Saturday, August 28, 2010

JANGAN MARAHKAN BUKAN ISLAM…YANG SALAH PENGURUSAN SURAU

Saya tidak bersetuju jika kita mempersalahkan mana-mana pemimpin Cina dan bukan Islam yang berani naik hingga ke ruang solat atau sehingga mimbar masjid memberikan ‘tazkirah’.

Saya yakin ia bukan satu kejadian tetapi banyak kejadian di beberapa negeri yang diperintah pakatan pembangkang. Sudah pasti akan ada banyak lagi pendedahan mengenainya selepas ini.

Bagi saya sesiapa juga yang bukan Islam akan mengambil peluang untuk naik ke masjid jika dibiar atau dibenarkan.

Seperti juga kepala kita…jika kita biarkan ia dipijak maka orang akan pijak kepala kita tetapi jika tidak memberikan peluang langsung, orang akan menghormati dan mereka tidak akan berani memijak kepala kita.

Dalam konteks ‘tazkirah oleh pemimpin Cina dan bukan Islam’ ini, yang salah ialah pengurusan masjid dan pihak atau parti yang ‘menaja’ pemimpin Cina dan bukan Islam itu sampai menyampaikan ‘tazkirah’.

Memang wajar jika Sultan Selangor murka dan dukacita dengan tindakan sebuah surau di Kajang membenarkan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hingga memberikan ‘tazkirah’ di surau itu Ahad lalu.

Dilaporkan hari ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah amat murka dan dukacita terhadap tindakan sebuah surau di Kajang itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, setelah memanggil pihak pengurusan surau itu memberikan penjelasan pada hari ini, Mais mendapati bahawa ucapan oleh Nie Ching di dalam dewan solat di Surau Al-Huda, Kajang berlaku seperti dilaporkan.

Sehubungan itu, tambahnya, MAIS diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap surau itu, termasuk mengambil alih surau dan menguruskan pentadbirannya dengan serta merta kerana insiden itu jelas bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

"MAIS memandang serius berhubung isu ini memandangkan ini merupakan kes kedua seumpamanya yang melibatkan ahli politik dan orang bukan Islam memberikan ucapan di dalam masjid/surau di negeri Selangor," kata Mohamad Adzib.

Menghairankan sedikit kenapa MAIS mahu menghantar surat amaran kepada Nie Ching dari DAP yang dilaporkan menyampaikan ceramah di ruang solat Surau Al-Huda di Kajang Sentral itu.

"MAIS sudah memanggil pengurusan surau berkenaan semalam untuk menjelaskan isu itu. Selepas meneliti penjelasan daripada pihak terbabit, MAIS mendapati bahawa ucapan Ahli Parlimen itu di dalam dewan solat surau berlaku seperti yang dilaporkan,” katanya.

Mohamad Adzib berkata, MAIS juga akan memberikan surat amaran kepada Teo supaya mengambil perhatian terhadap perkara itu dan tidak mengulangi lagi.

"MAIS juga mengingatkan mana-mana wakil rakyat bukan Islam untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama dan tidak menggunakan masjid/surau," katan Mohamad Adzib.

"Pihak MAIS juga menggesa supaya semua pihak termasuk parti-parti politik agar lebih sensitif kepada perasaan umat Islam amnya dan hendaklah menjunjung titah perintah DYMM Sultan Selangor bagi menjaga kesucian institusi masjid dan surau di negeri Selangor, " kata Mohamad Adzib.

Memang benar tindakan Nie Ching itu menyebabkan Sultan Selangor, murka dan berdukacita tetapi Baginda mengarahkan MAIS supaya mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pengurusan surau terbabit.

Jadi tidak timbul sampai mahu ‘menghukum’ Nie Ching dan benar kata-katanya dia tidak faham kenapa kunjungannya ke sebuah surau di Kajang Ahad lalu menjadi kontroversi dan "dipermainkan-mainkan" kerana beliau berniat ikhlas.

"Kunjungan ke surau Al Huda, Kajang adalah satu lawatan yang mesra, (dan) ikhlas untuk berjumpa dengan penduduk di situ. Mereka menerima kehadiran saya.

"Saya tidak faham mengapa kunjungan biasa ini dipermain-mainkan," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyifatkan tindakan Teo (kiri) menyampaikan 'tazkirah' di masjid sebagai tidak wajar.

Nie Ching berkata beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar, seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.

Manakala ucapannya di dalam surau tersebut, jelas Teo, tidak menyentuh langsung soal politik, tetapi sebaliknya hanya menerangkan tentang bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor.

Dengan jelas, beliau menyebut bahawa kemasukannya ke dalam ruang solat utama di surau itu hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk. Saya double check sama ada boleh masuk atau pun tidak.

"Saya sudah mendapat keizinan daripada pihak surau untuk masuk ke dalam surau. Muslimin dan muslimat pun, mereka menjemput saya masuk," jelasnya lagi.

