Thursday, December 9, 2010

PAS TERENGGANU SELEWENG KONSESI BALAK?

Tidakkah boleh SPRM melihat kes ini dan pihak terbabit – sama ada syarikat atau kerajaan negeri – wajar melaporkan kepada SPRM mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Ia sudah keputusan Mahkamah Tinggi. Persoalannya - ke mana wang yang dikutip dan dirampas itu digunakan? Siapa yang bertanggungjawab?

http://teganuku.blogspot.com/ (Tajuk asal : SPRM Wajar Siasat Penyelewengan Konsesi Balak PAS Terengganu)


Segala-galanya kerana angkara kerajaan PAS Terengganu pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memerintah antara 1999-2004. Walaupun tempoh sepenggal sahaja menjadi kerajaan namun kesannya bukan sahaja kepada rakyat tetapi kerajaan negeri apabila disaman RM1 bilion oleh syarikat Bumiputera kira-kira setahun sebelum kerajaan negeri itu lingkup.

Angkara apa?

Ia berkaitan konsesi balak yang tidak sah pada 2003. Malah, berikutan ‘tindakan zalim dan tidak profesional’ kerajaan PAS, syarikat berkenaan turut dibebani hutang lebih RM8 juta dengan kontraktor dan pembeli balak selain kerugian bayaran premium dilakukan.

Menariknya syarikat Bumiputera berkenaan - Riyapadu Sdn Bhd (Riyapadu) – menang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 12 November 2010 lalu dan gara-gara perbuatan kerajaan PAS Terengganu, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Ahmad Said pula terpaksa menanggung beban sebanyak RM1 bilion berkenaan.

Satu sidang media khas dijangka akan diadakan petang ini di Kuala Terengganu oleh pihak syarikat untuk mendedahkan penyelewengan ini. Pihak yang dikatakan ditipu dan menyerah wang kepada pihak tertentu dalam PAS Terengganu dijangka hadir.

Tunggu laporan mengenainya nanti.

Tetapi sebelum itu, apakah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengenai kes ini:

1. Kerajaan Negeri perlu memulangkan premium yang sudah dilunaskan oleh syarikat berkenaan dengan faedah 4 peratus setahun, mulai 2003;

2. Desposit perlu dikembalikan kepada syarikat (tiada jumlah dicatatkan); dan

3. Hasil hutan yang boleh diniagakan bagi Blok 3 ditolak dengan hasil jualan balak yang sudah diterima daripada Riyapadu sehingga 12 November 2009.

Menurut laporan Harian Metro 13 Disember 2007, writ saman berhubung penamatan konsesi balak secara tidak sah pada 2003 itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Terengganu melalui peguam, Sukhdev Singh Randhawa dan salinan writ itu diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Mokhtar Nong.

Sukhdev berkata, syarikat itu pada 3 April 2003 menandatangani perjanjian konsesi melalui tender terbuka mengambil hasil hutan di kawasan seluas 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Menurutnya, melalui perjanjian dengan kerajaan negeri yang ketika itu diperintah PAS, Riyapadu diberi kebenaran mengambil kayu balak dan hasil hutan di kawasan itu dan bersetuju membayar kerajaan negeri RM265 juta.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan PAS menjelaskan penebangan balak dan hasil hutan itu perlu dilakukan sebelum kawasan konsesi itu ditenggelami air bagi membina Empangan Kedua oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Pada 3 Julai 2003, Riyapadu dikejutkan dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Pengerusi TNB ketika itu, Datuk Dr Awang Adek Husin menafikan kawasan itu dibina empangan kedua.

“Berikutan kenyataan itu yang menafikan kenyataan kerajaan negeri pimpinan PAS bahawa empangan kedua akan dibina di kawasan itu mendedahkan Riyapadu kepada risiko berdepan masalah dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Selepas penafian itu, kerajaan negeri pimpinan PAS yang tidak memberi peluang kepada Riyapadu untuk mengadakan rundingan dan perbincangan membatalkan perjanjian konsesi itu serta-merta,” katanya ditemui selepas memfailkan writ saman itu.

Riyapadu ketika itu sudah membayar premium RM25 juta selain mengutus lebih 20 surat rasmi memohon perbincangan, namun Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan berbuat demikian, sebaliknya membatalkan konsesi itu.

