Friday, October 16, 2009


Kendati tergantung awan di langit,

Telah terlanjut kubentangkan layar

Walau badai datang menggulung Walau berdentumguruh di langit

Walau bumi berkeping dua,

tak kan mungkin ku berbalik haluan.'


Datuk Seri Mohd Najib Razak Perhimpunan Agung UMNO 2009

MARI BANGKIT BERSAMA NAJIB

Sebelum ini “Bekerja Bersama Saya, bukan kerja untuk saya“, kini “Bangkitlah Bersama Saya”.
Apakah pemimpin dan ahli UMNO sedang ‘tidur’ apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengajak “Bangkitlah semua bersama-sama saya.”

Rasanya bukan begitu maksud Najib. Pemimpin dan ahli bukan tidur tetapi ‘terlelap’ seketika.
Ajakan Najib bertujuan menggembalikan keyakinan dan semangat kepada ahli dan pemimpin UMNO bahawa ‘ You Can Do It’ selepas UMNO malap beberapa tahun.

Kenapa ia dikatakan malap?

Kerana selepas mencapai kejayaan gemilang pada pilihan raya 2004, UMNO selepas itu bagaikan tidak bermaya.

Salah siapa? Salah Tun Abdullah Ahmad Badawi? Bukan. Salah semua kepimpinan UMNO termasuk Najib sendiri kerana tidak mampu bekerja bersama Pak Lah untuk menjamin UMNO terus terbilang.

Yang nyata UMNO mengalami kesuraman yang amat sangat pada pilihan raya umum 2008 dan pada siri pilihan raya kecil, UMNO kecundang kesemuanya, kecuali Bagan Pinang.

Kemenangan Tan Sri Mohd Isa Samad itupun bukan kerana UMNO sepenuhnya tetapi sebahagian besar disumbangkan UMNO – Bahagian UMNO Teluk Kemang memang ‘solid’.

Tidak ada cantas mencantas seperti di bahagian-bahagian UMNO di Kelantan atau Kuala Terengganu.

Juga Najib menyeru dan membangkitkan ahli UMNO yang sedang alpa dan “terlelap’ dengan berkata: “Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.”

Sebelum ini masa depan yang cuba dibawa oleh UMNO sebagai Cemerlang, Gemilang Terbilang tetapi Najib hanya berminat supaya UMNO dan masadepan ahlinya penuh “Gilang-Gemilang”.

Apapun, untuk kali pertamanya selepas beberapa tahun, pemimpin dan ahli UMNO seluruhnya ‘berdiri bulu roma’ mendengar ucapan bersemangat Presiden UMNO apabila perwakilan dan tetamu dalam Dewan Merdeka, PWTC spontan berdiri menyahut seruan beliau dengan memberikan tepukan gemuruh.

Dengan nada lantang dan tegas, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan semangat setiap perwakilan supaya bangkit bersama-samanya kerana amanah yang besar itu tidak mampu dipikul oleh beliau bersendirian.

Baguslah begini, Najib sedar akan kemampuan peribadinya dan oleh kerana UMNO adalah hak orang Melayu seluruhnya, kemampuan pemimpin bergantung kepada sokongan.

“Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung,” tegas Najib dan disambut laungan “Ya” dan “Ya” dan “Ya” daripada perwakilan yang terus berdiri.

Apakah mesej Najib? “Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

Ini bermakna, walau apa juga perubahan yang dibawa oleh UMNO, tradisi UMNO berteraskan kepentingan Melayu perlu dipertahankan, biarpun zaman dan kecapian orang Melayu perlu berubah.

Ini janji Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Orang Melayu akan menuntut janji jika Najib alpa atau tersesat jalan.

Inilah sebenarnya KPI untuk Najib. Menjamin agar tradisi Melayu – bersopan santun, berjiwa besar dan Islam’ terus diperteguhkan sambil orang Melayu berubah untuk menjadi bangsa maju sesuai dengan hasrat Malaysia Maju.

Dalam konteks UMNO itu sendiri, Najib turut menyedarkan serta berusaha meyakinkan orang Melayu, khususnya ahli UMNO bahawa perjuangan mereka adalah betul dan yang haq.

Kenapa? Kerana “UMNO adalah satu-satunya parti yang membawa obor harapan serta mampu meneroka masa depan penuh gilang gemilang untuk bangsa Melayu dan rakyat keseluruhannya.”

