Wednesday, November 23, 2016

RUU 355 SEBAGAI PENCETUS KERJASAMA UMNO-PAS HADAPI PRU-14?


"Apakah menteri Kabinet yang sesetengahnya ketua parti komponen BN akan menyokong RUU 355...jika menentang apakah akan digugurkan daripada Kabinet atau mereka sukarela meletakkan jawatan?

PAS boleh mencipta sejarah hari ini atau esok kerana usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 akan berjaya dibentangkan sama ada hari ini atau esok.

Ia juga akan menjadi pencetus kepada kerjasama UMNO-PAS yang akan menjadi kenyataan selepas ini bagi kepentingan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dan kepentingan umat Islam.

Usaha PAS melobi dan menyokong kerajaan dalam banyak perkara mendatangkan kemenangan politik dan moral kepada PAS.

Kebimbangan PAS bahawa usul itu akan tersekat kini tiada lagi. Pada hari pertama sidang parlimen Oktober lalu, usul persendirian yang dibawa anggota parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada pada giliran nombor empat.

Dari giliran keempat, usul Hadi bagi membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) itu, diturunkan ke tempat ketujuh dalam kertas aturan mesyuarat.

Ia kemudian diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaan dimasukkan dalam senarai apabila usul kerajaan didahulukan berbanding usul persendirian.

Berbaloi Hadi  menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu derma RM2.6 bilion, tiada kecurian dan penyelewengan wang rakyat, serta tidak menyertai BERSIH 5.0 terbaru, serta banyak lagi.

Kenyataan-kenyataan yang dilihat menyokong, menepis tanggapan pembangkang lain dan membela Perdana Menteri kini berbalas apabila Akta 355 dapat dibentangkan akhirnya.


Kejayaan membawa usul RUU 355 ini adalah kemenangan kepada PAS sebelum PRU14 dan keyakinan kepada UMNO bahawa ia kini mempunyai rakan rapat yang akan menjamin kuasa Melayu dan Islam (untuk menjamin UMNO dan PAS sama-sama membentuk kerajaan).

Penyatuan ini diyakini oleh UMNO-PAS untuk menggagalkan usaha pakatan pembangkang yang bersekutu dengan bukan Islam untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Najib.

Malah, DAP kini semakin digambarkan sebagai parti cauvinis, anti-Islam serta anti-Melayu, walaupun bergabung dengan PKR, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan penuh keyakinan mengatakan Akta 355 itu akan dapat dibentangkan sebelum tamatnya sidang Dewan Rakyat kali ini. Sesi parlimen tahun ini akan berakhir esok (Khamis}.

"Akan dibentangkan minggu ini, akan dibentangkan minggu ini," katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat khas kepada anggota parlimen Islam berkaitan RUU Akta 355 di bangunan sementara Parlimen, semalam.

Turut serta memberikan taklimat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Zahid yang juga ketua whip BN menjelaskan semalam,  beliau turut akan mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri untuk menubuhkan jawatankuasa pemilihan (select committee) bagi memberi penjelasan terperinci berhubung pindaan akta berkenaan.

"Oleh yang demikian, penjelasan kita bincang tadi antaranya mengambil keputusan supaya sebuah jawatankuasa pemilihan dibentuk yang melibatkan ahli parlimen Islam dan bukan Islam dalam jawatankuasa itu.

"Ia untuk memperincikan jika terdapat unsur tak jelas mengenai pembahagian kuasa yang ada dalam Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil," katanya sambil menegaskan pindaan akta tersebut hanya untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah sahaja.

Tengku Razaleigh...apa reaksinya?
Menurut anggota parlimen Bagan Datoh itu lagi, cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri untuk mendapat persetujuan Kabinet.

"Saya akan bawa cadangan ini kepada perdana menteri untuk dibentangkan di mesyuarat jemaah menteri bagi mendapat persetujuan kabinet supaya perkara ini dapat diterima pakai kerana cadangan-cadangan yang disebut ahli parlimen dari pelbagai parti adalah pertama kali.

