Monday, April 21, 2014

GANTI 2 MB – AWANG SELAMAT HANYA MEMBUAT SPEKULASI?


Saya fikir kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat tahu siapa Menteri Besar yang akan ditukarkan.

Beliau tidak menyebut secara khusus mungkin kerana dua sebab.

Pertama, menghormati Perdana Menteri dan kedua, tidak mahu mendahului pengumuman oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.

Maksudnya, sebarang pengumuman seperti ini perlu dibuat oleh Perdana Menteri sendiri, walaupun selalunya jurnalis tahu mengenai sesuatu perkara.

Saya berpengalaman ketika menjadi wartawan Berita Harian, mengetahui Datuk Musa Hitam (Tan Sri) pada 1980-an akan meletakkan jawatan tetapi tidak beliau iaitu Shahrir Samad untuk memperkatakanya.

Seharian saya menunggu Shahrir di rumahnya (ketika itu di Petaling Jaya, tidak jauh dari pintu belakang Universiti Malaya) untuk mendapatkan pengesahan (dulu tidak ada handphone dan panggilan melalui telefon biasa tidak dilayan).

Menerusi ruangan pojoknya, Bisik-Bisik Awang Selamat, kolumnis itu mendakwa pentadbiran UMNO-Barisan (BN) yang ditadbir oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bakal membuat pertukaran dua menteri besar tidak lama lagi.

Walaupun tidak menyebut bila, ada sumber mmengatakan majlis angkat sumpah Menteri Besar baru itu dijangka pada 11 Mei depan, iaitu cukup setahun tempoh pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Malah, menurut sumber itu, dua menteri besar yang dikaitkan dengan isu ini sebenarnya sudahpun diketahui oleh pihak-pihak tertentu dan tuan diri menteri besar berkenaan.

Dikatakan….saya ulangi dikatakan, kedua-dua Menteri Besar tersebut ada menandatangani satu dokumen seperti surat perjanjian.

Perjanjian mengenai apa tidak diketahui tetapi dikaitkan dengan jawatan yang dipegang oleh dua menteri berkenaan.

Dikatakan juga…surat itu ditandatangani oleh dua menteri besar berkenaan. Awang Selamat bermain selamat apabila dalam kolumnya itu, tidak menamakan menteri besar mana dan dari negeri mana yang dimaksudkan.

"Khabarnya dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai.

"Tidak perlulah Awang sebut siapa menteri besar berkenaan pada peringkat ini, biarlah ia terus menjadi desas-desus," tulis Awang Selamat sepertimana yang disiarkan Mingguan Malaysia semalam.

Kolum yang menjadi tarikan ramai pembaca itu sudah pasti turut mengundang akhbar dalam talian seperti Malaysiakini serta blog-blog terkenal turut menyiarkan berita itu.

SinarHarian Online, memetik ulasan Awang Selamat itu dengan tajuk “Dua menteri besar bakal ditukar?”

Menurut blog kedahkekl pula, perkara ini juga tersebar hingga ke kedai-kedai kopi dan warung-warung nasi lemak tepi jalan. Tak terkecuali di media sosial. Dalam perbincangan diantara nada serius dan tak berapa nak serius, hanya 4 nama Menteri Besar yang naik. Adnan Yaakub, Md Said, Mat Hassan dan Zambry. Tak dengar pulak nama Mukhriz, Azlan, Khalid dan lain-lain MB. Menurut blog berkenaan,

“Pelbagailah hujah yang Mc dengar dari pakar-pakar politik tanah air samaada di kedai kopi atau di facebook yang menghalalkan 4 menteri besar ini ditukar. Namun, bagi Mc MB Negeri Sembilan Mat Hassan dah menjalankan tugasnya dengan bagus. Beliau memang tegas, tetapi itu perkara wajib tugas sebagai ketua dinegeri. Hanya satu kaum saja yang tak suka Mat Hassan, kaum yang tak undi BN masa PRU ke 13 yang lepas.”

Cerita nak tukar MB ini pernah bertiup kencang sebelum PRU-13 lalu apabila ada pihak mengatakan Tiga Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri akan di ganti dalam sehari dua.

Pada 29 Oktober 2012, sebuah blog mengatakan sumber yang rapat dengan timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin memaklumkan, perdana menteri, Najib Razak akan mengadakan satu pertemuan rahsia antara semua pakar strategisnya dalam beberapa hari akan datang.

