Friday, September 30, 2011

KERAJAAN BUKAN LAGI PELINDUNG ORANG MELAYU UNTUK MAJU!

Melayu mesti membebaskan diri daripada bergantung atau berselindung di sebalik perlindungan kerajaan untuk maju dan capai kejayaan.

Melayu abad ke 21 mesti punya keupayaan dan kebolehan untuk berjaya dalam semua bidang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu bangsa Melayu abad ke-21 tidak berlindung di sebalik perlindungan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang.

Sebaliknya, beliau berkata bangsa Melayu abad ini perlu mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk mencapai hasrat tersebut.

"Kalau kita hendak menjadi bangsa yang bermaruah dan terhormat kita tidak boleh berselindung dengan kerajaan tetapi mesti ada keberanian dan keyakinan diri untuk berjaya.

"Ciri-ciri Melayu abad ke-21 yang berjaya bukan dilindungi tetapi kerana ada kelebihan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam. Inilah perubahan yang mesti ada," katanya.

Najib berkata cabaran pada abad ke-21 amat hebat, justeru bangsa Melayu perlu bersedia menghadapi segala perubahan dan persiapan yang secukupnya.

Beliau berkata bangsa Melayu perlu menjalin kerjasama dengan kerajaan kerana masa depan mereka juga berkait rapat dengan untung nasib kerajaan sedia ada.

"Dalam kita memastikan kejayaan orang Melayu, kita tidak boleh mengambil hak orang lain tetapi orang Melayu perlu menggunakan kuasa politik daripada kerajaan sedia ada.

"Sebagai contoh apabila kita melaksanakan projek MRT, kita memutuskan 43 peratus daripada projek ini diberikan kepada usahawan dan syarikat bumiputera. Jadi kita tidak ambil hak orang lain," katanya.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya NGO Melayu bertindak bersungguh-sungguh dan berkesan supaya tuntutan bangsa Melayu dapat diketengahkan dengan lebih jelas.

"Kita tidak boleh menyerahkan kepada kerajaan semata-mata tetapi perlu memperkasakan individu dan NGO yang akan bertindak sebagai barisan hadapan dalam menuntut apa yang perlu bangsa Melayu miliki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) di Kuala Lumpur, malam semalam.

MTEM merupakan platform untuk badan-badan bukan kerajaan (NGOs) ekonomi Melayu bersatu supaya lebih efektif dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang lestari di kalangan komuniti Melayu dan negara.

Jadi janganlah orang Melayu asyik-asyik menyalahkan kerajaan jika mereka gagal dan tidak mampu mencipta kejayaan.

Salahkan diri sendiri dan jangan asyik tuding jari kepada orang lain. Kerajaan tidak boleh menjadi pelindung orang Melayu selama-lamanya!

Thursday, September 29, 2011

PERLUKAH KITA RAKYAT MALAYSIA SEPERTI INI?

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong di laman web sosial melibatkan seorang individu yang dikatakan tinggal di Sweden.

Jangan beri mula. Namun, siapa individu itu?

Keturunan Melayu, Cina? Kadazan? Murut? India? Atau apa?

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata semalam, SKMM telah berhubung dengan pengendali Facebook dan Twitter untuk memadamkan paparan yang dibuat oleh individu yang menggunakan nama samaran ‘Makcik Hajjah Siti Al-Wuzara’.

Namun, Twitter tidak dapat memenuhi permintaan itu.

Identiti individu berkenaan dikenal pasti melalui bantuan pihak berkuasa hasil maklumat mengenai keluarganya. Ia dikemukakan kepada pihak Peguam Negara Isnin lalu.

Namun kerana kes itu melibatkan individu yang tinggal di Sweden, dia tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana ‘berada dalam perlindungan perjalanan antarabangsa’.

SKMM telah berhubung dengan pihak Interpol yang memberi isyarat sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu.

Kita harap individu berkenaan dikenakan tindakan undang-undang kalaupun dia tidak pulang pulang ke tanah air.

Lainlah kalau dia bercadang untuk tinggal selama-lamanya di luar negara.

