Saturday, October 31, 2009

HUKUMAN BIAR SETIMPAL…MEMALUKAN MALAYSIA & RAKYATNYA

Saya tersentuh dan geram dengan kejadian pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani yang meninggal dunia dipercayai angkara perbuatan keji majikannya.

Apakah pembantu rumah wajar diperlakukan sebagai hamba abdi? Kenapakah di abad ke 21 ini masih ada ‘manusia binatang’ yang sanggup memperlakukan sedemikian kepada pembantu mereka?

Hakikatnya, di Malaysia ini, siapa dan keturunan apakah yang melakukan kekejaman terhadap pembantu rumah sejauh ini?

Siapa yang sanggup mendera, menstereka, menyeksa, mengurung dan sebagainya terhadap pembantu rumah. Apakah kes-kes ini boleh dianggap kes terpencil?

Jenazah Mantik Hani sudah dihantar pulang ke kampung halamannya di Surabaya, Indonesia, hari ini. Difahamkan, jenazah Mantik akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat MAS MH871 pukul 8.15 pagi ini dengan diiringi seorang pegawai Pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Segala urusan penghantaran pulang itu ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

Setiausaha Ketiga Bahagian Perhubungan Maklumat Kedutaan Indonesia di Malaysia, Soneta Asmara berkata, pihaknya menyerahkan kes itu sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kerana yakin akan mendapat pengadilan yang sewajarnya.

Selain itu, kata beliau, pihaknya akan mendapatkan baki gaji tertunggak berjumlah kira-kira RM4,000 yang belum diselesaikan oleh majikan mangsa. “Itu hak dia (Mantik). Kenapa perlu dibiarkan,” katanya.

Ditanya mengenai hasil bedah siasat, Soneta memberitahu:

“Saya belum melihat lagi laporan bedah siasat itu. Apa yang saya tahu bedah siasat telah dilakukan kelmarin dan laporan itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.”
Ada empat perkara penting di sini.

Pertama, kejadian ini akan menyebabkan kemarahan rakyat Indonesia kepada Malaysia. Kerana perbuatan seorang, seluruh rakyat lain di Malaysia terpaksa menanggung bebannya. Kenapa orang seperti saya perlu menanggung beban yang dilakukan oleh pembunuhnya?

Kedua, kejadian ini akan menyebabkan undang-undang dan peraturan lebih ketat dan keadaan ini akan menyebabkan kesusahan kepada pasangan atau keluarga lain yang ingin mendapatkan pembantu rumah. Kenapa pasangan dan keluarga lain di Malaysia perlu menerima kesusahan diakibatkan oleh pembunuh ini?

Ketiga, kenapa segala urusan penghantaran pulang itu ditanggung oleh kerajaan Malaysia. Sebagai rakyat saya ‘benarkan kerajaan’ berbuat demikian tetapi pembunuh Mantik Hani berhutang dengan saya.

Keempat, sebarang hukuman terhadap pembunuh Mantik Hani biarlah berat kerana dia membunuh insan yang membantunya, memalukan negara, menggunakan wang negara selain sebagai pengajaran.

Majikan Mantik Hani perlu dibawa ke muka pengadilan sekiranya dia tidak atau enggan membayar RM4,000 tunggakan gaji pembantu rumah berkenaan.

Utusan Malaysia melaporkan hari ini, empat hari selepas Mantik Hani meninggal dunia, seorang penjual air tebu semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Klang, atas tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia itu.

A. Murugan, 35, didakwa membunuh wanita berusia 36 tahun itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa di Klang di antara 18 dan 20 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada majikan lelaki mangsa itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Afifah Mamat @ Yusof.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup manakala peniaga terbabit tidak diwakili peguam bela.

Manoj memohon supaya kes tersebut dipindahkan segera ke Mahkamah Tinggi atas alasan kes itu menarik perhatian umum.

Permohonan itu dibenarkan oleh Afifah yang menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membolehkan pengakuan tertuduh direkodkan.

Isteri dan ibu Murugan yang sebelum ini turut ditahan reman tidak didakwa di mahkamah selepas dibebaskan oleh pihak polis.

Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, pada pukul 10 pagi, 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan kerana terlalu lemah.

Ketika diselamatkan dari rumah majikannya, pada 21 Oktober lalu, pembantu rumah terbabit berada dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' dan dikurung dalam tandas, kepala dicukur hampir botak dan tidak diberi makan beberapa hari oleh majikannya.

Wanita itu diselamatkan pihak polis selepas seorang tukang sapu yang bertugas membersihkan kediaman rumah suspek membuat laporan polis bersama peguam, Gerald Lazarus.

