Saturday, February 12, 2011

JEJANTAS - DAKWAAN PEMBANGKANG TERSASAR JAUH

Pembinaan jejantas berhawa dingin yang dilengkapi empat eskalator automatik serta lif untuk kegunaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) itu dibuat atas dasar tanggungjawab sosial korporat KLCC untuk keselesaan rakyat. Ia menggunakan bahan berkualiti tinggi, lengkap dengan ciri-ciri keselamatan seperti CCTV (kamera litar tertutup) yang dihubungkan terus kepada Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selain pemasangan jubin khusus untuk OKU.- Raja Nong Chik

Inilah tukang spin tak menjadi - Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan pembantu khas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua iaitu Rozan Azen.

Jom mari lihat jejantas menghubungkan KLCC dan Hotel Impian.

Siapa bikin? Mahal hooo…aircon dan mesti ini ada yang tidak kena. Kita kena tenguk Singapura, bagaimana ia boleh bikin murah!

Itu wakil rakyat Lembah Pantai ada sebut ia mahal. Mungkin dia sudah guna arkitek ke sapa ke untuk cari itu harga jejantas.

Berikutan itu YB Lembah Pantai mendesak Raja Nong dan Ahmad Fuad memberikan jawapan bagaimanakah kos pembangunan RM70,422 semeter bagi jejantas itu diputuskan?

1. Adakah wujud formula khusus yang menyimpulkan kos sebesar itu yang ditanggung oleh Petronas dan Prasarana, bukan sahaja melibatkan jejantas itu, tetapi juga jejantas-jejantas lain yang melibatkan Petronas dan Prasarana? tanyanya;

2. Menerusi laporan Belanjawan DBKL 2009, dinyatakan bahawa 72 jejantas pejalan kaki disediakan di bawah seliaan DBKL, manakala 35 buah lagi telah ditaja oleh syarikat swasta; dan,

3. Apakah status kesemua 107 jejantas pejalan kaki yang diumumkan bagi tahun 2009 itu? Berapa pula kos purata bagi penyelenggaraan jejantas-jejantas tersebut?

Pemimpin pembangkang nak cari salah orang lain, boleh spin. Tapi ingat, spin boleh tapi kalau silap spin boleh malu! Selain itu, silap spin juga membahayakan diri kerana boleh tersilap sasaran.

Seperti spin yang disiarkan Harakahdaily semalam yang mahukan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail memberikan jawapan tepat berhubung persoalan berbangkit berkaitan pembinaan jejantas berhawa dingin sepanjang 142 meter menghubungkan KLCC dengan Hotel Impian.

Jejantas hanya sepanjang 142 meter yang dilengkapi sistem penghawa dingin dan eksalator itu dibina dengan kos amat tinggi sehingga RM10 juta atau dengan nilai RM70,422 semeter, sehingga menimbulkan pelbagai persoalan kepada pelbagai pihak.

Nurul Izzah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim, siapa lagi?) ketika membuat desakan itu berkata, disebabkan kosnya yang terlalu tinggi, Raja Nong Chik dan Ahmad Fuad tidak sepatutnya berdiam diri bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai jumlah sebenar perbelanjaan jejantas itu.

Menurut beliau, disebabkan jejantas itu berhawa dingin dan melibatkan penggunaan elektrik, bagaimanakah pula dengan kos penyelenggaraan dan pendendaliannya pada masa depan yang pasti meningkat akibat peningkatan unit elektrik.

"Oleh kerana syarikat-syarikat terbabit berkaitan dengan kerajaan dan badan-badan kerajaan termasuk Petronas, KLCC Holdings Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Prasarana, adakah proses tender terbuka dilakukan dan apakah ada pilihan-pilihan yang lebih murah?" katanya.

Bercakap kepada pemberita di Jalan Pinang, semalam, beliau yang juga Naib Presiden PKR turut mengajak pelbagai pihak membuat perbandingan antara jejantas itu dengan jejantas di Singapura yang juga berhawa dingin, tetapi dibina di bawah tanah yang pasti melibatkan kos lebih tinggi dengan mengambil kira kos penggalian dan kos-kos lain.

