Thursday, October 22, 2015

TOLAK BAJET 2016 KERANA IA TIDAK MANFAATKAN RAKYAT DAN NEGARA?


"Pada kebiasaannya, saya tidak fikir mereka akan mengundi menolak bajet. Tetapi berdasarkan isu-isu substantif dan jika mereka berfikiran perlu bagi menentang perdana menteri tetapi bukan bajet, maka mereka berhak melakukannya." 
- Tengku Razaleigh Hamzah

"Nak boikot bajet, boikotlah...tetapi saya penuh yakin kita akan dapat sokongan yang mantap daripada semua anggota Parlimen BN untuk luluskan bajet yang akan dibentangkan itu."

Demikian kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam.

Persoalannya, Bajet 2016 hanya akan dibentangkan esok. Kita belum tahu ia baik atau tidak untuk rakyat dan negara.

Tiba-tiba timbul perkataan boikot dan usul tolak Bajet 2016.

Pertanyaan asas ialah apakah boikot atau mengundi tolak Bajet 2016 kerana ia tidak baik untuk rakyat dan negara atau kerana tidak suka kepada orang yang membentangkan bajet berkenaan?

Atau dengan kata lain, menolak Perdana Menteri!

Untuk berjaya menolak usul itu perlu mempunyai 112 undi daripada 222 ahli parlimen. Walaupun dengan sokongan PAS, pembangkang hanya boleh mengumpul 88 undi.

Selepas penggantungan penasihat DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dari Dewan Rakyat semalam, bilangan undi menurun ke 87

Nasib usul sememangnya bergantung kepada ahli Parlimen BN.


Hari ini juga,  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr WanAzizah Wan Ismail mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul itu dikemukakan pada pukul 1 tengah hari tadi di pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Walaupun usul itu diterima oleh pejabat Pandikar, keputusan belum dibuat sama ada ia akan dimasukkan ke dalam kertas perintah persidangan kali ini yang akan membincangkan tentang Bajet 2016.

Walaupun dengan sokongan PAS, pembangkang hanya boleh mendapat 88 undi. Oleh itu, keputusan akhir mengenai usul itu bergantung kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional.

"Anda perlu tunggu dan lihat," kata Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR di lobi Parlimen ketika ditanya sama ada mana-mana Ahli Parlimen kerajaan akan menyokong usul itu.

Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pula mendedahkan, pertemuan rahsia antara pemimpin pembangkang dan ahli Parlimen BN yang tidak dinamakan telah diadakan berhubung undi tidak percaya.

Mohamed Azmin berkata, ia merupakan sebahagian daripada  'strategi' untuk mendapatkan jumlah mencukupi untuk undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau ditanya jika pembangkang mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana ahli Parlimen BN untuk menyokong usul itu, selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini Khamis.

Apabila ditanya sama ada terdapat 'pertemuan' yang diadakan untuk tujuan itu, Azmin berkata,'Ya, pertemuan. Itu banyak, anda tahu. Bagaimanapun, Azmin tidak mendedahkan berapa ramai ahli parlimen pembangkang dan BN menyokong usul itu.

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mempunyai hak untuk mengundi usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga antara salah seorang pengkritik Najib, malah tampil bersama-sama pada sidang media bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi peminpin Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang disingkirkan daripada Kabinet 12 Oktober lalu.

Kumpulan itu berkumpul untuk menentang pendakwaan terhadap bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang, di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (Sosma) 2012.

Ketika diminta berkongsi pandangan, Razaleigh penyokong BN dilihat tidak mungkin akan mengundi usul tidak percaya terhadap Bajet 2016.

"Pada kebiasaannya, saya tidak fikir mereka akan mengundi menolak bajet. Tetapi berdasarkan isu-isu substantif dan jika mereka berfikiran perlu bagi menentang perdana menteri tetapi bukan bajet, maka mereka berhak melakukannya," kata ahli Parlimen Gua Musang ini kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Bagaimanapun, Razaleigh tersipu apabila ditanya kecenderungannya terhadap usul itu.

"Dengar dulu, apa kata mereka. Kita datang ke Parlimen dengan fikiran terbuka dan lihat hujah yang mahu mereka bentangkan," katanya.

Beliau berkata pembangkang mempunyai hak untuk usul itu jika mereka mempunyai angka.

Bagi Khairy, tindakan Ahli Parlimen mengundi menolak Bajet 2016 di Dewan Rakyat adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana ia memberi kesan kepada jentera pentadbiran awam.

Ini kerana  selain pengurusan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terpaksa dihentikan, tindakan itu memberi risiko kepada penjawat awam dalam aspek pembayaran gaji.

Mereka perlu ingat bahawa perbelanjaan kerajaan adalah berdasarkan Akta Parlimen yang memerlukan kelulusan Parlimen sebelum peruntukan dalam bajet yang dibentangkan itu dapat dibelanjakan.

"Jadi, jangan kita mengambil risiko untuk memboikot...nak tewaskan Rang Undang-Undang Perbekalan kerana ia adalah tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Khairy, yang juga ketua Pemuda Umno dan pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), mengulas gesaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) agar ahli Parlimen tidak menyokong Bajet 2016 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Rakyat esok (23 Oktober 2015).

Susulan itu, Pengerusi  Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) mendedahkan, terdapat beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak akan menyokong Bajet 2016.

Namun TanSri Shahrir Samad yakin parti pemerintah masih memiliki sokongan majoriti dan terselamat dalam pengundian.

Tambahnya,  suspek ahli Parlimen yang tidak akan menyokong Bajet 2016 sudah dikenalpasti, namun beliau tidak akan mendedahkannya.

Shahrir turut menafikan ahli Parlimen yang dikenalpasti itu terdiri daripada 20 wakil rakyat yang sebelum ini didakwa akan menyokong undi tidak percaya terhadap Najib pada sidang kali ini.

"Ia bukan 20 nama seperti yang dikatakan sebelum ini," katanya.

Ditanya siapa mereka, Shahrir berkata: "Ia suspek yang sama, saya rasa kamu pun tahu. Mungkin terdapat yang tidak akan mengundi nanti semasa bajet."

Namun, ahli Parlimen Johor Baru itu yakin majoriti masih akan mengundi menyokong bajet yang bakal dibentangkan, kerana memiliki disiplin dan tidak terperangkap dengan permainan pembangkang.

"Disiplin parti sangat konsisten, menunjukkan prestasi baik dan memperbaiki perbahasan mereka. Saya rasa tidak ada sebab untuk mereka tidak mengundi menyokong bajet nanti," katanya.

Malah, kebanyakan ahli Parlimen BN juga terlibat sama dalam persediaan Bajet 2016 dan mustahil mereka bermain politik, kata Shahrir.

"Saya yakin ahli Parlimen kami tidak berhasrat untuk bermain politik," katanya.

Melihat kepada jumlah bilangan Ahli Parlmen yang diperlukan, rasanya usaha untuk memboikot atau tidak meluluskan Bajet 2016, tidak akan ke mana-mana.

Akan kecundang lagikah niat dan tindakan pihak-pihak yang mahukan Perdana Menteri berundur?

1 comment: