesuatu yang mudah.

Pencapaian perdamaian yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia ini sangat besar ertinya tetapi menghairankan sekali bagaimana pemimpin Islam dalam PAS boleh mengunci mulut gara-gara tidak mendapat apa-apa political milage.

Aquino (kanan) dan  Murad Ebrahim berkongsi kek ketika pemimpin Filipina itu melawat Mindanao, pada 11 Februari 2012.
Sebaliknya mereka riuh rendah memperkatakan apa yang berlaku di Mesir tetapi pendirian PAS mengenai usaha Malaysia membolehkan Filipina dan MILF menandatangani perjanjian bersejarah langsung tidak dipedulikan.

Malaysia diakui bertindak sebagai pemudah cara pihak ketiga dalam proses damai ini, dengan Kuala Lumpur mula menyertainya pada 2001.

Upacara bersejarah pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) berlangsung di ibu negara Filipina itu bermatlamat mewujudkan satu entiti politik berperintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro.

Mereka akan diberikan lebih banyak kuasa politik dan ekonomi bagi kepentingan rakyat di kawasan berkenaan. Entiti baru ini akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao, sejajar dengan Undang-undang Asas Bangsamoro, yang akan diluluskan Kongres Filipina dan disahkan penduduk terbabit.

Penyokong MILF di satu perhimpunan di Kota Cotabato, Mindanao bagi meraikan perjanjian dengan kerajaan Filipina hari ini.
Perjanjian penuh bersejarah yang diusahakan Malaysia hari ini berlangsung di perkarangan Istana Malacanang turut dihadiri Presiden Filipina Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.

Najib memberitahu, Malaysia berikrar untuk terus membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan bidang pertanian Bangsamoro.

Katanya, Malaysia juga berharap Bangsamoro akan bekerjasama dengan kerajaan Filipina bagi memastikan kejayaan Perjanjian Komprehensif yang dimeterai di antara kedua-dua pihak.

"Malaysia berasa bangga diberi penghormatan kerana dapat memainkan peranan bagi mencapai proses perdamaian membabitkan MILF dan kerajaan Filipina," katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro petang ini.


Ketika mengalu-alukan penandatanganan perjanjian itu, Najib berkata Malaysia akan terus membantu meningkatkan kemajuan Bangsamoro dalam usahanya untuk mewujudkan institusi, mengukuhkan pendidikan dan menambah baik sektor pertanian.

“Dua tahun lepas, saya berjanji kepada Presiden Aquino bahawa Malaysia akan terus memberi bantuan dari segi pembangunan. Janji ini terpakai selagi ia diperlukan. Malaysia akan terus menjadi rakan ke arah perdamaian,” tegas Najib.

Beliau berkata Malaysia bangga kerana dapat memainkan peranannya dalam proses damai Filipina-MILF, yang membantu mengukuhkan lagi ikatan kepercayaan antara Malaysia dan Kerajaan Filipina.

“Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan dan kemakmuran saudara kami di Bangsamoro dan Filipina. Sambil kita mengharapkan masa depan lebih cerah untuk Bangsamoro, saya berikrar Malaysia akan terus memberi sokongannya.

Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai pemudah cara pihak ketiga dan terus berusaha melalui Pasukan Pemantauan Antarabangsa di Mindanao,” katanya.

Najib yakin Kerajaan Filipina akan terus bekerjasama dengan MILF dalam menyediakan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro kerana sokongan semua pihak adalah penting sekiranya mereka ingin melihat ia diluluskan Kongres Filipina dan dalam pungutan suara di Bangsamoro.

Katanya CAB bersejarah itu menjamin hak rakyat Bangsamoro dan kedaulatan Filipina. "Kami berharap rakyat Bangsamoro akan bekerjasama dengan kerajaan Filipina dan MILF untuk menjamin kejayaannya,” katanya

 Najib menggesa semua pihak supaya menghayati semangat dan kandungan perjanjian itu bagi memastikan wujudnya sikap hormat terhadap agama dan mengamalkan prinsip membenci keganasan. "Kita patut menghormati hak asasi manusia, menjunjung tinggi keluhuran undang-undang dan mengamalkan kesederhanaan.

Hanya melalui penyelesaian yang dicapai secara rundingan, keamanan berkekalan boleh dinikmati. Dan hanya tadbir urus yang baik sahajalah yang boleh menjamin tercapainya cita-cita bersama kita: melihat Bangsamoro yang kuat dan makmur," kata beliau.