"Pembinaan jejantas di Singapura diselenggarakan Perbadanan Pembangunan Semula Bandar (Urban Redevelopment Authority, URA. Syarikat swasta yang bertanggungjawab membina jejantas-jejantas di bandar tersebut dipilih menerusi sistem bidaan terbuka," katanya.

Kos pembinaan jejantas di Singapura juga, menurut beliau, dihadkan kepada $14,000 (RM33,400) untuk setiap meter persegi bagi pembinaan di tanah milik kerajaan di kawasan membeli-belah Orchard Road, berbanding kos pembinaan jejantas di KLCC bernilai secara purata RM70,422 semeter.

Bagusnya Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ini, dia terus memberikan jawapan segera, semalam.

1. Kos pembinaan jejantas yang menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan Hotel Impiana KLCC sepanjang 153 meter ialah RM10 juta;

2. Ia ditanggung sepenuhnya anak syarikat Petronas iaitu KLCC (Holdings) Sdn Bhd.;

3. Kerajaan tidak terbabit langsung dalam perkara itu, dan beliau serta Datuk Bandar Kuala Lumpur juga tidak ada kaitan langsung dalam pemilihan kontraktor.; dan

4. Pelantikan kontraktor pembinaan juga adalah melalui proses tender yang ketat dan 100 peratus dikendalikan oleh pihak KLCC.


Raja Nong Chik turut menjelaskan pembinaan jejantas berhawa dingin yang dilengkapi empat eskalator automatik serta lif untuk kegunaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) itu dibuat atas dasar tanggungjawab sosial korporat KLCC untuk keselesaan rakyat.

"Ia juga dibuat menggunakan bahan berkualiti tinggi, lengkap dengan ciri-ciri keselamatan seperti CCTV (kamera litar tertutup) yang dihubungkan terus kepada Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selain pemasangan jubin khusus untuk OKU," katanya.

Justeru, Raja Nong Chik berkata dakwaan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bahawa projek itu satu pembaziran serta menelan kos terlalu tinggi, adalah tidak berasas sama sekali.

Kan saya dah kata…buat penat je pergi lihat jejambat. Dah lah berpeluh berjalan dan buat sidang media, diri pula kena belasah.

Gaya sama je antara anak dengan bapak!


Friday, February 11, 2011

“KIPAS LE HAMBALI… KIPAS SI AWANG SELAMAT… BIAR TERSENGIH MAT SAID TU…”

Keratan rencana teganuku mengenai laporan Menteri Besar Terengganu akan bertindak keras terhadap pencuri bijih.

Saya terkejut juga apabila nama saya disebut dengan jelas dalam sebuah blog pemimpin tinggi Terengganu, Rabu lalu (9 Feb 2011) yang membicarakan mengenai langkah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mahu membanteras kegiatan curi bijih di Dungun.

Pada akhir entri bertajuk "Bila MB Mat Said Ganti Ar Tompel' pemimpin berkenaan menyebut: "Kipas le Hambali… Kipas si Awang Selamat.. biar tersengih Mat Said tu…

Pemimpin PAS Terengganu yang juga pemimpin PAS di Dungun itu bagaikah resah dan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mengenai isu berkenaan.

Apakah hanya kerana PAS pembangkang, usaha kerajaan negeri pimpinan Ahmad bersusaha mencegah perbuatan mencuri harta rakyat pun mahu dipersoalkan?

Malah, beliau menganggapnya sebagai berita lawak!

Apakah ia suatu berita lawak apabila kerajaan negeri menyatakan mahu mendakwa pencuri bijih di Bukit Besi dan ia direstui juga oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rabu lalu?

Pemimpin PAS Terengganu ini mempersoalkan tindakan Menteri Besar berdasarkan laporan teganuku apabila beliau memetik: “Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berang dan berjanji untuk mengheret mereka yang mencuri bijih besi sekitar kawasan lombong di Bukit Besi. Menghairankan, walaupun ada kejadian tetapi seolah-olah tiada laporan mengenai kejadian itu. Apakah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tidak pernah membuat laporan atau pihak polis tidak dapat bertindak kerana sebab-sebab tertentu?Difahamkan beliau bukan sahaja berang dengan kejadian tetapi pegawai dan mereka yang diberikan amanah menjaga kawasan itu kerana kegiatan perlombongan besar-besaran akan dilakukan tidak lama lagi.

