Wednesday, October 6, 2010

PHUA CHU KANG DISISI TUN DR MAHATHIR DI HOSPITAL AUSTRALIA?

Menyamakan Tun Dr Hasmah Mohd Ali dengan Phua Chu Kang?

Begitulah gambaran yang dikatakan oleh seorang pemimpin PAS Terengganu – Ustaz Saiful Bahari – terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Jika sebelum ini Azmin Ali mengatakan Dr Mahathir pemimpin yang ‘tersungkur’, melalui satu kenyataan terbukanya, Saiful menulis dalam blognya: “Bekas Perdana Menteri itu, Tun Dr. Mahathir dimasukkan ke hospital Epworth Melbourne, Australia selepas mengadu sakit dada, 2 Okt. lalu dan kini dilaporkan semakin pulih. Ketika dirakamkan di wad pada 11 pagi 4 Okt. Kelihatan beliau telah semakin sihat tetapi siapa disisi beliau?

Sekali imbas tengok macam Phua Chu Kang disisi, artis komedi terkenal TV Singapura. Dengan rambut palsunya bersama tahi lalat gergasi dipipi dan memakai but getah kuning. Rupa-rupanya yang ceria di sisi beliau adalah, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali. Nampak lebih muda dan sihat disamping suaminya tersayang. Rambut masih lagi tak beruban berbanding suaminya, Dr Mahathir meskipun usianya telah mencecah 84 tahun (12 Julai 1926). Nak kata seksi lagi tak munasabahlah…”

Saiful seterusnya berkata: “Hari ni pun banyak pewarna rambut yang sudahlah diragui bahan buatannya tetapi ia juga menegah telapnya air pada rambut yang jika seseorang itu mandi junub ia menjadi tidak sah. Samalah seperti cat kuku yang menjadi penghalang daripada sahnya wudhu’ maupun mandi junub. Tetapi bagi seseorang yang tak pernah sembahyang maupun mandi junub, apa sangat dikisahkannya. Cuma kalaulah dengan usia sedemikian beliau memakai pakaian seperti beliau kembali ke Malaysia dari Mekah tahun 1991 itu…. Alangkah lebih manis dan lebih baik dari segi syarak. Apapun ia bergantung dengan kepercayaan dan keimanan seseorang.”

Seterusnya Saiful mengulas pula mengenai kakak Dr Hasmah: “Lihatlah kakaknya (Datin Zaliha Mohd Ali)… tak beruban jugak. Apa agaknya hikmah dan petua yang diamalkan. Adakah ini nikmat dan kelebihan yang diberikan buat keluarga Siti Hasmah. Kelihatan muda dan panjang umur. Ingat ketika kisah nabi Musa a.s menemui yang menemui Firaun dah pernah menawarkan mukjizat untuk didoakan agar Firaun sentiasa muda jika ia beriman. Peringkat awal ia ingin beriman tetapi menterinya Haman mencadangkan diwarnakan rambutnya hitam untuk kelihatan muda. Sebab itu dilarang mewarnakan rambut dengan pewarna tetapi dibolehkan dengan menginainya.”

Dengan entri bertajuk “Gambar siapa disisi Tun Mahathir di Hospital Australia? “ itu juga Saiful ada mengatakan Dr Mahathir mahu meninjau tempat sesuai di Australia untuk berhijrah.

Kata Saiful: “Kenapa Mahathir ke Australia? Memang ada forum. Tetapi dalam masa yang sama meninjau tempat yang sesuai. Yelahh! Beliau pernah menyebut untuk berhijrah meninggalkan Malaysia jika PR menang. Biarlah Anwar memerintah menjadi PM. Dia nak lari keluar. Apapun diharap dapat pulang ke Malaysia selepas sembuh nanti. Pilihanraya lambat lagi dan PR belum memerintah. Nampaknya Ibrahim Ali dan PERKASA masih memerlukan beliau.”

Selanjutnya Saiful menulis mengenai pandangan politiknya yang bagi saya tidaklah perlu diperkatakan. Yang mahu ditimbulkan di sini hanyalah tiga perkara di atas.

