Tuesday, November 9, 2010

'TANGAN GHAIB' ANWAR HANCURKAN PKR?

Anwar bukan lagi 'tangan ghaib' di sebalik kemenangan besar Azmin di Sabah tetapi beliau adalah 'tangan terbuka' yang mengatur dan mendesak ketua-ketua cabang supaya memastikan undi diberi kepada anak emasnya itu. Inilah proses pemilihan paling paling teruk dan paling tidak telus. PKR bercakap mengenai keadilan tetapi dalam pemilihan, segala penyelewengan dihalalkan demi memastikan kemenangan Azmin..."


Satu petisyen bagi membatalkan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung dijangka akan difailkan dalam masa terdekat.

Itu kata Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, P. S. Janapala semalam yang turut mendakwa, Ketua Umum PKR itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kedudukannya bagi mendesak ketua-ketua cabang parti supaya memastikan pengundian di Sabah berpihak kepada Azmin.

Pemilihan ini menjadi kecoh hanya kerana Anwar didakwa bertanggungjawab merancang penyelewengan dan penipuan pada pemilihan PKR terutamanya di Sabah yang menyaksikan 'anak emasnya', Azmin Ali menang besar.

Kesan pemilihan ini besar kepada PKR kerana ahli parti melihatnya sebagainya suatu cara, perjalanan dan kesan yang bukan sahaja mendedahkan bagaimana Anwar menggunakan kedudukannya sebagai Penasihat tetapi sebagai ‘tangan ghaib’ yang berusaha menolak semua yang lain tetapi menjadikan Azmin segala-galanya!

Kesannya, semalam Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Beliau yang merupakan pencabar terkuat kepada Azmin Ali iaitu ‘anak emas’ Anwar bagi jawatan itu turut melepaskan semua jawatannya dalam PKR walaupun baru satu pertiga cabang parti itu mengadakan pemilihan.

Dalam PKR, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan selain bertindak sebagai penyelaras bagi pakatan pembangkang.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula menyifatkan, keputusan Zaid itu sebagai kebenaran terhadap kenyataannya sebelum ini bahawa parti itu hanya menanti masa untuk berkubur.

"Daripada apa yang berlaku sekarang saya tidak akan terkejut kalau ada lagi beberapa pemimpin kanan yang akan mengikut langkah Datuk Zaid," katanya.

Selain itu, seorang lagi calon timbalan presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub (gambar kanan) masih mempertimbangkan sama ada untuk menarik diri jika parti itu gagal menagani dakwaan “kelemahan dan penyelewengan” dalam pemilihan langsung PKR.

"Saya tidak tolak kemungkinan menarik diri. Ia bergantung kepada jawapan terhadap memo saya berhubung rungutan akar umbi yang melihat sendiri kelemahan dan penyelewengan dalam pemilihan parti,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Mustaffa juga mengulangi gesaannya supaya PKR menangguhkan proses pemilihan sehingga segala kepincangan dan kelemahan di atasi.

Katanya, beliau akan menyerahkan memo kepada presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Chia memberikan butiran teroperinci seperti tarikh dan bentuk 'kepincangan' itu.

Menurut P. S. Janapala, Ketua Umum PKR itu telah menunjukkan sikap berpihaknya apabila menggunakan kedudukannya bagi mendesak ketua-ketua cabang parti supaya memastikan pengundian di Sabah berpihak kepada Azmin.

Katanya: "Anwar bukan lagi 'tangan ghaib' di sebalik kemenangan besar Azmin di Sabah tetapi beliau adalah 'tangan terbuka' yang mengatur dan mendesak ketua-ketua cabang supaya memastikan undi diberi kepada anak emasnya itu. Inilah proses pemilihan paling paling teruk dan paling tidak telus. PKR bercakap mengenai keadilan tetapi dalam pemilihan, segala penyelewengan dihalalkan demi memastikan kemenangan Azmin," katanya pada sidang media semalam.

Dakwa Janapala, Anwar menghubungi Ketua Cabang Kota Merudu, Anthony Mandiau, supaya memastikan ahli PKR cabang itu tidak mengundi Zaid mahupun anaknya sendiri, Nurul Izzah semata-mata kerana Azmin.

Dalam pada itu, Janapala mendakwa, pemilihan di Sandakan, adalah bukti penyelewengan dan penipuan undi apabila Azmin memperoleh 415 undi meninggalkan Zaid (25 undi), sedangkan, ahli yang keluar mengundi dikatakan hanya 81 orang.