Agenda pertemuan yang akan dibincangkan adalah pertukaran beberapa menteri besar dan ketua menteri yang tidak sehaulan dengan Najib Razak.

Antara nama-nama yang akan bertukar antaranya menteri besar Terengganu, Ahmad Said, menteri besar Perak, Zambry Kadir dan ketua menteri Melaka, Ali Rustam.

Selain itu ia akan turut membincangkan pengganti menteri besar Johor, Abdul Ghani Othman yang akan melepaskan jawatannya bagi memberi peluang sama ada ahli parlimen Pasir Gudang, Khaled Nordin atau ahli parlimen Batu Pahat, Puad Zakarshi menggantikannya.

Ahmad Said dikatakan akan diganti dengan pemimpin Umno bukan bertaraf ketua bahagian manakala Ali Rustam pula yang akan bertanding di parlimen Jasin akan diambil alih jawatannya oleh sama ada kroninya yang juga ahli parlimen Bukit Katil, Md Sirat Abu atau ahli parlimen Jasin sekarang, Ahmad Hamzah. Itu sekadar ramalan.

Namun apakah yang disebut oleh Awang Selamat ini juga ramalan

 Kita lihat nanti sejauh mana ramalan itu akan menjadi kenyataan atau benar belaka.

Dalam pada itu, Awang Selamat turut menyatakan sokongan terhadap usaha berkenaan kerana baginya, perubahan tersebut mampu menyuntik kesegaran dalam pentadbiran negeri.

"Awang berpendapat memang perlu ada peralihan bagi menyuntik kesegaran dalam tampuk pentadbiran negeri tertentu.

"Tentu terdapat tokoh yang boleh dijadikan sandaran, yang Awang percaya Najib sudah ada bayangan calon-calonnya. Kita tunggu," katanya.

Untuk rekod, Umno-BN kini menguasai pentadbiran di tujuh negeri dengan menteri besar dari parti tersebut iaitu dari Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Persoalan lain, kalau tidak ada asas kukuh, masakan Awang Selamat berani membuat ramalan sedemikian.

Ini kerana ini bukan ramalan sembarangan. Ia ramalan berprofil tinggi dan menjejaskan kerajaan jika tidak berlaku…

Friday, April 11, 2014

BAGAIMANA KALAU BUKAN KHALID TETAPI MENTERI BESAR LAIN?


"Kalau benarpun apa untungnya menerbitkan berita sedemikian dan jika tidak benar, kesian kepada yang menanggungnya apabila fitnah dilemparkan. Kini Khalid dan puak Azmin sudah menjadi sasaran. Siapa lagi akan akan menjadi sasaran seterusnya?

Nampaknya berita ini lebih panas dari pencarian 'kotak hitam' MH370!

Beberapa blogger berpengaruh nampaknya mempercayai bahawa berita asal bertajuk ‘BEKAS PEREM,PUAN SIMPANAN MB TUNTUT RM3 JUTA’ oleh laman FMT lebih panas daripada berita kehilangan pesawat Perebangan Malaysia (MAS) itu.

Lebih panas apabila mditujukan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim

 Ia dikaitkan kemungkinan puak-puak Azmin Ali cuba membelasah Khalid dan memuatkan berita sedemikian.

Bagaimana kalau berita itu bukan seperti yang diramalkan?

Malah FMT tidakpun bermaksud untuk menghala ke arah itu.

Dengan kata lain, MB yang dimaksudkan bukan Menteri Besar Selangor!


Lihat petikan-petikan berikut:

1. Pemilihan didalam PKR semua orang tahu sudah menjadi medan mendedahkan pekung lawan masing masing. Pelbagai cara digunakan malah cerita didalam kain turut keluar asalkan dapat membuat pembunuhan character individu yang bertanding. Mungkin cerita ini ada kaitan dengan pemilihan PKR apatah lagi semua orang tahu berlaku pertelingkahan besar didalam PKR Selangor. Siapakah perempuan simpanan yang dimaksudkan? Siapakah MB yang dimaksudkan?

