Tuesday, January 7, 2014

HARUSSANI - JANGAN JADIKAN DEMONSTRASI TINDAKAN BIASA, JALAN PINTAS...


"Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga Muslim.Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh."
- Tan Sri Hasrussani Zakaria

Pemuda Pas menyatakan akan membuat laporan polis terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut.

Timbalan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti itu boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan nyawa warganegara.

Justeru katanya, Dewan Pemuda Pas di seluruh negara perlu mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap kenyataan yang dikeluarkan Harussani.

"Dewan Pemuda Pas di seluruh negara diarah membuat laporan polis secara serentak pada hari ini (semalam) atau esok (hari ini) (6 dan 7 Januari 2014).

"Saya berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan dengan menyiasat kenyataan beliau (Harussani) itu," katanya dalam satu kenyataan media yang turut menggesa Harussani menarik balik kenyataannya.

Media minggu lalu melaporkan Harussani sebagai berkata, peserta himpunan Turun pada 31 Disember 2013 yang lepas adalah 'bughah' dan halal darah mereka kerana disifatkan sebagai penderhaka kepada negara. Susulan itu, Harussani telah dikecam pelbagai pihak.

Namun mufti itu kemudiannya tampil menjelaskan, 'bughah' yang dimaksudkan beliau merujuk kepada demonstrasi pertama, iaitu 'guling kerajaan'.

Menurut Harussani, kenyataan berliau bersandarkan firman ALLAH menerusi surah al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud; ‘Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.’


Kenyataan Penuh Tan Sri Harussani Zakaria Mengenai Isu Bughah, Halal Darah (7 Jan 2014):

Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka “Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai “bughah” iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil.

Sementara di halaman 10 akhbar Berita Harian ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak dihalalkan golongan bughah”. 

Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu “bughah” dan demonstrasi.

Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan menjadi polemik dan kecelaruan kepada masyarakat.

Pada dasarnya, ianya adalah kenyataan daripada saya apabila ditemubual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah difokuskan hanya kepada isu demonstrasi “ Turun” sahaja.

Sedangkan terdapat isu lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru “ditiadakan” sebagai bahan berita.

Diizinkan ALLAH saya dapat menatap isu dan berita perihal demonstrasi setiap kali ianya dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia.

Setiap kali penganjuran demonstrasi dilaksanakan, maka saya akan dihubungi untuk memberi ulasan terhadapnya.


Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga Muslim.Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh.

Nasihat dan peringatan

Oleh yang demikian, selagi diberi amanah saya tidak akan berputus asa untuk menegur dan mendamaikan kedua-dua kumpulan yang merupakan saudara-saudara saya.

Sudah tentu ayat al Quran surah Al Hujurat ayat 9 menjadi panduan yang bermaksud : “…Dan jika dua puak dari orang-orang beriman berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya bersifat melampau (zalim), maka lawanlah puak yang melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika ia kembali patuh maka damaikanlah diantara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil…” .

Sebab penurunan ayat ini dengan satu riwayat daripadanya ialah perbalahan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Ubai yang menyemarakkan perbalahan dengan mengatakan bahawa kencing himar Rasulullah ketika Baginda SAW menziarahi Sa’ad bin Ubadah telah menyakiti beliau.

Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu berlaku sesama golongan ansar.( tafsir Ibn Juza) 

Saya berpandangan bahawa syarat “syaukah” yang sering dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan seperti yang terkandung dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab nihayatul Muhtaj.

Dalam kes Abu Bakar al Siddiq memerangi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata namun ia didokong oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan munasabah mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.

Pembentukan negara kita berasaskan sistem demokrasi berparlimen.

Rakyat diberi hak untuk menentukan pemimpin yang mereka kehendaki berdasarkan sistem pilihanraya. Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut untuk mencari mekanisme yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati kerana negara ini mempunyai instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat rakyat seperti Parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun mahkamah.

Tanpa menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dilaungkan namun, rantaian demonstrasi yang telah berlaku mencatatkan sebaliknya.

Telah timbul kebimbangan kepada rakyat di sekitarnya kerana kemudaratan lebih terhasil daripada manfaat. 