Najib menyifatkan penandatanganan perjanjian itu sebagai peristiwa bersejarah tentang keberanian dan yakin ia akan mengubah sejarah negara mereka.


"Dengan menyertai proses damai, MILF telah membalas kepercayaan yang diberi kepadanya oleh rakyat. Dengan berunding secara penuh keikhlasan, kerajaan Filipina mengesahkan hak Bangsamoro untuk menentukan nasib sendiri.

"Perpaduan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalaman. Selepas bertahun-tahun, tidak terdapat jalan pintas mengenainya.

Banyak lagi usaha perlu dilakukan dan akan terdapat halangan dalam melaksanakannya. Tetapi, komitmen terhadap keamanan - komitmen yang dapat saya lihat wujud di dalam dewan ini hari ini - tidak sepatutnya luntur," kata beliau.

Najib memuji usaha luar biasa yang dilakukan hingga membolehkan perjanjian itu ditandatangani, dengan kedua-dua pihak bekerja sepenuh hati untuk memastikan rakyat Bangsamoro dapat menikmati dividen keamanan yang tidak terhitung jumlahnya.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Aquino berkata rakyat Filipina akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran Malaysia memberi sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai itu.

Ketika menzahirkan penghargaannya kepada semua negara yang terlibat menjadikan perjanjian damai itu suatu kenyataan, beliau berkata sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, telah memainkan peranan penting.

Pertemuan awal MILF dan wakil kerajaan Filipina di Kuala Lumpur pada 11 April 2013..
"Kita sama-sama menunjukkan suatu contoh kepada seluruh dunia. Perjanjian ini menjadi bukti bahawa kepercayaan dan kesungguhan mampu menggerakkan sifat kemanusiaan ke tahap lebih jauh.

"Ia menunjukkan betapa kejujuran, perasaan muhibbah merupakan alat paling berkesan untuk menamatkan konflik, ia membuktikan bahawa usaha mencari kesepakatan pasti membawa hasil yang tidak terhitung banyaknya," kata beliau.


Aquino berkata Pihak Berkuasa Transisi Bangsamoro akan ditubuhkan menjelang 2015 untuk berfungsi sebagai kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya diadakan pada 2016.

Dokumen CAB 12 perkara itu ditandatangani pengerusi panel perdamaian MILF Mohagher Iqbal bagi pihak MILF dan ketua panel perdamaian Filipina Miriam Coronel-Ferel bagi pihak kerajaan Filipina.

Upacara menandatangani perjanjian itu disaksikan Najib dan Aquino dan pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro itu akan mengakhiri konflik selama berdekad antara kerajaan Filipina dan MILF.

Najib mewakili Malaysia selaku negara perantara perjanjian itu yang menyasarkan keamanan berpanjangan, sekaligus mengakhiri konflik berdarah selama berdekad di selatan Filipina.

Ketibaan Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Istana Malacanang di Manila disambut oleh pemimpin Filipina.

Rundingan damai dengan MILF, yang bermula pada 1997, bertujuan menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun 1970-an, yang sehingga kini telah meragut lebih 100,000 nyawa.

Kerajaan Filipina dan MILF dengan ini membuka lembaran baharu bagi hubungan mereka sebelum ini yang ditandai dengan permusuhan dan sikap saling tidak mempercayai apabila mereka duduk semeja untuk menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) bagi membuka jalan ke arah mencari penyelesaian politik di Mindanao.

Tuesday, March 25, 2014

PESAWAT MAS MH370 - TINDAKAN SENGAJA...MISI BUNUH DIRI?


Tanpa menyebut apa-apa faktor, selain tanpa penemuan bangkai yang dapat disahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata malam tadi, data terbaharu menunjukkan MH370 mengakhiri penerbangan lapan jamnya pada 8 Mac dalam lautan, di kawasan terpencil perairan Lautan Hindi.

Data itu diberikan oleh syarikat satelit Inmarsat milik Britain dan Biro Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. “Ia adalah kawasan terpencil, jauh daripada daratan yang membolehkan pendaratan,” kata Najib. 

Di hotel di Beijing, ada ahli keluarga yang mengecam dan mengkritik Malaysia Airlines dan Putrajaya, melabelkan kedua-duanya sebagai “pembunuh sebenar” penumpang MH370.