Ini bukan kali pertama kejadian malah sebelum ini pun Menteri Besar sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Sebelum ini ada pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Dungun yang dipanggil ke Wisma Darul Iman untuk memberikan maklumat mengenai kejadian. Berikutan itu, beliau mengarahkan PTG supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut secepat mungkin supaya mereka yang terlibat didakwa dengan segera.

Selain itu beliau berikrar membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dengan kegiatan mencuri bijih di Lombong Bukit Besi Dungun.“Saya juga akan panggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasat kejadian ini (kecurian biji besi) katanya. "Selama ini bila berlaku penyelewengan orang ramai menyalahkan orang politik, tetapi dalam kes ini ia melibatkan pegawai (kakitangan kerajaan) yang yang tidak bertanggungjawab," ujar beliau.

Beliau berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat dalam jenayah tersebut kerana ia melibatkan harta awam. Ahmad Said menegaskan integriti perlu wujud bukan sahaja di kalangan orang politik tetapi juga meliputi pegawai takbir dan penjawat awam.

Ketika melawat kawasan lombong berkenaan semalam, tiada kelihatan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam bersama Menteri Besar dan begitu juga pada penyampaian e-Book kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi.”

Saiful Bahri dok kipas Tok Guru Nik Aziz ke?

Menurut Saiful Bahri, “ini satu lagi berita lawak. Betapa hebat si ketam nak ajar anak berjalan betul. Siasatan belum bermula, awal-awal lagi pegawai sudah dipersalahkan. Isu rasuah dan salah-guna kuasa Datuk Ahmad Said masih belum dibicarakan. Rakyat masih ingat sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan MB, bagaimana BPR ketika itu sibuk dengan fail salah-laku Mat Said.”

Tambah pemimpin PAS itu: “Hari ini beliaulah yang paling berintegriti kononnya… pirahhh!!! Nak jaga harta awam konon!!! Kalau melibatkan orang lain tak cukup tanah cari. Ke lubang cacing korek. Tapi kalau pimpinan UMNO… Tunggulah Rimau Mat Said bertanduk dulu…

Saiful Bahari, selain mempersoalkan kredibiliti Ahmad Said turut mengemukakan tiga perkara iaitu:

1. Siapa pemilik 3 syarikat yang dapat mengusahakan bijih-besi di Bukit Besi tu? Menurutnya, YB Bukit Besi sendiri pun tak tahu dan rakyat Dungun dan khususnya rakyat Bukit Besi juga ingin tahu.

2. Munasabah dah YB Din Adam boikot program MB. Calon memang konpem tak dapat dah. Team Deris katakan. Mat Said pergi berleter kat orang kampong Bukit Besi tu nak bagitau YB diorang tak buat kerja le tu… Adun pemalas. Lari dok Gong Badak bersemayam disinggah-sana mewah. Nak kipas le calon baru tu. Ketua Pemuda Bahagian kot. Ejas-ejas le kot tu…

3. Begitulah lakonan lawak pimpinan UMNO. Sama macam AR Tompel. Nak ambil tindakan undang-undanglah… nak report SPRM lah… nak bagitau betapa jujur & amanah le tu kononnya. Sedangkan rakyat semua sudah tahu. UMNO ni merupakan Parti MLM. Siapa diatas dialah dapat boucher serta bonus dan dividen besar. Rakyat yang dok galas dacing dan telan UMNO kat kampong tu.. dapat le asaaappp…

Nampak sangat sikap Saiful Bahri ini seperti ada dendam dan kebencian amat sangat kepada kerajaan pimpinan Ahmad Said apabila mempersoalkan tindakan untuk membawa mereka ke muka pengadilan.

Beliau seolah-olah tidak setuju dan tidak percaya Ahmad Said bersungguh-sungguh, sedangkan satu mesyuarat tertinggi diadakan pada pagi Selasa lalu apabila pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis turut dipanggil.

Ahmad Said sudah tidak boleh sabar sebab sudah banyak kali memberitahu pegawai di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Dungun bahawa isu kecurian bijih ini perlu diatasi segera kerana ia harta rakyat. Apakah menjaga harta rakyat bukan kewajipan dan dituntut oleh Islam?