Larangan memberontak

Saya menekuni hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya akan timbul selepas aku sifat pentingkan diri ( daripada pemimpin-pemimpin kamu) dan perkara-perkara yang kamu ingkar ”.

Sahabat bertanya , “ Wahai Rasulullah! Apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab Baginda SAW “ Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan ke atas kamu dan mintalah hak kamu daripada ALLAH ”.

Imam Al Nawawi menyatakan bahawa terdapat dorongan di dalam hadis ini untuk dengar dan taat sekalipun pemerintah adalah zalim. Sebagai rakyat, seseorang itu perlu memberikan hak pemimpin iaitu ketaatan dan tidak memberontak, bahkan dia perlu merendahkan diri kepada ALLAH dalam usaha menghapuskan kemudaratan pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk membaikinya.

Ini bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara teguran terbaik adalah secara bersemuka. “Seafdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Daud) 

Antara adab penting yang wajib diambil kira dalam menasihati pemimpin ialah memberi nasihat secara sembunyi, bukan secara terang-terangan berdasarkan hadith: “Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah berkenaanh sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara terang-terangan tetapi hendaklah meminpin tangannya ke tempat yang sunyi sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah tercapai tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya orang yang memberi nasihat telahpun melaksanakan tugasnya.”(HR Imam Ahmad) 

Imam Ibnu Hajar Al Asqolani merakamkan dalam kitab Fathul Bari bahawa “ para Fuqaha telah sepakat atas kewajiban untuk mentaati pemimpin yang berkuasa dan untuk berjihad bersamanya.

Ketaatan kepadanya lebih baik daripada memberontak kerana dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan darah dan memberi ketenangan kepada orang ramai ”.

Belum pun ditinjau dari sudut istilah syara’, perkataan bagha dari sudut bahasa sudah pun membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad dan kezaliman. (Maqayis lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab).

Laporan Berita Harian hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya tentang kesan bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal tahun.


Jika dikatakan demonstrasi adalah cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai, maka saya fikir itu bukanlah cara yang bersesuaian kerana saya tidak rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.

Apa yang merisaukan saya adalah sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku.

Seperti dimaklumi, mekanisme menurunkan kerajaan secara aman telah disediakan secara terhormat dan demokratik serta telah terbukti mampu dibuat secara aman damai.

Buktinya ialah terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Kerisauan saya ini saya zahirkan dengan mengulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan bughat ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.


Semoga tanah air kita terselamat dari golongan ini dan menyelamatkan kita semua. Saya menyeru semua umat Islam berhati-hati dari terjebak menjadi ‘ayam laga’ kepada pihak-pihak yang berkepentingan melalui perkakas-perkakas media dan sebagainya kerana mereka sangat irihati jika umat Islam bersatu dan bersepakat.

Ingatlah pesanan dan ancaman Rasulullah SAW : Jika datang kepada kamu sekumpulan manusia dengan seorang pemimpin yang bertujuan untuk merobek kekuatan kamu dan memecahbelahkan Jemaah kamu maka bunuhlah ia. (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith ini sebagai peringatan serius Nabi SAW agar dikekalkan penyatuan ummah dan segala usaha memecahbelah umat patut ditangani secara tegas dan tuntas.

Kesimpulannya, sekiranya berlaku percanggahan pandangan terhadap isu ini , ianya merupakan pemahaman dan penilitian saya terhadap isu dan kaitannya dengan realiti semasa di negara ini.

Saya tiada niat lain kecuali mencari redha ALLAH dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.


Tuesday, December 31, 2013

PESTA TAHUN BARU - MINTALAH PANDANGAN AGAMAWAN...


Sudah berkali-kali isu mengenai sambutan Tahun Baru ini diperkatakan setiap akhir tahun.

Namun dari tahun ke tahun, selepas satu Perdana Menteri ke satu Perdana Menteri, ia tetap sama.

Tiada perubahan.

Alasan ialah kerana sambutan Tahun Baru untuk seluruh rakyat Malaysia dan menjadi tarikan pelancongan. 

Sejauh ini tidak ada pula disebut berapa belanja penganjuran sambutan dan apa pula untungnya dari segi pelancongan daripada pesta ini.

Sebagai rakyat, saya wajar menyatakan pendirian saya.