Semasa diselamatkan, terdapat kesan kecederaan teruk di beberapa bahagian badan mangsa termasuk luka hampir lima sentimeter sehingga menampakkan tulang pada kakinya.

Selain itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kiri termasuk bengkak pada bahagian muka, dipercayai dipukul dengan objek keras.

Sehingga ini tertuduh tidak diwakili peguam. Apakah akan ada peguam yang akan membelanya?
Apakah isu ini kelak akan bertukar menjadi ‘perkauman’?

Friday, October 30, 2009

ADUN PKR MULA PERSOALKAN ANWAR…

Persoalan kenapa Anwar sengaja berusaha melengah-lengahkan perbicaraan meliwat bukan bermain di kepala orang biasa sahaja tetapi juga ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Malah, isterinya Wan Azizah sering dipalitkan kerana enggan mengulas dakwaan terhadap Anwar.

Ternyata kes liwat yang membabitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata beliau keluar PKR.

Hmm..ini baru satu. Berapa ramai lagi yang tidak yakin dengan Anwar dalam kes liwatnya?

Badrul berkata, beliau menjadi lebih syak terhadap Anwar yang menurutnya sengaja melengah-lengahkanperbicaraan dan enggan pula menjelaskan perkara itu kepada ahli-ahli parti.

Beliau juga mendakwa bahawa presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, juga enggan untuk menjelaskan mengenai dakwaan liwat tersebut.

Katanya, ia merupakan sebab utama beliau membuat keputusan keluar PKR kerana beliau tidak boleh berkompromi dengan isu-isu moral seperti yang dihadapi oleh pemimpin PKR.

Tegas Badrul, sebagai seorang Muslim yamg berpegang teguh kepada prinsip Islam, katanya, moral seseorang pemimpin itu amat penting untuk mendapatkan sokongannya.

Ditanya mengapa beliau menunggu hingga sekarang untuk menimbulkan isu liwat itu, Badrul tidak memberi jawapan secara langsung dan berkata "saya tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang mempunyai cerita begini".

Badrul hari ini mengumumkan bahawa beliau keluar PKR dan menjadi ADUN bebas yang 'mesra' BN.

Beliau membuat keputusan itu beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan kepada PKR supaya meminta Badrul meletak jawatan kerana didakwa gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam kenyataan yang dibacanya dan dilaporkan Malaysiakini, Hisham juga mendakwa beliau telah dianaktirikan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR yang didakwanya telah menahan peruntukan kepadanya sejak bulan Mac. Beliau mendakwa, kerajaan negeri enggan menyelaraskan dengan beliau pemberian peruntukan tetapi sebaliknya, bertindak membuka pusat perkhidmatan yang berasingan di Pandamaran Indah untuk berurusan dengan pengundi di situ.

Tindakan itu, katanya, seolah-olah menganaktirikan dirinya berbanding dengan ADUN yang lain.

Badrul juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu percubaan untuk meminggirkannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Bila ditanya teorinya mengapa beliau 'dianaktirikan', Badrul menjawab: "Tanyalah menteri besar".

Awal tahun ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa setiausaha politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil alih tugas Badrul yang didakwanya gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Nik Nazmi juga merupakan ADUN Seri Setia.

Ditanya mengenai dakwaan beliau tidak menunjukkan prestasi yang baik, Badrul berkata, ia kerana peruntukan tidak disalurkan kepadanya tetapi diambil alih oleh setiausaha menteri besar, di samping wujudnya dua pusat perkhidmatan di kawasan.

Oleh itu, katanya, bagaimanakah beliau hendak memberi perkhidmatan kepada rakyat, sementelah pula beliau juga bukan exco kerajaan negeri.

"Saya masih keluar jumpa rakyat. Saya orang yang tak suka diraikan, berkompang kompang, bunga mangga. Saya tak suka. Saya keluar dengan pemandu saya untuk tengok keadaan di kawasan saya," katanya.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat di Perak digulingkan Februari lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa Badrul akan keluar parti untuk menyertai Umno.

Khabar angin itu bertambah kencang apabila beliau tidak menghadiri sidang DUN dan jarang dilihat di khalayak ramai.

Bagaimanapun, Badrul ketika itu mengeluarkan kenyataan menegaskan komitmennya bersama PKR.

Bagaimanapun, khabar angin itu timbul semula awal bulan ini, ekoran kehadiran Badrul di rumah terbuka Hari Raya Ketua Umno Klang Datuk Mazlynoor Abd Latif dan sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti.

Dalam sidang akhbar hari ini, Badrul duduk di sebelah bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli, dikenalii sebagai rakan karib bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor, yang meninggal parti itu dan menyertai Umno selepas tidak sehaluan lagi dengan Anwar.

