“Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara sudah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, amat tidak bertepatan...Sejarah ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Raja Melayu’, sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini." - Sultan Sharafuddin
Oleh Abdul Latiff Muda (http://lawi-ayam.blogspot.com/)
Apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bercakap mengenai Melayu apakah beliau juga patut dikategorikan sebagai mengamalkan sikap perkauman?
Dengan jelas Baginda menegaskan: “Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu saja kerana negeri ini adalah tanah tempat tumpah darah kita, dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan.”
Baginda bertitah, sejarah yang tercatat sejak beratus-ratus tahun lalu menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu sudah membuka serta membangunkan negeri di Tanah Melayu sehingga menjadi sebuah negara maju, selain menempa peristiwa membanggakan sehingga mampu bersaing dengan negara lain di dunia.
Apakah Sultan Sharafuddin rasis kerana menyebut perkara ini sambil mempertahankan institusi beraja dan kepentingan Melayu?
Baginda menegaskan bukan tujuan baginda untuk menyalakan api perkauman, tetapi ingin menyatakan bahawa rakyat Selangor mesti berbangga dengan negeri ini membabitkan kaum Cina, India dan Melayu serta kaum lain.
Persoalannya di sini kenapa Sultan Selangor dengan tegas menyatakan perkara ini ketika individu seperti Presiden Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengatakan ketuanan Melayu tidak relevan sementara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi menganggap dirinya Melayu?
Apakah dengan mengatakan diri mereka Melayu ia memberikan implikasi bahawa Melayu itu dikaitkan dengan kemunduran, kemiskinan, lemah, Islam dan beraja?
Dan dengan tidak mengatakan diri mereka Melayu – orang Melayu akan menjadi ‘Melayu Bermaruah’, maju, bijak dan dihormati?
Siapakah tokoh orang Melayu yang menjadi ikon kepada Melayu yang maju , bijak dan dihormati itu?
Apakah manusia seperti Nik Aziz, Wan Azizah dan paling utama Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai mereka yang maju, bijak dan perlu dijadikan ‘manusia contoh yang terpilih’?
Nik Aziz kelmarin menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang menjadi teladan terbaik untuk rakyat. "Anwar adalah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan kerana sanggup mengharungi pelbagai rintangan hidup," katanya.
Dan apakah manusia seperti Sultan Azlan Shah, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Prof Ungku Aziz, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Azman Hashim, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, Prof Mahmud Zuhdi, Datuk Seri Harussani Zakaria (sekadar menyebut beberapa orang ) bukan ikon dan tidak setaraf Nik Aziz, Anwar atau Azmin untuk dijadikan teladan?
Apakah mereka ini bukan ‘Melayu Bermaruah’ berbanding Anwar dan Azizah?
Persoalannya, apakah orang Melayu/ Islam dalam pakatan pembangkang – PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP – tidak lagi berjiwa Melayu dan tidak sensitif dengan teguran-teguran yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu?
Kalaupun ‘memekakkan telinga’ terhadap saranan pemimpin UMNO mengenai Melayu, setidak-tidaknya mereka akur dan sensitif dengan saranan dan perasaan Raja-Raja Melayu ketika ini.
Terbaru semalam, Sultan Sharafuddin melahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap orang Melayu yang tidak lagi megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan ‘Melayu’ untuk dikuburkan serta lenyap dari dunia.
Malah, Baginda juga sedih kerana ada segelintir individu yang berhijrah ke negeri itu, terutama orang Melayu, sanggup mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukan dan hak keistimewaan bangsa Melayu. Baginda juga sedih kerana generasi sekarang malu mengaku diri mereka seorang Melayu.
Sultan Selangor bertitah, golongan itu turut mempersoalkan kerelevanan institusi Raja Melayu serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara ketika ini.
Amat jelas bahawa orang Melayu, termasuk di Selangor – negeri paling mahu di Malaysia – tidak lagi mengendahkan institusi berkenaan yang mungkin menurut mereka tidak lagi relevan dalam konteks kini.
Dan dengan kedudukan di mana parti pemerintah di beberapa negeri di Semenanjung meletakkan kepentingan persamaan hak dan taraf dalam semua perkara, institusi raja kini bukan lagi dilihat penting.
Apakah di negeri-negeri seperti Selangor khususnya orang Melayu sudah tidak melihat Raja dan institusinya sebagai penting untuk kerana kerana tidak lagi sesuai atau mereka sudah moden?
Menurut Sultan Sharafuddin: “Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara sudah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, amat tidak bertepatan,” titah baginda pada Wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di Shah Alam semalam.
Lebih merisaukan apabila ada pemimpin Melayu yang lantang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’, titah Baginda.
Mana tidak sedihnya bagi Sultan Sharafuddin apabila ada juga suara lantang di kalangan orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’.
Dengan tegas Baginda percaya perbuatan itu dilakukan untuk kepentingan diri atau politik mereka.
Nah terang lagi bersuluh. Siapakah yang lantang menentang pembelaan terhadap orang Melayu, termasuk hak istimewa dan ketuanannya?
Yang melakukannya ialah pemimpin PKR seperti Wan Azizah dan Anwar yang terdesak menarik sokongan bukan Melayu untuk menang pilihan raya. Kerana itu Anwar sanggup berjanji untuk melantik Lim Kit Siang sebagai timbalan perdana menteri.
Apakah DAP lebih besar kemenangannya berbanding sekutu PKR satu lagi – PAS – dan di mana mahu diletakkan Presiden PAS?
Jadi apakah UMNO atau Barisan Nasional yang membelakangkan orang Melayu?
Persoalan lain ialah apakah UMNO memperjuangkan hak Melayu kerana mahu mengekalkan kuasanya seperti yang disebut oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar?
Yang nyata UMNO memperjuangkan Melayu kerana kedudukan orang Melayu dulu, kini dan masa akan datang. Selain itu yang menjadi ‘pelindung’ orang Melayu dan Islam ialah Raja-Raja Melayu.
Hakikatnya, seperti ditegaskan Sultan Selangor: “Sejarah ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Raja Melayu’, sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini.”
Dan hanya orang yang ‘membutakan sejarah’ kerana kepentingan ‘untuk ke Putrajaya’ sahaja seperti Wan Azizah, Anwar selain yang sewaktu dengannya tidak mengiktiraf pentingnya orang Melayu dan menafikan perjuangan orang Melayu menegakkan hak istimewa dan ketuannnya.
Salam Tuan,
ReplyDeleteSaya rasa tuan agak prejudis kepada Pakatan Rakyat. Jika tuan kuat sokong UMNO sekalipun harap tuan masih dapat berfikir secara rasional.
Apakah salah Azizah si isteri memuji Anwar sebagai anugerah Allah yang tak ternilai?apakah salah Lim Kit Siang menjadi TPM?dlm Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkan PM dan PM mesti Melayu.
Bagaimana pula dgn perwakilan,Putera, Puteri,Pemuda dan Wanita UMNO yg saban tahun memuja Presiden parti setiap kali Perhimpunan Agung UMNO seolah-olah Presiden UMNo itu maksum dan kudus?Jika Najib,Mahathir dan Pak Lah dipuja hingga ke langit boleh pula.
Tuan sebagai org yg bijaksana juga harus melihat kpd realiti bahawa konsep Ketuanan Melayu hanyalah retorik politiks sahaja. Ia tidak termaktub dlm Perlembagaan Persekutuan.Selain itu, jgnlah cuba mengheret dan berselindung di sebalik istana raja.
Ini cuma pandangan.Kalau tuan tidak setuju tidak mengapa.Terima kasih krn mengikuti blog sy.