Katanya, tarikh dan masa kunjungannya selepas solat Tarawih itu, juga ditentukan oleh pihak surau berkenaan. Ditanya kenapa beliau tidak memakai tudung ketika memasuki surau, Teo yang juga timbalan ketua publisiti DAP menjelaskan:

"Saya tidak dinasihatkan oleh (pihak) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu. Pada kebiasaannya saya hanya berada di luar surau sahaja. Ini bukan kali pertama saya ke surau itu. Sebelum ini saya berada di luar," katanya yang sudah mengunjungi beberapa surau sepanjang Ramadan yang bermula 11 Ogos lalu.

Membaca kenyataan ini amat jelas pihak pengurusan surau yang patut dipertanggungjawabkan.

Dengan menyalah atau mengutuk bukan Islam memasuki masjid tidak akan membawa imej baik kepada agama Islam sebaliknya semakin menjauhkan mereka.

Yang penting adab memasuki masjid dipelihara dan jawatankuasa surau atau masjid perlu tahu peranan mereka.

KEWARGANEGARAAN BUKAN HAK TETAPI ANUGERAH

Pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia merupakan satu anugerah tertinggi kepada warga asing.

Dengan kata lain ia bukan merupakan satu hak yang boleh dituntut oleh mana-mana individu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata kementeriannya memandang serius dan sentiasa berhati-hati dalam mempertimbangkan setiap permohonan kewarganegaraan seseorang itu.

"Ini adalah penting bagi memastikan hanya mereka yang betul-betul memahami dan mendalami budaya masyarakat Malaysia serta berkelakuan baik sahaja yang dianugerahkan taraf kewarganegaraan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas lagi nyata. Ini membuktikan bahawa setiap mereka yang menjadi warganegara di Malaysia ini mendapat anugerah tertinggi yang tidak ternilai harga, apa lagi di kalangan warga asing.

Kenyataan Chee Leong yang disairkan Bernama itu dikeluarkan susulan kepada kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkaitan kira-kira 25,751 pemegang kad pengenalan merah yang masih belum menerima status warganegara.

Kenyataan Chee Leong ini jika dilihat dalam struktur MCA, ia adalah jawapan kepada bosnya, kerana Chee Leong ialah AJK Pusat MCA.

Apakah Chee Leong akan berada dalam keadaan tersepit dalam isu dan tugasan oleh MCA mengenai perkara ini?

Kelmarin, MCA mengatakan akan mengutarakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengiktiraf taraf kewarganegaraan kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan anak-anak mereka yang juga warga Malaysia

Menurut Dr Chua MCA melantik Chee Leong, untuk mempengerusikan satu pasukan petugas khas, bagi membantu pemohon mendapat kewarganegaraan Malaysia.

"Didapati 25,751 orang Cina di negara ini masih memegang kad pengenalan Merah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden parti itu di Wisma MCA.

Dr Chua berkata, MCA memberi tempoh enam bulan bagi Chee Leong memperhalusi semua permohonan dan mengemukakan laporan kepada Majlis Presiden kelak.

Jumlah permohonan taraf kewarganegaraan yang tertunggak yang diterima KDN dari tahun 1997 hingga 2006 bagi semua perkara di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah 32,927 dan semua permohonan telah selesai diproses dan dikeluarkan keputusannya pada tahun 2009, kata Chee Leong.

Pada masa kini, katanya, kementerian sedang memproses permohonan kewarganegaraan bagi tahun 2007, 2008 dan 2009 yang berjumlah 29,677.

Daripada jumlah itu, sebanyak 16,302 keputusan telah dikeluarkan dan bakinya telah diproses adalah sebanyak 13,375, di mana keputusannya akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini, katanya

Pada 30 November tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu bilangan mereka yang memegang kad pengenalan merah di negara ini sehingga September 2009 adalah seramai 374,500 orang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata daripada jumlah itu, seramai 64,731 orang adalah mereka yang dilahirkan di negara ini yang turut memegang kad pengenalan merah.

Abu Seman berkata, rakyat Malaysia yang memegang kad pengenalan merah mengikut negeri adalah seperti berikut; Sabah (12,000 orang), Selangor (11,307), Perak (6,589), Johor (5,509), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4,906), Kedah (2,822), Pulau Pinang (2,209) dan Pahang (1,981).

Negeri Sembilan (1,947), Kelantan (1,295), Melaka (789), Sarawak (771), Wilayah Persekutan Labuan (653), Perlis (326), Terengganu (307), Wilayah Persekutuan Putrajaya (17) dan lain-lain (11,303).

"Kad pengenalan merah diberi kepada seseorang yang bukan warganegara Malaysia tetapi bermastautin secara tetap di Malaysia,” katanya.

Friday, August 27, 2010

PENEROKA BERNASIB BAIK - FIRMA PEGUAM MANA SABOTAJ’ FELDA?

Kenyataan Pengerusi FELDA, Tan Sri Dr Yusof Noor bahawa kegagalan peguam FELDA untuk hadir ke Mahkamah Persekutuan menjadi penyebab organisasi itu tewas dalam kes tuntutan 354 orang peneroka FELDA Kemahang, mengundang banyak pertanyaan.