Thursday, October 29, 2009

PAS KEMBALI BERTAUT, UMNO JANGAN TERHEGEH-HEGEH…

Tidak mengejutkan. Semalam saya kataka, ribut dalam PAS bagaikan ‘gelora dalam secawan kopi.”

Ternyata selepas mesyuarat khas semalam, yang panas mungkin hanya Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi selepas itu PAS bertaut kembali, setidak-tidaknya pada luaran.

Apapun, ‘api dalam sekam’ dalam PAS akan tetap membara, khususnya dalam isu PAS Selangor pada ketika UMNO semakin bertaut dan sokongan kepada Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib sudah kuat dan padu.

Mesyuarat semalam memang panas bagai kopi panas sehinggakan Nik Aziz meninggalkan mesyuarat lebih awal, namun segala-galanya kini kembali tenang.

Mesyuarat bermula jam 9 malam, tetapi Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dilihat meninggalkan mesyuarat itu kira-kira jam 10.45 malam.

Dalam mesyuarat itu, Nik Aziz turut menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan dalam blognya www.blog.tokguru.com.

Yang pasti akhirnya selepas bermesyuarat malam semalam, tiada apa yang boleh diperkatakan secara khusus mengenai hasil mesyuarat berkenaan.

Tidak perkara utama dibicangkan dan hasilnya tidak akan ada EGM, akan ada siasatan dalaman terhadap PAS Selangor dan isu kerajaan Perpaduan kini ditutup rapat oleh PAS.

PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar akan disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 November ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi di Ibu Pajabat PAS, Jalan Raja Laut, berkata mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Isu ini menarik untuk disusuli kerana apakah bentuk siasatan dan tindakan akan dikenakan terhadap PAS Selangor, khususnya Datuk Dr Hassan Ali.

Ada pihak pada mesyuarat malam semalam mencadangkan beliau digugurkan daripada Exco.

Saya yakin selepas ini, untuk mengurangkan tekanan kepada pemimpin dan sebilangan ahlinya, UMNO akan menjadi sasaran serangan. Ubah atau alih pandangan, katakan!

Seperti dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana cuba menjadikan UMNO dan idea kerajaan perpaduan sebagai ‘kambing hitam’ dalam konflik dalaman membabitkan pimpinan tertinggi mereka.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, berdasarkan perkembangan semasa sebenarnya berlaku pertembungan kepentingan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sebab itu sekarang mereka nak bersilat dalam gelanggang, tepis sana tepis sini supaya mereka dapat atasi masalah mereka. Dia cari ‘kambing hitam’, ‘kambing hitam’ ini UMNOlah, sedangkan kita berniat baik dan ikhlas,’’ katanya.

Bagi saya, UMNO tidak lagi menimbulkan isu kerajaan perpaduan. UMNO jangan jadi ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ dengan PAS.

Kalau mahu mengajak perpaduan, tidak usahlah melalui usaha politik kerana PAS ternyata tidak mahu. Kalau sesetengah pemimpinnya mahu sekali pun, pemimpin tertinggi PAS lebih berminat bekerjasama dan mewujudkan perpaduan dengan bukan Islam.

Bukan Islam ternyata lebih mulia di mata pemimpin PAS.

Bak kata pengulas dalam berita mengenai mesyuarat semalam dalam Harakahdaily, Yusoff Abdul: “Sepatutnya tidak lagi timbul sebarang perbahasan berkaitan perkara tersebut. Musuh - musuh Islam sentiasa mencari jalan dan memperalatkan segolongan yang mengaku Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum syara,. mereka ini hanya menyalak untuk menarik perhatian awam akibat daripada kehilangan sokongan yang ketara dikalangan rakyat semasa pilihanraya umum lalu. Tekanan jiwa yang dialami oleh golongan tersebut semakin ketara. Qunut Nazilah adalah senjata utama kepada pendukung gerakan islam. Insya Allah yang Haq pasti menang dan Kebathilan pasti akan menemui kehancuran.”

Jelas di sini, musuh Islam yang dimaksudkan adalah UMNO dianggap sebagai ‘kebatthilan’, bukannya bukan Isla.

Malah Pemuda PAS Pusat semalam sudah memberi kata dua kepada pucuk pimpinan parti itu supaya tidak lagi membangkitkan isu kerajaan perpaduan kerana ia tidak lagi menjadi keperluan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan At-Tantawi, berkata pendirian Pemuda PAS selaras dengan isu dibangkitkan Nik Aziz yang tidak setuju penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Hadi berkata, PAS membuat keputusan untuk menutup pintu perbincangan dengan Umno dan BN berhubung kerajaan perpaduan bagi mengelak pemimpin parti itu terus bertelagah sesama sendiri.

