Thursday, October 23, 2008

SHAFIE AFDAL DARIPADA SUDUT KEUTUHAN UMNO/BN

Jika tembok besar menjadi penghalang kepada kejayaan serangan bala tentera Mongol terhadap kerajaan Dinasti Ming, begitulah fungsi UMNO Sabah dalam konteks serangan pembangkang dalam membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Malaysia.

Walaupun mungkin ada yang memperlekehkan perbandingan ini, namun yang nyata, UMNO Sabah begitu penting dan banteng kepada Barisan Nasional (BN).

Ini kerana dengan 13 kerusi yang dimiliki UMNO Sabah di Parlimen, ia ibarat pendinding dan pelindung kerajaan BN daripada ditumbangkan.

Daripada 140 kerusi BN di parlimen, 51 dimenangi di Sabah dan Sarawak. Parti-parti pembangkang memilki 82 kerusi – setiap satu di Sabah dan Sarawak.
Dalam konteks UMNO pula, ia kini mempunyai 79 kerusi di Semenanjung dan Sabah.
Daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, 13 milik UMNO, 4 UPKO, 3 SPDP, 2 SAPP dan satu masing-masing PBRS, LDP dan DAP.

Sebelum 16 September 2008, ramai yang menumpukan perhatian kepada Sabah khususnya di kalangan pembangkang kerana menganggap wakil rakyat dari Sabah mudah dibeli.
Analoginya diasaskan kepada pemilihan 1993.

Maksudnya di sini, pada tahun berkenaan, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasratnya melawan Timbalan Presiden UMNO ketika itu – Tun Ghafar Baba – Sabah menjadi tumpuan orang Anwar kerana perwakilan Sabah boleh menentukan undi untuk memihak kepada bos mereka.

Yang nyata, usaha digemblengkan oleh penyokong Anwar dan hebohlah kononnya ‘pink form’ berterbangan melepasi Laut China Selatan ke Sabah dan kerana itu masih melekat di kepala sesetengah orang UMNO dan pembangkang – khususnya penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) - ‘orang politik Sabah khususnya UMNO mudah dibeli!”

Akibatnya, walaupun Ghafar adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah ketika itu, Anwar mendapat sokongan hampir 99 peratus daripada UMNO Sabah.
Ghafar akhirnya mengalah dan dengar ceitanya akibat perbuatan itu, Ghafar tidak memaafkan perbuatan Anwar sehinggalah beliau menutup mata untuk selama-lamanya!

Andaian kejayaan ‘projek pink form’ inilah sebenarnya yang menyebabkan PKR dan Anwar sendiri begitu yakin dapat membentuk kerajaan pada 16 September melalui ‘projek melompat’ ke dalam PKR.

Dan teori serta pengalaman inilah dijual kepada anggota pembangkang yang lain khususnya Pas dan DAP bahawa Pakatan Rakyat mampu membentuk Kerajaan Pusat apabila anggota BN Sabah menyeberang selepas dilaksanakan projek seperti ‘pink form’ pada 1993.

Namun yang nyata, pada 2008, kejadian atau peristiwa seperti 1993 itu sudah ‘tidak laku dan enggan dilayan oleh pemimpin Sabah’ sama ada dari UMNO atau komponen lain dalam BN.
Kenapa berlaku sedemikian?

Pada saya, kepimpinan baru Sabah hari ini sedar bahawa banyak mudaratnya proses memberikan undi secara ‘rasuah’.
Mereka kini sukar digula-gulakan dan pendirian tegas pemimpin UMNO Sabah menolak rasuah politik sewajarnya dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Mereka juga sudah belajar bagaimana kerana silap memberikan undi, banyak masalah politik timbul selepas 1993 dan kesannya masih dirasai hingga ke hari ini.
Dengan kedudukan di mana BN sukar digugat dan kerana faktor Sabah, kerajaan BN terus berdiri tegak dan sekukuh KLCC atau Menara Telekom atau juga Tembok Besar China, personaliti tertentu di Sabah jangan diperlekehkan.

Sumbangan mereka besar dan jangan ada perbuatan memperkecil dan memperlekehkan mereka. Dengan kedudukan itu UMNO Sabah berada di tangga kedua menyumbangkan kerusi UMNO paling banyak di Parlimen selepas Johor sebanyak 16 kerusi UMNO daripada 26 kerusi Parlimen dari negeri itu.