"Di Libaran pula seramai 898 ahli dikatakan mengundi tetapi pada Perhimpunan Agung Tahunan hanya 99 sahaja yang mengundi, adalah mengejutkan apabila Azmin memperoleh 881 undi sementara Zaid hanya enam undi. Ini sesuatu yang pelik kerana peratusan keluar mengundi dalam pemilihan PKR adalah antara lima hingga 10 peratus sahaja, tetapi di Sandakan dan Libaran, peratusannya mencecah 43 dan 60 peratus," dakwanya.

Untuk mengukuhkan dakwaannya, Janapala mencabar Anwar supaya mendakwanya di mahkamah.
Katanya, jika dakwaan itu tidak benar, satu petisyen bagi membatalkan pemilihan yang sedang berlangsung akan difailkan dalam masa terdekat.

Ditanya apakah kemenangan Azmin akan diiktiraf parti, Janapala berkata sama ada ia wajar diiktiraf atau tidak. jika pemilihan diteruskan, Janapala yakin akan berlaku migrasi besar-besaran jika anak emas Anwar itu berjaya menduduki jawatan nombor dua parti.

Ke manakah migrasi besar-besaran itu menghalatuju?

Ia akan diketahui kemudian tetapi yang pasti PKR ini sedang bergolak besar-besaran dan kata-kata Zulkifli bahawa PKR sedang menuju kemusnahan semakin menjadi realiti!

Monday, November 8, 2010

ZAID - PKR PARTI HIPOKRIT, NILAI PALSU

“Saya tawar diri menyertai parti ini atas kepercayaan saya boleh membawa politik progresif; memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara ini. Saya sebenarnya silap...Sepanjang pemilihan PKR, membuktikan bahawa kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa.." - Zaid Ibrahim

Kesian dengan kawan kita Datuk Zaid Ibrahim.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.Apa malang nasib badan.

Gara-gara menyertai PKR dengan harapan tinggi melambung beliau yang berkerat rotan dengan UMNO akhirnya bukan sahaja 'tidak dapat apa-apa' tetapi dilondehkan cukup-cukup ketika bertanding pada pilihan raya kecil Hulu Selangor tempoh hari.

Apapun, kepada Zaid, tahniah kerana cepat sedar dan selamat maju jaya untuk perjuangan seterusnya!

Baguslah kalau beliau sedar bahawa usahanya untuk membawa politik progresif; memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara ini melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sampai bila-bila pun tidak akan berjaya.

Zaid mengakui beliau silap langkah kerana PKR adalah parti yang kepimpinannya sanggup membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Objektif apa Zaid?

Bukankah PKR itu parti yang didominasikan oleh sekumpulan pemimpin yang berasaskan keluarga dan kroni Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Beliau berharap dengan pengundurannya peminat Anwar Ibrahim tidak lagi menganggapnya sebagai pengacau yang menghalang perarakan mereka ke Putrajaya.

Kata Zaid: “Saya tawar diri menyertai parti ini atas kepercayaan saya boleh membawa politik progresif; memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara ini. Saya sebenarnya silap.”

Dala kenyataannya, Zaid berkata, sepanjang pemilihan PKR, membuktikan bahawa kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Sudah pasti keputusan Zaid itu mengejutkan banyak pihak – kawan dan lawan – kerana calon timbalan presiden PKR itu tiba-tiba sahaja membuat pengumuman mengejut.

Zaid menyatakan hasratnya bukan sahaja menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan tetapi beliau turut meletakkan semua jawatannya dalam PKR.

Sebelum ini Zaid ialah pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan.

Tegas Zaid: “Saya yakin mana-mana parti politik dengan sikap hipokrit dan nilai-nilai palsu tidak akan mampu menawarkan sebarang pembaharuan yang bermakna kepada rakyat di negara ini.

"Saya mengambil keputusan ini kerana tidak ada usaha oleh kepimpinan parti untuk menangani manipulasi dan amalan tidak adil dalam pemilihan itu meskipun ia telah berulang-kali ditimbulkan,” katanya.

Apapun, Zaid yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum meletakkan jawatan dan meninggalkan Umno berkata beliau akan tetap komited terhadap perjuangan pembangkang.

Katanya, beliau akan terus bercakap berhubung isu yang membabitkan rakyat jelata dan terus berjuang bagi memastikan rakyat mendapat kerajaan yang lebih baik.

“Akhir sekali, saya berharap peminat Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai 'spoiler'yang akan menghalang perarakan mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya.

Apa kata orang PAS khususnya Datuk Nik Aziz mengenai komen Zaid terhadap PKR ini?

Zaid tak betul? Fitnah terhadap kepimpinan PKR?

Sunday, November 7, 2010

'PERANG' DI KALANGAN PAKATAN PEMBANGKANG BERMULA?

Ternyata Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh terima kekalahannya di Batu Sapi. Bukan marahkan BN tetapi marahkan sekutu mereka PAS dan DAP.

