Sunday, August 23, 2009

KERAJAAN PAKATAN SELANGOR BERGOLAK?

Kerajaan pakatan pembangkang Selangor Darul Ehsan kini sedang bergolak atau dalam krisis?

Pihak yang menyokong kerajaan pakatan pembangkang berusaha mempertahankan kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ada yang mengatakan Khalid tidak akan bertahan lama. Malah sudah ada ura-ura mengatakan beliau akan digantikan dalam tempoh terdekat.

Tidak semena-mena, Datuk Dr Hassan Ali menafikan beliau berminat menjadi Menteri Besar. Apakah ada kaitan dalam khabar angin ini?

Beberapa bulan kebelakangan ini, nama wakil rakyat Gombak, Azmin Ali begitu mendadak dikatakan akan menggantikan Khalid.

Lebih diperkatakan ialah apabila cadangan Khalid menggunakan wang zakat ditolak mentah-mentah oleh Sultan Selangor. Khalid terduduk dengan pernyataan Sultan itu dan ia tamparan hebat apabila kedudukan kewangan Selangor kini dikatakan semakin meruncing.

Juga dengan kedudukan Khalid sendiri yang dikatakan akan menghadapi tekanan akibat pinjamannya dengan Bank Islam yang belum diselesaikan, menggambarkan betapa Khalid kini diserang secara peribadi dan kepimpinannya.

Pendedahan oleh blog pro-PAS ‘Malaysian Waves’ yang memaparkan tulisan Tulang Besi mengenai kehilangan ADUN Pelabuhan Kelang menguatkan spekulasi.

Menurut tulisan berkenaan, ADUN Pelabuhan Klang hilang atau diculik yang mungkin mengulangi tragedi (kejatuhan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Nizar di Perak) kejatuhan kerajaan pakatan di Perak.

Menurut Tulang Besai, beliau mendapat maklumat ADUN berkenaan kini ditahap tidak dapat dihubungi.

Baca apa yang ditulis oleh Tulang Besi:

“Saya mendapat maklumat dari sumber yang boleh dipercayai bahawa ADUN Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah sudah sampai ke tahap tidak dapat dihubungi. Situasi ini iras-iras kedua-dua ADUN lompat di Perak tempoh hari.

Mari kita berdoa kerajaan PR Selangor akan dapat mengatasi masaalah ini dengan terbaik mungkin, inshaalah.Ingat, UMNO cuma memerlukan 9 orang ADUN untuk melompat bagi memastikan kerajaan negeri bertukar tangan. Dan dengan Najib Tun Razak sebagai Ketua Perhubungan UMNO Selangor, mereka amat "desperate" untuk mengambil alih Selangor.

Saya merasakan UMNO sedang mencuba untuk mendapat kesembilan-sembilan orang ADUN tersebut melalui aksi melompat dari kedua2 PKR dan PAS. Dari PAS, saya yakin paling ramai yang akan melompat hanya dua orang. Yang lain itu masih berprinsip dan beriman.

Dari PKR pula, baru-baru ini bukankah berlaku ADUN PKR sendiri menyerang kerajaan negeri?Saya tidak tahu berapa orang yang mampu bertahan dan berpegang dengan prinsip mereka?

Oleh sebab itu kita semua wajib berdoa dan berusaha supaya kerajaan Pakatan Rakyat berjaya dipertahan dan segala usaha jahat UMNO digagalkan, inshaalah.

Sekiranya saya dibuktikan salah dalam isu ini (yakni Badrul tidak melompat) saya akan menjadi amat gumbira.”

Sama ada pemimpin PKR atau PAS, mereka tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana ternyata krisis demi krisis dan cantas mencantas antara pemimpin di Selangor, sama ada antara parti atau antara pemimpin dalaman parti tidak boleh dibendung lagi.

Pendedahan mengenai salah laku pemimpin DAP membebankan PKR dan PAS. Sementara perbalahan antara pemimpin PAS pula membebankan PKR dan DAP.

Dalam PKR pula ada pelbagai perbuatan sabotaj dan sebagainya yang menjadikan rakyat Selangor kini menyesal mengundi parti pembangkang berkenaan untuk membolehkan mereka menang.