Yang menariknya pada entri 4 Oktober, 7:14 am ini, ada kira-kira 20 komen dan 90 peratus ‘mengutuk’ cara ‘ustaz’ ini menggambarkan Dr Siti Hasmah sedemikian.

Saya perturunkan satu komen menarik yang tidak menyumpah seranah Saiful : “Sesugguhnya salah satu istizraz Allah kepada hambanya ialah dengan membiarkan hambanya merasa hebat dan benar. Lalu mereka merasakan apa yang dilakukan adalah benar. Merasakan ilmunya benar. Merasakan perbuatannya benar. Lalu Allah akan menambahkan lagi rasa kebenarannya dan rasa kehebatannya supaya dia terus menerus melakukan caci maki yang dirasakannya benar. Semoga Allah mengampunkan anda. Kembalilah kepada Al Quran dan Sunnah. Yang benar tetap benar. Yang salah tetap salah walau apapun party dan fahaman.”

Persoalannya, apakah dalam PAS yang mendakwa sebagai parti Islam juga 'ada binatang di kalangan manusia'?. Baca selanjutnya jika berminat di sini.

Tuesday, October 5, 2010

DR MAHATHIR KELUAR HOSPITAL DENGAN SEMANGAT TINGGI

Syukur Alhamdulilah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Hospital Epworth di Melbourne 12 tengah hari ini.

Laporan Bernama yang memerik seorang jurucakap hospital, berkata Dr. Mahathir keluar dari hospital dengan semangat yang tinggi.

Beliau telah berada di hotel penginapannya dan akan kembali ke tanah air minggu ini.

Bekas Perdana Menteri menerima rawatan di Hospital Epworth, Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru.

mStar yang memetik Pegawai Khas Dr Mahathir, Sufi Yusoff pula berkata, pasukan perubatan berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Dr Mahatahir.

"Namun beliau masih akan diletakkan di bawah pemerhatian untuk pemerhatian lanjut untuk satu tempoh yang belum ditentukan," katanya.

Selain itu menurut Sufi, Dr Mahathir akan ditempatkan di sebuah hotel berhampiran bagi memudahkan pasukan perubatan membuat pemantauan.

"Pelepasan dari hospital hari ini ke sebuah hotel berhampiran juga merupakan sebahagian daripada proses pemulihan untuk mencepatkan proses pemulihan Dr Mahathir.

"Sepanjang tempoh ini, pasukan perubatan akan terus memantau rawatan antibiotik serta menjalani fisioterapi susulan," katanya.

Dr Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali berada di Melbourne sejak Khamis lalu untuk berucap pada seminar pembangunan manusia anjuran Kelab UMNO Melbourne.

DALAM KUMPULAN MANUSIA ADA BINATANG...

WAJAH Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dirakamkan di wad Epworth Hospital Melbourne, Australia pada 11 pagi 4 Okt. kelihatan ceria di sisi isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali. Bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke hospital tersebut selepas mengadu sakit dada, 2 Okt. lalu dan kini dilaporkan semakin pulih. - Utusan

Daripada Utusan Malaysia 5 Oktober 2010
Tajuk asal “Biadabnya pemimpin pembangkang hina Dr. M"

Sewaktu Karpal Singh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dimasukkan ke Hospital Ipoh kerana sakit kencing manis, adiknya, mendiang Manjit Singh yang juga seorang peguam yang beroperasi di Alor Setar telah meminta melalui rakannya supaya saya menyampaikan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad agar abangnya dipindahkan ke hospital lain, yang lebih selesa dan mempunyai peralatan yang lebih lengkap tentang penyakit abangnya.

Sewaktu saya bercakap dengan Dr. Mahathir yang pada kebetulannya beliau melawat Alor Setar, disertai oleh Tun Daim Zainuddin dan saya memaklumkan mengenai permintaan adik Karpal Singh itu.

Kata Dr. Mahathir, "Saya akan periksa (I will check)". Selang tidak berapa hari kemudian, Karpal Singh dipindahkan ke hospital yang lebih baik di Kuala Lumpur.

Semasa perjumpaan tahunan antara media dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sewaktu saya menjadi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, saya ditempatkan berada di meja utama dengan Dr. Mahathir di sebelah kanan saya, dan Tun Haniff Omar di sebelah kanan Dr. Mahathir.

