Friday, September 24, 2010

AWAS, MELAYU AKAN KEHILANGAN KUASA

Baca dan ambillah berkesempatan untuk membaca. Ini pandangan yang perlu kita renung dan fikir semasak-masaknya.

Ini bukan kritikan terhadap Datuk Seri Nazri Aziz atau menyokong PERKASA. Ini mengenai nasib bangsa Melayu jika berada di bawah pemerintahan ‘orang lain’.

Nasihat Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ini untuk orang Melayu. Bukan ditunjukan kepada bangsa lain.

Tidak ada siapa pun yang berani berkata benar mengenai Melayu ketika ini selain Dr Mahathir. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak terpaksa ‘mengambil hati’ banyak pihak. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mungkin ‘semakin lena dibuai mimpi’ sementara Pergerakan Pemuda UMNO bukan lagi bersuara untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Jangan tuduh Dr Mahathir rasis kepada menyuarakan seperti ini. Yang rasis adalah mereka yang mahu mengambil hak orang lain sedangkan hak mereka dipertahankan habis-habisan. Orang Melayu tidak berperangai begitu. Walaupun haknya kini sedang dicabar mereka tidakpun menuntut hak orang lain.

Persoalannya apakah 1Malaysia mempertahankan Hak Melayu?


Baca pandangan Dr Mahathir berikut:

Melayu hilang kuasa
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR (Utusan Malaysia)
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selePAS pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada PAS.

“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.

“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com yang disiarkan hari ini.

Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili PAS ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.

Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.

“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu meramPAS tampuk pemerintahan daripada BN.

Sebagai contoh, katanya, PKR wujud bukan kerana mahu menuntut keadilan buat rakyat di negara ini tetapi sebagai platform merealisasikan cita-cita seorang pemimpinnya yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.

“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi. Itulah terbentuknya keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh PKR seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” jelasnya.

Wednesday, September 22, 2010

RM4b BUAT PAS, HUSAM TIDUR NYENYAK...

Datuk Husam Musa boleh tidur nyenyak. Tidak payah fikir-fikir lagi mana nak cari duit untuk tabung tawan Putrajaya.

Pada 20 Julai lalu, Pakatan Rakyat dikatakan mahu melancarkan Tabung Impian Rakyat (TIRAM) bernilai RM20 juta bagi mempersiapkan diri mereka ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Katanya, pelancaran tabung berkenaan akan dibuat dalam bentuk majlis makan malam untuk pungutan derma dengan mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM20 juta.

"Sehingga kini, Datuk Seri Anwar dan Tok Guru Nik Aziz sudah mengesahkan penyertaan mereka," kata Husam yang dipetik oleh Harakahdaily.

Husam yang dilantik Pengerusi TIRAM, berkata pada tarikh itu berkata pelancaran tabung dibuat pada 7 Ogos di Stadium Melawati Shah Alam dengan dihadiri pemimpin kanan Pakatan.

Namun sehingga kini tidak diketahui berapa jumlah yang berjaya dikumpul dan sejauh mana majlis makan malam itu mendapat sambutan.

Husam yang juga Exco kerajaan Kelantan,membuat kenyataan itu sebagai reaksi dan penjelasan bahawa PAS mahupun kerajaan negeri tidak pernah membayar sesiapapun sebanyak RM4 juta seperti yang didakwa untuk menjatuhkan kerajaan termasuk bekas perdana menteri Datuk Deri Abdullah Ahmad Badawi (kini bergelar Tun).

Katanya, PAS sejak dari dulu mendapat bantuan kewangan dari sumbangan ahli-ahli mereka untuk membantu perjuangan parti itu dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.

Jadi janganlah terkejut kerana kantong PAS kini sudah buncit dan mungkin hampir meletup.

Apa tidaknya, kerana tabung PAS kini menerima RM4 bilion. Wow....banyak perkata boleh buat dengan wang sebanyak itu.