Pemimpin Sabah seperti, Datuk Seri Shafie Afdal, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Seri Lajim Okin, Datuk Anifah Aman, Datuk Abdul Ghafur Salleh serta banyak lagi memang memberikan sumbangan besar.Pemimpin seperti Shafie yang lima penggal berada dalam Majlis Tertinggi UMNO dan menang melalui pertandingan hendaklah diambil kira.
Begitu juga pemimpin lain dari Sabah yang masih kekal memberikan sumbangan, hendaklah juga diberikan perhatian.

Dengan kedudukan dan sumbangan sedemikian, apakah kita patut teragak-agak untuk meletakkan mereka di tempat yang sewajarnya?Yang pasti kini Shafie yang akan bertanding Naib Presiden sudahpun melepasi kuota pencalonan dan sewajarnya UMNO Sabah bersatu menjamin kemenangan Shafie selepas Datuk Seri Osu Sukam hampir mencapai kemenangan untuk Naib Presiden pada pemilihan 2000.

Sewajarnya pemimpin Sabah bersatu di bawah satu jentera untuk menjamin kemenangan Shafie dan beberapa pemimpin lain yang bertanding untuk kerusi Majlis Tertinggi UMNO.
Jika pemimpin Sabah menang, ia bukan untuk Sabah sahaja.
Dan apa ruginya sekiranya Shafie diberikan jawatan Naib Presiden UMNO kerana bukankah ini pengiktirafan terhadap Sabah?

Ia pastinya untuk Malaysia dan demi kerajaan BN yang kukuh dan stabil.
Dengan kestabilan, kerajaan mampu membawa pelbagai bentuk pembangunan untuk rakyat Sabah bagi membolehkan mereka maju dan setanding dengan rakan mereka di Semenanjung.
Juga penting untuk dilihat ialah, jika UMNO Sabah kukuh dan bersatu melalui faktor Shafie, kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri (sehingga ini yang dilihat dan dengan izin Allah adalah Datuk Seri Mohd Najib Razak) selepas Mac 2009 akan menjadi lebih terjamin kerana UMNO Sabah ‘solid’ menyokong kepimpinan beliau.

Yang nyata, sehingga kini UMNO Sabah dilihat sebagai penyelamat BN untuk terus berkuasa dan fungsi itu akan lebih terserlah jika ada pemimpin Sabah, khususnya Shafie menjadi Naib Presiden. Sabah tidak meminta lebih dengan meletakkan calon untuk menjadi Timbalan Presiden atau lebih tinggi tetapi hanya sekadar peringkat Naib Presiden. Kebetulan dua lagi Naib Presiden kemungkinan besar adalah dari Semenanjung.

Adalah adil dan wajar jika satu kerusi Naib Presiden diberikan kepada Sabah yang kebetulan Shafie bertanding bagi pihak Sabah.Pemimpin UMNO Sabah perlu berfikiran jauh dan melupakan sengketa sesama mereka jika ada bagi menjamin kemenangan calon Naib Presiden mereka. Ini kerana peluang kedua ini tidak lagi boleh terlepas begitu sahaja.
Lagipun, dengan angin perubahan yang melanda sekarang dan kebetulan Shafie mendapat pencalonan yang baik, sewajarnya peluang ini dipergunakan sepenuhnya.

Bagi pemimpin UMNO dari Semenanjung, tiada cara terbaik pada musim pemilihan ini selain memberikan kemenangan kepada UMNO Sabah untuk salah satu jawatan tinggi.
Hendaknya, janganlah pemimpin UMNO Semenanjung bersikap orang yang tidak tahu membalas budi kerana dengan adanya kesetiaan dan sikap setiakawan UMNO Sabahlah, kerajaan BN bertahan.

Dan melalui setiakawan UMNO Sabahlah, ramai pemimpin UMNO Semenanjung terus menikmati habuan seperti jawatan penting dalam kerajaan dan agensi-agensi, selain keusahawan dan perniagaan dapat dinikmati kerana Kerajaan Pusat terus berdiri!


FAKTA:

18 Mac 2008 - Sekarang :
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan

2004 - 2008 : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

1999 - 2004 : Timbalan Menteri Pertahanan Mei

1999 - Dis 1999 :
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

1995 - 1999 :
Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan

1991 - 1993 :
Setiausaha Politik Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi