"Mengapa PAS yang bentang RUU ini bukan kerajaan? Ada persepsi PAS dengan UMNO sudah bersama...Lebih membimbangkan bukan Islam apabila ia dibentangkan oleh PAS kerana di Kelantan dan Terengganu ada enakmen Hudud."
Tarikh untuk bentang Rang Undang-undang (RUU) 355 atau
Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 di Dewan Rakyat
semakin dekat.
Bacaan kedua bagi RUU355 itu dijangka bakal berlaku pada
sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan selepas bacaan pertama, Mei lalu.
Di sebalik tarikh yang semakin hampir, perjalanannya
dijangka masih jauh. Silap pendekatan akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada
Barisan Nasional (BN).
Bagi PAS, ia boleh mendakwa suatu kejayaan baginya kerana
berjaya menunaikan janji untuk membentangkannya.
Selebihnya terserah kepada kerajaan untuk
melaksanakannya. Sama ada dari segi tugas membuat penjelasan, mahupun
pelaksanaan dan penguatkuasaannya.
Bagaimana jika gagal atau tersekat-sekat? Akhirnya kerajaan
BN juga yang akan menanggung bebannya.
Jika berjaya, PAS akan mengambil kredit dengan mengatakan
segala usaha adalah daripadanya.
PAS boleh mengatakan tiada apa yang pelik dengan pindaan
Akta 355, yang dibawa usul oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu.
Namun sejauh ini pendirian parti komponen BN seperti MCA,
Gerakan, MIC dan beberapa parti lain dari Sarawak dan Sabah, termasuk PBS belum
jelas.
Isu RUU 355 adalah persoalan yang agak berat dan masih mengelirukan
bagi masyarakat bukan Islam.
Malah, perbahasan di kalangan masyarakat Islam juga tidak
terkecuali.
Pintu belakang bagi pelaksanaan Hudud? |
Seperti disebut Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw bukan Islam dan bukan
Melayu mempunyai persoalan sama ada RUU 355 ini merupakan pintu belakang bagi pelaksanaan
hudud di negara ini.
"Soal hari ini bukan soal RUU sahaja. Kita mesti
pandang ke seluruh negara tentang apakah perasaan masyarakat bukan Islam ke
atas RUU ini. Sebelum kita bahas tentang RUU, ia sudah pun tersebar luas di
seluruh negara menerusi media sosial. Adakah RUU ini pintu belakang
(pelaksanaan) hudud?," tanya beliau.
Perkara itu ditimbulkan olehnya pada Wacana Sinar Harian
'Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi' di Auditorium Kompleks Kumpulan
Media Karangkraf, di Shah Alam semalam.
Isu RUU yang dibawa oleh PAS ini diakui telah menimbulkan
persepsi tertentu terhadap kerajaan dan PAS.
Antara pertanyaan ialah,
mengapa PAS yang bentang RUU ini bukan kerajaan? Berikutan itu ada
persepsi PAS dengan UMNO sudah bersama. Itulah persepsi yang timbul
sekarang," kata Seng Giaw.
Sebagai pihak yang lebih berpengetahuan dalam soal RUU,
kata Seng Giaw, PAS mesti tahu bagaimana hendak mententeramkan hati yang
gelisah tentang pelaksanaan RUU.
Persoalannya berjayakah PAS memberikan penerangan yang jelas
dan lengkap?
Menyulitkan suasana kerana wujud kalangan ahli politik menggunakan isu agama ketika
membincangkan cadangan pindaan itu dan menyemarakkan sentimennya sehingga
menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat berbilang kaum.
Perlu diingat bahwa kalangan orang bukan Islam
mempunyai latar belakang yang berbeza sejak
merdeka dan memburukkan keadaan, ada kalangan ahli politik daripada pelbagai
parti menggunakan isu agama dan perkauman.
Lebih membimbangkan bukan Islam dan sensitif bagi mereka
apabila ia dibentangkan oleh PAS kerana di Kelantan dan Terengganu ada enakmen
hudud.
Juga persoalan yang ditimbulkan ialah, wujud persoalan
tentang hak bukan Islam selepas RUU itu dipinda selain tanda-tanya sama ada
akta ini adalah strategi awal PAS untuk melaksanakan hukum hudud.
Sehingga ini semua persoalan itu belum terjawab dan
bagaimana boleh dielakkan prasangka dan emosi seperti itu di kalangan
masyarakat pelbagai kaum di Malaysia?
Lihat sahaja MCA, ia menyatakan pendiriannya akan kekal untuk menolak pindaan RUU 355 yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang sebelum ini.
Ketua pasukan perlaksanaan Dasar dan Undang-undang
Syariah, MCA Pusat, Gan Ping Sieu berpendapat, pindaan tersebut dipertikai
masyarakat bukan Islam memandangkan terdapat agenda tersirat yang dibawa
berhubung pelaksanaan itu.
"Bukan saja persepsi tapi secara realitinya, ini
satu yang membimbangkan keseluruhan rakyat kita," katanya.
MCA menyatakan terkilannya dengan cadangan pelaksanaan pindaan akta
tersebut yang diawalkan tanpa pengetahuan daripada parti kompenan BN yang lain.