Apakah kita memerlukan rakyat Malaysia seperti ini?

Tuesday, September 27, 2011

DAP, MCA, GERAKAN TAKUT HANTU, UMNO JANGAN TURUT MENGGIGIL...


(Bahagian Pertama)
Kalau Sudah ‘Hati Cina’, Ia Tetap ‘Hati Cina’...

Gara-gara kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Kelantan akan melaksanakan hukum Hudud, ramai kini ‘takut hantu’.

DAP, MCA, Gerakan dan sebahagian pemimpin UMNO boleh diibaratkan sebagai ‘budak kecil takut hantu’.

Kenapakah MCA dan Gerakan mahu mengikut rentak PAS yang cuba menarik perhatian pengundi khususnya di Kelantan selepas ia malu besar akibat ‘perbuatan Mat Sabu’?

PAS memainkan hukum Hudud kerana ia tersepit dengan slogan Negara Kebajikan yang kini tidak mendapat sokongan ramai pemimpin PAS yang masih mahukan Negara Islam.

Hukum Hudud yang dimainkan oleh PAS hanya semata-mata gimik pilihan raya kerana PAS tahu ia banyak halangan. Selepas pilihan raya PAS akan cari auta baru untuk menyalahkan Kerajaan Pusat seperti sebelum ini apabila gagal dilaksanakan.

Baik juga isu Hudud ini ditimbulkan kerana semakin jelas pemimpin Cina dalam Barisan Nasional yang dikatakan sekutu UMNO itu sebenarnya memainkan ‘politik ugut’ selePAS mereka ‘takut hantu’.

Jika sebelum ini kita hanya syak tetapi terserlah sudah ‘warna sebenar’ MCA dan Gerakan. Kalau dah ‘hati Cina’, ia tetap ‘hati Cina’ walau dalam apa juga parti yang dianuti!

Belum apa-apa MCA mengatakan ia sanggup berpisah dengan sekutu lamanya, UMNO, jika parti Melayu itu melaksanakan perundangan Islam itu.

Presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek yang terkenal dengan video panasnya mengatakan jika UMNO mahu melaksanakan hudud, MCA tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya.

"Apa yang jelas ialah MCA menentang hudud," katanya dengan tegas.

Begitu juga dengan Gerakan, Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn apabila turut mengugut dengan mengatakan kerjasama politik Gerakan dengan UMNO tidak dapat dipertahankan dan mungkin berakhir. jika hasrat melaksanakan Hudud diteruskan.

Benar kata Tun Dr Mahathir Mohamad Santu lalu bahawa kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana ia tidak menguntungkan BN.

Sepatutnya, MCA dan Gerakan kena faham bahawa kalaupun dilaksanakan, ia sebahagian daripada perkara yang menjadi janji PAS dan UMNO sendiri menyetujuinya untuk dilaksanakan di Kelantan.

Semalam, Nik Abdul Aziz berkata hukum hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.

Pemimpin kanan DAP dilaporkan akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadikan negara Islam atau melaksanakan hukum Hudud di negara ini.

Kini kita akan dapat menyaksikan sejauh mana pemimpin DAP akan bermain wayang kerana hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena mengena dengan masyarakat bukan Islam.

Kerana itu, MCA, Gerakan atau juga DAP tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Wajar sekali jika Nik Aziz menyifatkan DAP seperti "budak-budak kecil takutkan hantu" sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.

"DAP nak keluar (gabungan pembangkang) PASal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam," tanya beliau di kediaman Menteri Besar di Kota Bharu semalam.

Ikut Sambungan Bahagian Kedua

HUDUD DAN KELANTAN...PANDANGAN DR AZIZ BARI

Oleh Prof Dr Abdul Aziz Bari (Pensyarah di UIAM)

Selepas melawat Kelantan dan memberi taklimat kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam serta mendengar sentimen daripada akar umbi, saya kini boleh meluahkan perkara berikut; yang masyarakat di luar Kelantan tidak boleh menghargai.

