Saturday, November 17, 2018

KETEGASAN DR MAHATHIR TERHADAP KRISIS ROHINGA BUKAN MATA ASEAN...



Tidak diketahui sama ada kanak-kanak yang berpelukan ini masih  hidup atau sudah meninggal. Malah,  mungkin juga mereka sudah berada di Malaysia sekarang ini.

Gambar ini saya rakamkan 26 tahun lalu di kem pelarian Rohingya yang  tidak jauh dari bandar di selatan Bangladesh – Cox’s’s Bazar - pada 1992.

Kini, di Malaysia sendiri, dikatakan ada lebih 100,000 pelarian Rohingya. Mereka ‘menumpang berteduh’ dan meneruskan kehidupan, namun tidak semua mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR).

Dilaporkan ada  lebih satu juta penduduk minoriti Islam Rohingya terpaksa  lari mencari perlindungan di negara jiran Bangladesh dan beberapa negara lain berdekatan sejak kekejaman rejim tentera Myanmar yang disifatkan oleh PBB  sebagai langkah ‘penghapusan etnik’.

Saya ingin menyatakan kegembiraan dan mengalu-alukan langkah Malaysia, khususnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkatakan isu ini dengan tegas, selain mengkritik kepimpinan Myanmar dalam krisis Rohingya ini.

Terbaru pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33  di Singapura beberapa hari lalu, Malaysia menunjukkan ketegasan dan komitmen teguh agar masalah dan krisis yang diakibatkan oleh rejim Yangoon ini diberikan perhatian mendalam oleh ASEAN dan dunia seluruhnya.

Malah di Sidang Kemuncak ASEAN Singapura itu juga, untuk kali pertamanya, Malaysia mengambil langkah menyatakan secara terbuka kepada pemimpin Yangoon agar menyelesaikan krisis ini, biarpun ia sudah menjadi pengetahuan pemimpin dan rakyat Malaysia sejak 1992.


Bukan mahu mendabik dada tetapi laporan bersiri dalam Berita Harian yang saya lakukan pada wal 1992 hasil tinjauan di beberapa kem pelarian Rohingya di Bangladesh, khususnya berhampiran Cox’s Baazar pada awalnya  lebih banyak dijadikan ‘alat dan kepentingan politik’ oleh pihak tertentu – bukan berusaha mengatasi isu ini secara bersungguh-sungguh.

Masih ingat dengan jelas, Menteri Luar ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) tidak begitu melihat isu ini secara serius, walaupun ada kenyataan dibuat pada 8 Mac 1992 bertajuk ‘Malaysia Gesa Jangan Tindas’ (Utusan Malaysia) mungkin kerana isu berkaitan Bosnia-Herzegovina menjadi tumpuan utama,  sementara krisis pelarian Rohingya ke Bangladesh ketika itu masiah baharu.

Malah, bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Mohd Taib (Tan Sri) pula menggunakan isu Rohingya pada 1994 untuk kepentingan kempennya bagi menyertai Kem Wawasan pada pemilihan UMNO 1995, diketuai oleh Anwar Ibrahim (Datuk Seri) ketika itu.

Walaupun pada 7 Mac 1992, Dr Mahathir mengatakan ‘Kerajaan Malaysia Buat Pendirian Tegas’ (Mingguan Malaysia 8 Mac 1992) tetapi Perdana Menteri ke-34 itu tidak dilihat meletakkan isu ini sebagai keutamaan pada beberapa sidang antarabangsa mungkin kerana pelarian Rohingya  ketika itu hanya 100,000 tetapi kini kini sudah melebihi satu juta orang dan membebankan beberapa negara anggota ASEAN sendiri.

Pada kedudukan di mana krisis Rohingya tidak mendapat tempat pada Sidang Kemuncak ASEAN ke- 4 di Singapura pada Januari 1992, saya berusaha untuk menjadikan isu ini sebagai yang perlu dijadikan tumpuan.