Riyapadu membuat pembayaran premium kepada kerajaan negeri pimpinan PAS sebanyak RM20 juta pada 9 April 2003 dan RM5 juta lagi pada 5 Julai tahun sama. Riyapadu juga bersedia membayar baki premium melalui pembiayaan bank, namun apabila bank memohon pengesahan bertulis kawasan konsesi terletak dalam kawasan Empangan Kedua, kerajaan negeri enggan memberi kerjasama.

Lebih malang, menurut Harian Metro, selePAS menamatkan konsesi itu, kerajaan negeri pimpinan PAS bertindak merampas kayu balak yang sudah ditebang dan dilelong kepada pihak lain tanpa persetujuan syarikat.

Menurut Sukhdev: “Tindakan melelong itu membolehkan kerajaan negeri pimpinan PAS memperoleh hasil hampir RM10 juta selain bayaran premium dibayar syarikat sebanyak RM25 juta sebelum itu. Selain itu, kerajaan negeri turut merampas dan melelong kawasan konsesi lain di mana infrastruktur jalannya diusahakan Riyapadu walaupun deposit lesen sudah dibayar. Melalui tindakan itu, kerajaan negeri pimpinan PAS mendapat hasil hampir RM20 juta lagi melalui lelongan berkenaan.”

Amat jelas bahawa kerajaan PAS pimpinan Abdul Hadi meninggalkan ‘beban’ kepada kerajaan Ahmad Said yang terpaksa menggunakan wang rakyat bagi memenuhi tuntutan mahkamah itu.
Tidak pasal-pasal kerana kerajaan PAS yang tidak cekap mendatangkan pula ‘masalah besar’ kepada kerajaan negeri dan rakyat sewajarnya sedar tindakan PAS yang tidak bertanggungjawab ini.

Apakah tindakan PAS ini sebagai sesuatu yang wajar dipandang remeh?

Hakikatnya ‘tahi’ yang ditinggalkan PAS ini perlu dibersihkan oleh kerajaan BN dan mereka ini wajar diheret ke mahkamah kerana melakukan perbuatan yang jelas mempunyai ‘niat tidak baik’ terhadap syarikat berkenaan.

Tidakkah boleh SPRM melihat kes ini dan pihak terbabit – sama ada syarikat atau kerajaan negeri – wajar melaporkan kepada SPRM mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab ini?

Kemana wang yang dikutip dan dirampas itu digunakan? Siapa yang bertanggungjawab?


Yang nyata pemerintahan PAS Terengganu yang tidak cekap dan tidak telus menggambarkan betapa pemimpin yang mendakwa ‘Islam’ pun boleh gelap mata apabila berdepan dengan duit.

Rakyat Terengganu sewajarnya menilai dengan cermat dan penuh kesedaran bahawa perbuatan salah laku, penyelewengan dan sebagainya yang selama ini dituding kepada pemimpin UMNO dan BN sebenarnya boleh juga berlaku kepada mereka yang berjudah, bersarban dan sering takbir atau melaungkan ‘Allahu Akbar’

Wednesday, December 8, 2010

PERSOAL HAK ISTIMEWA MELAYU ADALAH DERHAKA

Amat malang kepada agama dan bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah. Jika ini dibiarkan, tidak ada maknanya lagi apabila bangsa di kemudian hari menghadapi sesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan...Barang dijauhkan Ilahi daripada berlaku... belajarlah daripada nasib malang yang telah menimpa umat terdahulu akibat daripada perpecahan. – Sultan Perak

Baca dan teliti tiga ucapan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sultan Pahang dan Sultan Perak.

Dalami maksud yang tersirat daripada ucapan tiga Raja Melayu ini sempena Maal Hijrah.
Intipatinya adalah berikut:

1. Sebarang suara yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan negara;

2. Jika ada kalangan orang Melayu yang melakukan mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di bumi ini, mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan kepada bangsa dan telah derhaka kepada bangsa sendiri;

3. Umat Islam dan orang Melayu hendaklah jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit;

4. keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan daripada segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelusok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan untuk dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara;

5. Keistimewaan akan hanya dapat dikekalkan jika keistimewaan itu terus dipelihara dengan prinsip dan asas perjuangan yang bersandarkan kepada sejarah bumi yang dipijak dan salahsilah langit yang sedang dijunjung;

6. Semua kaum haruslah saling memahami dan menghormati serta bertolak ansur demi keharmonian rakyat dan negara:

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mahu semua pihak tidak lagi membangkitkan isu-isu berkaitan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Titah baginda, meskipun orang Melayu mempunyai hak keistimewaan tersendiri namun hak-hak kaum lain tetap terpelihara.