Dengan membangkitkan isu Ahmad Said disiasat SPRM ketika mahu diangkat menjadi Menteri Besar, ini jawapannya:

1. Kalau ada kes, pastinya Ahmad Said dihadapkan ke mahkamah dan didakwa dan tidak jadilah beliau sebagai Menteri Besar;

2. Kalau ada kes kuat, pastinya pemimpin Putrajaya, termasuk Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO mengheretnya ke mahkamah; dan

3. Apakah istana yang melantik beliau itu ‘buta dan tuli’ itu sengaja memejamkan mata mahukan Ahmad Said membuta tuli? Apakah Saiful Bahri mencabar keputusan Sultan Mizan Zainal Abidin melantik Ahmad Said dengan mengatakan Tuanku tidak mengendahkan moral dan ‘keburukan’ Ahmad Said apabila merestui dan bersetuju melantiknya sebagai Menteri Besar?

Tanggapan Saiful Bahri terhadap Ahmad Said rasanya dibuat berdasarkan pertimbangan tidak adil apabila mengaitkan kenyataan Ahmad Said yang membawa pencuri pasir dan mereka yang bersekongkol dengannya ke muka pengadilan. Apakah tindakan Ahmad Said ini salah?

Atau apakah Saiful Bahri tahu siapa mereka dan cuba membela mereka?

Mengenai sama ada Datuk Din Adam tahu mengenai tiga syarikat yang melombong sekarang ini, saya tidak pasti. Itu antara Din dan Menteri Besar.

Tetapi apa yang berlaku pada hari Ahmad Said melawat lombong bijih itu dan penyampaian e-Book, Din memang tidak ada. Pada majlis yang sama tahun lalu, Din juga tidak ada.

Dan ironinya, ketika Ahmad Said melawat lombong pada Januari dan Ogos 2010, Din Adam selaku wakil rakyat Bukit Besi juga tidak ada.

Walaupun tidak ada, apakah Saiful Bahri mahu teganuku melaporkan Din hadir?

Perkara ini ditimbulkan kerana ketika penyampaian di beberapa kawasan lain yang ADUNnya sebelum ini dikatakan ‘tidak sebulu’ dengan Ahmad Said hadir. Ia termasuk di Ajil, Alor Limbat dan Paka.

Kenapa pula di Bukit Besi ADUNnya tidak ada. ‘Ustaz’ Saiful Bahri boleh tolong jawab bagi pihak Din?

MUST TERUMBANG AMBING, GERAN RM100 JUTA HANGUS?

Saya tertarik dengan laporan Malaysiakini bertajuk ‘Universiti swasta 'hilang' RM100j geran kerajaan’ dengan merujuk kepada Malaysian University of Science and Technologi (MUST).

Ia sepatutnya menjadi sebuah universiti terkemuka apabila bekerjasama dengan Massachusetts Institute of Technologi (MIT).

Mudahnya mereka mendapat geran dan mudah pula buat tidak tahu. Tidak ada laporan pun kerajaan bertindak walaupun dikatakan geran itu 'hilang'.

Saya mengetahui nama MUST apabila menyertai pasukan pekerja yang merancang dan melancarkan stesen televisyen ntv7 pada 1998 yang kini sudah dijual kepada Media Prima.

Ketika itu universiti berkenaan pada peringkat penubuhannya dan ia menjadi kenyataan pada 2001.

Universiti itu terletak di lot pejabat di Kelana Square, kerana rancangan awal untuk sebuah kampus melalui MUST Ehsan Development, ditangguhkan.

MUST Ehsan Development – ialah anak syarikat tersenarai Kumpulan Encorp yang dibiayai oleh Effendi yang sepatutnya membangunkan kawasan di sekitar tapak untuk kampus universiti tersebut di Shah Alam. Ini kerana pendapatan daripadanya perlu digunakan untuk membiayai pembinaan kampus dan aktiviti lain universiti tersebut.

MUST Ehsan Development mempunyai portfolio projek bernilai RM800 juta, termasuk projek pembangunan campuran yang digelar 'the Strand' di Kota Damansara. Namun, ia tidak ada apa-apa kaitan dengan Yayasan atau MUST.

