Thursday, June 21, 2012

PRU13 - BN GAGAL DAPAT MAJORITI 2/3...UNDI CINA KEPADA PEMBANGKANG


Pada ketika pakatan pembangkang menyebut mereka mampu mencipta keputusan mengejutkan pada Pilihanraya Umum ke 13 untuk menawan Putrajaya, satu kajian mengatakan Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa.

Namun BN akan hanya mampu mengekalkan 137 kerusi Parlimen sahaja dan sokongan daripada pengundi Cina tetap sukar khususnya di kawasan bandar.

Kajian oleh Centre of Strategic Engagement (CENSE) seperti dipetik Bernama menyebut kemenangan BN itu adalah dengan margin lima peratus lebih atau kurang, tetapi tidak cukup mencapai majoriti dua pertiga.

Berdasarkan sentimen semasa, ramalan CENSE ialah BN mungkin akan kehilangan 10 kerusi di kawasan pilihan raya yang didominasi kaum Cina di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Media Cina telah membuat pendirian tegas tentang 'kekejaman polis' ketika Bersih 3.0 dengan mencetak akhbar dengan warna hitam dan putih, dan menggalakkan wartawan dan mereka yang bersimpati memakai pakaian hitam pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia," katanya.

Ia berkata tindakan itu telah meletakkan kerusi Cina di Johor, Sabah dan Sarawak lebih terancam kedudukannya bagi BN.

Ikuti seterusnya apa yang diperkatakan oleh kajian berkenaan.

BN Mungkin Kekalkan 137 Kerusi Parlimen Yang Dikuasainya

Oleh Alan Ting (Bernama, 19 Jun 2012)

Barisan Nasional (BN) mungkin mengekalkan 137 kerusi Parlimen yang dikuasainya sekarang dengan margin lima peratus lebih atau kurang, tetapi tidak cukup mencapai majoriti dua pertiga, menurut kajian dan analisis terperinci Centre of Strategic Engagement (CENSE).

Kajian terbaru itu menunjukkan masih ramai yang bergantung kepada kekuatan dan organisasi jentera pilihan raya BN. "Berdasarkan sentimen semasa, ramalan CENSE ialah BN mungkin akan kehilangan 10 kerusi di kawasan pilihan raya yang didominasi kaum Cina di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Media Cina telah membuat pendirian tegas tentang 'kekejaman polis' ketika Bersih 3.0 dengan mencetak akhbar dengan warna hitam dan putih, dan menggalakkan wartawan dan mereka yang bersimpati memakai pakaian hitam pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia," katanya.

Ia berkata tindakan itu telah meletakkan kerusi Cina di Johor, Sabah dan Sarawak lebih terancam kedudukannya bagi BN.

Sebaliknya, CENSE berkata terdapat peningkatan sokongan pengundi Melayu, kira-kira lapan peratus sejak 2008, yang akan menyaksikan sokongan di kawasan pengundi Melayu dan di kerusi yang didominasi pengundi Melayu dan campuran, terutama bagi Umno.

Berikutan itu, parti pembangkang yang mungkin terjejas adalah PKR. Pusat itu berkata faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 termasuk - sentimen, isu, kepimpinan, infrastruktur, logistik, pembiayaan dan jentera kempen, dan kempen juga akan menunjukkan jika jentera BN benar-benar menyesuaikan lanskap baru politik, yang didominasi pembangkang, perang siber.

"Pembangkang tahu cara memainkan sentimen orang ramai dan mengakui kuasa media sosial untuk menyampaikan kepada pengundi muda. BN, sebaliknya, mempunyai kelebihan dengan logistik dan infrastruktur jenteranya, terutama di kawasan luar bandar di Sabah, Sarawak, Pahang dan sebahagian kawasan di Johor," katanya.

Tetapi, BN dilihat memiliki jentera pilihan raya lebih kukuh kerana ia lebih tersusun dan ditadbir oleh andaian yang lebih realistik berbanding 2008.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan BN kali ini adalah moral yang rendah di kalangan anggota parti dan pekerja di kawasan majoriti pengundi Cina atau di kerusi campuran di mana pengundi Cina merupakan sebahagian besar pengundi asal," katanya.