"Tidak wajar perkara ini (hak orang Melayu) dibangkitkan. Dalam Perlembagaan hak-hak semua kaum telah dijelaskan termasuk kebebasan beragama. Semua diperuntukkan dalam Perlembagaan, orang Melayu dan bukan Melayu sudah diberi hak. Contohnya bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi atau agama Islam adalah agama rasmi tetapi penganut agama lain serta bangsa lain boleh mengguna atau mengamalkan bahasa serta agama mereka di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di Kuantan semalam.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, pula bertitah bahawa sebarang suara yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan negara.

Baginda menegaskan Orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka bangsanya sendiri.

Baginda bertitah, raja-raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisinya bahkan turut bertanggungjawab kepada agama dan bangsa.
Justeru tegas baginda, menjadi tanggungjawab raja-raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu untuk terus mempertahankan hak dan keistimewaan mereka daripada sebarang usaha menghakisnya.

''Sebarang suara mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di bumi ini, adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara. 'Jika ada kalangan orang Melayu yang melakukannya, mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan kepada bangsa dan telah derhaka kepada bangsa sendiri," titah baginda.

"Wasiat Raja-Raja Melayu adalah sebahagian daripada perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka. Raja-Raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisi takhta pemerintahan tetapi turut mewarisi tanggung jawab kepada agama dan bangsa, memastikan wasiat tersebut terus dijunjung.

"Umat Islam dan orang Melayu hendaklah jangan melakukan perbuatan mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit, takut-takut nanti umat Islam dan orang Melayu berakhir dengan keadaan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran lalu berdagang di tanah sendiri, laksana ayam kelaparan di kepuk dan itik kehausan di air," titah baginda semasa merasmikan Majlis Sambutan Ma'al Hijrah peringkat negeri Perak di Dewan Kolej Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Titah baginda, amat malang kepada agama dan bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah.

Baginda bertitah, jika ini dibiarkan, tidak ada maknanya lagi apabila bangsa di kemudian hari menghadapi sesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan.

"Barang dijauhkan Ilahi daripada berlaku...oleh itu wajib dijadikan pengajaran daripada peristiwa kejatuhan empayar dan sejarah keruntuhan pemerintahan Islam. Begitu juga kisah-kisah ketewasan tentera Islam dalam pelbagai peperangan...belajarlah daripada nasib malang yang telah menimpa umat terdahulu akibat daripada perpecahan," titah banginda.

Baginda menegaskan keistimewaan yang dinikmati umat Islam ini bukannya pipih datang melayang atau bulat datang menggolek kerana status agama Islam di negara ini mempunyai sejarah lama dan ketahanan umat Islam untuk tidak mudah dipesongkan daripada aqidah Islam adalah kerana telah dibina mekanisme secara perundangan untuk melindungi umat Islam daripada dipengaruhi oleh sebarang usaha dakyah.

"Sedarilah! Bahawa segala keistimewaan yang dimiliki oleh umat Islam di negara ini, adalah hasil daripada pemikiran yang dirumuskan secara strategik untuk memastikan bahawa umat Islam akan sentiasa dilindungi dan aktiviti Islam bukan sahaja dapat dikembangkan tetapi diberikan hak untuk mendapat pembiayaan negara," titah Sultan Azlan.

Baginda bertitah, keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan daripada segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelusok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan untuk dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara.

Titah baginda, pencapaian tersebut melambangkan manifestasi satu perjuangan asas yang kudus lagi suci yang meletakkan Islam pada martabat yang tinggi dan melindungi umat Islam dari sebarang usaha pemesongan.

Demikian tahap kejayaan perjuangan yang dapat dicapai melalui perpaduan ummah iatu perpaduan yang tidak dipisahkan oleh sempadan negeri, ideologi, profesion, disiplin pengajian atau status sosial mahupun status ekonomi, titahnya.