Orang yang menggerakkan MUST ialah bekas menteri kabinet, Datuk Seri Effendi Norwawi, yang juga bekas pemilik ntv7, bekas taukeh tempat saya bekerja selama sembilan bulan tetapi saya tidak disambung kontrak di ntv7.

Walapun dalam pasukan menggerakkan ntv7 hingga ke peringkat pelancarannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) saya ‘tidak layak bekerja di stesen itu’ selepas berjaya dilancarkan pada 7 Julai 1998. Itu pandangan Effendi dan CEO ketika itu Shazaly Ramli.

Saya yang menulis draf ucapan alu-aluan dan menjalankan rakaman Tun Dr Mahathir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak), Datuk Yong Teck Lee (Ketua Menteri Sabah ketika itu) serta juga Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.

Malah, bukan saya sahaja tidak layak. Pak Mat Merican (Datuk Ahmad Merican) yang diangkat sendiri oleh Effendi menjadi penasihat sejak awal juga tidak layak seperti nasib pengurus tinggi lain (termasuk Malini Ismail), kerana hanya ada beberapa orang sahaja yang layak ketika itu dan pastinya yang paling layak - Shazaly.

Mengejutkan juga apabila mendengar MUST mendapat geran RM100 juta. Bagaimana kerajaan boleh percaya ia boleh berkembang dan mampu menjadi universiti terkemuka?

Menurut Malaysiakini, MUST menerima geran secara ansuran antara Januari 2001 dan 2006, menerusi MUST Ehsan Foundasan. Effendi telah menjadi pemegang amanah yayasan tersebut sejak tahun 2001.

Tetapi selepas 10 tahun berlalu, universiti tersebut masih jauh untuk mencapai sasaran tahun 2007 - untuk mendaftar 500 pelajar – tetapi hanya mampu memperolehi 207 pelajar.

Apakah semuanya ini?

Siapakah yang bertanggungjawab terhadap kegagalan ini? Apakah Effendi yang wajar dipersalahkan kerana dia adalah pemegang amanah yayasan?

Jika menurut Malaysiakini, MUST sebagai sebuah universiti swasta 'utama', ia kini tidak dapat memenuhi sasaran pendaftaran pelajar dan lebih memburukkan, hampir tidak cukup wang untuk bertahan setahun lagi.

Apakah jenis pengurusan yang dilaksanakan oleh MUST, khususnya pemegang amanahnya?

Kenapa kerajaan boleh berdiam diri sedangkan RM100 juta itu besar dan sudah satu dekad MUST tiada haluan?

Ketua pegawai eksekutifnya, Leong Choon Heng, mengakui bahawa universiti itu kini tinggal "kurang dari RM10 juta" dan terpaksa mengambil langkah pemotongan kos yang agresif untuk terus bertahan.

Lebih malang, sebahagian besar daripada pelajar tersebut merupakan mereka yang didaftarkan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran selepas universiti itu hanya mendaftar 10 pelajar pada 2007.

Ke arah manakah MUST dan wajarkah geran RM100 juta itu dilupakan begitu sahaja?

Sunday, February 6, 2011

USAHA MENYELAMATKAN RAKYAT,PELAJAR MALAYSIA WAJAR DIHARGAI

Sebahagian pelajar Malaysia memasuki pesawat TUDM C130 yang memuatkan kira-kira 200 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Cairo pada Sabtu. Foto BERNAMA

Saya sudah sebutkan sebelum ini. Pembangkang sengaja tidak menghargai dan memperkecilkan usaha kerajaan menyelamatkan rakyat dan pelajar Malaysia di Mesir.

Di Lumut semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan pihak pembangkang yang terus menjadikan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Mesir sebagai modal politik bagi meraih simpati rakyat.

Beliau berkata pembangkang hanya pandai membuat 'bising' dan mencari kesalahan serta kelemahan kerajaan sepanjang kerja-kerja memindahkan pelajar dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, giat dijalankan.

"Peranan mereka hanya setakat itu sahaja, jika pembangkang ikhlas, saya mencabar mereka supaya turut serta membantu menghulurkan sumbangan kepada rakyat Malaysia yang kini terperangkap di Mesir," katanya.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid kerana di Kelantan, kerajaan negeri hanya akan mengadakan kutipan derma bagi membantu pelajar Mesir hari ini. Ia akan dilakukan di sebuah pusat membeli belah di tengah bandar Kota Bharu.