Orang Melayu ‘terkaya’ di dunia yang memiliki syarikat perniagaan dan pelaburan sudah mengumumkan pada satu majlis makan malam di Kota Bharu menganugerahkan PAS RM4 bilion (RM4,000 juta) atau RM4,000,000,000.

Alasan individu dan syarikat berkenaan menderma kepada PAS adalah untuk membantu kerajaan negeri membangunkan prasarana beberapa jajahan yang mundur di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif I'DA World Group Sdn Bhd (I'DA World), Abdul Rahim Abdul Wahab (gambar kiri), kelmarin mendakwa sumbangan itu bukan membalas ganjaran diberikan Kerajaan Kelantan kepada syarikat itu membangunkan projek di Tumpat, Kelantan, yang bernilai lebih RM300 bilion.

Diulang, bukan, bukan dan bukan balas ganjaran. Bukan sama sekali. Mana boleh ‘orang Islam’ balas budi macam itu. Berdosa besar.

Dengan kata lain sumbangan I'DA World ini tidak ada kena mengena dengan projek diperoleh syarikat daripada kerajaan negeri yang bernilai lebih RM300 bilion.

Kata Abdul Rahim , anak Kelantan yang kini menetap di luar negara., ia lebih kepada membantu membangunkan beberapa jajahan di negeri ini seperti pekan Rantau Panjang, yang kelihatan mundur dan memerlukan bantuan untuk pembangunan, katanya.

Sesiapa juga termasuk rakan-rakan blogger, jangan nak buat hal dengan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat.

Baik suruh pihak-pihak yang berwajib menyiasat secara telus dari mana syarikat berkenaan begitu banyak duit, yang mengalahkan ramai Melayu lain yang kaya seperti Syed Mokhtar Albukhary (harta bernilai RM1,100 Juta), Azman Hashim ( RM470 juta), Mokhzani Mahathir ( RM215 juta) atau juga Kamarudin Meranun (RM205 juta) dan jangan lupa Daim Zainuddin!

Walaupun Husam tidak terima duit ini namun dengan PAS berada pada kedudukan amat selesa sekarang, pada pilihan raya umum ke 13 nanti, wang akan bertaburan dan boleh digunakan oleh Husam dan pakatan pembangkang. Barisan Nasional (BN) pastinya sukar untuk menandingi jentera PAS.

Pengumuman untuk tabung PAS yang dibuat sejurus selepas penyampaian surat pelantikan kepada 100 kontraktor itu mengejutkan apabila pada majlis makan malam anjuran syarikat itu, pengacara majlis membuat pengumuman sumbangan firma itu kepada Kerajaan Pas Kelantan dengan mempamerkan replika cek memaparkan nilai RM4 bilion atas nama Parti Islam Se-Malaysia.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau tahu-menahu mengenai sumbangan sebanyak RM4 bilion itu tetapi adik NIk Aziz menerima replika bantuan berkenaan. Bernama melaporkan, adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion dari I'DA World atas sifat peribadi dan bukannya mewakili parti atau kerajaan Kelantan.

Beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Nik Aziz untuk menerima replika cek itu pada suatu majlis di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu, dua hari lepas.

"Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka kepada Utusan Malaysia.

Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.

Berdasarkan taklimat yang disampaikan pada majlis itu, I'DA World dengan modal berbayar RM1 juta mendakwa mempunyai aset lebih AS$2 trilion.

Firma itu bercadang membangunkan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) di Tumpat, dengan anggaran kos pembangunan RM313.71 bilion, selain beberapa projek membabitkan empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan membabitkan kos keseluruhannya RM1 trilion.

Antara projek yang mahu dilaksanakan termasuk pembinaan lebuh raya Link Timur-Barat (EWL) yang turut dilengkapi dengan saluran minyak dari Tumpat ke Yan, Kedah; landasan kereta api berkembar dan beberapa terowong pintas melalui Banjaran Titiwangsa.