Di sini, Najib memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa UMNO akan terus relevan dan akan tetap dominan.

Untuk survival dan maju serta masa depan yang terjamin, Najib mengatakan hanya UMNO yang mampu melakukannya, tidak parti lain, selain UMNO.

Tuesday, October 13, 2009

PAS, PAKATAN GAGAL BERI KHIDMAT TERBAIK

Ada mengatakan kemenangan Barisan Nasional (BN) di DUN Bagan Pinang ialah kemenangan Tan Sri Mohd Isa Samad, bukan UMNO atau BN.

Bagi kumpulan ini, kalau letak orang lain boleh kalah dan menolak pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan jika letak calon lain BN pun boleh menang.

Malah, lebih jauh ada mengatakan Mohd Isa lebih popular daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba memainkan isu integriti, rasuah dan sebagainya dengan ‘memburukkan’ pemimpin UMNO tetapi ditolak oleh pengundi Bagan Pinang.

Polimik seperti itu tidak akan selesai tetapi hakikat yang perlu dihayati ialah pada ketika beberapa pemimpin PAS - Salahuddin Ayob, Datuk Mahfuz Omar serta beberapa yang lain menyalahkan undi pos, provokasi, penyokong UMNO merestui rasuah dan sebagainya menyebabkan PAS kalah teruk di Bagan Pinang - ada satu pandangan menarik daripada ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, kekalahan teruk PAS di Bagan Pinang, antaranya, berpunca daripada kegagalan parti itu dan dua lagi rakannya dalam Pakatan Rakyat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di negeri yang dimenangi mereka.

"Sejauh mana kita serius berkhidmat di estet-estet? Ini pengalaman saya bersama Kelab Penyokong PAS (KPP).

"Orang India inilah yang beri sokongan kepada kita. Kalau kita tidak serius, (kecuaian) itu tidak baik," kata Dr Dzulkefly seperti dilaporkan Malaysiakini semalam.
Beliau mungkin akan berdepan dengan kumpulan dalam PAS yang lebih gemar melihat keluar daripada menilai kelemahan dalaman. Bagi kumpulan berkenaan kekalahan mereka banyak disebabkan oleh pihak luar, khususnya kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya.

Pandangan beliau ini lebih ikhlas dan sebagai pengarah operasi PAS untuk pilihan raya kecil itu, diminta mengulas prestasi buruk parti itu di kerusi DUN tersebut semalam apabila, sekurang-kurangnya, gagal mengurangkan majoriti BN.

Ahli parlimen itu berkata sikap Pakatan yang hanya mendatangi pengundi di saat akhir menjelang pilihan raya mestilah dihindari jika PAS dan gabungan pembangkang mahu terus mendapat kepercayaan rakyat.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian sedikit sebanyak mempunyai pendapat yang sejajar dengan Dr Dzulkefly.

Dr Sivamurugan berkata, PAS memberikan lebih tumpuan isu rasuah dan integriti sehingga menenggelamkan isu kebajikan - yang pernah dianggap berjaya meraih perhatian pengundi bukan Melayu.

"Pembangkang kali ini banyak memainkan isu korupsi dan integriti.

"Tetapi selepas 18 bulan memerintah (di negeri-negeri Pakatan), mereka perlu memikirkan strategi lain, dengan menimbulkan isu-isu kebajikan," katanya.

"Kalau kita lihat, dalam pilihan raya umum sebelum ini, sokongan India dan Cina diperoleh daripada isu kebajikan."

Dr Dzulkefly mengakui, isu-isu berbangkit di peringkat nasional – seperti kontroversi penjualan arak di Selangor dan perobohan rumah di Kg Buah Pala, Pulau Pinang – sedikit sebanyak memberikan kesan penduduk di kawasan-kawasan lain.

"Kita tidak boleh lagi membuat andaian bahawa isu di peringkat (sesebuah) negeri dan pusat tidak membawa kesan di negeri lain," katanya, diminta mengulas analisis ringkas akhbar web rasmi parti Harakahdaily.

"Jangan ingat apa yang berlaku di Kedah tidak ada kesan di Bagan Pinang. Ada (kesan)."

