Saturday, January 3, 2009

KUTUK ISRAEL - TAHNIAH PEMUDA KITA

(Utusan Malaysia dan Harakahdaily)

Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan penubuhan Tabung Barisan Bertindak Menentang Keganasan Israel sebagai tanda simpati serta kesungguhan negara ini membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, buat permulaan, Pemuda BN menyumbang RM100,000 kepada tabung tersebut yang diharap mampu mendorong sektor korporat negara ini untuk turut menderma.

"Kita dan Palestin bagaikan satu keluarga dan kesakitan yang dirasai mereka turut dirasai di sini. Kita akan membantu mereka bagi meringankan keperitan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tiga muka surat kepada Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh di sini hari ini.

Penyerahan memorandum itu diadakan selepas perhimpunan khas Pergerakan Pemuda BN yang disertai kira-kira 2,000 orang di hadapan kedutaan tersebut bagi membantah tindakan kejam rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza sejak kebelakangan ini.

Memorandum tersebut turut menggesa Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) segera mengarahkan Israel menghentikan kekejaman mereka di bumi Palestin.

Turut hadir Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican; Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Azizuddin Ahmad serta wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, semalam, api kemarahan dan kebangkitan umat Islam meledak ke seluruh negara dan pelusuk dunia membantah sikap ‘kebinatangan’ Israel membunuh dengan kejam penduduk Palestin sehingga mengorbankan lebih 300 nyawa.

Akibat daripada itu, bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur sejumlah 500 umat Islam berkumpul menyertai Himpunan Aman Palestin sambil meluahkan rasa amarah yang tidak berkesudahan kepada rejim zionis Israel itu sambil menggesa negara-negara Islam mengambil tindakan drastik bagi mengelak pertumpahan darah berlaku lagi yang bermula sejak 60 tahun lalu tanpa henti.

Pelbagai slogan dan sepanduk dinaikkan antaranya “Support Palestin” di samping laungan penuh benci orang ramai seperti “Jahanam Israel!” “Hancur Yahudi!” berkumandang di pekarangan masjid tersebut yang turut menarik perhatian kenderaan-kenderaan yang lalu-lalang di bulatan berhampiran pintu masuk masjid.

Himpunan hari ini diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub bersama pimpinan PAS dan NGO yang lain seperti Ketua Pemuda PAS Wilayah Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dan Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mat Akin.

Sungguhpun terdapat sejumlah 50 anggota polis, kehadiran mereka dilihat sekadar memantau perjalanan himpunan aman tersebut dan setakat ini tiada sebarang insiden yang tidak diingini dan tangkapan berlaku.

Sementara itu di Pahang Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Abdullah Abdul Karim
memaklumkan bahawa Gabungan NGO-NGO Islam Pahang dan Pakatan Rakyat turut mengadakan Himpunan Aman Intifadah pada hari ini selepas solat Jumaat di Perkarangan Masjid Abu Bakar, Temerloh.

Manakala Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) juga mengutuk serangan kejam rejim Yahudi ke atas rakyat Palestin dengan mengadakan himpunan sama di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS), UIAM Gombak selepas solat Jumaat hari ini.

Pada 30 Disember lalu Naib Presiden PAS Mohamad Sabu telah menghantar memo bantahan kepada wakil kedutaan Amerika dan lebih 500 orang daripada pelbagai NGO dan parti-parti politik menyertai himpunan di hadapan kedutaan Amerika tersebut. Dalam pada itu sesiapa yang berhasrat untuk menyumbang dana bagi membantu meringan beban penduduk Palestin bolehlah dimajukan ke Tabung Palestin di nombor akaun Maybank 564070703248 atas nama PARTI ISLAM SEMALAYSIA

No comments:

Post a Comment