Anehnya, Nik Aziz berkata, kerajaan negeri tidak pernah meluluskan projek untuk membangunkan Pantai Sri Tujoh, Tumpat seperti yang didakwa oleh Pengerusi Eksekutif I'Da World, Abdul Rahim Abdul Wahab.

"Sebagai ketua parti, saya tidak tahu pasal duit RM4 bilion, baru pagi ini saya tahu. Dia (Abdul Rahim) baru jumpa saya dua hari lepas dan dua bulan lepas juga dia (ada) datang juga. Mengenai projek di Pantai Sri Tujoh, nak lulus (sesuatu projek) kena buat surat, (hantar permohonan) ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan kemudian ke Exco. Dia kata nak buat projek, saya kata marilah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Model Baru Ekonomi (MBE) di Kota Darul Naim di Kota Bharu semalam.

Jika sebelum ini Husam menganggap RM4 juta untuk menjatuhkan Pak Lah sebagai fitnah, RM4 bilion untuk PAS ini janganlah anggap fitnah kerana replika cek sudah diterima dan ia adalah sumbangan ikhlas daripada orang Kelantan sendiri.

Selamat maju jaya kepada usaha merampas Putrajaya dengan wang RM4 bilion ini.

PR PDRM PERLU DIPERTINGKAT...

Wartawan meja jenayah Kosmo!, Nuraishah Amin dibantu Lans Koperal Faizyal Jamaludin menggunakan komputer riba di Pusat Media PDRM selepas majlis pelancaran oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien di Kuala Lumpur. 21 Sept. –Gambar Utusan


Akhirnya apa yang selama ini ditunggu datang juga.

Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melancarkan pusat medianya bertujuan mengatasi masalah dan salah faham berkaitan laporan berita dan kes-kes jenayah di seluruh negara.

Soal sekarang ialah apakah hebahan dan penjelasan PDRM mengenai sesuatu isu berkesan?

Dalam satu-satu kes jenayah atau kritikan pihak tertentu terhadap polis khusysnya oleh pembangkang, selalunya jawapan berbagai dibuat oleh PDRM yang menggambarkan tiada ‘penyelarasan’ antara jabatan dalam PDRM.

Kadangkalanya kenyataan oleh Menteri Dalam Negeri atau timbalannya ada unsur-unsur ‘kelainan’ dan sesetengahnya bertentangan antara satu sama lain.

Cara perhubungan awam (PR) PDRM perlu diselaras, bukan sekadar menubuhkan pusat media.

Penjelasan cepat dan strategik oleh polis terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan memerlukan pasukan PR PDRM yang professional dan bijak menangkis serangan terhadap imej pasukan itu.

Kita lihat bagaimana PDRM dihentam dan diperlecehkan begitu teruk dalam kes-kes seperti pembunuhan Altantuya, kematian Kugan serta juga kes kematian Teoh Beng Hock.

Malah, seaorang pegawai polis berpangkat tinggi mengakui PR PDRM di Bukit Aman ‘sedikit teruk’.

Menurutnya berbanding dengan PR yang dilakukan polis Singapura, kita jauh ketinggalan. Cara mereka menjelaskan isu amat professional bagi membuktikan perkhidmatan kepolisan berintegriti dan perlu dihormati.

Apakah selama ini PDRM tidak melihat kepada pentingnya maklumat dan penjelasan kepada kritikan-kritikan terehadap mereka yang menyebabkan suatu ketika polis dilihat sebagai pasukan yang tidak boleh diharap dan dipercayai.

Belajarlah PR polis dengan negara-negara yang lebih berjaya walaupun hakikatnya cara polis menggendalikan kes di negara kita antara yang top di dunia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata semalam, dengan pelancaran pusat media itu semalam , pengamal media dapat bekerjasama dengan polis dalam menyalurkan berita-berita yang tepat, sahih, benar dan cepat kepada masyarakat.