Akhbar web itu dalam analisis segera sejurus selepas keputusan diumumkan menyebut, pengundi Cina di Bagan Pinang menolak parti Islam kerana tidak berpuas hati terhadap beberapa kenyataan pemimpin PAS di Selangor.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, kesahihan maklumat itu hanya dapat dipastikan apabila analisis lengkap keputusan penuh pilihan raya itu dibuat.

Menurut Dr Dzulkefly, daripada awal lagi PAS beranggapan kerusi itu sukar ditawan kerana Bagan Pinang kerusi tradisi BN dan terdapat banyak pengundi pos di situ.

Selain itu, katanya, terdapat sentimen pengundi yang “termakan budi” kepada Isa – yang pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan kira-kira dua puluh tahun.

"Mereka ada keupayaan untuk memberi, sama ada projek, subsidi, tanah dan imbuhan. Sedikit sebanyak penduduk akan termakan budi," katanya.

Bekas menteri besar Tan Sri Mohd Isa Samad menggandakan majoriti BN kepada 5,435 undi apabila mendapat 8,013 undi, meninggalkan jauh calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan hanya 2,578 undi.

Pada pilihan raya umum 2008 - rekod terburuk BN - parti pemerintah itu hanya meraih majoriti 2,333 undi.

Pada pilihan raya umum sebelumnya, prestasi BN yang paling baik sejak merdeka, ia memperolehi 4,411 undi.

Kejayaan BN semalam menebus maruah parti itu yang selama ini tercalar akibat kegagalan memenangi sebarang pilihan raya kecil di Semenanjung sejak sembilan kali ia diadakan.

BN juga berjaya menebus ketewasannya di tiga daripada lapan daerah mengundi pada Mac tahun lalu, semuanya didominasi pengundi bukan Melayu: Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong (lihat carta).

Kemenangan Isa itu, selain membuktikan ketokohannya masih utuh walaupun tercalar dengan isu rasuah, juga menunjukkan pengundi bukan Melayu berpatah balik bersama BN.




Monday, October 12, 2009

ISA SAMAD - TUAH AYAM NAMPAK DI KAKI…

Bolehkah kita katakan bahawa provokasi penyokong parti yang bertanding menyebabkan sasaran Suruhanjaya Pilihanraya agar 90 peratus keluar mengundi di Bagan Pinang tidak berhasil?


Atau apakah penduduk di kawasan itu sudah yakin dengan kejayaan yang mungkin dicapai oleh Tan Sri Mohd Isa Samad dan tidak perlu membuang undi?

Semalam, seramai 11,157 atau 81.65 peratus daripada 13,664 pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu sehingga pengundian ditutup jam 5 petang tadi.

Walaupun ia meningkat sedikit berbanding 10,911 atau 81.59 peratus pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu, namun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, kecewa kerana sasaran keluar mengundi kali ini tidak tercapai.

"Saya agak kecewa dengan peratusan ini, saya harapkan peratusan hampir ke 90 peratus, saya tidak tahu apa sebabnya peratusan ini tidak meningkat walaupun hari mengundi diadakan pada hari cuti hujung minggu," katanya.

Beliau berkata, SPR akan melakukan analisis mengapa peratusan itu tidak meningkat sebagaimana yang diharapkan.

Ternyata calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad, bukan tandingan calon PAS apabila menang besar dengan majoriti 5,435 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Wilayah Persekutuan itu memperoleh 8,013 undi berbanding calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar, yang mendapat 2,578 undi.

Secara mudah undi yang didapati oleh PAS (pakatan pembangkang hanya 21 peratus) berbanding undi yang dimiliki BN.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi apabila memperoleh 6,430 undi manakala calon PAS, Ramli Ismail, mendapat 4,097 undi.

Merosotnya undi PAS begitu banyak, hampir sekali ganda dan pertambahan undi kepada BN daripada 6.430 kepada 8.013 menggambarkan bahawa BN dan UMNO ‘bukan teruk sangat’.

Cuma sebelum ini, ruang untuk BN mengetengahkan calon ‘sebaik Mohd Isa’ tidak muncul. Mungkin juga sebelum ini BN membuat keputusan salah mengenai calon.

Bagi saya untuk kali pertamanya isu calon tidak menjadi ‘isu utama’ di kalangan BN atau UMNO. Untuk kali pertamanya juga rakyat tempatan tidak mempersoalkan ‘diri calon’ dan sangat sukar untuk mereka menolak Mohd Isa tidak seperti pada pilihan raya kecil yang lain.