2. Sebelum ini, kisah perceraian Nurul Izzah telah dibocorkan oleh puak dari dalam PKR sendiri terdiri daripada kumpulan pro-Azmin Ali termasuklah Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin. Cerita tersebut disampaikan kepada blogger pro-UMNO dan apabila berita tersebut viral, cytro pro-UMNO dipersalahkan kerana kononnya melakukan fitnah. Hari ini, gempar pula dengan berita bekas perempuan simpanan seorang Menteri Besar menuntut agar diberikan RM3 juta selepas Menteri Besar tersebut gagal menepati janjinya. Siapakah perempuan simpanan itu dan siapa pula Menteri Besar yang dimaksudkan? Berita berkenaan dipangkalkan di PETALING JAYA. Sekaligus cuba memberi petunjuk bahawa Menteri Besar itu adalah Menteri Besar Selangor. 'Perempuan simpanan' yang paling terkenal walaupun kesahihannya belum diketahui adalah seorang wanita bernama Rahimah yang khabarnya adalah Pegawai Koordinator di Pejabat Menteri Besar Selangor selain turut memiliki beberapa buah syarikat perniagaan.

3. Mengapa berita ini dikeluarkan dan apakah kesannya kepada Khalid Ibrahim? Khalid Ibrahim dikenali sebagai Menteri Besar kedekut yang gagal mengeluarkan duit Kerajaan Negeri Selangor untuk membiayai operasi PKR. Beberapa kali cubaan menggulingkan Khalid Ibrahim gagal oleh para pemimpin PKR termasuklah yang terbaru, yang diketuai oleh Anwar Ibrahim sendiri. Agak menarik ialah, pro-PKR kelihatan tidak begitu teruja dengan berita ini walaupun ada seorang dua yang memetiknya sambil cuba menghalakan kepada beberapa orang Menteri Besar dari kalangan pimpinan UMNO.

4. Betulkah berita yang dilaporkan oleh FMT semalam berkenaan seorang perempuan simpanan MB menuntut wang berjumlah RM 3 juta itu adalah perempuan simpanan Menteri Besar Selangor ? Mengapa berita ini dikeluarkan semasa pemilihan PKR akan berlangsung tak lama lagi dan apakah kesannya kepada Khalid Ibrahim? Secara teorinya adakah cerita 'skandal' Khalid Ibrahim ini mempunyai kaitan langsung dengan kem Azmin Ali ??

Seorang rakan lama dari Pejabat Menteri Besar Selangor di Shah Alam dan Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat mengatakan, isu ini langsung tidak ada kaitan dengan Khalid.

Malah, mereka menafikan sekeras-kerasnya Azmin boleh buat perkara sebegini. Mereka tidak akan menggunakan isu peribadi seperti ini untuk ‘menjatuh atau menghalang Khalid daripada menang’.


Mahu percaya, beberapa blog sudah mengatakan sedemikian, tidak mahu percaya sukar juga

Cuma persoalannya, tidakkah kelak ia menjadi FITNAH kepada Khalid dan juga fitnah kepada Azmin jika benar penafian itu? 

FMT pula nampaknya ‘bermain selamat’ apabila sunyi sepi selepas ‘melemparkan batu sembunyi tangan’. Mereka mungkin ada bukti tetapi sengaja mahu merahsiakan biar spekulasi menjadi besar dan merebak cepat.

Untuk tujuan apa?

Kalau benarpun apa untungnya menerbitkan berita sedemikian dan jika tidak benar, kesian kepada yang menanggungnya apabila fitnah dilemparkan.

Kini Khalid dan puak Azmin sudah menjadi sasaran. Siapa lagi akan akan menjadi sasaran seterusnya?


Kita tidak mahu seperti yang berlaku kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang dikatakan ditangkap basah di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan kemudian ada tiga isteri. Bukan sahaja berita seperti itu menjejaskan imej Ahmad Said tetapi seluruh keluarga mereka mendapat malu.

Jadi, kalau benar mahu mendedahkan kerana sebab-sebab yang meyakinkan FMT jangan main-main selindung.

Selain yang disebutkan oleh blog-blog yang disebutkan, laporan ohsedapnya tidak kurang juga hebatnya. 

Menurut blog berkenaan:

1. Khabarnya seorang Menteri Besar yang didedahkan ada skandal dengan isteri orang kini resah gelisah. Dia resah bukan kerana skandal itu sahaja tetapi dikhabarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) sudah mengetahui gelagatnya itu. Sumber PMO berkata, isu Menteri Besar berkenaan mempunyai perempuan simpanan sudah sampai ke telinga Datuk Seri Mohd Najib Razak.