Melalui pusat media ini, saya percaya pihak media dan PDRM boleh menjalinkan kerjasama bagi menyampaikan hasrat agar berita dapat disalurkan dengan telus dan tidak dibelenggu dengan apa-apa masalah antara media dan PDRM," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Media PDRM yang dirasmikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Memang media sejak kesekian lama berganding bahu dengan PDRM tetapi banyak ketika apabila memerlukan maklumat yang berupa PR untuk polis mereka menghadapi masalah kepada siapa mahu dirujuk.

Memanglah media boleh mendapatkan hebahan lain selain berita dan kes jenayah melalui pusat ini tetapi kadangkalanya media memerlukan maklumat yan g lebih daripada itu dalam kes-kes istimewa.

Kita mengalu-alukan pusat media ini kerana masyarakat juga boleh mengetahui aktiviti 'community policing' yang diadakan di kawasan kediaman mereka menerusi portal Facebook PDRM yang julung kali diperkenalkan itu.

Seperti kata Ketua Polis Negara, "Facebook sebagai medium baru untuk mendekati masyarakat, di mana sudah tiba masa polis melaksanakan strategi ofensif daripada defensif dalam hubungan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan PDRM."

Beliau berkata pendekatan 'Facebook' juga dilihat mampu memecah dinding halangan dan persepsi negatif yang terbentuk di kalangan segelintir masyarakat terhadap polis.

Dengan dikendalikan oleh pegawai-pegawai terpilih dari cawangan Perhubungan Awam, Bukit Aman yang mempunyai kemahiran dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam , pusat media ini perlu dipertingkatkan fungsi dan kemudahan mengikut aliran dan kedudukan semasa.

Apapun, penubuhan pusat media itu ternyata mencerminkan bahawa PDRM fokus dan komited dalam menyampaikan maklumat yang perlu diketahui rakyat dan kelemahan sudah pasti boleh diperbaiki dari masa ke masa.

Tuesday, September 21, 2010

KELUARGA ANWAR BERANTAKAN GARA-GARA AZMIN?


Sah sudah. Gara-gara perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu November ini, wujud pertentangan pendapat keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun tidak sehingga ‘konflik keluarga’ pertentangan ini jelas menggambarkan betapa cakap-cakap bahawa keluarga Anwar sedang ‘berpecah’ akibat sokongan Anwar kepada Azmin Ali memang tepat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar semalam mengakui wujud perbezaan pendapat dalam keluarganya terutama berhubung perebutan jawatan berkenaan.

Bagaimanapun beliau menyifatkan perbezaan berkenaan tidak boleh digambarkan sebagai 'konflik keluarga' seperti yang diperkatakan banyak pihak.

"Memang wujud perbezaan pendapat dalam keluraga saya, tapi tidaklah sampai ke tahap yang boleh digambarkan sebagai konflik.

"Umpamanya berbeza pandangan dari segi soal dasar, ia adalah perkara biasa dan perkara berkenaan selaras dengan hak kebebasan bersuara," katanya kepada mStar Online di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak yang mendakwa sokongan terbuka Nurul Izzah terhadap calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim seolah-oleh mengesahkan wujud konflik antara keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Mohamed Azmin Ali.

Saidatul Badru dilaporkan berkata sokongan Nurul Izzah itu merungkai segala persoalan berhubung hubungan ahli keluarganya yang didakwa tidak baik dengan Azmin.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, sehingga kini menyaksikan empat pemimpin layak bertanding iaitu Naib Presiden, Mohamed Azmin mendapat 36 pencalonan, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Zaid (19); Pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub (10) dan Pengarah Strategik PKR, Tian Chua (2).

Mohamed Azmin dikatakan menjadi pilihan Anwar yang juga Penasihat PKR untuk memenangi jawatan berkenaan.

Malah baru-baru ini kumpulan terdiri daripada 20 Ahli Parlimen PKR turut mengumumkan sokongan penuh mereka terhadap Mohamed Azmin.

Namun Nurul Izzah tidak termasuk dalam kumpulan berkenaan. (Baca selanjutnya di sini)