"Keistimewaan akan hanya dapat dikekalkan jika keistimewaan itu terus dipelihara dengan prinsip dan asas perjuangan yang bersandarkan kepada sejarah bumi yang dipijak dan salahsilah langit yang sedang dijunjung," tegas baginda.

Baginda turut berpesan agar sambutan Maal Hijrah dipenuhi dengan peringatan agar ummah dapat bermuhasabah untuk tidak mengulangi kesilapan, dapat bertawaduk untuk merendahkan ego diri serta sama-sama memohon Nur Illahi mencari jalan yang diredai.

Sementara Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pula bertitah supaya rakyat Malaysia tidak meruntuhkan perpaduan yang dibina hanya kerana memenuhi tuntutan segelintir pihak yang ekstrem dan rakus meraih keuntungan untuk kelompok sendiri.

"Perancangan pembangunan negara pasti akan terbantut sekiranya perpaduan dan keharmonian rakyat tidak dipertahankan bersama," titah baginda pada sambutan Ma'al Hijrah 1432 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Baginda bertitah, negara akan terdedah kepada kemunduran dan kehancuran sekiranya masyarakat saling curiga mencurigai serta saling bertelagah. "Adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan berjaya untuk diwarisi oleh anak-anak kita nanti," titah baginda.

Seri Paduka bertitah, untuk mencapai perpaduan yang diidamkan bukanlah satu yang mudah dan semua pihak harus memainkan peranan dan membuktikan keikhlasan bagi mencapai tujuan tersebut.

Baginda bertitah, semua kaum haruslah saling memahami dan menghormati serta bertolak ansur demi keharmonian rakyat dan negara.

"Bagi umat Islam, binalah ummah dan negara yang tercinta ini atas dasar iman dan ukhuwah yang erat. Ambillah pengajaran daripada peristiwa hijrah ini dengan penuh keinsafan dan mengharapkan keredaan Allah Subhanahu wata'ala," titah baginda.

Menyentuh mengenai peristiwa Hijrah, Tuanku Mizan bertitah peristiwa itu telah membawa perubahan dan transformasi positif pada sikap dan cara hidup umat Islam dan telah menggambarkan betapa perlunya pengorbanan dan usaha yang gigih dalam mencapai kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Umat Islam perlu mengambil contoh golongan Muhajirin dan Ansar yang sanggup mengorbankan kepentingan sendiri demi Islam, titah baginda.

Baginda bertitah, semua pengajaran ini akan tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya "kita terus leka dan hanya berbangga dengan pencapaian umat terdahulu sedangkan kita sendiri tidak pernah berubah untuk mencapai kejayaan."

Baginda juga berharap rakyat Malaysia dapat sentiasa berusaha mengekalkan perpaduan di negara ini, dan bagi umat Islam turut menghayati tema sambutan Ma'al Hijrah tahun ini iaitu "1Malaysia, 1Ummah."

Monday, December 6, 2010

ISU AIR – KHALID IBRAHIM BELAKANGKAN SULTAN SELANGOR?

Sultan Selangor sudah menulis beberapa surat kepada pemimpin Pusat dan negeri agar isu air ini diselesaikan. Baginda mahukan kepentingan negeri dan rakyat diberikan keutamaan.Baginda bimbang jika politik menguasai isu ini, Selangor terpaksa membayar harga yang mahal akibat daripada pertelingkahan ini.

Isu air di Selangor kini sudah sampai ke peringkat menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Kerajaan Selangor melalui Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam menyerahkan memorandum itu pada ketika dua pihak – Baju Merah dan Baju Hitam - mengadakan demonstrasi mengenai isu air dan isu penyelewengan kerajaan Selangor.

Persoalannya, pada ketika Sultan Selangor turut mengambil berat isu ini kenapa Menteri Besar Selangor tidak menghadap atau memohon perkenan Baginda membantu mengatasi masalah ini - sebaliknya terus kepada Yang di-Pertuan Agong?

Apakah Khalid merasakan Sultan Selangor tidak mengambil berat isu ini? Atau apakah Khalid merasakan Sultan Selangor tidak mempunyai ‘pengaruh’ dalam membantu mengatasi isu air di Selangor?

Semalam dalam temubual yang disiarkan The Star, Sultan Selangor memberi amaran negeri Selangor akan berdepan masalah air yang serius jika krisis air yang diakibatkan pertelingkahan antara kerajaan negeri dan Persekutuan (Pusat) berlanjutan.