Saya menyokong penuh pendapat dua tokoh agamawan iaitu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman bahawa sambutan ini sepatutnya diisi dengan program kerohanian.

Kelmarin, Pemuda Umno juga mencadangkan kerajaan tidak menganjurkan sambutan ambang tahun baharu 2014 dengan konsert dan pertunjukan bunga api.

Sebaliknya, kehadiran tahun baharu lebih wajar diisi dengan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat di surau dan masjid seluruh negara.


Harussani mahukan pesta yang yang menjuruskan ke arah kemaksiatan patut dihentikan ketika sambutan tahun baharu dan perlu digantikan dengan acara keagamaan.

Menurutnya, adalah lebih baik kerajaan menyarankan semua penganut agama seluruh negara mengadakan upacara keagamaan di rumah ibadat masing-masing seperti yang dilaksanakan oleh perdana menteri pertama.

“Pada zaman Tunku Abdul Rahman (Al Haj), beliau meminta supaya setiap kali malam sambutan tahun baharu, penganut agama masing-masing berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan negara daripada malapetaka dan bencana alam

“Tapi sekarang, pesta maksiat yang diadakan bagi sambutan tahun baharu, ini yang menyedihkan. Sekiranya dapat dilaksanakan perkara tersebut, mungkin kegiatan maksiat dapat dielakkan,” katanya kelmarin.

Kata beliau, walaupun sebelum ini kerajaan pernah mengadakan program ceramah agama pada setiap kali malam tahun baharu, namun malangnya tidak mendapat sambutan.

Kerana kerajaan mesti patah semangat dengan usaha murni itu?

Sepatutnya kerajaan memupuk kembali apa yang telah kita tinggalkan supaya dapat mengembalikan suasana sambutan tahun baharu yang lebih keagamaan.

Ajar rakyat supaya mereka lebih mendekatkan diri dengan keagamaan supaya mereka tidak terlalu terdedah dengan aktiviti maksiat.

Dr Zaharuddin - sambutan tahun baharu sepatutnya mengingatkan kita tanggungjawab yang telah lepas dan apa yang perlu diperbaiki
Bagi Murshid, sambutan yang diselangi dengan konsert dan pertunjukan bunga api bukan saja tidak bersesuaian dengan landasan agama, malah dilihat tidak sensitif dengan keresahan rakyat yang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Dari sudut Islam, sambutan tahun baharu sepatutnya mengingatkan kita tanggungjawab yang telah lepas dan apa yang perlu diperbaiki

Dalam konteks itu, sudah tentu program meningkatkan kesedaran seperti kuliah agama perlu diutamakan. “Lebih-lebih lagi rakyat bakal berdepan dengan kenaikan kos sara hidup tahun depan. Jika tahun baharu disambut dengan pertunjukan bunga api, seolah-olah tidak peka dengan keresahan orang ramai,” kata Dr Zaharuddin.

Yang penting dipertimbangkan kerajaan ialah, setiap program yang diadakan perlu mengandungi pengisian yang dapat meningkatkan kualiti pemikiran masyarakat.

“Jika selama ini syarikat korporat menaja bunga api, mungkin mereka boleh mengubah tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu kepada program selawat, nasyid atau doa selamat.

“Program juga tidak semestinya berbentuk keagamaan, tetapi boleh dipelbagaikan seperti ceramah motivasi dan pengurusan kewangan. Kita mahu agar tahun baharu bukan sekadar sambutan, tetapi dapat mengajak masyarakat ke arah lebih baik,” katanya.

Cara demikian juga boleh mengurangkan masalah sosial yang sering dikaitkan dengan sambutan tahun baharu

Pertanyaan penting – APAKAH PEMIMPIN KERAJAAN TIDAK MERUJUK KEPADA PENDAPAT DAN PANDANGAN AGAMAWAN DALAM PERKARA INI?

Seperti kata Harrusani kerajaan sepatutnya bertemu dengan ketua semua agama dan mengarahkan mereka mengadakan program keagamaan di rumah ibadat masing-masing.

“Sekiranya kerajaan serius, rasanya boleh berbincang perkara ini dengan ketua agama masing-masing. Kita juga menunggu berita yang menggembirakan supaya tiada lagi pesta maksiat. Kalau mahu pun untuk menyambut tahun baharu, mungkin tidak perlu sambutan yang melalaikan kerana akan mendekatkan dengan perkara yang tidak baik,” tegas Harussani.