Di sebelah saya, seorang menteri yang saya tidak dapat sebut namanya kerana telah meninggal dunia. Sepanjang ingatan saya, Datuk Mohamed Rahmat turut hadir bersama selaku Menteri Penerangan pada waktu itu.

Saya telah bertanya kepada Dr. Mahathir apa yang akan beliau lakukan sekiranya sesuatu berlaku ke atas Tunku Abdul Rahman. Beliau menjawab, "Saya belum tahu", (sememangnya Tun Dr. Mahathir menyembunyikan sesuatu sehingga perkara itu berlaku).

Menteri yang duduk di sebelah saya mencelah katanya, "Saya tidak akan pergi menziarah jenazah Tunku." Dr. Mahathir bertanya kenapa kepada menteri tersebut?
Saya masih ingat Ketua Pengarang Utusan Melayu pada waktu itu, Zainuddin Maidin (sekarang ini Tan Sri) ada bersama.

Dalam tidak berapa hari kemudian, Tunku Abdul Rahman meninggal dunia. Tun Dr. Mahathir telah memberi cuti am (state funeral) sebagai menghormati perjuangan Tunku dan juga sebagai bekas Perdana Menteri.

Beliau juga turut mengiringi jenazah sehingga ke Makam Diraja Langgar dan menunggu sehingga selesai pengebumian Tunku. Seorang kerabat Diraja Kedah telah bertanya.

"Bagaimana Dr. Mahathir boleh melakukan ini, setahu saya Dr. selalu bertelingkah dengan Tunku."

Kata Dr. Mahathir, "Itu pertelingkahan pandangan, bukan soal peribadi." Begitulah sikap seorang Perdana Menteri yang beradab dan bersopan serta disanjungi jutaan rakyat.

Baru-baru ini, seorang pemimpin parti politik yang hampir hancur menyebut Dr. Mahathir tersungkur di Australia. Saya merasa amat sedih kerana sikap bongkak dan biadab manusia yang tidak bersopan itu.

Beginikah sikap pemimpin yang wajar dijadikan pemimpin negara. Betullah seperti mana yang diulang berkali-kali dalam TV3. "Di dalam kumpulan binatang tidak ada manusia, tetapi di dalam kumpulan manusia ada binatang." Inilah ungkapan yang tepat sekali.

Monday, October 4, 2010

KINI 'KERAJAAN 2 BERADIK’ SELEPAS 'KERAJAAN TIGA BERANAK'

Zaharin Mohd Yassin yang juga dikenali sebagai ‘Sang Kelembai’ memang terkenal dengan kelantangan dan keanehannya.

Beliau yang memegang jawatan politik di satu Bahagian UMNO di Kuala Lumpur dan seorang blogger sering menjadi tumpuan kepada pemimpin UMNO, khususnya dari luar Kuala Lumpur.

Yang di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Kelang sudah lama mengenalinya.

Namun suatu hari minggu lalu ketika saya bersama denga teman dari Persatuan Anak Terengganu di Lembah Kelang (PESAT) dan seorang lagi dari Yayasan Diraja Sultan Mizan sedang rancak berbincang di ‘kedai kopi’ kegemaran saya di Seri Pacific, Kuala Lumpur, Zaharin tiba-tiba muncul.

Lama tidak bertemu dengannya. Hampir lapan bulan.

Saya menyapanya dengan bertanyakan bagaimana kerja dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Hakikatnya ramai yang mahu mendekati Perdana Menteri dan berada di kedudukan sepertinya tetapi tidak seperti Zaharian yang ditawarkan oleh Perdana Menteri. Besar nilai jawatan itu!

Ketika saya mendapat tahu Zaharin bekerja dengan Najib melalui blog rakan – Merah Tinta - Dengan tajuk ‘Sang Kelambai Jadi Pegawai Perdana Menteri’ saya terkejut juga bagaimana dalam ramai-ramai blogger elit, Zaharin dipilih oleh Najib.

Lagipun, Najib dan orang UMNO tahu Zaharin belasah Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) habis-habisan dengan label ‘Kerajaan Tiga Beranak’ dan dengan mengambil Zaharin, apakah Najib tidak gusar jika dikatakan antara orang yang berusaha menjatuhkan Pak Lah.