Baginda bukan sekadar bimbang air paip ‘akan kering’ tetapi juga akan melibatkan bekalan kepada kilang. Jika keadaan ini berlaku apa jadi dengan industri di Selangor?

Apakah Selangor akan menerima nasib seperti Kelantan apabila pelabur enggan melabur di negeri berkenaan yang antara puncanya kerana beberapa kemudahan asas seperti bekalan air sentiasa tergencat

Rasional yang dinyatakan Sultan Selangor itu ada logiknya ketika kerajaan pimpinan Khalid merasakan bekalan air di negeri itu cukup sehingga 2019.

Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa kerana isu ini dipolitikkan, sedangkan Baginda tidak mahu rakyat Selangor menjadi mangsa jika ‘paip tidak lagi menitiskan airnya’.

“Isu ini sudah berlanjutan. Halangan perlu diatasi, “ titah Baginda dan menurut pembantu Sultan Selangor, Baginda begitu risau dengan masalah ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sumber istana, menurut The Star memaklumkan bahawa Sultan Selangor sudah menulis beberapa surat kepada pemimpin Pusat dan negeri agar isu air ini diselesaikan. Baginda mahukan kepentingan negeri dan rakyat diberikan keutamaan.

“Beta bimbang, jika politik menguasai isu ini, Selangor terpaksa membayar harga yang mahal kerana pertelingkahan ini,” titah Baginda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berkata kepentingan rakyat merupakan keutamaan pokok apabila menyelesaikan masalah penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

Dalam hal itu, katanya, semua pihak perlu mengenepikan kepentingan politik masing-masing kerana isu air merupakan masalah serius. "Kita perlu kerana masalahnya ialah kerajaan negeri dan ia mengambil pendirian berbeza mengenai masalah air. Ianya masalah amat serius," kata Najib.

"Kita harus mengenepikan isu-isu politik dan melihat lebih kepada
kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa Sultan Sharafuddin melahirkan kekecewaan dengan isu air di
negeri itu dipolitikkan.

Laporan Kajian Sumber Air Kebangsaan 2000-2050 meramalkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air menjelang akhir 2014. Laporan diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Pertelingkahan membabitkan cadangan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor iaitu bekalan air yang belum dirawat oleh Pahang kepada Selangor. Baca di sini untuk lebih jelas.

Di pihak Kerajaan Pahang, negeri itu sudah memulakan projek bagi kerja menghantar air sejak April. Apabila siap pada 2014, 1,890 juta liter air yang belum dibersihkan akan dipam dari Sungai Semantan ke pusat merawat (loji) air di Hulu Langat.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata Julai lalu, Kerajaan Pusat meminta Selangor memberikan kebenaran untuk membina loji merawat air Projek Langat 2 bernilai RM8.65 bilion.

Khalid dalam kenyataannya September lalu mengatakan Selangor tidak pernah menentang kepada projek Langat 2 sebaliknya mengatakan tidak perlu tergesa-gesa kerana Selangor meramalkan cukup air untuk memenuhi permintaan di negeri itu sehingga 2019.

Banyak pihak tertanya-tanya dengan sikap Khalid ini (baca di sini).

Pada 26 November lalu,Presiden Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu meminta Kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berbincang dan mencapai kata sepakat secepat mungkin bagi memastikan negeri itu tidak berdepan dengan krisis air pada masa depan.

Katanya, pertikaian demi pertikaian yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya merugikan rakyat.

"Ini bukan isu siapa menang siapa kalah dalam perlawanan melibatkan Menteri Besar dengan Pengerusi Syabas. Ini isu rakyat Selangor sebagai pengguna air di negeri ini. Ia juga tentang kepercayaan. Jika kita tidak percaya kepada orang sendiri, kepada siapa kita hendak percaya," katanya.

Marimuthu menambah, cadangan Syabas untuk menaikkan tarif air tidak perlu dipolitikkan kerana ia merupakan satu keperluan yang harus disegerakan.

Kenaikan kadar tarif air ini, jelasnya, perlu dilaksanakan demi menampung kos operasi untuk menjamin pembekalan air yang berkualiti serta berterusan di Selangor.

"Jika benar kerajaan negeri pentingkan rakyat, selesaikan masalah ini secepat mungkin supaya krisis air yang dijangka berlaku pada 2012 tidak akan berlaku," katanya.