Saya akui bahawa apa yang saya lihat dan dengar semasa lawatan singkat itu telah mengubah perspektif saya mengenai isu berkenaan.

1. Hudud adalah tuntutan/hasrat rakyat Kelantan. Tok Guru berada di bawah tekanan dan saya fikir mereka sanggup mengadakan referendum atau pungutan suara bagi tujuan itu.

Berdasarkan sentimen ini, pemimpin Umno di Kelantan mengutuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menolak hukum hudud yang secara tidak langsung membawa makna Umno boleh gulung tikar di negeri itu.

2. Seminar yang dianjurkan itu bukanlah sesuatu yang baru, saya pernah menjadi ahli panel untuk acara Hari Hudud pada tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah program tahunan walaupun sebelum Pakatan diwujudkan.

Bagaimanapun bagi tahun ini, media-media milik Umno telah memutar-belitkan isu itu atas sebab-sebab yang jelas: pilihan raya dan berharap ia dapat mengkucar-kacirkan Pakatan. Sebelum ini, Umno langsung tidak mempedulikan Hari Hudud.

3. Tetapi saya berpendapat Najib membuat langkah yang salah. Dengan menolak pelaksanaan hukum hudud, beliau berfikiran bahawa boleh mendapatkan sokongan dan undi masyarakat bukan Islam. Tetapi Tok Guru bukan bodoh. Mereka mempunyai laman Facebook sendiri dan berdasarkan maklum balas yang diterima, PAS yakin bahawa Umno kini tergugat atau terdedah di kawasan Melayu/Islam. Berdasarkan sambutan di Facebook, tidak ada jaminan bahawa mereka akan mendapat undi bukan Islam. DAP juga membuat kesilapan di sini.

4. Tok Guru telah menyatakan dengan jelas: hudud adalah hanya untuk Kelantan sahaja dan untuk orang Islam. Jadi apa masalah?

Saya telah berkata bahawa dari segi perlembagaan negara, ini tidak ada masalah. Masalahnya adalah dengan pengerusi DAP Karpal Singh dan parti itu yang yang berpegang pada keputusan mahkamah yang hakim itu sendiri - Tun Salleh Abas - mendakwa berlaku kesilapan.

Dan juga, apa yang DAP perkatakan bukan sahaja merupakan satu pandangan yang hanya betul. Ia hanya pendapat. Tidak ada kebenaran mutlak dalam hal ini.

Perkara yang paling penting untuk difahami adalah bahawa perlembagaan tidak melarang pemakaian undang-undang Islam. Malah Najib sendiri mengakui perkara itu sudah ada dalam sistem sekarang. Kini, PAS boleh berkata kepada PM: lakukannya.

5. Najib seolah-olah mengulangi apa yang saya katakan selama ini; bahawa unsur-unsur hudud sudah ada dalam sistem di negara ini. Persoalannya jika demikian, mengapa menentang PAS berhubung isu itu? Umno sepatutnya membantu dan bukannya menjadi halangan. Atas alasan itu, saya katakan Umno berada dalam bahaya kehilangan undi orang Melayu beragama Islam dalam usaha mereka merayu mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam.

Dan masyarakat bukan Islam tidak semestinya mempercayai apa yang dilaporkan oleh media mereka setakat ini. Cuba perhatikan apa yang PAS akan lakukan mulai hari ini berhubung isu berkenaan.

6. Tidak timbul persoalan mengubah dasar Pakatan, seperti yang didakwa oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, LimGuan Eng yang juga adalah setiausaha agung DAP.

Hukum hudud adalah hanya untuk Kelantan dan untuk umat Islam. Malah di Kedah, PAS mempunyai dasar yang berbeza. Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak tegas berkata hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negeri pimpinan PAS itu.

Nampaknya DAP cuba membuktikan bahawa mereka mendahului MCA dan Gerakan dalam usaha menentang hudud. Mereka terlepas pandang hakikat bahawa Nik Aziz hanya mendengar dan bertindak mengikut sentimen akar umbi di negeri itu.