Sehubungan itu, ia percaya BN cukup realistik untuk menyedari ia tidak boleh merampas Pulau Pinang dan Kelantan daripada pembangkang tetapi berharap untuk mengekalkan Perak serta mengambil semula Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun, peluang untuk menawan semula Selangor adalah tipis.

Dalam laporan itu, CENSE juga berkata walaupun peralihan pengundi Melayu kepada Umno, tetapi ia masih 50:50.

Ini adalah kerana pengagihan kerusi pilihan raya di negara ini yang berdasarkan kaum.

Justeru, peningkatan pengundi Melayu akan meningkatkan margin majoriti tetapi ia tidak bermakna lebih banyak kerusi boleh dimenangi.

"Dengan alasan sama, lebih ramai pengundi Cina untuk pembangkang juga mempunyai kesan yang terhad kerana ia hanya terbatas di kerusi majoriti Cina seperti Seputeh di Wilayah Persekutuan, Petaling Jaya Utara di Selangor, Kota Kinabalu di Sabah dan Kuching di Sarawak," katanya.

"Laporan itu juga menunjukkan cabaran terbesar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam BN adalah bagaimana untuk menterjemahkan populariti beliau kepada undian untuk Umno dan BN, terutama di kawasan bukan Melayu dan di kawasan bercampur di Perak, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Beliau masih memerlukan sokongan kumpulan minoriti untuk parti beliau bagi memastikan keputusan lebih baik berbanding 2008.

CENSE juga berkata berdasarkan kajian mereka selepas perhimpunan Bersih 3.0 28 April, golongan Melayu telah memberi sokongan kuat kepada Umno, bermakna Umno harus memenangi lebih daripada 79 kerusi pada pilihan raya akan datang.

Analisis daripada penganjuran Bersih 3.0 juga menyatakan isu kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun akan menjadi sebahagian daripada arus perdana politik manakala kuasa media sosial tidak boleh diperlekehkan dalam mobilisasi khalayak yang besar.

Ini tanpa mengira sama ada ia untuk menunjukkan perpaduan tulen atau semata-mata pengalaman kebebasan demokrasi.

Kajian CENSE juga menunjukkan sebahagian pengundi Cina kekal tidak terpengaruh dengan Bersih 3.0 berikutan 'kekecewaan' berterusan tentang isu yang telah lama wujud seperti sistem penyampaian yang lemah, tadbir urus dan meritokrasi.

Bersih 3.0 mungkin, pada tahap terbaik telah mempengaruhi pengundi Cina yang tua agar kembali semula kepada BN kerana bimbang potensi berlaku rusuhan dan kekacauan.

Laporan itu juga berkata tidak semua golongan kelas pertengahan Melayu bersedia untuk menukar kerajaan dan ini boleh memberi tip undian memihak Umno.

2 comments:

  1. Kajian dari badan CENSE ini mungkin kurang logik dan tepat. Aku baca mengikut pendapat dari kajian CENSE memfokuskan penglibatan pehak polis yang terus disalahkan. Justeru itu kajian dari agen ini menyebelahkan kaum Cina menentang pasukan polis. Bukankah mereka berfikiran cetek bahawa pasukan polis yang di lemparkan dendam mereka? Bukankah mereka tiada akal yang logik bahawa pasukan polis yang menjaga keamanan negara? Bukankah mereka (kaum sokong Cina) berniat jahat kepada polis, kerana mereka mahu bertindak bebas dan liar, dengan tujuan merosakkan kehidupan orang biasa yang mencari makan dan membinasakan harta awam selagi mereka dapat meluahkan kedendaman dan kemarahan mereka kepada kerajaan dan SPR? Cuba anda selamkan fikiran anda kedalam lagi tentang motif agen ini. Jikalau beginilah ramalan keputusan PRU13 dipablisykan, sudah tentu rami pak turut yang membaca artikel ini akan tidak mengundi BN. Agen CENSE ini patut menyelar pendapat mereka dengan memehak kepada tugas dan tanggungjawab pehak polis dan pehak BN yang selalu memelihara kebaikan rakyat untuk masa depan dan kemajuan Malaysia tidak akan terbantut yang disekat oleh PR ini.

    ReplyDelete
  2. Mr blogger,

    Mohon sudi kiranya link blog aloqlaloq.blogspot.com ke blog handal tuan ini. Tk.

    Aloqlaloq

    ReplyDelete