Pada demonstrasi baju merah semalam, polis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ketika penyokong Kerajaan Selangor berarak ke Istana Negara.

Ini kerana beberapa orang dikatakan bertindak ganas terhadap anggota polis ketika cuba melepasi kawalan pihak keselamatan.

Khalid menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong. Difahamkan juga, Menteri Besar Selangor itu menaiki kereta yang diiringi oleh pihak polis menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Sebelum itu, Khalid membaca kandungan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Antara kandungan memorandum itu memohon Tuanku Mizan menitahkan hak air, yang kini dikendali Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dikembalikan kepada kerajaan negeri Selangor.

"Saya akan membuat offer-document menawarkan pembelian tersebut yang bernilai melebihi RM6 bilion kepada konsesi-konsesi yang menguruskan air," katanya.

Selain itu, memorandum berkenaan turut memohon Tuanku Mizan meneliti semula matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memahami keperluan untuk penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air secara holistik.

Penyelaras perhimpunan tersebut, Badrul Amin memberitahu yang menteri besar Selangor itu akan diiringi polis ke Istana Negara.

Khalid kemudiannya menyerahkan memorandum serta 150,000 tandatangan kepada wakil Istana Negara. Menurut exco kerajaan Selangor, Teresa Kok, pihak polis tidak membenarkan mereka mengambil gambar.

Pada kira-kira jam 2.45 petang, polis mengarahkan kira-kira 2,000 penyokong baju merah yang masih berhimpun di Masjid Negara supaya bersurai. Apabila mereka tidak bergerak, kira-kira 300 anggota polis bergerak ke arah masjid untuk menyuraikan mereka.

Sebelum itu, penyokong baju merah mula berhimpun di Masjid Negara mulai jam 11 pagi dan sehingga jam 1 tengahari tadi, lebih 1,000 orang yang memakai baju merah di lihat di sekitar kawasan masjid.

Turut kelihatan ialah beberapa pemimpin Pakatan, antaranya timbalan presiden PKR, Azmin Ali; pengarah strategik PKR, Tian Chua dan pemimpn PAS, Dr Zulkefly Ahmad serta timbalan ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Pada satu lagi perhimpunan oleh kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) atau kumpulan baju hitam bagi menyerahkan memorandum mengenai penyelewengan kerajaan Selangor di Stadium Merdeka, berakhir dengan suasana aman.

Perhimpunan bermula jam 11.40 pagi Dan berakhir kira-kira jam 12.15 tengah hari tanpa kejadian tidak diingini berlaku.

Polis yang mengawal keadaan sehinggalah wakil kumpulan terbabit menyerahkan memorandum itu ke pejabat Istana Negara sebelum bersurai. Mereka yang berkumpul itu kebanyakannya wanita dan golongan muda dengan berbaju hitam sambil melaungkan `1Malaysia' dan 'Daulat Tuanku'.

Namun rancangan awal mereka untuk bersama ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mengandungi dakwaan penyelewengan oleh kerajaan Selangor dibatalkan dipercayai atas nasihat polis.

Pengerusi Gaps, Hamidzun Khairuddin pada sidang akhbarnya berkata pihaknya menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong meminta supaya dapat dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja agar kepincangan itu dapat diatasi.

Apakah Yang di-Pertuan Agong akan melayani memorandum Khalid itu tanpa merujuk kepada Sultan Selangor?

Juga apakah Sultan Selangor akan membiarkan Khalid bertindak tanpa merujuk kepada Baginda dalam isu ini sedangkan Baginda amat prihatin terhadap masalah air ini?

Sunday, December 5, 2010

NAJIB –PERTAHANKAN PUTRAJAYA DEMI RAKYAT

Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan di Konvensyen Barisan Nasional di Dewan MCA, Kuala Lumpur, pagi ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mengingatkan anggota parti itu terus mengukuhkan setiap parti komponennya dan memastikan supaya pentadbiran Putrajaya dapat dikekalkan di bawah parti itu.

Beliau mahu anggota parti dalam BN tidak mudah terleka dan terpesona dengan kejayaan awal yang ditunjukkan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil selepas Mac 2008.

"Berbanding pilihan raya umum 2008, BN yang cuba dimomok sebagai sudah suram, Alhamdulillah kini nampaknya semakin hari sudah semakin pulih," katanya dalam ucapan dasar di konvensyen BN di ibunegara hari ini.