Beberapa rain rentang menyebut, kutipan itu bagi meringankan beban pelajar berkenaan. Itulah sahaja yang boleh dilakukan kerajaan PAS walaupun sebelum ini mengatakan menyediakan peruntukan bagi tujuan itu.

Ini menggambarkan betapa pembangkang khususnya PAS tidak mampu untuk melakukan perkara yang lebih daripada hanya mengutip derma bagi tujuan ini.

Tidak terbukakah hati mereka untuk duduk berbincang dengan kerajaan Pusat mengatasi masalah bersama ini? Apakah tidak ada anak orang PAS belajar di Kaherah, Iskandariah atau juga Mansura?

Tidakah PAS melihat nyawa dan kemungkinan kehilangan ‘cerdik pandai’ itu sebagai sesuatu yang penting dan sewajarnya berganding bahu dengan usaha kerajaan Pusat semata-mata?

Janganlah terikat dengan kepentingan politik semata-mata dan termakan cakap Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mendakwa kerajaan serta Wiswa Putra lembab bertindak sehingga menimbulkan risiko terhadap nyawa rakyat Malaysia di negara bergolak itu.

Sejak 28 Jan lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar utama Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

Ahmad Zahid berkata pihak pembangkang sepatutnya memberi sumbangan bagi meringankan bebanan warga Malaysia yang terlibat seperti kemudahan tempat tidur, makanan dan tiket penerbangan.

Memang benar pandangan Ahmad Zahid ini kerana apabila timbulnya keadaan seperti ini sepatutnya semua pihak, termasuk rakyat perlu menghulurkan bantuan kepada kerajaan. Setidak-tidaknya kalaupun bukan duit, berikan sokongan moral, bukannya mengkritik kerajaan membabi buta.

Kelmarin tiga buah pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta masing-masing dua buah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Asia melakukan sebanyak 12 penerbangan ke Jeddah membawa warga Malaysia keluar dari Mesir.

Kini, tiga pesawat RMAF C-130, dua pesawat MAS B747 dan tiga pesawat AirAsia Airbus membabitkan A320, A330 dan A340 digunakan untuk membawa keluar rakyat Malaysia. Selain itu dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Bunga Mas 3 juga sudah dihantar ke Mesir untuk tujuan menyelamat.

Seperti kata Ahmad Zaid: "Itu bukannya satu tugas mudah...ia melibatkan lebih 12,000 rakyat Malaysia. Kita juga terikat dengan pelbagai karenah birokrasi di Mesir," jelasnya.

Soalnya juga, apakah kerajaan mengenakan sebarang tambah terhadap mereka? Bayangkan jika seorang dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk pulang, berapakah jumlah semuanya?

Isunya, kadar tambang dalam keadaan sekarang bukan seperti waktu biasa. Pastinya ketika ini jauh lebih mahal.

Pembangkang sewajarnya melihat bagaimana kerjasama erat antara kerajaan dan swasta berganding bahu ketika cemas begini, bukannya asyik menuding jari.

Usaha kerajaan tidak sekadar itu sahaja, malah solat hajat seluruh negara di masjid-masjid diadakan lepas solat Jumaat, kelmarin mendoakan keselamatan rakyat dan pelajar kita.

Harapan ialah operasi memindah keluar semua rakyat Malaysia terutamanya pelajar dari Mesir untuk ditempatkan di pusat transit di Jeddah dapat dilakukan sepenuhnya menjelang esok menyelesaikan pemindahan pelajar menjelang tengah hari esok diharapkan akan melegakan mereka yang terkandas serta keluarga mereka di Malaysia.

Hargai dan bersyukurlah dengan usaha bersungguh-sungguh kerajaan. Jangan jadi rakyat yang hanya tahu mengkritik sebaliknya tidak melakukan apa-apa. Menjadikan modal politik dalam kejadian seperti ini tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya lebih mendatangkan masalah daripada penyelesaian.

Terima kasih kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri yang proaktif dalam usaha ini. Tidak mengapa jika ada pihak memperkecil dan tidak menghargainya. Yang penting rakyat dan pelajar kita selamat dan Allah mengetahui usaha murni ini!