Sunday, December 22, 2013

MCA TENTUKAN NASIBNYA SAMA ADA MAJU, MUNDUR, BANGUN ATAU JATUH TERUS…

"Kita harus memastikan semua pemimpin dan anggota bekerjasama sebagai satu pasukan yang kuat, tanpa rasa dendam dan iri hati, bagi menjayakan program transformasi parti. Sebagai parti yang kuat, sudah pasti MCA akan mengembalikan era kegemilangan seterusnya meraih sokongan dan kepercayaan masyarakat khususnya kaum Cina."
 - Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai 

Masa untuk MCA memperbetulkan persepsi terhadapnya. Usia 60 tahun tidak wajar lagi membuat kesilapan atau membiarkan kelemahan menghantui kepimpinannya.

Sama ada persepsi terhadap pemimpin atau parti itu , MCA dikatakan menjadi antara punca 'kurang menyengatnya BN' pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.

Juga persepsi kononnya orang Cina menolak Barisan Nasional (BN) apabila banyak kerusi di bandar yang ditanding BN kecundang.

MCA mengalami pencapaian paling teruk dalam sejarah apabila hanya menang enam kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Parti itu bertanding masing-masing 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dun.

Ekoran kekalahan teruk itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengumumkan beliau tidak akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti itu yang berlangsung semalam (21 Disember 2013).

Keputusan itu dibuat sebagai menerima tanggungjawab atas kekalahan teruk MCA pada PRU lalu selain memberi laluan kepada generasi baharu untuk menerajui parti.

Ternyata di sini MCA, khususnya Chua mempunyai prinsip yang sewajarnya diteladani oleh parti-parti komponen BN lain, termasuk UMNO.

Mengambil tanggungjawab jika berlaku kegagalan dalam pilihan raya. Bukan menyalahkan orang lain atau menuding jari. Malah ada yang berlagak sebelum pilihan raya tetap mahu menegakkan benang basah...

Berikutan keputusan Dr Chua itu, pertembungan tiga penjuru pada pemilihan MCA, diadakan di Wisma MCA, semalam memilih Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menepati jangkaan apabila terpilih sebagai Presiden MCA yang baharu.

Tiong Lai berjaya mengenepikan lawannya, Gan Ping Sieu dan Datuk Seri Ong Tee Keat dengan memperolehi 1,186 undi. Liow memperoleh 1,186 undi mengatasi Gan Ping Sieu bekas naib presiden MCA (1,000 undi) dan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat (160 undi) dalam pertandingan tiga penjuru.

Sudah semestinya Tiong Lai berterima kasih kepada para perwakilan yang telah memilihnya.


Sebagai Presiden MCA yang baharu, Tiong Lai berikar akan menjadi pemimpin yang akan membawa imej parti itu ke arah fasa baru lebih cemerlang.

"Kita harus memastikan semua pemimpin dan anggota bekerjasama sebagai satu pasukan yang kuat, tanpa rasa dendam dan iri hati, bagi menjayakan program transformasi parti.

Sebagai parti yang kuat, sudah pasti MCA akan mengembalikan era kegemilangan seterusnya meraih sokongan dan kepercayaan masyarakat khususnya kaum Cina," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang jawatan tertinggi parti itu semalam.

Menyentuh mengenai langkah bagi membatalkan resolusi parti untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kabinet, katanya perkara itu akan dibincang pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat parti itu.

"Namun, perlembagaan parti akan digubal terlebih dahulu sebelum membenarkan keputusan itu dilaksanakan," katanya.

Semalam juga Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian persidangan menggariskan empat langkah yang perlu diambil MCA untuk mengembalikan kekuatan parti kedua paling kanan dalam Barisan Nasional (BN) itu

 Najib menyentuh pendekatan 'reunite', 'restrategies', 'reinvigorate' dan 'reestablish' dalam ucapannya dalam usaha mengembalikan kekuatan parti itu.

Beliau menasihatkan anggota MCA yang bakal memilih barisan kepimpinan utama mereka sempena Perhimpunan Agung Tahunan ke-60 MCA hari ini, perlu 'reunite' (bersatu semula) bagi mengelakkan perbalahan dan perpecahan.