Memanglah bagi PAS dan pakatan rakyat, mereka akan merasa terkilan, bukan sahaja kerana kalah tetapi kempen kononnya mereka bersih daripada BN dan UMNO tidak berjaya memutarkan fakta.

Ternyata Mohd Isa sudah diterima kembali dan seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Mohd Isa sudah menjalani ‘hukumannya’.

Dalam soal ini, nampaknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa peka dan menerima reality bahawa rakyat di Bagan Pinang mahukan Mohd Isa walau dalam keadaan apa sekali pun!

Sementara PAS yang sering berburuk sangka kepada orang lain, khususnya orang UMNO melemparkan komtentar yang bunyinya bagaikan ‘anggur masam’.

Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, kemenangan Mohd Isa dianggap suatu kegagalan kepada misi integriti nasional.

Katanya dalam kedudukan PAS menghormati keputusan rakyat atas prinsip demokratik, PAS (beliau?) malu dengan sikap UMNO yang tidak akan membawa rakyat kepada kehidupan yang lebih baik kerana gagal memerangi rasuah.

"UMNO memang menang dalam pilihanraya, tapi ternyata kalah dalam memerangi rasuah,"kata dalam sidang media yang diadakan selepas PAS di isytiharkan tewas dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang semalam.

Tidak apalah, PAS tidak akan melihat kelemahan dirinya tetapi akan terus mempersalahkan orang lain. Itu perangai dan tingkah lakunya.

Bagi BN dan UMNO, pengajaran kes pilihan raya kecil ini penting kerana jika calon tepat, kemenangan tidak sukar untuknya.

Calon yang diterima rakyat tempatan dan berjasa amat penting – bukan kerana dia muda atau pelajaran tinggi. Yang penting rakyat sayangkan diri calon berkenaan, UMNO akan menang.

UMNO dapat melihat bagai pembangkang menang di Kuala Terengganu, Permatang Pasir, Manek Urai atau juga sebelum ini di Permatang Pasir.

Selain itu BN perlu juga menjaga tata susila dan mengelakkan provokasi kerana rakyat akan menilai siapa sebenarnya yang membuat kekacauan dan cuba cari pasal tidak tentu hala.

Rakyat Malaysia cintakan keamanan. Sebarang kekerasan atau pertelingkahan bukan pilihan mereka. UMNO dan BN kena amalkan ‘keamanan’ dan kestabilan sama ada ketika berkempen atau hari membuang undi.

Selain itu, Presiden dan pemimpin tertinggi BN perlu bekerja satu hati dalam memenangkan parti komponen, bukan UMNO, MCA. MIC atau Gerakan dan parti-parti komponen lain bertanding secara berasingan. Bersatu hati untuk kemenangan.

Serangan dan pertahanan terhadap lawan umpamanya dalam konteks pemimpin utama mereka perlu tersusun dan jangan ada pihak yang mahu mengambil kredit atau keuntungan peribadi daripadanya.

Ternyata Penasihat Parti Keadilan Rakyat – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama PAS gagal menambat hati rakyat di Bagan Pinang.

Kepada rakyat di Bagan Pinang, tahniah kerana tidak terpegaruh dengan dakyah pembangkang dan melontar jauh-jauh sokongan anda.

Pemimpin pembangkang pasti akan ‘terkejut beruk’ dengan undi kecil yang diterima oleh mereka.

Walaupun ada menganggap Mohd Isa sebagai ‘calon kitar semula’, pembangkang lupa bahawa calon ‘kitar semula’ milik mereka lebih teruk kerana sudah beberapa kali kalah dalam pilihan raya. Sedangkan Mohd Isa tidak pernah kalah pun dalam pilihan raya – sama ada kerusi DUN mahupun Parlimen.

Itulah, Anwar pun boleh lupa fakta dan ini hanya permulaan. Banyak lagi Anwar akan lupa fakta selepas ini kerana beliau perlu mengumpul fakta mengenai dirinya sendiri bagi mempertahankan maruah dan identitinya sendiri – sama ada di mahkamah atau juga pentas politik.

Kepada Mohd Isa, ingatlah janji-janji kerana daripada rakyat kita datang dan rakyat juga boleh menentukan sama ada kita kekal atau ditendang jauh-jauh, jika gagal berbakti!