2. Khabarnya juga Najib akan menggunakan ‘senjata’ ini untuk urusannya dengan Menteri Besar berkenaan yang dikatakan sering menunjukkan ‘samsengnya’ dalam urusan dengan Kerajaan Pusat.

3. Dikatakan juga sejak kelmarin, selepas berita berkenaan dipetik beberapa blog (lihat sini, sini, sini)daripada sumber asal, beberapa orang kuat Pejabat Menteri Besar dan rakan-rakannya dikatakan cuba mengesan wanita berkenaan. Mereka berusaha memujuk wanita berkenaan supaya ‘berunding’ untuk menutup aib Menteri Besar berkenaan. Orang yang dekat dengan Menteri Besar berkenaan bimbang kerana ia mungkin menjejaskan reputasi ‘bos’ mereka yang dikatakan sedikit tercalar dengan beberapa isu sebelum ini.

Bagi saya, baik kita ikut nasihat blog ohsedapnya yang mengatakan “Kita tunggulah apa kesudahan dengan isu ini dan dapatkah MB berkenaan menyorok 'kemaluannya'!”


Tuesday, April 1, 2014

NAJIB TIDAK SEBUT MH370 TERHEMPAS, TIADA YANG SELAMAT...


Jangan memandai-mandai mahu menuduh kerajaan berdolakdalih dalam isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Malah tidak adil menuduh Perdana Menteri , Datuk Seri Mohd Najib Razak menyatakan pesawat Malaysia terhempas atau sebagainya.

Dalam kenyataannya, Najib tidak menyebutpun sama ada pesawat terhempas atau terjunam, malah meletup di ruang udara selatan Lautan Hindi.

Najib juga tidak mengatakan bahawa kesemua 239 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Yang menyiarkan berita mengatakan pesawat terhempas termasuklah beberapa agensi berita termasuk Reuters dan di Malaysia beberapa blog, termasuk juga Harakahdaily Online.

Agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan satelit British Inmarsat menggunakan satu fenomena gelombang ditemui pada abad ke-19 untuk menganalisis tujuh ping yang berjaya dikesan satelitnya daripada pesawat Malaysia Airlines untuk menentukan destinasi akhir.

"Penemuan terakhir itu mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat kesimpulan pada Isnin malam bahawa pesawat berusia 11 tahun itu terhempas beribu batu daripada Malaysia di selatan Lautan Hindi dan menyebabkan semua 239 penumpang dan anak kapal terbunuh.” 

Sementara Harakahdaily membuat kesimpulan dengan tajuk “MH370 Terhempas Di Lautan Hindi”. 


Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar rutin semalam menegaskan,   Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan “terhempas atau tiada yang terselamat” semasa mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Perkara ini dijelaskan berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia.

Waris penumpang dari China yang mula tiba di negara ini untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut dan untuk mendengar permohonan maaf dari Najib atas pengumuman tersebut.

Ramai waris kepada penumpang dan anak kapal di dalam pesawat itu berang pada pengumuman Najib bahawa berdasarkan analisis data satelit yang terperinci, pesawat itu "hilang di selatan Lautan Hindi".

Menurut Hishamuddin, sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa perdana menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat.

“Perkara itu benar-benar salah..Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat,” katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac.

Ketika membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit,

Najib berkata: “Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi”.


Sementara itu, Perdana Menteri Australia Tony Abbott mempertahankan pengumuman rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bahawa penerbangan MH370 “berakhir” di Lautan Hindi. 

Pengumuman tersebut, yang dipersoalkan oleh waris penumpang di China, merupakan kesimpulan dari sejumlah besar bukti, kata Abbot seperti dipetik dalam laporan akhbar Telegraph.

"Himpunan bukti menunjukkan pesawat tersebut hilang dan ia hilang di satu tempat di selatan Lautan Hindi. “Itu adalah gelombang bukti yang amat besar dan saya rasa Perdana Menteri Najib Razak amat berhak membuat kesimpulan itu.

“Saya fikir sebaik kesimpulan itu dibuat, beliau bertanggungjawab mengumumkannya,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut. Bagi Tony Abbott,kesemua petunjuk yang ditemui menunjukkan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 hilang di selatan Lautan Hindi.


Pada 29 Mac lalu pula, syarikat satelit yang berpangkalan di Britain itu menjelaskan pihaknya tidak terbabit dalam membuat kesimpulan bahawa pesawat MH370 telah "berakhir di Lautan Hindi".