"Setiap kali ada pertandingan, asyik berpecah, jadi MCA sebagai sebuah parti akan jadi lebih kecil pengaruhnya sebab sudah berpecah dan terus berpecah. Oleh itu, anggaplah ini sebagai mungkin seruan terakhir bagi MCA. Mungkin ini isyarat seruan terakhir daripada masyarakat Cina, bukan lagi satu panggilan untuk menyedarkan, ini adalah seruan terakhir bagi MCA oleh masyarakat Cina.

"Kita rapatkan barisan, yang menang dengan kemenangan besar, kalah dalam kekalahan yang santun dan menerimanya sebagai pertandingan dalam keluarga tanpa perasaan dendam," katanya.


MCA dinasihatkan menggunakan langkah kedua iaitu 'restrategise' (menyusun semula strategi) dengan melihat kembali kelemahan dan kekuatannya selepas prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Kita mesti terus yakin bahawa formula kongsi kuasa BN inilah formula terbaik di negara ini. Kerjasama antara kaum, Bumiputera, Cina dan lain-lain itulah yang mesti dijadikan pegangan kita. Kerana kalau tidak bersama-sama, saya khuatir masa depan negara.

Satu-satunya cara adalah untuk kita kembali kepada prinsip dan semangat nenek moyang kita yang masih relevan hari ini dan pada masa akan datang," katanya. Najib dengan jelas mengatakan pada perasmian persidangn itu bahawa BN tidak menghalang parti komponennya membuat sebarang tuntutan, tetapi ia perlu dibuat dalam konteks semangat dan prinsip perlembagaan negara.

"Apa yang kita rasakan perlu untuk komuniti, kita tak halang asalkan tak keterlaluan atau sakiti hati satu sama lain. BN pilih jalan bincang secara tertutup, tetapi apabila secara tertutup itu tidak bermakna MCA tidak memperjuangkan hak kaum Cina di negara ini.

Saya hargai sumbangan pemimpin-pemimpin MCA dalam bentuk dasar-dasar (atau) keputusan dalam negara (dan) saya nafikan apabila pembangkang mendakwa MCA tidak buat kerja atau beri sumbangan," kata Najib.

Sebagai langkah ketiga untuk 'reinvigorate', MCA perlu memulihkan semangat dan mencergaskan semula jentera parti itu Secara berseloroh Najib meminta MCA mengambil 'viagra politik' untuk mengembalikan semangat ahli parti yang semakin pudar. MCA bersama parti komponen lain perlu mengembalikan semula semangat yang telah hilang.

"Kita perlukan 'viagra politik'. Anda (MCA) sudah di bawah. Kita ada MCA, Umno dan parti komponen lain untuk mendapatkan kembali semangat itu," katanya yang disambut sorakan gemuruh perwakilan MCA.

"Kita minta Menteri Kesihatan berikan 'viagra' kepada kita untuk kukuhkan MCA sebagai parti pilihan masyarakat Cina dan juga untuk parti.

Tapi bergantung kepada kerja keras. Kita tak boleh janjikan pelbagai sebelum kita meraihnya atas usaha kerja keras," katanya. Sementara langkah terakhir iaitu 'reestablish' pula bermakna anggota MCA perlu bekerja keras bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Bagi Najib, MCA perlu bekerja bertungkus-lumus dan melaluinya beliau berdoa agar MCA akan kembali menjadi pilihan kaum Cina. Bagi Naib, tiada apa lagi yang lebih menggembirakan beliau selaku pengerusi BN melainkan MCA kembali menjadi pilihan orang Cina.


“Rayuan terakhir saya kepada anda, tolong laksanakan, sebagai rakan yang kuat bagi BN. Tinggalkanlah kepentingan diri anda, kepentingan diri tidak penting sebaliknya parti dan negara adalah segala-galanya," katanya.

Bagi Najib, perhimpunan agung MCA kali ini menentukan maju, mundur, bangun dan jatuh MCA pada ketika Umno dan rakan-rakan yang lain menganggap bahawa kekuatan MCA itu sangat penting dan kekuatan MCA boleh bantu kepada kekuatan BN pada keseluruhannya.