Tetapi sebahagiannya masih menaruh harapan, bergantung kepada kegagalan berterusan dalam mencari pesawat itu.

“Tiada bangkai yang disahkan, maka tiada penutup yang sebenar,” kata Sarah Bajc, iaitu pasangan kepada Philip Wood, warga Amerika yang berada dalam pesawat itu.

Berkaitan pengumuman itu akhbar Britian Daily Telegraph mengatakan pesawat MAS MH370 itu mungkin terhempas di selatan Lautan Hindi dalam misi membunuh diri.

Dengan memetik sumber yang enggan dikenali sebagai berkata, akhbar itu menyatakan pasukan penyiasat kehilangan MH370 percaya tiada kerosakan atau kebakaran yang mampu menyebabkan penerbangan luar biasa pesawat itu.

“Sistem komunikasi pesawat yang ditutup juga tidak menyebabkan MH370 berubah haluan dan terbang secara senyap selama tujuh jam ke lautan itu,” kata akhbar harian itu.

Seorang sumber rasmi memberitahu The Telegraph penyiasat percaya “ini adalah tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat yang mempunyai pengetahuan terperinci untuk melakukan apa yang berlaku. Tiada yang mengembangkan butir itu menjadi motif.”

Ditanya mengenai kemungkinan pesawat itu mengalami kerosakan atau kebakaran dalam pesawat, sumber memberitahu The Telegraph:”Ia tidak saling berkait… (Penyiasat) meneliti proses yang diperlukan untuk menerbangkan pesawat itu di mana ia terbang selama lapan jam. Mereka mendapati ia dikendalikan dengan cara yang rasional.”

Laporan Telegraph berkata, pesawat itu masih diselubungi misteri dan salah maklumat. MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian. 

Pesawat sepatutnya tiba Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Petang semalam, Najib berkata dua objek berkaitan pencarian MH370 di Lautan Hindi akan diambil dalam tempoh beberapa jam lagi.


Menulis di Twitter, Najib berkata Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberitahunya perkara itu melalui panggilan telefon kepadanya semalam.

Dalam tweet sebelum itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dan pesawat Tentera Orion Udara Diraja Australia (RAAF) menemui dua objek itu berdekatan kawasan carian.

Ia juga menyatakan bahawa kapal HMAS Success sedang mendapat dan mengenal pasti objek itu.

Salah satu daripadanya dikatakan berwarna hijau atau kelabu dan berbentuk bulat manakala satu lagi jingga dan berbentuk segi empat tepat.

Dalam taklimat media semalam , pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, HMS Success dijangka mampu mendapatkan objek itu dalam tempoh beberapa jam atau paling lambat esok (HARI INI).


Apapun kemungkinan, hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas.

Sementara itu persidangan Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata negara menerima perkhabaran yang amat menyedihkan dan berharap keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu tabah dan cekal menerima takdir yang ditentukan.

"Saya bagi pihak ahli Dewan Rakyat dan Parlimen seluruhnya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan MH370.

"Kita berdoa moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh," katanya sebelum sesi persidangan Dewan Rakyat dimulakan di Kuala Lumpur. Pandikar Amin kemudian meminta ahli Parlimen berdiri sambil menghadiahkan suah al-Fatihah dan bertafakur selama seminit.

Monday, March 24, 2014

AZMIN GUNAKAN KEMENANGAN WAN AZIZAH SERANG KHALID…


"Beliau pernah menjadi ketua pembangkang wanita pertama dalam sejarah politik Malaysia. Malah memegang jawatan Ahli Parlimen selama tiga penggal...saya yakin beliau mampu memikul tanggungjawab baharu bersama-sama Adun Selangor yang lain," 
- Tim Presiden PKR, Azmin Ali

Orang paling gembira Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri )DUN) Kajang tidak lain dan tidak bukan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Ini kerana Azmin kini sudah mempunyai ‘senjata’ lebih berkesan untuk menyerang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ‘perangnya’ dengan Menteri Besar Selangor itu.

Azmin akan terus menyerang Khalid selepas ini untuk menjamin beliau melepaskan jawatan.

‘Langkah Kajang’ yang diatur oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun tergencat untuk dirirnya, tidak menghalang Azmin menggunakan kemenangan Wan Azizah untuknya meneruskan perjuangannya agar Menteri Besar Selangor digantikan

 Azmin dalam beberapa hari ini pastinya mengatur strategi sementara menunggu Wan Azizah mengangkat sumpah. Wan Azizah yang memenangi PRK N25 Kajang akan mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang baharu pada 7 April depan.

Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh berkata dengan pelantikan Wan Azizah itu, jumlah ADUN dalam kalangan wanita juga turut meningkat kepada 15 orang.

Wan Azizah yang diumumkan menang pada PRK N25 Kajang itu akan mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang baharu pada 7 April depan.

Wan Azizah mengalahkan lawannya, Datin Paduka Chew Mei Fun dari Barisan Nasional apabila meraihkan majoriti 5,379 undi.

Menggembirakan Azmi ialah kenyataan Anwar hari ini yang tidak menolak kemungkinan berlakunya perbincangan di peringkat pimpinan parti untuk melantik Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.

Walaupun tidak menyatakan secara langsung tetapi Anwar mengakui perbincangan untuk peralihan tampuk kerajaan negeri itu akan diadakan kelak.

"Hal itu mereka akan bincangkan melalui pimpinan negeri. Program Wan Azizah hari ini masih di Kajang. Langkah Kajang masih diteruskan yang mana Wan Azizah sekarang sudah menang di sana," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.


Spekulasi mengenai perubahan kerusi Menteri Besar Selangor kembali diperkatakan selepas PKR atau lebih tepat Wan Azizah berjaya memenangi pilihan raya kecil itu.

Kejayaan PKR menempatkan diri dalam DUN Selangor membuktikan Wan Azizah mempunyai kemampuan untuk meneruskan agenda 'langkah Kajang' yang dirancang parti itu.

Wan Azizah dikatakan mempunyai kelayakan untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu sekiranya menerima sokongan majorti ADUN Pakatan Rakyat di negeri itu.

Sebelum ini pada 15 Mac lalu, apabila diajukan soalan kepada Wan Azizah mengenai calon Menteri Besar Selangor, beliau menidakkan misi utama ‘Langkah Kajang’ bertujuan menukar Menteri Besar Selangor.

 Sebaliknya Wan Azizah yang juga Presiden PKR meminta soalan penukaran penukaran menteri besar itu diajukan kepada Azmin.

"Perkara ini kena tanya Azmin sendiri sebab itu kenyataan dia. Tapi pada saya jawatan itu tidak penting kerana niat saya hanya untuk berkhidmat dan memperkuatkan pasukan. Ada banyak perubahan dan pembaharuan yang kita boleh baiki dan itulah niat saya," katanya.

Wan Azizah pula pada 22 Mac lalu mengatakan beliau tidak berhasrat menjadi Menteri Besar Selangor jika ditakdirkan menang pilihan raya itu.

Baginya, beliau mahu memberikan kemenangan pada PRK selain mengatakanTan Sri Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar Selangor.

Wan Azizah menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini mengumumkan untuk bertanding di DUN Kajang selepas perletakan jawatan mengejut wakil rakyat kawasan itu, Lee Chin Cheh.

Bagaimanapun kelayakan Anwar untuk bertanding telah terlucut selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong berkata setakat ini tiada perbincangan dibuat berhubung hasrat untuk menukar Menteri Besar seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Fokus kita adalah menang dengan majoriti tinggi pada PRK Kajang kerana ia bukan sekadar PRK, sebaliknya satu referendum,” katanya.

Khalid pula enggan mengulas lanjut sama ada Wan Azizah akan menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor baharu sekiranya berjaya menjadi ADUN Kajang.

Malah menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini, fokus Pakatan Rakyat (Pakatan) pada ketika ini adalah untuk memastikan kerusi DUN Kajang ini terus kekal menjadi milik PKR.

"Kita belum buat apa keputusan.. kita menangkan Datuk Seri Wan Azizah. Sebarang pengumuman akan diumumkan kelak. Jangan buat spekulasi. Tak boleh (nak jawab sekarang)," kata Khalid pada 11 Mac lalu.

Dikatakan juga bahawa Ibu pejabat PKR sudah dua kali meminta Khalid menandatangani surat letak jawatan sebagai MB sejak bulan lalu, namun Khalid enggan berbuat demikian.

PKR mengambil pendirian rasmi bahawa soal kedudukan Khalid sebagai MB hanya akan diputuskan selepas Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin PKR termasuk Anwar sendiri telah mengeluarkan kenyataan membayangkan Ketua Pembangkang itu akan dicalonkan mengambil alih jawatan itu jika menang di Kajang. 