Jurucakap Inmarsat Jonathan Sinnatt berkata Inmarsat hanya menyediakan maklumat dan terpulang kepada kerajaan Malaysia untuk membuat kesimpulan sendiri, laporan China Daily.

Pada malam 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa pesawat MH370 telah "berakhir di Lautan Hindi" dengan memetik analisis data satelit Inmarsat.

"Kami menyediakan maklumat kita kepada rakyat Malaysia, dan mereka menggabungkannya dengan maklumat yang lain yang mereka ada, yang kita tidak tahu tentangnya, dan kemudian mereka membuat kesimpulan daripadanya dan membuat pengumuman mereka sendiri.

"Kami tidak terbabit dengan apa yang Malaysia umumkan, itu terpulang kepada mereka, kerana mereka melihat gambaran penuh. Kami hanya menyumbang satu set maklumat," jurucakap itu dilaporkan berkata. 

Sepuluh hari sebelum itu, iaitu pada 14 Mac lalu, stesen televisyen ABC News mendedahkan mempunyai "petunjuk" pesawat MH370 mungkin terhempas di Lautan Hindi dan sedang menggerakkan kapal USS Kidd ke kawasan tersebut untuk mencarinya.


Pegawai kanan Pentagon memberitahu stesen televisyen Amerika Syarikat itu pihaknya memerlukan masa 24 jam untuk menggerakkan kapalnya ke kawasan itu.

"Kami ada petunjuk pesawat itu terhempas di Lautan Hindi," kata pegawai kanan berkenaan dipetik berkata mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines yang hilang.

Pegawai itu berkata, mereka ada petunjuk pesawat itu terbang empat atau lima jam selepas hilang daripada radar dan mereka percaya ia terhempas ke dalam laut.

Tetapi pihak berkuasa Malaysia menolak teori itu dengan kedua-dua Malaysia Airlines dan Rolls Royce berkata, data mengenai enjin berakhir pada 1:07 pagi pada Sabtu, kira-kira 20 minit sebelum hilang daripada sistem radar awam.


Kenyataan Najib Mengenai MH370, Isnin Malam
(Diterbitkan: Isnin, 24 Mac 2014 11:51 PM Oleh: BERNAMA)

“Malam ini saya diberi taklimat oleh wakil-wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB). Mereka memberitahu saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan, telah melakukan pengiraan lanjut terhadap data itu. Dengan mengggunakan kaedah analisis yang belum pernah digunakan dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, mereka telah berjaya membuat pencerahan mengenai laluan penerbangan MH370. Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB telah membuat kesimpulan bahawa MH370 terbang melalui koridor selatan, dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth. Ini merupakan lokasi yang terpencil, jauh dari sebarang lokasi pendaratan. Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Kami akan mengadakan sidang akhbar esok untuk memaklumkan butiran lanjut. Sementara itu kami ingin memaklumkan anda mengenai perlembangan terbaharu ini dalam kadar segera. Kami berkongsi maklumat ini atas dasar komitmen kami terhadap keterbukaan dan perasaan hormat kepada seluruh keluarga, dua prinsip yang menjadi panduan penyiasatan ini. Penerbangan Malaysia (MAS) sudah pun memaklumkan kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal untuk memberitahu mereka perkembangan ini. Bagi mereka dua minggu yang berlalu cukup memeritkan; saya sedar bahawa berita ini akan lebih sukar lagi. Saya menggesa pihak media supaya menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang menghadapi situasi getir ini."

Berdasarkan apa yang sudah dilakukan oleh Malaysia sebaik mungkin dan kenyataan Najib yang terang lagi bersuluh bahawa beliau hanya menyatakan 'berakhir di selatan Lautan Hindi', tidak wajar membuat kesimpulan bahawa Malaysia berbohong.

Malah tidak wajar jika blog pembangkang mengatakan kerajaan berdolakdalih!

Thursday, March 27, 2014

PERANAN MALAYSIA, NAJIB BAGI KEAMANAN DI FILIPINA SANGAT BESAR, WAJAR DIHARGAI



"Rakyat Filipina akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran Malaysia memberi sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai itu...sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, telah memainkan peranan penting."
- Presiden Filipina Benigno Aquino III

Pada ketika pemimpin PAS sibuk dengan pergolakan politik yang berlaku di Mesir, mereka langsung tidak mempedulikan jiran sebelah rumah – Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) - yang didamaikan oleh Malaysia.