Menurut MSO: “Bertuah badan, bloger yang menamankan dirinya Sang Kelambai atau Zaharin Mohd Yassin dikatakan akan memulakan tugas baru pada 1 Februari ini. Nampaknya hari ulang tahun Wilayah Persekutuan KL membawa tuah kepada Zaharin. Beliau khabarnya akan dilantik menjadi salah seorang pegawai Perdana Menteri selaku Pegawai Tugas-Tugas Khas.”

“Saya tumpang seronok dan gembira atas perkembangan ini. Molek dan kena sangatlah kalau Najib mengambil Zaharin sebagai salah seorang pegawainya. Zaharin memang mempunyai pengalaman banyak dalam politik. Dia walaupun begitu tetapi bukan tokoh sembarangan. Kenalan politiknya menjangkau jauh, dari parti kesayangannya Umno kepadalah parti-parti pembangkang seperti Pas.

Dia juga diterima dan dimanfaatkan oleh banyak pihak. Dalam masa tertentu Pas menggunakan Zaharin sebagai pemenuh majlis ceramahnya. Hujan dan hentaman Zaharin terhadap Umno boleh tahan juga. Salah satu sebab kenapa Abdullah Badawi panas punggung semasa jadi PM ialah gara-gara serangan terbuka Zaharin terhadap perdana menteri itu. Istilah kerajaan anak beranak yang dilemparkan kepada Abdullah adalah hasil idea Zaharin
.” (Baca Selanjutnya) .

Berbalik kepada perbualan saya, Zaharin mengatakan beliau tidak mampu bekerja lama dengan Najib.

“Aku tidak selesa bekerja begitu. Aku senang seperti biasa, Menjadi orang biasa bukan orang keliling Perdana Menteri,” kata Zaharin.

Lantas dia mula bercerita kepada dua rakan saya – kedua-duanya dari Terengganu – bagaimana peranannya berjaya ‘menjatuhkan’ seorang Ketua Bahagian yang disifatnya sebagai ‘mementingkan kekayaan’ dan kini hanya menjadi Bendahari Bahagian.

Saya berdiam diri tidak berminat dengan topik itu kerana orang yang diperkatakan itu – seorang Datuk juga rakan saya.

Saya cuba menyelongkar fikiran Zaharin kenapa beliau berhenti.

“Saya senang dengan kerja seperti ini. Dapat bertemu seseiapa sahaja. Ini kawan awak ini...waktu dia jadi Ketua Pengarang...gaji saya lebih besar darinya ketika itu,” katanya merujuk kepada tugas yang dijalankan oleh beliau ketika saya menjadi Ketua Pengarang akhbar Harian Watan milik Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor (kini Datuk Seri) antara 1996 hingga 1997.

“Berbelas ribu,” katanya. Saya akui kata-kata Zaharin kerana cara hidupnya jika tidak mempunyai pendapatan RM15,000 sebulan, sukar untuk bertahan.

Dan hingga hari ini Zaharin mampu bertahan. Persoalannya siapa yang ‘menjaga kepentingannya’? dan untuk apa? Juga bagaimana Zaharin dapat menikmati kehidupan selesa sedemikianj rupa dan kesekian lama?

Itulah kelebihan dan keanehan Zaharuin.

Banyak lagi isu-isu lain yang Zaharin perkatakan ketika saya menikmati mee kongfu dengan enak sekali sambil dua rakan saya terpegun dengan Zaharin.

Di akhir perbualan apabila saya mengemukakan soalan mengenai hubungannya dengan Najib, Zaharin mengatakan mereka baik.

“Tidak ada masalah. Saya baik dengan Perdana Menteri kerajaan ‘2 Beradik’ ini.” Katanya tegas.

Saya jadi termanggu kerana Zaharin mula memperkenalkan label baru kepada kerajaan pimpinan Najib dengan ‘Kerajaan 2 Beradik’.

Apakah ada langkah dan strategi Zaharin selepas ini?

Apakah ada sebab lain kenapa Zaharin tidak mahu bekerja dengan Najib?

Natijahnya – saya kini menunggu apa perkembangan Zaharin selepas ini.