Ini bermakna kekuatan MCA sebanding dengan kekuatan BN, justeru, kelemahan MCA juga, membawa kepada kesan yang negatif kepada BN.

Pada perhimpunan semalam juga, Datuk Wee Ka Siong terpilih sebagai Timbalan Presiden MCA selepas menewaskan regu satu lawan satunya, Datuk Donald Lim dengan mendapat 1,408 undi berbanding hanya 927 undi diperoleh Lim.

Empat kerusi naib presiden pula berjaya disandang Datuk Lee Chee Leong, Datuk Hou Kok Chung, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Wei Fun selepas berjaya mengenepikan lima calon lain yang bertanding.

Chee Leong menang dengan 1,642 undi, Kok Chung (1,475), Tee Yong (1,343) dan Wei Fun (1,230). Bagi kerusi jawatankuasi pusat, ia telah diisi oleh 25 calon yang mendapat undi tertinggi daripada 58 calon bertanding.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Datuk Yik Phooi Hoong.

Sementara itu, laporan media memetik Ka Siong menyatakan hasratnya untuk menarik lebih ramai golongan belia menyertai parti bagi merealisasikan satu daripada transformasi iaitu meremajakan parti.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pesaingnya iaitu bekas Naib Presiden Datuk Donald Lim Siang Chai kerana telah berusaha keras dalam jawatankuasa lama sebelum pemilihan parti.

"Syukur kerana sepanjang kempen kami berdua tidak pernah bertelingkah dan melontar tomahan antara satu sama lain. Saya sangat menghormati Lim sebagai seorang veteran parti dan akan mendapatkan tunjuk ajar daripada beliau," katanya.

Dua daripada empat naib presiden, Datuk Chua Tee Yong and Datin Paduka Chew Mei Fun pula berikrar akan bekerjasama untuk menyegarkan semula parti untuk keluar daripada kesukaran dan menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan penuh keyakinan.

Sementara itu, Gan, seorang daripada dua calon presiden yang tewas, berkata beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka, serta menekankan semua anggota kini perlu memberi komitmen sepenuhnya bagi mengembalikan semula kecemerlangan parti itu.

Tuesday, December 10, 2013

SABASUN - PERJUANGAN DIN TURTLE SUDAH DI PENGHUJUNG JALAN?



Sebagai blogger yang sudah berusia dan berpengalaman, Blogger Din Turtle sepatutnya menyiasat dan jangan membuta tuli menimbulkan isu SABASUN di blognya.

Beliau sepatutnya dapatkan pandangan mereka lebih mengetahui mengenai isu ini bukan tulis memetik satu sumber yang berkepentingan.


Namun,  beliau jelas berpihak kepada satu sumber, sedangkan beberapa sumber (SINI, SINI, SINI)dan pihak lain turut memperkatakan isu ini.

Kini SABASUN MOHON MAAF.

1. SABASUN memohon maaf kepada MBKT dan Kerajaan Negeri di atas segala kekeliruan dan tohmahan yang timbul secara sedar atau tidak sedar.

2. SABASUN berjanji akan patuh kepada beberapa peraturan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan iaitu MBKT bagi membolehkan SABASUN mendapat CF untuk bangunan perniagaannya.

3. SABASUN berterima kasih kepada MBKT kerana meluluskan permit sementara supaya SABASUN dapat berniaga seperti biasa.

4. Pemilik SABASUN, Che Salmi Che Ibrahim mengakui MBKT prihatin terhadap usahawan Melayu di Kuala Terengganu dan tuduhan kepada MBKT sebelum ini.

5. Mengenai SABASUN 2 di Wakaf Tembesu, pengurusan SABASUN dimaklumkan urusan pengambilan tanah di luar bidang kuasa MBKT dan perkara itu dibawah Kerajaan Negeri iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

6. SABASUN akan membuat rayuan dan perbincangan bersama UPEN berkaitan perkara berbangkit di SABASUN 2.

7. SABASUN mengakui pihak UPEN telah menyatakan tanah milik SABASUN di Wakaf Tembesu akan diambil alih oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan membina Bandar Baru Perkasa Alam, bukan diberi atau dijual kepada pihak asing seperti didakwa sebelum ini.