“Isu kerajaan perpaduan memang dibangkitkan kepemimpinan Pas ketika kerajaan BN diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jadi, apabila sekarang sudah bertukar Perdana Menteri, maka isu berkenaan (rundingan kerajaan perpaduan) tak berbangkit lagi,” katanya.

“Tok Guru Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai pencetus idea itu telah tutup buku... dah tak bincang lagi sebab suasana tidak mengizinkan dan syarat tidak dipatuhi (pemimpin Umno dan BN) dan keperluan pun tak wujud sekarang.

Jadi, kerajaan perpaduan tidak lagi berbangkit. Malah, perkara ini juga diputuskan dalam Muktamar Agung Pas Pusat baru-baru ini yang mahu mengukuhkan kerjasama dalam pakatan pembangkang,” katanya semalam.

Beliau menyatakannya mengulas pendirian Pemuda PAS Pusat mengenai penubuhan kerajaan perpaduan dengan BN seperti yang dicetuskan parti itu sebelum ini.

Saya berharap sangat, dalam mendekati PAS, UMNO bersuara sebagai satu pasukan dan sebarang kenyataan biarlah selepas mendapat pelepasan Majlis Tertinggi atau ibu pejabat.

Jangan membuat kenyataan-kenyataan yang UMNO terhegeh-hegeh kerana ketika ini UMNO sebenarnya jauh lebih bersatu berbanding PAS atau PKR sekarang.

JEFFREY CHRISTINA KECEWA DENGAN ANWAR…















PKR Sabah terus bergolak dan semalam menghadapi satu lagi tamparan, dengan ketua bahagian Kota Kinabalu Christina Liew mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti semalam mengikut jejak naib presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Liew, yang telah digantikan bagi jawatan timbalan pengerusi PKR Sabah, berkata bagaimanapun beliau kekal sebagai anggota parti dan mengekalkan jawatan ketua bahagian Kota Kinabalu.

"Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada presiden parti hari ini," katanya.

Liew berkata selama ini beliau percaya yang parti itu adalah adil dan telus sehingga pelantikan Datuk Kong Hong Ming sebagai timbalan pengerusi PKR Sabah dan Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

"Ibu saya terpaksa berdepan dengan pandangan serong orang ramai kerana saya telah digantikan (sebagai timbalan pengerusi) atas alasan yang tidak diketahui.

"Saya telah bekerja keras selama sembilan tahun untuk mempromosikan PKR Sabah. Oleh kerana parti tidak menghargai sumbangan saya, saya berundur dengan bermaruah sekarang," katanya.

Dr Jeffrey telah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR, anggota majlis tertinggi dan anggota biro politik, memberikan tamparan hebat kepada cubaan PKR untuk memperkukuhkan parti itu di Sabah.

Dr Jeffrey, yang dijangka menghantar surat peletakan jawatan ke ibu pejabat parti semalam, akan kekal sebagai anggota biasa parti, menurut bekas pembantu kanannya Kanul Gindol.

Dipercayai majoriti ketua bahagian termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin, anak kelahiran Sabah dinamakan sebagai ketua PKR negeri yang baru pada hujung minggu lalu selepas ketua-ketua bahagian menyatakan tidak yakin dengan naib presiden PKR Azmin Ali untuk menerajui PKR negeri.

Di TAWAU, Kong berkata beliau terkejut dengan keputusan Dr Jeffrey untuk meletak jawatan sebagai naib presiden parti, menyatakan Dr Jeffrey telah bersetuju dengan keputusan berhubung pelantikan Ahmad Thamrin sebagai pengerusi perhubungan PKR Sabah yang baru.

"Saya menghormati keputusan (Dr) Jeffrey meletakan jawatannya sebagai naib presiden PKR, namun tidak bersetuju dengan andaian bahawa pelantikan pengerusi perhubungan PKR Sabah yang baru sebagai tidak mengikut kehendak ketua-ketua cabang (bahagian)," katanya.

Mesyuarat perhubungan PKR Sabah yang diadakan pada 22 Okt lalu di Kota Kinabalu, yang dihadiri semua pemimpin 25 cabang parti dan perhubungan negeri termasuk Dr Jeffrey, bersetuju supaya isu pelantikan pengerusi perhubungan PKR negeri diserah kepada presiden parti, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota dan ketua cawangan PKR zon Tawau.

"Kita anggap isu pelantikan pengerusi perhubungan PKR negeri dalam mesyuarat malam itu sudah selesai. Jadi keputusan yang dibuat Dr Jeffrey ini memang di luar jangkaan saya.


"Sebagai pemimpin berpengalaman, kita harus hormat keputusan mesyuarat rasmi," katanya.

Kong bagaimanapun yakin keputusan Dr Jeffrey tidak akan menjejaskan kekuatan parti.

Sumber BERNAMA