Namun impian Anwar untuk memecat Khalid tidak menjadi kenyataan apabila beliau disabitkan hukuman lima tahun penjara dan ia akan berkuat kuasa setelah keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan diketahui, kelak.

Bagi Azmin, dengan pengalaman Wan Azizah dalam politik, beliau yakin isteri kepada Ketua Pembangkang itu cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

"Beliau pernah menjadi ketua pembangkang wanita pertama dalam sejarah politik Malaysia. "Malah memegang jawatan Ahli Parlimen selama tiga penggal...saya yakin beliau mampu memikul tanggungjawab baharu bersama-sama Adun Selangor yang lain," katanya.

Menurut Azmin, agenda menerusi rancangan 'langkah Kajang' akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.

Kata ADUN Bukit Antarabangsa itu, tindakan lanjut mengenai 'Langkah Kajang' akan dibincangkan dalam masa terdekat bersama sekutu Pakatan Rakyat di Selangor.

Persoalan kini apakah pemimpin Pakatan di Selangor akan tunduk kepada formula Azmin dan Anwar itu?

Thursday, March 20, 2014

PENEMUAN DI LAUTAN HINDI BERWIBAWA, TAPI BELUM DAPAT DISAHKAN...


Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang memasuki hari ke-13 pada Khamis, menyaksikan pelbagai pihak tampil dengan teori dan gambar kononnya yang diperoleh menerusi rakaman satelit menunjukkan lokasi terakhir pesawat itu dilaporkan hilang.

Terbaharu, satu lagi imej dimuat naik dengan mendakwa bayangan dalam air yang dirakam oleh satelit merupakan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.

Berbeza dengan gambar lain, kali ini penerangan mengenai gambar tersebut lebih terperinci termasuk kedudukan pesawat itu ditemui.

Pesawat tersebut kini didakwa berada di dalam lautan di Selat Melaka iaitu lokasi terakhir penerbangan yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dikesan radar tentera.

Bagaimanapun tiada pihak yang tampil membuat pengesahan mengenai ketulenan gambar tersebut.

Sementara itu, penemuan dua objek di Lautan Hindi oleh pihak berkuasa Australia berwibawa, tetapi ia masih belum disahkan sebagai pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Laporan penemuan satelit tersebut adalah pemecah berita dalam usaha mencari dan menyelamat yang masuk hari ke-13.

Bagaimanapun, setiap petunjuk yang ditemui perlu disahkan kebenarannya bagi mengelak memberi sebarang harapan palsu kepada ahli keluarga penumpang MH370.

 "Penemuan tersebut berwibawa, tetapi ia masih belum disahkan dan dipastikan," kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Husseindalam sidang media yang padat dengan wartawan di Hotel Sama-Sama hari ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua dari kiri) bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (tiga dari kiri) di Hotel Sama-Sama bagi memberi taklimat kepada media.
Hishammuddin berkata "Ia supaya tidak memberi harapan palsu kepada keluarga penumpang. "Satu-satunya maklumat yang ahli keluarga seluruh dunia mahu, yang kami tidak ada adalah di mana lokasi pesawat itu," kata beliau.

Awal hari ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata tentera udara negara itu sedang menyiasat tentang kemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang itu ditemui di laut.

Ini berikutan penemuan dua imej satelit dengan saiz 24 meter (79 kaki) yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air.


Pihak berkuasa Malaysia Isnin lepas meminta Canberra mengambil tanggungjawab mencari di "Koridor Selatan" dalam usaha mencari Boeing 777 yang hilang pada pagi 8 Mac semasa perjalanan ke Beijing, China dengan 239 penumpang itu.

Kerajaan Malaysia percaya, pesawat itu secara sengaja ditukar hala tujunya dan terbang beberapa jam selepas keluar daripada laluan asalnya – sama ada ke utara Asia Tengah atau ke selatan di Lautan Hindi. 

Selepas mendapat maklumat tersebut, Hishammuddin memberitahu empat pesawat telah dikerahkan ke barat daya Perth yang berkeluasa 2,500 kilometer.

"Pesawat Tentera Udara Australia (RAAF), P-3 Orion tiba di lokasi sekitar jam 10.50 pagi. "Tiga lagi pesawat diarahkan ke kawasan tersebut, termasuk satu lagi pesawat RAAF, sebuah pesawat Orion daripada Tentera Udara New Zealand dan pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat, P-8 Poseidon.