Jelasnya, kejayaan awal itu perlu dijadikan asas kepada kemenangan yang lebih memberangsangkan.

Perdana Menteri berkata anggota BN perlu menghakis gejala penyakit khayal, lupa diri, jumud dan angkuh dalam usaha menambat hati rakyat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu dan Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan menghadiri majlis makan malam bersama-sama di kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya. Lebih 2,000 wakil Barisan Nasional hadir pada majlis itu bersempena dengan konvensyen BN.

"Kita mesti mengelak, mengikis dan membuang jauh empat gejala penyakit itu sebelum rasa sayang rakyat terhadap BN berubah menjadi benci, harapan mereka menjadi kemarahan dan sokongan rakyat bertukar menjadi penentangan," kata Najib yang juga Pengerusi BN.

Najib berkata semua gejala penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah.

Menurut Najib lagi, "angan-angan" 16 September yang dicanang oleh Pakatan Rakyat sebagai tarikh untuk merampas Putrajaya juga kini diketahui sebagai "satu pembohongan terbesar dalam sejarah politik tanahair."

"Walau apa pun terjadi, kita perlu pertahankan Putrajaya bukan kerana ego atau kepentingan diri yang sempit, akan tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," tambah Najib.

Dalam ucapan itu juga, Najib mengingatkan anggota BN supaya mempertahankan penguasaan parti itu daripada kemaraan parti pembangkang yang "hanya ingin memenuhi nafsu serakah dan tamakkan kuasa."

"Kita tahu mereka teringin sangat nak ada pejabat di Putrajaya, teringin sangat nak tinggal di Seri Perdana. Kerana itulah mereka sanggup berbuat apapun. Kalau teringin sahaja tak apa, tapi teringin sangat, itu yang bahaya," katanya yang disambut ketawa sinis hadirin.

Katanya, beliau menyedari empat penyakit lazim sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa. Hakikatnya, parti yang terlampau berkuasa jarang melakukan muhasabah terhadap kelemahan diri, katanya dalam ucapan amanat dasar di Konvensyen BN 2010 di Dewan San Choon, Wisma MCA di Kuala Lumpur pagi ini.

Dalam amanat bertema "Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat" itu, Perdana Menteri berkata penyakit khayalan kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan, manakala kelupaan kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal.

Yang ketiga, penyakit kejumudan yang terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan dan seterusnya penyakit angkuh yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran ramai, katanya.

Najib berkata untuk bangun kembali, BN mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan tersebut secara konsisten.

"Itulah yang sedang kita usaha dan sedang kita lakukan. Barulah nanti akan memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan," katanya.

Katanya bukan sekadar cukup dengan persepsi positif, akan tetapi kepercayaan sebenar rakyat terhadap BN perlulah terus dipupuk dan dibaja dengan jalan bekerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh.

"Maka, saya ingin sentiasa mengingatkan bahawa kejayaan-kejayaan awal ini perlu dijadikan asas kemenangan yang lebih memberangsangkan kelak. Dalam kata lain, jangan kita leka dan mudah terpesona. Sifirnya, untuk BN terus menerajui kepimpinan negara dan negeri-negeri, setiap parti komponen perlu diperkukuh dan diperkuat," katanya.

Najib berkata berbanding pilihan raya umum 2008, di mana BN yang cuba dimomok-momokkan sebagai sudah suram, kini nampaknya semakin hari sudah semakin pulih.

"Begitulah episod merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri Galas telah meraih kemenangan besar. Serentak dengan itu, kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi mengaut majoriti, hampir sekali ganda, menunjukkan sokongan rakyat kepada kita telah berputik dan mekar kembali.

"Pokok pangkalnya, BN telah sentiasa mendahulukan rakyat dan mampu mengota apa yang dijanjikan kepada rakyat, sekaligus mengangkat negara ke satu tahap yang sungguh menbanggakan.

"Dari dahulu sampailah sekarang dan mudah-mudahan dengan izin Tuhan hingga selamanya, suara Barisan Nasional adalah suara keramat rakyat, berbicara dan berganding atas nama rakyat. Dari Perlis sampailah Sabah, BN menjiwai degupan sanubari dan hati rakyat, menjadi penyambung rasa, penyambung cita-cita, penyambung lidah serta aspirasi rakyat Malaysia," katanya.