Yang pasti kalaupun usaha menggoncang dan menjatuhkan kerajaan negeri Selangor tidak berjaya dilakukan dalam masa terdekat, pengundi dan rakyat Selangor akan tetap menghukum kerajaan sekarang yang gagal berfungsi seperti diharapkan.

Ikuti posting akan datang, bagaimana kerajaan pakatan pembangkang di Selangor memusnah dan mengecewakan pengundi mereka dan kini bersedia untuk menukar kembali kepada kerajaan Barisan Nasional.

H1N1: PASUKAN KHAS DITUBUH, JANGAN BAWA KANAK-KANAK KE HOSPITAL

Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat semula jumlah kematian yang tinggi pesakit selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini sehingga mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kumpulan itu akan menjalankan analisis kenapa kematian itu berlaku dan faktor yang menyumbang kematian, sama ada berlaku kelemahan bagi pihak kerajaan atau sebaliknya.

Menurut beliau, berdasarkan kes-kes kematian yang lalu, 80 peratus daripada mangsa dikenal pasti mempunyai penyakit selain H1N1 iaitu penyakit jantung, kencing manis dan radang paru-paru.

“Ini tidak bermakna prosedur menangani H1N1 kita selama ini silap, tidak mungkin kerana sebaik sahaja kementerian dengar ada H1N1, kita sudah membuka bilik operasi dan cuma kaedah ini mungkin berbeza dengan negara lain.

“Saya yakin apa yang kita buat adalah lebih lagi daripada apa yang diminta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kita memang terlalu jujur dalam memaklumkan punca kematian akibat H1N1 ini. Ini kerana kita mahu tekankan satu mesej supaya rakyat tidak mengambil ringan penyakit ini,” katanya semalam.

Sementara itu, hospital-hospital awam kini telah mula mengedarkan risalah dan notis yang mengingatkan orang-ramai dan juga pelawat agar tidak membawa kanak-kanak atau bayi ke premis hospital ketika mereka menziarahi sanak saudara ataupun kenalan.

Kempen terbaru ini adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga yang telah diambil oleh pihak hospital untuk mengelak penyebaran wabak Influenza A H1N1.

Jika tidak kerana H1N1 pun, adalah menjadi peraturan umum hospital yang melarang pelawat daripada membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ke premis hospital untuk tujuan lawatan.

Malangnya, ramai ibu-bapa tidak memandang serius akan peraturan ini dan sekiranya mereka diberi ingatan, sebahagian besarnya tidak mengambil peduli akan nasihat yang diberikan oleh pihak hospital.

Sementara itu, Pakar Respiratori Dr K. Regesh pula berkata, apabila pihak hospital melabelkan sesuatu penyakit itu sebagai kronik ia bermaksud pesakit yang mempunyai masalah diabetik, kegagalan renal, asma dan lain-lain masalah respiratori.

Katanya, kepada semua pesakit ini dan juga kanak-kanak, sistem kekebalan badan mereka adalah tersangat rendah jika dibandingkan dengan seorang yang sihat. Oleh yang demikian mereka sangat terdedah kepada bahaya dijangkiti tidak kira apa jua wabak dan bukan semata-mata AH1N1.

"Di hospital, pelbagai jenis penyakit boleh berjangkit dengan mudah dan seboleh-bolehnya janganlah membawa kanak-kanak berjumpa pesakit walaupun untuk berkata ‘helo’,” katanya.

Dalam perkataan yang lain kata Dr Regesh, jika tidak dapat meninggalkan anak-anak dalam jagaan sesiapa, maka jangan datang melawat pesakit di hospital.

Dan kepada mereka yang baru pulang dari menziarahi orang sakit di hospital, ini ada pesanan yang ingin dikatakan oleh Dr Regesh;

"Bila sampai rumah, terus mandi, tukar baju baru sebelum mendakap anak kecil anda. Begitu juga bila anda balik dari kerja pergi mandi dan salin baju terlebih dahulu sebelum dakap anak anda.”

Sumber: MIngguan Malaysia/BERNAMA