Pertama, firma peguam jenis apa yang digunakan oleh FELDA?

Kedua, apakah pentadbiran FELDA tidak alert mengenai perbicaraan itu sehingga menyebabkan pasukan peguam mereka tidak hadir? Ini membayangkan bahawa pentadbiran FELDA tidak peduli langsung mengenai tuntutan peneroka Kemahang 3 itu.

Ketiga, jika pentadbiran FELFA sudah melakukan yang terbaik tetapi peguamnya tetap tidak hadir, apakah firma atau peguam berkenaan segaja ‘sabotaj’? FELDA perlu perjelaskan soal ini kerana ia membabitkan nama baik FELDA dan juga firma peguam berkenaan.


Seramai 354 peneroka menyaman FELDA bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.

Mereka menamakan FELDA, pengurus FELDA Kemahang 3 Ibrahim Ismail (yang telah meninggal dunia) dan FELDA Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

Hakikatnya apa juga sebabnya FELDA perlu telus mengenai perkara ini. Ia membabitkan kepentingan rakyat dan imej kerajaan.

Memalukan kerana FELDA adalah ‘di bawah dagu Perdana Menteri’.

Semalam Dr Yusof berkata keputusan Mahkamah Persekutuan ini bukan disebabkan wujudnya penipuan, konspirasi dan sebagainya seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak.

"Kegagalan kes ini sebenarnya disebabkan oleh peguam yang dilantik oleh FELDA gagal hadir semasa perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Baharu," katanya dalam satu kenyataan akhbar. (Untuk lebih jelas mengenai perbicaraan di Kota Bharu, KLIK DI SINI).

Kerana itu, FELDA tidak dapat membela tuntutan yang dikemukakan oleh kumpulan peneroka itu sebagaimana sepatutnya dalam mana-mana tindakan sivil, katanya.

Melihat kepada kenyataan Dr Yusof bahawa FELDA sedang mengkaji dan meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap firma guaman terbabit kerana menjadi punca utama kekalahan kes ini membayangkan bahawa ia berkaitan firma guaman berkenaan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata FELDA tiada pilihan kecuali membayar RM11 juta ganti rugi kepada 354 peneroka sebagai bayaran bagi buah kelapa sawit.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan FELDA supaya mahkamah yang sama menyemak semula keputusannya pada 19 Januari lalu yang tidak membenarkan agensi itu merayu.

Alauddin menolak permohonan FELDA berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan FELDA membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka.

Panel hakim, yang turut terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Mahkamah juga memerintahkan FELDA membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan FELDA membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka itu selepas peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul. Setiap peneroka dianggarkan akan menerima RM30,000 sebagai ganti rugi.

Seramai 100 peneroka hadir di mahkamah di Putrajaya semalam.

Mereka diwakili sepasukan peguam diketuai Wan Rohimi Wan Daud manakala Felda diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Berikutan keputusan itu, FELDA telah mengarahkan peguamnya untuk melepaskan jumlah wang penghakiman bertarikh 13 Januari 2008 yang mana telah didepositkan ke dalam akaun bersama kedua-dua peguam dalam tempoh terdekat ini.

Wang penghakiman berjumlah RM11 juta itu akan dilepaskan kepada peguam peneroka untuk membolehkan mereka mengagih-agihkan wang tersebut kepada kumpulan peneroka berkenaan.

Apapun, kememangan peneroka Kemahang 3 ini dijangka tidak akan menjadi satu titik tolak kepada saman peneroka selepas ini kerana kes ini ternyata peneroka hanya bernasib baik.

HUDUD - IMPIAN PAS TIDAK MUNGKIN TERCAPAI

Inilah realitinya yang PAS perlu tanggung!

DAP dan pakatannya yang satu lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menyokong Hudud. Ini jelas.

Berikutan itu, hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud tidak akan tercapai kerana parti itu secara sendirian tidak mampu menguasai majoriti kerusi Parlimen untuk meminda Perlembagaan.

Penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim berkata: "Saya tidak nampak hudud boleh dilaksanakan oleh satu parti sahaja. Ia memerlukan sokongan besar di dalam Dewan (Rakyat)," katanya.

Zaid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, berkata impian melaksanakan hukum hudud tidak mungkin tercapai berdasarkan kedudukan kerusi PAS dalam Dewan Rakyat yang memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud biarpun rakan pakatan pembangkang, DAP, membantah hasrat itu dengan menyifatkan Malaysia adalah negara sekular.

Zaid yang sebelum itu menyampaikan sumbangan hari raya kepada orang kurang upaya di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) di Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu, semalam berkata perselisihan pendapat berhubung pelaksanaan hukum hudud di antara PAS dan DAP hanyalah berasaskan perbezaan impian politik masing-masing.

"Ketiga-tiga parti (PAS, DAP, PKR) telah bersetuju segala undang-undang yang kita buat atau kita gubal mestilah mengikut perlembagaan negara," katanya sambil menambah dasar bersama itu ditandatangani pada Disember 2009.