Selepas beberapa hari kembali ke Kuala Lumpur daripada membuat liputan sidang kemuncak ASEAN ke-4 itu, saya senyap-senyap ‘terbang ke Dhaka’ untuk membuat tinjauan ke kem pelarian Rohingya.

Saya menghargai pendirian tegas Malaysia mengenai krisis Rohingya ketika ini. Malah, ingin saya ucapkan setinggi  terima kasih kepada bekas Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian pada awal 1990-an - Yunus Said - kerana menerima cadangan saya untuk membuat tinjauan ke kem Rohingya berkenaan.

Tanpa sokongan beliau selain sokongan di bahagian penyunting Berita Harian, Kementerian Luar, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan beberapa rakan wartawan di Bangladesh dan luar negara, laporan tinjauan dan JEJAK ROHINGYA tidak akan pernah tersiar selama tiga minggu di Berita Harian antara Februari dan Mac 1992.

Bersyukur kerana Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh ketika itu memahami tugas saya sebagai wartawan, menjadkan perjalanan saya ke Cox’s Bazar menjadi mudah.
Di sana saya ditemani wartawan sambilan di Cox’s Bazaar, Munayeem Khan untuk keluar masuk kem pelarian tanya gangguan, walapun terpaksa membayar wang ' kepada pihak tertentu.

Namun, apa nasib pelarian Rohingya  sejak tarikh itu hingga sekarang sama ada yang masih berada di Myanmar, di kem pelarian di Bangladesh dan juga di Malaysia untuk masa-masa mendatang?

Jadi apabila Dr Mahathir pada 14 November 2018 dengan tegas membangkitkan  krisis yang dihadapi etnik Rohingya kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi di Singapura, ia dilakukan secara terbuka dan tidak lagi teragak-agak dan berlapit seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini - beberapa tahun kebelakangan ini – krisis Rohingya dijadikan ‘alat politik’ oleh UMNO dan PAS bagi merapatkan dua pemimpin atasan mereka agar dapat ‘duduk di pentas yang sama’ selain melaungkan slogan yang sama. Tetapi ia  hanya di Kuala Lumpur  – yang akhirnya tidak ke mana-mana.

Demi political milage semata-mata

Ternyata tindakan mereka  hanya gimik politik  murahan  dan menjengkelkan demi  penonjolan diri kononnya pejuang yang menyuarakan ‘nasib pelarian Rohingya’.

Sedangkan hakikatnya untuk menarik perhatian rakyat kononnya kedua-dua pemimpin berkenaan mempejuangkan kepentingan umat Islam.

Sebaliknya kenyataan Dr Mahathir lebih bersifat kemanusiaan dan menentang kekejaman tanpa merujuk ia sebagai ‘perjuangan umat Islam’ sebaliknya sebagai menentang kezaliman dan penghapusan etnik di Rakhnie.

Ketegasan  Dr Mahathir menyampaikan suara hati keseksaan etnik itu kepada Suu Kyi pada pertemuan mereka selain  menggesa usaha dilakukan bagi membetulkan salah laku rejim Myanmar itu.


“Di Myanmar, umat Islam di Rakhine dibunuh, rumah mereka dibakar serta jutaan pelarian telah dipaksa untuk melarikan diri hingga lemas di lautan, tinggal di pondok sementara, tanpa air dan makanan, tanpa sistem sanitasi yang sempirna.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa Myanmar termasuk penerima Anugerah Nobel Keamaan Laureate menafikan perkara ini berlaku,” tegas Dr Mahathir.

Sebelum ini pun Dr Mahathir menyuarakan pendirian tegasnya beberapa kali secara lantang mengenai nasib umat Islam Rohingya termasuk pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September lalu.

Dalam kedudukan Perdana Menteri sedar bahawa Suu Kyi adalah ‘Kauselor Negara’ tetapi peluang untuk menyatakan  pendirian pada sidang kemuncak ASEAN itu sangat penting.
Dengan reputsainya sebagai pemimpin tegas di arena antarabangsa, Dr Mahathir yang tidak diselubungi dengan isu-isu seperti rasuah dan kleptokrasi antarabangsa, pastinya beliau bebas menyatakan pendirian negara.

