Sunday, November 9, 2008

PILIH PEMIMPIN BERSIH DEMI KEUTUHAN UMNO

Selamatkan UMNO, banteras politik wang.

Kelmarin Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran.

Ia berikutan berleluasanya politik wang yang disifatkan paling serius dengan 900 aduan seumpamanya diterima.

Hasrat Tengku Ahmad Rithauddeen yang ingin bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam membanteras isu politik wang dialu-alukan tetapi keberkesanannya patut ditekankan.

Adalah sangat wajar dan bertepatan jika anggota Umno yang terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti Mac tahun depan tidak diberi tempat dalam kepimpinan parti.

Bukan sekadar itu sahaja malah mereka patut dicemuh dan diletakkan pada kedudukan yang serendah-rendahnya, selain digantung keahlian dan dilarang bertanding untuk jangka masa panjang di masa akan datang.

Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan pandangan sedemikian sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin selain bersetuju berasa kecewa dan menyifatkannya amat buruk dan memalukan.

Muhyiddin berasaskan kata-katanya berdasarkan peningkatan jumlah aduan rasuah dan salah guna kuasa diterima Lembaga Disiplin parti sepanjang kempen pemilihan kali ini.

Bukan Najib sahaja malah seluruh ahli UMNO mengharapkan pemimpin dipilih adalah bersih untuk mengangkat perjuangan parti bangsa Melayu itu ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Najib memberi amaran, perbuatan dan amalan politik wang akan menjejaskan parti Umno dari dua segi, satu dari segi imej parti kepada orang luar, bermakna mereka akan lihat proses pemilihan dalam parti kita ini tidak bersih, kedua, akan menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya diangkat untuk sesuatu jawatan itu terpilih kerana sokongannya berdasarkan mainan politik wang, mungkin kita akan mempunyai barisan pemimpin yang tidak dapat mengangkat perjuangan Umno yang lebih tinggi lagi dan merosakkan kredibiliti Umno kerana (mempunyai) pemimpin itu kurang kredibel,"

Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu, jika mereka yang terbabit dalam mainan politik wang tetap diberikan tempat, akhirnya ia akan merosakkan kredibiliti Umno itu sendiri.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pula bimbang gejala buruk itu akan menyebabkan anggota parti beralih arah dalam memilih pucuk pimpinan parti daripada calon berwibawa kepada mereka yang hanya mampu menawarkan habuan wang ringgit besar sahaja.

“Saya cukup bimbang apabila membaca kenyataan Lembaga Disiplin parti semalam bahawa bilangan aduan tentang politik wang yang diterima begitu banyak, malah lebih tinggi daripada pemilihan sebelum ini.

“Saya malu kerana pendedahan ini seolah-olah menunjukkan kita (UMNO) gagal menangani politik wang dan ahli-ahli kita lebih mementingkan soal perut, wang, ongkos dan sogokan dalam memilih pemimpin,” katanya.

Apabila Najib membuka mulut mengenai perkara ini kepada pemberita selepas merasmikan mesyurat Umno bahagian Pekan di Pekan semalam, nasihat dan pandangannya dilihat lebih ‘bebas’ daripada Muhyiddin.

Faktornya ialah Najib menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO dan sejauh ini beliau membolot kesemua pencalonan kecuali satu bahagian- Gua Musang.
Tetapi tidak bagi Muhyiddin.

Pemerhati politik membaca kenyataan Muhyiddin mempunyai makna tersirat apabila Datuk Seri Mohd Ali Rustam layak dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dijangka tidak sukar untuk menjadikan pertandingan Timbalan Presiden tiga penjuru.

Apapun, ia sekadar andaian dan Muhyiddin tidak pun menuduh pencabar beliau atau yang bertanding jawatan lain bermain duit.

Adalah sukar untuk menuduh Muhyiddin bersikap demikian kerana jelas beliau bersikap terbuka apabila mengucapkan tahniah kepada Mohd. Ali yang berjaya melepasi kuota tersebut dan Muhammad yang menghampiri kelayakan itu.