Bagaikan ‘tidak ada apa-apa’ yang penting kepada mereka, pemmpin PAS tidak pun membuat ulasan mengenai perjanjian bersejarah ini sedangkan ia juga membabitkan masyarakat Islam.

Itulah pemimpin PAS hanya membuat perkiraan berdasarkan keuntungan politik kepada mereka semata-mata?

Mana-mana yang dirasakan mereka tidak mendapat apa-apa atau memberikan kelebihan kepada kerajaan, mereka akan ‘buat dekk’ (pura-pura tidak tahu).

Pemimpin PAS boleh bersandiwara seolah-oleh tidak ada apa-apa berlaku sedangkan Filipina adalah jiran kita, lebih-lebih MILF yang dilanda krisis sekian malah, masalah masa 17 tahun merundingkan keamanan dengan Manila bukanlah sesuatu yang mudah.

Pencapaian perdamaian yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia ini sangat besar ertinya tetapi menghairankan sekali bagaimana pemimpin Islam dalam PAS boleh mengunci mulut gara-gara tidak mendapat apa-apa political milage.

Aquino (kanan) dan  Murad Ebrahim berkongsi kek ketika pemimpin Filipina itu melawat Mindanao, pada 11 Februari 2012.
Sebaliknya mereka riuh rendah memperkatakan apa yang berlaku di Mesir tetapi pendirian PAS mengenai usaha Malaysia membolehkan Filipina dan MILF menandatangani perjanjian bersejarah langsung tidak dipedulikan.

Malaysia diakui bertindak sebagai pemudah cara pihak ketiga dalam proses damai ini, dengan Kuala Lumpur mula menyertainya pada 2001.

Upacara bersejarah pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) berlangsung di ibu negara Filipina itu bermatlamat mewujudkan satu entiti politik berperintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro.

Mereka akan diberikan lebih banyak kuasa politik dan ekonomi bagi kepentingan rakyat di kawasan berkenaan. Entiti baru ini akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao, sejajar dengan Undang-undang Asas Bangsamoro, yang akan diluluskan Kongres Filipina dan disahkan penduduk terbabit.

Penyokong MILF di satu perhimpunan di Kota Cotabato, Mindanao bagi meraikan perjanjian dengan kerajaan Filipina hari ini.
Perjanjian penuh bersejarah yang diusahakan Malaysia hari ini berlangsung di perkarangan Istana Malacanang turut dihadiri Presiden Filipina Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.

Najib memberitahu, Malaysia berikrar untuk terus membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan bidang pertanian Bangsamoro.

Katanya, Malaysia juga berharap Bangsamoro akan bekerjasama dengan kerajaan Filipina bagi memastikan kejayaan Perjanjian Komprehensif yang dimeterai di antara kedua-dua pihak.

"Malaysia berasa bangga diberi penghormatan kerana dapat memainkan peranan bagi mencapai proses perdamaian membabitkan MILF dan kerajaan Filipina," katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro petang ini.


Ketika mengalu-alukan penandatanganan perjanjian itu, Najib berkata Malaysia akan terus membantu meningkatkan kemajuan Bangsamoro dalam usahanya untuk mewujudkan institusi, mengukuhkan pendidikan dan menambah baik sektor pertanian.

“Dua tahun lepas, saya berjanji kepada Presiden Aquino bahawa Malaysia akan terus memberi bantuan dari segi pembangunan. Janji ini terpakai selagi ia diperlukan. Malaysia akan terus menjadi rakan ke arah perdamaian,” tegas Najib.

Beliau berkata Malaysia bangga kerana dapat memainkan peranannya dalam proses damai Filipina-MILF, yang membantu mengukuhkan lagi ikatan kepercayaan antara Malaysia dan Kerajaan Filipina.

“Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan dan kemakmuran saudara kami di Bangsamoro dan Filipina. Sambil kita mengharapkan masa depan lebih cerah untuk Bangsamoro, saya berikrar Malaysia akan terus memberi sokongannya.

Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai pemudah cara pihak ketiga dan terus berusaha melalui Pasukan Pemantauan Antarabangsa di Mindanao,” katanya.

Najib yakin Kerajaan Filipina akan terus bekerjasama dengan MILF dalam menyediakan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro kerana sokongan semua pihak adalah penting sekiranya mereka ingin melihat ia diluluskan Kongres Filipina dan dalam pungutan suara di Bangsamoro.