"Ia satu permulaan yang baik dan kita hormati sensitiviti agama lain...dan tidaklah tujuan Marang (Abdul Hadi) untuk mempolemikkan keadaan atau mengeruhkan suasana kepelbagaian agama di negara ini," katanya lagi.

Hadi yang dijangka akan membentangkan rang RUU itu dijangka akan diluluskan  pada bacaan pertama dan kerajaan akan angkat untuk sesi debat pada sidang akan datang.

Untuk meluluskannya, jelas sekali memerlukan persetujuan oleh semua ahli parlimen Islam untuk membolehkan perbahasan akan dilakukan  pada sidang parlimen sesi tahun hadapan.

Kini PAS sudah memenangi pusingan pertama dan kesediaan UMNO untuk membukan  laluan sudah tentu menuntut sokongan PAS bagi UMNO berdepan isu penting yang mengancamnya ketika ini.

Namun di sebalik itu, apakah tidak akan ada bantahan daripada anggota Parlimen Islam dari pembangkang dan UMNO sendiri untuk pengundian?

Apakah ahli Parlimen UMNO seperti Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) akan turut akur atau tetap dengan pendiriannya menentang RUU 355?

Juga sejauh ini belum dapat dipastikan apa reaksi anggota Parlimen pembangkang terhadap usul yang akan bentangkan hari ini atau esok.

Apakah mereka tetap dengan pendirian menolak Akta 355?

Bagaimana pula dengan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) bukan Islam sama ada dari Semenanjung atau Sabah dan Sarawak?

Kebimbangan tetap wujud bahawa mereka akan kekal menentang usul ini dan kelak apa kesannya kepada keutuhan BN itu sendiri?

Parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC sebelum ini menentang dan begitu juga komponen dari Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera (PPB) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dari Sabah.


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adnan Satem (gambar atas)sendiri menentang Akta 355 dan bagaimana Menteri Kabinet yang mewaKILI parti berkenaan?

Kerajaan, UMNO dan BN berusaha untuk mendapatkan sokongan apabila membuat cadangan penubuhan jawatankuasa untuk dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri untuk mendapat persetujuan Kabinet.

Ini bermakna KONSENSUS belum ada di kalangan menteri Kabinet, khususnya di kalangan pemimpin parti komponen BN mengenai isu ini.

Persoalannya apakah menteri Kabinet daripada pelbagai parti semuanya akan menyokong RUU355 dan sanggup mengubah pendirian mereka?

Jika mereka menentang, apakah kesannya? Apakah menteri berkenaan yang rata-rata Presiden kepada parti komponen penting BN digugurkan daripada Kabinet?

Atau mereka meletakkan jawatan seperti ‘diikrarkan’ sebelum ini?

Atau apakah perkahwinan PAS dan UMNO kerana RUU 355 ini hanya bersifat mutaah untuk kepentingan PRU14 semata-mata selepas perkara ini difahamkan kepada rakan (komponen) mereka dalam BN?

Dr Ahmad Zahid sudah berjanji untuk melakukan apa sahaja terhadap cadangan agar diterima oleh Kabinet dan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ini ujian penting untuk Dr Ahmad Zahid untuk membuktikan keupayaannya dan sebarang ‘masalah’ atau mungkin ‘kekecohan’ kelak adalah tanggungjawabnya.

Tahniah kerana berani ‘meletakkan pisau di leher’ tetapi usaha Dr Ahmad Zahid ini jika ditakdirkan berjaya, akan membuka kepada ruang kerjasama UMNO-PAS yang akan semakin kukuh.

Melayu dan Islam UMNO-PAS akan semakin kukuh.

Namun,  apakah yang bukan Melayu dan bukan Islam terus menyokong BN?

Apakah mereka boleh menerima UMNO yang  yang kini mendapat sekutu baharu yang selama ini dilihat oleh mereka ‘membawa suatu pendekatan’ yang dianggap bertentangan dengan Perlembagaan?


Juga apakah mereka sanggup dan bersedia mengakui bahawa Akta 355 itu BUKAN HUDUD dan ia semata-mata untuk kepentingan orang Islam?

No comments:

Post a Comment