Yang DAP lihat dari perspektif ini - sama seperti Umno, MCA dan Gerakan - mengambil pendekatan tidak demokratik. Mereka menolak hudud walaupun ia tuntutan orang ramai dan permintaan seumpama itu dibenarkan oleh perlembagaan.

Di Kelantan, PAS dengan yakin mengisytiharkan bahawa mandat untuk memerintah termasuk mandat untuk melaksanakan hudud. Jadi, pada dasarnya, ini adalah mengenai menghormati permintaan ramai dan bukannya semata-mata melaksanakan hukum hudud atau mengkhianati rakan-rakan Pakatan.

Kita harus ingat bahawa permintaan hudud di Kelantan dilakukan melalui saluran demokrasi. Ini adalah apa yang Umno, DAP, MCA dan Gerakan perlu sentiasa ingat.

7. Saya bersetuju dengan Tok Guru bahawa tiada perubahan dalam sistem atau di dalam polisi. Ia hanya melakukan sesuatu yang boleh didapati dalam kerangka sistem sedia ada . Tetapi sudah tentu beliau menyedari bahawa ini hanya boleh menjadi kenyataan dengan kerjasama dari Umno.

Akta Mahkamah Syariah yang akan mengekang kuasa mahkamah syariah selama ini perlu dimansuhkan dan juga bagi membolehkan agensi-agensi persekutuan seperti polis dan sebagainya menjalankan tugas mereka di sisi undang-undang.

Jika Umno menolak melakukan ini, maka PAS boleh mencanangkan perkara ini ke seluruh negara bagi mendedahkan tembelang sebenar Umno. Selama ini, Umno telah melakukan pelbagai perkara untuk membuktikan bahawa mereka adalah pembela dan pejuang Islam yang sebenar. Antara contohnya, seperti serbuan gereja di Selangor, isu kepala lembu dan sebagainya. Apabila Najib menolak hukum hudud, beliau sebenarnya telah merosakkan semua kerja keras parti dan ahli-ahli Umno lakukan selama ini.

8. Saya fikir PAS bersedia bertarung pada pilihan raya umum akan datang tanpa DAP. Mereka masih mempunyai PKR dan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) mereka sendiri.

Saya tidak pasti jika DAP, MCA dan Gerakan benar-benar mewakili masyarakat bukan Islam. Masalah dengan parti-parti Cina adalah kerana mereka berfikiran hudud tidak boleh diterima meskipun perlembagaan tidak menyatakan demikian.

Golongan berkecuali atau atas pagar di kalangan masyarakat bukan Islam saya fikir adalah rasional, mereka tidak bimbang, khususnya selepas Tok Guru memberi jaminan bahawa hukum hudud akan hanya dilaksanakan di Kelantan dan untuk umat Islam sahaja.

9. Umat Islam liberal? Undang-undang adalah jelas. Malah, sekarang pun, mereka tertakluk kepada undang-undang Islam. Mereka tidak mempunyai hak untuk memilih apa undang-undang.

Perlembagaan negara telah menyatakan dengan jelas bahawa di bawah Artikel 8 (5) bahawa hak sama-rata tidak boleh diguna-pakai. Sebagai contoh, jika orang Islam yang mempunyai hubungan seks dengan persetujuan orang bukan Islam, maka dia akan menghadapi tindakan manakala rakan bukan Islam akan terlepas dan dibebaskan.

10. Nik Aziz berkata, beliau ingin cuba melaksanakan hukum hudud di Kelantan sekarang kerana majoriti umat Islam di negeri itu telah memberikannya mandat. Negeri-negeri lain, katanya, hanya perlu menunggu dan melihat bagaimana Kelantan melakukannya. Jika ia 'baik' dan berjaya, mereka boleh melakukan perkara yang sama.

11. NGO seperti kumpulan pendesak Melayu, PERKASA, Pembela Islam dan yang lain perlu menyokong Kelantan dalam isu ini. Jika tidak, mereka menghadapi risiko dilabel sebagai boneka atau barua Umno semata-mata.

Daripada Malaysiakini