Ungkit mengungkit mula timbul apabila PKR merasakan mereka gila-gila membantu apabila PAS bertanding tetapi apabila mereka bertanding di Batu Sapi, PAS bagaikan acah tak acah saja.

Mana PKR Tidak marah kerana tidak ada kesungguhan PAS dan DAP untuk membantu Ansari Abdullah yang menjadi calon dan bertanding di pilihan raya kecil itu.

Persoalanya apakah kerana kalah PKR menyalahkan PAS sedangkan ketika menang masing-masing ‘raya Hindu’. PKR dapat rasakan DAP dan PAS tidak serius padahal mereka ‘nak rak’ bantu PAS menang di Kuala Terengganu dan DAP di Sibu.

Dari kejauhan jika diperhatikan pilihan raya di Batu Sapi tidak disertai secara bersungguh seperti mana Pakatan menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Sibu yang membawa kemenangan.

Nak kata ungkitan ini tidak benar ia sudah menjadi ketahuan umum apabila cerita ini dibawa dalam Facebook dan blog.

Salah satu yang menarik ialah melalui blog MSO. Baca entri MSO semalam (Sabtu, 6 November 2010):

Betulkah Pas & DAP Tidak Serius Sokong PKR?

KENYATAAN dan luahan rasa setiausaha politik Anwar Ibrahim, Abdul Rahman Yusof yang tidak puas hati dan kesal dengan Pas dan DAP dalam membantu kempen pilihan raya kecil melibat parti PKR yang bertanding di Batu Sapi 4 November dahulu sesuatu yang tidak wajar dibuka kepada umum
.
Dalam pada itu keluhan Abdul Rahman itu tidak boleh dipandang ringan jikanya betul. Ianya perlu dipedulikan terutamanya oleh dua rakan mereka itu kalau tidak ia boleh memborak ke permasalahan lebih besar lagi.

Apa yang dikesalkan Abdul Rahman ialah sikap Pas dan DAP tidak seperti partinya dalam membantu pilihan raya kecil melibatkan parti berkenaan. Katanya, Pas dan DAP yang membantu pilihan raya di Batu Sapi memaksa PKR membayar segala kos bantuan itu dan ini tidak seperti diamalkan partinya.

Kata Abdul Rahman PKR ketika membantu pilihan raya kecil melibatkan DAP di Sibu dan Pas di Kuala Terengganu, Bukit Gantang atau Bagan Pinang tidak meminta apa-apa bayaran dan mengeluarkan wang poket sendiri

Tentu Rahman ada bukti mengenai sikap Pas dan DAP dalam membantu kempen calon PKR dalam pilihan raya itu. Sebenarnya orang ramai juga dapat merasakan bahawa tidak ada kesungguhan Pas dan DAP untuk membantu Ansari Abdullah yang menjadi calon dan bertanding di pilihan raya kecil itu. Dari kejauhan jika diperhatikan pilihan raya di Batu Sapi tidak disertai secara bersungguh seperti mana Pakatan menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Sibu yang membawa kemenangan.

Baca seterusnya di sini.

NAJIB SAKIT - PEMIMPIN PEMBANGKANG TIDAK RASA APA2?

Sudah beberapa hari Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak sihat dan semalam dilaporkan Najib bersemangat tinggi dan terus menunjukkan tanda-tanda semakin sembuh.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata semalam, kesan lesi akibat cacar air pulih dengan baik dan simptom gastritis telah pun dapat diatasi.

"Beliau kini mengikuti diet biasa," katanya. Bernama memetik Mohd Ismail sebagai berkata, Perdana Menteri dijangka dibenarkan keluar dalam beberapa hari lagi.
Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Khamis untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut.

Sementara itu di HKL, Perdana Menteri yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor menerima kunjungan ibunya Tun Rahah Mohd Noah dan adik beliau Datuk Mohamed Nazim Razak.

Sejak kira-kira 12 tengah hari, beliau turut dikunjungi beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed.

Turut melawat beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Koh Tsu Koon serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hassan Malik, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang serta Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Cuma sedikit terkilan apakah pemimpin pembangkang tidak merasa apa-apa mengenai Najib yang tidak sihat?

Apakah perbezaan politik menjadi begitu teruk sehingga pemimpin pembangkang, khususnya dari PAS tidak berhasrat menjenguk lansung Perdana Menteri?

SEMAKIN PULIH ... Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (duduk, tengah) ceria ketika menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (duduk, dua, kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon (duduk, tiga, kiri) di Wad Orang Kenamaan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kuala Lumpur, Sabtu. Turut menemani Najib semasa mendapat rawatan gastritis di HKL ialah Datin Seri Rosmah Mansor (duduk, tiga, kanan) dan adiknya Datuk Mohamed Nazim Tun Razak (duduk, kanan).