8. Bandar Baru Perkasa Alam antara lain turut memfokuskan aktiviti peruncitan bumiputera selaras dengan perancangan mewujudkan Daerah Baru Kuala Nerus.

Sekarang siapa tersepit?

(Sebelum ini Din Turtle ‘berkonfrantasi’ dengan beberapa blogger ketika pilihan raya Kuala Besut apabila mengatakan blogger berkenaan mendapat layanan lebih istimewa).

SABASUN sudah minta maaf dan Din Turtle jika kena saman malu OLEH PIHAK YANG KENA TUDUH oleh beliau melalui penulisannya itu, siapa mahu bantunya?

Apakah cukup dengan Din Turtle mengatakan ‘Alhamdulillah .... akhirnya selesai juga masalah antara pihak Sabasun dan MBKT. Sememangnya niat saya membangkitkan isu ini bulan lepas adalah untuk menarik perhatian pihak MBKT supaya dapat diselesaikan perkara ini. BUKAN untuk menyalahkan sesiapa.’

Namun Din Turtle menambah: “ PS - Hmmm .... mungkinkah selepas ini kita buka Bahagian Kedua pula - Sabasun VS UPEN ? Hmmmmmmm ..... menarik juga nih.


 Apa makna selesai yang Din Turtle maksudkan?

Apakah dengan SABASUN minta maaf dianggap selesai?

Yang selesai untuk setakat ini SABASUN minta maaf buat kenyataan menyalahkah MBKT.

Mereka bersetuju BERSEMUKA. Itu sahaja.

Maknanya ada pintu perundingan. Selama ini pun MBKT ajak SABASUN berunding.

Bagaimana kalau perbincangan menjadi buntu dan masing-masing BERKERAS?


Banyak perkara tidak benar yang ditulis oleh Din Turtle.

Apakah beliau juga akan melakukan perkara sama dan MEMINTA MAAF secara terbuka kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, khususnya kepada Datuk Azlan Dagang?

Banyak kenyataan Din Turtle dalam blognya tetapi saya petik yang awal sahaja kerana hipotesisnya sudah tidak betul:



“Persoalan yang ingin ditimbulkan -Kenapa payah sangat pihak MBKT untuk bekerjasama dan membantu usaha peniaga Melayu ini yang telah terbukti mampu bersaing dengan nama2 besar seperti Giant dan Mydin ?

” Kenapa usahawan Melayu tempatan dianaktirikan berbanding orang luar seperti Mydin dan Giant yang pada mata kasar saya, begitu dimanjakan dan dipermudahkan urusan mereka ?

Saya harap isu ini mendapat perhatian mana2 pemimpin MELAYU yang mempunya kuasa atau pengaruh untuk bertindak. Jangan hanya pandai BERCAKAP tentang menolong orang Melayu tapi bila ada usahawan Melayu yang sanggup kedepan menerima cabaran, dia di cantas !”


1. Din Turtle sudah medakwa MBKT tidak bantu peniaga Melayu;

2. Din Turtle sudah mengaitkan Giant dan Mydin dengan dikatakan dimaja dan dipermudahkan urusan mereka. Mana Din Turtle tahu ‘mereka dapat jalan mudah’?

3. Siapa yang dituduh Din Turtle sebagai yang menganaktirikan usahawan Melayu berbanding orang luar? 4. Pemimpin Melayu – hanya pandai bercakap dan mencantas usahawan Melayu. Ini sebahagian sahaja perkara yang saya timbulkan dan pastinya blog Din Turtle akan dijengok namun penulisan beliau yang berpihak kepada PIHAK YANG KINI MEMINTA MAAF bagi saya tidak bertanggungjawab dan memusnahkan reputasinya sendiri.

Apakah Din Turtle ditaja seperti SABASUN yang sekali lagi menjadi penaja pasukan T-Team untuk 2014 sebanyak RM100,000? Saya tanya bukan TUDUH!

Dan kalau tidak ada penajaan khusus…Jangan-jangan Din Turtle ada AGENDA SENDIRI dengan MBKT atau pihak-pihak lain yang menyebabkan kenapa beliau beria benar memperjuangkan SABASUN ini. ( Ini juga pertanyaan bukan TUDUHAN).