Katanya CAB bersejarah itu menjamin hak rakyat Bangsamoro dan kedaulatan Filipina. "Kami berharap rakyat Bangsamoro akan bekerjasama dengan kerajaan Filipina dan MILF untuk menjamin kejayaannya,” katanya

 Najib menggesa semua pihak supaya menghayati semangat dan kandungan perjanjian itu bagi memastikan wujudnya sikap hormat terhadap agama dan mengamalkan prinsip membenci keganasan. "Kita patut menghormati hak asasi manusia, menjunjung tinggi keluhuran undang-undang dan mengamalkan kesederhanaan.

Hanya melalui penyelesaian yang dicapai secara rundingan, keamanan berkekalan boleh dinikmati. Dan hanya tadbir urus yang baik sahajalah yang boleh menjamin tercapainya cita-cita bersama kita: melihat Bangsamoro yang kuat dan makmur," kata beliau.

Najib menyifatkan penandatanganan perjanjian itu sebagai peristiwa bersejarah tentang keberanian dan yakin ia akan mengubah sejarah negara mereka.


"Dengan menyertai proses damai, MILF telah membalas kepercayaan yang diberi kepadanya oleh rakyat. Dengan berunding secara penuh keikhlasan, kerajaan Filipina mengesahkan hak Bangsamoro untuk menentukan nasib sendiri.

"Perpaduan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalaman. Selepas bertahun-tahun, tidak terdapat jalan pintas mengenainya.

Banyak lagi usaha perlu dilakukan dan akan terdapat halangan dalam melaksanakannya. Tetapi, komitmen terhadap keamanan - komitmen yang dapat saya lihat wujud di dalam dewan ini hari ini - tidak sepatutnya luntur," kata beliau.

Najib memuji usaha luar biasa yang dilakukan hingga membolehkan perjanjian itu ditandatangani, dengan kedua-dua pihak bekerja sepenuh hati untuk memastikan rakyat Bangsamoro dapat menikmati dividen keamanan yang tidak terhitung jumlahnya.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Aquino berkata rakyat Filipina akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran Malaysia memberi sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai itu.

Ketika menzahirkan penghargaannya kepada semua negara yang terlibat menjadikan perjanjian damai itu suatu kenyataan, beliau berkata sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, telah memainkan peranan penting.

Pertemuan awal MILF dan wakil kerajaan Filipina di Kuala Lumpur pada 11 April 2013..
"Kita sama-sama menunjukkan suatu contoh kepada seluruh dunia. Perjanjian ini menjadi bukti bahawa kepercayaan dan kesungguhan mampu menggerakkan sifat kemanusiaan ke tahap lebih jauh.

"Ia menunjukkan betapa kejujuran, perasaan muhibbah merupakan alat paling berkesan untuk menamatkan konflik, ia membuktikan bahawa usaha mencari kesepakatan pasti membawa hasil yang tidak terhitung banyaknya," kata beliau.


Aquino berkata Pihak Berkuasa Transisi Bangsamoro akan ditubuhkan menjelang 2015 untuk berfungsi sebagai kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya diadakan pada 2016.

Dokumen CAB 12 perkara itu ditandatangani pengerusi panel perdamaian MILF Mohagher Iqbal bagi pihak MILF dan ketua panel perdamaian Filipina Miriam Coronel-Ferel bagi pihak kerajaan Filipina.

Upacara menandatangani perjanjian itu disaksikan Najib dan Aquino dan pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro itu akan mengakhiri konflik selama berdekad antara kerajaan Filipina dan MILF.

Najib mewakili Malaysia selaku negara perantara perjanjian itu yang menyasarkan keamanan berpanjangan, sekaligus mengakhiri konflik berdarah selama berdekad di selatan Filipina.

Ketibaan Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Istana Malacanang di Manila disambut oleh pemimpin Filipina.

Rundingan damai dengan MILF, yang bermula pada 1997, bertujuan menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun 1970-an, yang sehingga kini telah meragut lebih 100,000 nyawa.

Kerajaan Filipina dan MILF dengan ini membuka lembaran baharu bagi hubungan mereka sebelum ini yang ditandai dengan permusuhan dan sikap saling tidak mempercayai apabila mereka duduk semeja untuk menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) bagi membuka jalan ke arah mencari penyelesaian politik di Mindanao.