Dalam ucapan hampir sejam itu yang sentiasa mendapat tepukan gemuruh perwakilan, Najib juga berkata antara nilai paling penting yang mengukuhkan BN adalah sifat kebijaksanaan, keikhlasan dan kemampuan parti pemrintah itu untuk memimpin berbekalkan wawasan serta kepentingan yang jauh lebih besar," katanya.

Najib berkata kepentingan itu adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang aman, stabil, maju lagi makmur di mana semua orang dapat membina kehidupan yang bahagia.

"Jelas sekali, orang lain hanya mampu memperdagangkan mimpi, mencanangkan angan-angan, mencetak khayalan, walhal parti kitalah sebenarnya menjadi barisan pejuang tulen untuk rakyat, yang berpasak di bumi, bersandarkan perancangan jitu, serta pelaksanaan kerja yang tersusun," katanya.

Menurutnya BN berjaya merubah sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

Dalam hal ini, katanya, BN bukan sahaja berjaya menguruskan sebuah negara pelbagai kaum dengan baik malah dapat memajukan bidang sosio ekonomi serta memastikan keselamatan serta ketenteraman nasional.

Najib berkata bahawa sejarah menunjukkan BN tidak pernah sesekali mengapi-apikan sentimen perkauman atau menjadikan rasisme teras pengurusan perhubungan kaum di negara ini.

"Di Malaysia semenjak merdeka, kerajaan tidak pun menjadikan isu kaum dan warna kulit sebagai alasan untuk mengehadkan hak kelayakan mendaftar mengundi. Apatah lagi, bagi menentukan tempat duduk di restoran dan kenderaan awam, serta mengasingkan penggunaan bilik air, sebagaimana berlaku di negara-negara lain," katanya.

Justeru itu, katanya, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menafikan peranan BN sebagai parti pelbagai kaum sebenar yang memperjuangkan kesejahteraan hidup antara kaum di Malaysia selama ini.

"Kita dianggotai oleh pelbagai jenis parti berasaskan kaum dan ada bersifat pelbagai kaum. Bersatu dan bersama mewakili kepentingan semua pihak. Sedangkan di pihak pembangkang, tidak terjamin suara kaum minoriti akan sampai ke peringkat perbincangan kepimpinan tertinggi mereka, hanya kerana mereka tidak diwakili secukupnya," kata Najib.

Najib berkata konvensyen kali ini yang berlangsung di Wisma MCA, sebagai satu tanda bahawa "kita adalah rakan kongsi yang komited dalam usaha untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia".

Katanya pemimpin-pemimpin terdahulu telah merintis warisan paling agung yakni mekanisme perkongsian kuasa dan kerjasama politik antara kaum yang telah terbukti paling berkesan, paling praktikal dan kekal merentasi masa.

Mengimbas sejarah daripada Perikatan kepada BN, Najib berkata malah ada parti-parti yang dahulunya sebagai pembangkang, telah mengiktiraf dan memilih jalan ke arah kesatuan nasional.

"Ini kerana, mereka mempercayai bahawa masa depan negara yang terjamin hanya mampu dibela oleh BN. Selanjutnya, BN juga mengembangkan keanggotaan kepada parti-parti di Sabah dan Sarawak, sekali gus menjelmakan era baru integrasi kebangsaan apabila BN menjadi jambatan politik yang merantau jauh, merentasi Laut China Selatan," katanya.

Katanya, harus dibanggakan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar.

Dalam menyentuh program transformasi politik, Najib menggariskan antara contoh terkini adalah perubahan bersejarah dalam BN sejak ia ditubuhkan iaitu berkaitan keanggotaan.

BN bersetuju mewujudkan empat jenis keanggotaan baru -- keanggotaan secara bersekutu, secara bergabung, rakan BN dan kelab Rakan Muda BN.

"Kita akan terus bergerak dan berusaha agar dasar keahlian terus BN ini akan menjadi realiti yang membawa manfaat kepada parti dan rakyat," katanya.

"Kesimpulan yang boleh dibuat, BN adalah parti yang bertanggungjawab...BN adalah parti yang melaksanakan amanah rakyat dan BN adalah parti di mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan pengharapan," kata Najib.