Menjawab soalan sama ada beliau (dr Mahathir), sebagai Perdana Menteri Malaysia, akan terus mengkritik Myanmar dan Suu Kyi berhubung layanan yang diberi kepada masyarakat Rohingya sekiranya tiada langkah diambil dalam masa beberapa bulan lagi, Dr Mahathir berkata: "Saya rasa beliau benar-benar tahu tentang pandangan saya dan pandangan kerajaan."

Dr Mahathir turut mendedahkan beliau  mengutus sepucuk surat kepada Suu Kyi tetapi ‘Kaunselor Negara’ Rohingya itu tidak mengaku menerima surat berkenaan. Perdana Menteri memberitahu beliau langsung tidak bertanya Suu Kyi mengenai surat itu sama ada beliau menerimanya atau tidak.

Namun di sebalik itu, Perdana Menteri berpendapat: "Tapi, beliau tentu tahu benar bahawa ketika beliau hidup dalam tahanan, kami beri sokongan penuh kepadanya. Kami berusaha dengan sedaya upaya; kami berbincang dengan (Jeneral Kanan) Than Shwe agar beliau dibebaskan dan sebagainya. Saya pun pernah sebut bahawa orang yang pernah hidup sebagai tahanan sepatutnya faham tentang penderitaan orang yang dilayan dengan teruk.”

Yang nyata, Dr Mahathir dengan tegas membuat pendirian bahawa  pemimpin Myanmar itu cuba "mempertahankan yang tidak dapat dipertahankan" dalam mewajarkan keganasan dilakukan pasukan keselamatan negara itu terhadap penduduk Islam Rohingya khususnya  di Rakhine.

Berikutan sikap tegas dan kritikal beliau  terhadap rejim Myanmar, khsuusnya Suu Kyi, rakan Myanmar dalam ASEAN yang mempunyai 10 anggota itu turut mengkritik secara langsung selain "prihatin" terhadap isu Rohingya.

Pemimpin berkenaan berharap orang Rohingya akan dapat kembali ke kampung halaman mereka di Myanmar dengan selamat.

Ketegasan pemimpin ASEAN mengkritik sikap Yanggon dan Suu Kyi memang dinanti-nantikan dan sebelum ini tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada Najib dan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Forum ASEAN, apa lagi UNGA, tidak dijadikan medan untuk menyuarakan hasrat ini secara serius.

Sebaliknya Najib khususnya bercakap krisis Rohingya hanya di dalam negara yang menggambarkan betapa beliau hanya menggunakan krisis Rohingya untuk kepentingan politik peribadinya, menggunakan platform UMNO/Barisan Nasional dalam usaha berbaik-baik dan bekerjasama dengan PAS yang turut menggunakan isu ini – kononnya bersimpati dengan masalah yang dihadapi etnik Rohingya – gara dapat duduk sepentas dengan Najib.


Namun di sebalik semua ini, kembali ke tahun 1993, pencalonan siri berita dan rencana saya mengenai krisis Rohingya ke Institut Akhbar Malaysia untuk Anugerah Kajai 1993 terpaksa ‘ditolak-ansurkan’. Ia bagi membolehkan wartawan Harian Metro, akhbar yang masih baru kertika itu memenanginya.

Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail di luar majlis penganugerahan berkenaan di Kuala Lumpur:  “Kamu Hambali sudah menang sekali, berilah pula peluang kepada orang lain pula memang. Lagipun Harian Metro daripada kumpulan akhbar kita’.

Saya amat faham tujuannya!

Walaupun tidak mendapat anugerah, saya berpuashati kerana laporan mengenai krisis Rohinga itu mendapat perhatian mendalam banyak pihak sejak disiarkan oleh Berita Harian antara Februari dan Mac 1992 itu.

Harapan ialah dapat menjejak kaki sekali lagi ke kem pelarian Rohingya yang kini jauh tersusun berbanding ketika saya mula menjejakinya pada 1992.

No comments:

Post a Comment