Saturday, July 3, 2010

PKR ‘BOLAYAN’ TUNTUTAN FELDA, SANGGUP KE MAHKAMAH

Apa yang Felda boleh buat jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan layan tuntutan saman mereka?

Jelas sekali, PKR ‘bolayan’ dengan tuntutan berkenaan dan sanggup berdepan dengan Felda di mahkamah.

Malah, PKR gembira sekiranya isu ini dibawa ke mahkamah dengan harapan akan mendedahkan lebih banyak perkara. Itu pendapat mereka.


Naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah berkata parti itu tidak akan melayan tuntutan saman Felda sebanyak RM200 juta selain tidak akan memohon maaf kepada Felda.

Menurut Sivarasa, pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu."Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah," katanya yang juga ahli parlimen Subang, di lobi Parlimen semalam. Katanya: "Kalau mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah kita alu-alukan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan ganti rugi Felda terhadap PKR dan Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit serta Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

"Berhubung perkataan 'bankrap', maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda," katanya.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali pula berkata PKR bersedia ke mahkamah untuk menghadapi saman daripada Felda berhubung laporan akhbar rasmi parti itu 'Suara Keadilan' yang menyiarkan artikel bertajuk 'Felda Bankrap' yang disiarkan pada 22 hingga 29 Jun lepas.

Beliau berkata PKR bersedia berhadapan dengan tindakan mahkamah dan mendakwa akan membongkar lebih banyak maklumat mengenai keadaan sebenar Felda yang dicuba disembunyikan oleh pihak tertentu.

"Kita bersedia untuk menggunakan pentas ini (mahkamah) dan membongkar lebih banyak fakta supaya rakyat tidak ditipu.

"Saya tidak nampak logiknya peneroka Felda yang sudah bertahun ditekan tampil untuk berdemonstrasi seperti baru-baru ini melainkan mereka ditaja untuk menutup kelemahan tertentu," katanya pada sidang media Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Pakatan Rakyat di Shah Alam semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan semalam berkata jumlah gantirugi yang dituntut kerana menyebar fitnah kononnya Felda bangkrap ialah sebanyak RM200 juta.

Felda juga menuntut PKR sebagai pemilik, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit dan Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai pencetak, membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari.

Surat tuntutan berkenaan dihantar sudah dihantar hari ini.Suara Keadilan menyiarkan artikel yang menjejaskan reputasi Felda dalam terbitannya 22-29 Jun baru ini.

Ahmad Maslan memberitahu demikian dalam sidang akhbar di lobi parlimen petang kelmarin.

Katanya notis tuntutan gantirugi atas kerosakan reputasi Felda sebanyak RM200 juta bukan nilai sebenar 'harga diri' Felda yang difitnah kerana ianya sebuah organisasi tuanpunya ladang yang terbesar dan berjaya di dunia.

Ianya juga merupakan satu pengajaran dan tindakan terhadap mereka yang menggunakan kebebasan media untuk menyebar fitnah yang teruk sehingga dianggap bangkrap.

Menurut Ahmad, dua bahagian Felda iaitu bahagian melibatkan perniagaan yang mempunyai pelanggan serata dunia dan bahagian peneroka pula mempunyai jutaan orang dari pelbagai generasi.

"Kedua-dua bahagian Felda itu berpendapat jumlah itu bukan nilai sebenar kerana ianya tidak ternilai berbanding reputasi Felda yang difitnah", katanya.

Felda mempunyai kepentingan mempunyai pelaburan di luar negara seperti Indonesia, Afrika Selatan, China, Turki, Amerika Syarikat, Kanada, Pakistan, Australia, Thailand, Perancis, India dan Arab Saudi.

Manakala jumlah peneroka pula seramai 225,270 di 317 buah tanah rancangan dengan kira-kira 1.6 juta generasi baru disamping kumpulan Felda mempunyai 23,000 orang pekerja di syarikat-syarikat berkaitan dan seramai 40,000 orang pekerja kontrak ladang.

Sumber: Agendadaily & Malaysiakini

1 comment:

  1. Banyak rakyat ternanti2 utk melihat kebenaran
    mengenai dakwaan bahwafelda di ambng bengkrap
    di sebabkan salah urus atau pembaziran atau kecurangan dlm urus tadbir agensi ini.
    semuga isu di selesaikan dgn segera tampa ada
    pihak cuba utk melambat2kan demi menyenyap isu.

    ReplyDelete