Sunday, October 26, 2008

LAJIM JANGAN DIACAH

Tahniah Datuk Seri Lajim Ukin.

Bukan sahaja kerana berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Umno bahagian Beaufort yang disandangnya sejak 1995 sahaja tetapi kejayaan itu tidak akan menyusahkan Perdana Menteri untuk mencari pengganti.

Lajim, 53, Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Majlis Tertinggi kini akan meneruskan tugasnya sebagai Ketua UMNO bahagian itu selain sebagai Timbalan Menteri.

Perlantikannya ke jawatan pusat dibuat Perdana Menteri selepas dua pemimpin UMNO Sabah menolak tawaran dan pemilihannya sebenarnya tepat dengan pengalaman dan sumbangannya kepada UMNO Sabah.

Apa yang menarik mengenai Lajim ialah dia juga pernah membuat keputusan penting yang menyebabkan tergoleknya kerajaan PBS.

Lajim adalah pemimpin PBS paling awal ‘meninggalkan PBS’ untuk menyertai Barisan Nasional dan jasanya kepada UMNO juga amat besar.

Keputusan penting dibuatnya membolehkan kerajaan BN dibentuk dengan Ketua Menterinya, Tun Sakaran Dandai dan kemudian Datuk Seri Osu Sukam dan seterus dan seterusnya melalui penggiliran.

Namun, apabila Kerajaan Negeri berjaya dibentuk, ada yang berpendapat beliau sering ‘diketepikan’ dalam Kabinet Sabah, termasuklah di bawah kepimpinan Datuk Seri Musa Aman yang menyebabkan beliau hampir ‘kecewa’.

Apa pun tuah tetap berada di pihaknya apabila ada yang enggan menerima perlantikan sebagai Timbalan Menteri dari Sabah, beliaulah yang dipilih oleh Perdana Menteri.

Jangan menganggap oleh kerana beliau sebagai ‘pemain pengganti’, Lajim tidak penting dan mudah untuk digertak atau diacah untuk dilawan.

Mengejutkan juga apabila pada majlis perasmian persidangan perwakilan Umno bahagian itu di sebelah pagi kelmarin beliau mengumumkan akan meletak jawatan sebagai timbalan menteri jika gagal mempertahankan jawatannya.

Beliau berhadapan dengan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun, yang menyatakan hasrat berlawan dengan Lajim untuk Ketua Bahagian.

Menurut Lajim, beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyerahkan surat perletakan jawatannya sekiranya tidak dipilih semula sebagai Ketua Bahagian itu.

Katanya: “Saya bukan gila kuasa. Tetapi lebih baik saya undur diri (letak jawatan) dan beri peluang kepada orang lain kalau saya kalah bertanding ketua Bahagian.
Saya rasa janggal untuk memegang jawatan timbalan menteri,’ katanya.
Akhirnya beliau berjaya mengatasi pencabarnya, dengan majoriti 205 undi.

Daripada 555 perwakilan yang mengundi, Lajim meraih 378 undi manakala Azizah Timbalan Menteri Pengangkutan mendapat 173 undi, sementara empat undi rosak.

Itulah Lajim, sikap berani dan kata putus olehnya akhirnya memberikan kemenangan dan kelebihan kepadanya.

Lajim benar-benar pemimpin politik yang mengamalkan pepatah ‘ alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.’

1 comment:

  1. Please see this YIP KUM FOOK cheated amounting to RM20,000.00, it belongs to VEN. U NANDIYA. Fundraising donation by Myanmar Devotees to buy large Buddhist marble for SAMNAK SAMBODHI in 2000 that Buddha Marble from Myanmar

    Information and signature in blogspot.com by YIP KUM FOOK and please be aware of the issue as all contributions to Buddhist teachings:

    https://committeesamnaksambodhi1.blogspot.com/2019/01/

    SAMNAK SAMBODHI BUDDHIST TEMPLE at Taman Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur. YIP KUM FOOK (MCA GOMBAK) is president, Secretary (YAP LEONG LAN) and Treasurer (NG GOOT MEE)

    ReplyDelete