Berikutan kejayaan Mohd. Ali semalam bermakna untuk julung-julung kalinya dalam tempoh hampir 20 tahun, bakal menyaksikan perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden. Jika Muhammad layak inilah kali pertama perebutan itu menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Kali terakhir jawatan berkenaan dipertandingkan ialah pada 1987 apabila Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mencabar penyandang jawatan, Tun Musa Hitam. Allahyarham Ghafar menang dengan kelebihan 40 undi. Pada 1993, pertandingan hampir menjadi kenyataan antara Ghafar dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun Anwar menang tanpa bertanding selepas Ghafar menarik diri.

Kejayaan Ketua Menteri Melaka, semalam yang menjadi calon kedua melepasi kuota kelayakan dengan memperolehi sembilan lagi pencalonan menjadikan jumlah keseluruhan 41 pencalonan untuknya.

Bahagian-bahagian yang memberikan pencalonan kepada kepada Mohd Ali semalam iala Ketereh, Tumpat, Pendang, Pasir Salak, Sandakan, Sungai Petani, Sepanggar, Pasir Puteh dan Kubang Kerian.

Muhammad mengekori dekat dengan mengumpul 37 pencalonan memerlukan hanya hanya dua lagi pencalonan hari ini. Kuota kelayakan bagi jawatan Timbalan Presiden ialah 39 pencalonan.

Muhyiddin menjadi calon pertama layak bertanding sejak 19 Oktober lalu menambah lima lagi pencalonan bagi membolehkan beliau mengumpulkan 84 pencalonan dengan pencalonan daripada Kuala Nerus, Wangsa Maju, Kangar, Jerai dan Bukit Bintang.

Bagi Muhammad pula, beliau perlu menanti sehingga esok iaitu hari terakhir mesyuarat bagi menentukan sama ada akan mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding atau tidak.

Muhammad sebelum ini mengumpul sebanyak 30 pencalonan semalam menambah tujuh lagi pencalonan daripada bahagian Kuala Krai, Hulu Langat, Baling, Sik, Sungai Besar, Pensiangan dan Petaling Jaya Selatan.

Berbalik kepada politik wang, pendapat Muhyiddin yang hampir sama dengan Najib bermakna pemimpin tertinggi UMNO mahukan pemimpin yang di bawah mereka kredibel dan berwibawa dalam parti sebab UMNO dinilai oleh rakyat teramai, rakyat jelata akan membuat penilaian dan perhitungan terhadap Umno melalui pemimpin yang diketengahkan Umno.

Wajar sekali seharusnya tidak ada tempat (bagi mereka yang terbabit politik wang) tapi akhirnya terpulang kepada ahli Umno sendiri untuk menyokong pemimpin yang bersih, dan juga bergantung kepada keberkesanan penguatkuasaan seperti perangkap laju, ada yang terlepas, ada yang kena.

Sewajarnya, ‘perangkap laju’ juga dipasang pada peringkat pertandingan Majlis Tertinggi kerana mereka ini juga kumpulan penting yang akan dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan penggendali agensi-agensi penting kerajaan.

Sejarah sebelum ini menunjukkan tumpuan perangkap hanya di peringkat Naib Presiden sahaja dan sudah sampai masanya mereka yang di bahagian-bahagian juga patut disaring.

Memanglah angka lebih 900 aduan diterima lembaga itu bukan sahaja memalukan UMNO tetapi menjatuhkan maruah anggota Umno serta menimbulkan pandangan negatif masyarakat luar terhadap parti.

Yang jelas, mereka yang terlibat sebagai sanggup menggadaikan maruah parti semata-mata untuk memenuhi matlamat peribadi, dan memang wajar jika Muhyiddin mahu gejala tidak sihat itu ditangani segera.

1 comment:

  1. Masih ada lagi ke pemimpin Umno yang bersih?

    http://rp-semantan.blogspot.com

    ReplyDelete