Gan...kecewa tiada rundingan dalam BN. |
Malah, beliau memaklumkan tiada sebarang rundingan atau
perbincangan dibuat sebelum ini di platform Kabinet mahupun parti berhubung
perkara tersebut.
“Antara sebab kita bantah dan tak setuju dengan pindaan
RUU 355 ini adalah berhubung agenda di sebalik pelaksaannya selepas ini sama
ada ia akan bercanggah dengan Artikel 8 iaitu hak kesaksamaan sesama rakyat,”
katanya.
Seperti Seng Giaw, beliau memaklumkan bahawa pelaksaan
pindaan akta tersebut bukan sahaja merisaukan MCA malah turut melibatkan
seluruh masyarakat di negara ini.
Kebimbangan utama ialah tujuan tersirat berhubung pindaan tersebut
adalah bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan selepas ini.
Dengan kedudukan ini amat jelas bahawa PAS seakan-akan
menyerahkan kepada BN untuk membuat penjelasan dan beban itu akan menyebabkan
UMNO menerima padah dikritik oleh komponen lain dalam BN.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan pada wacana Sinar Harian semalam menjelaskan, sekurang-kurangnya
terdapat tiga akta yang sama dengan akta 355 di negara ini.
"Saya seorang pengamal undang-undang, saya rasa
wajar mengatakan dalam negara kita ini terdapat sekurang-kurangnya tiga akta
yang mempunyai 'background' yang sama iaitu pertama Akta Mahkamah Rendah 1948,
Akta Mahkamah Kehakiman 1964, dan terakhir Akta Mahkamah Syariah 1965.
"Daripada ketiga akta ini saya mengabungkan sebagai
akta-akta bagi tujuan yang sama, jadi saya kira sebagai ahli politik dan
pengamal undang-undang tiada apa-apa yang pelik tentang akta 355 apabila
ia dicadangkan melalui satu usul ahli Parlimen bukan kerajaan,"
Ujarnya lagi, untuk meminda akta ini, tindakan ini
dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Walaupun jarang-jarang berlaku, tetapi Speaker dan
Menteri benarkan Ahli Parlimen Marang membuat usul, jadi ini adalah satu proses
biasa untuk pinda undang-undang sebab itu tiada perkara yang pelik untuk
menjadikan ia satu konflik atau menimbulkan satu kebimbangan," katanya.
Memanglah untuk PAS ia tidak membimbangkan, namun parti
komponen BN, khususnya MCA, MIC dan Gerakan dan pastinya juga parti komponen lain, kebimbangan
parti-parti itu memuncak apabila
dakwanya wujud laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) , ia adalah fasa sebelum pelaksanaan hudud di
seluruh negara.
Walaupun diyakini Jakim tidak berhasrat melaksanakan
hudud tetapi pada Mei 2014, laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah Sivil
secara singkatnya ia adalah cadangan hudud berfasa seluruh negara.
Jadi, dengan mengambil pendekatan dua fasa untuk
melaksanakannya - iaitu (melalui) pindaan Akta 355, sudah pasti ia merisaukan
parti berkenaan.
Malah, bagi MCA, ia kecewanya apabila pindaan akta itu
tidak dibawa dalam Majlis Tertinggi BN agar komponen parti dimaklumkan terlebih
awal.
Di pihak orang Islam pula, kenyataan oleh pihak-pihak
tertentu, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri yang mewajibkan ahli Parlimen beragama Islam menyokong RUU 355
itu dilihat boleh menimbulkjan berbagai persepsi rakyat.
Ini kerana sekiranya ahli Parlimen beragama Islam menolak
untuk menyokong, masyarakat Islam pastinya akan mengecam tindakan wakil rakyat tersebut.
Zulkifli melalui siri Bayan Linnas: Isu Cadangan Pindaan
Akta 355: Satu Pendapat menyatakan ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong
manakala yang bukan Islam perlu menyokong memandangkan pindaan itu membawa ke
arah kebaikan.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat, apabila mufti mengatakan wajib, setiap Ahli
Parlimen yang menolaknya nanti akan menghadapi pandangan serong atau dikecam
dalam kalangan orang Islam.
“Ini kerana pandangan seseorang mufti itu akan memberi
pengaruh besar kepada pemikiran masyarakat Islam,” katanya.
Mufti...wajib sokong RUU 355 |
Pendapat Zulkifli itu dilihat oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) dibuat dengan
tidak melihat secara menyeluruh kerana RUU 355 atau Akta Mahkamah Syariah
(bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 masih belum diperincikan di Dewan Rakyat.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mujahid Yusof Rawa
hairan dengan mufti berkenaan. ini kerana ia isu legislatif yang ada
prosedurnya.
“Sebagai ahli legislatif, kita berbahas atas fakta,
kerangka prosedur, Perlembagaan dan sebagainya. Bagaimana kamu buat pendirian
tanpa kamu dengar apa Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bentang lagi?”
Katanya, kenyataan ‘wajib’ itu dibuat tanpa melihat
keseluruhan isu-isu ‘legal’, prosedural yang lebih rumit daripada sekadar suruh
sokong,” katanya.
Berikutan itu beliau mengingatkan Mufti Wilayah
Persekutuan itu agar tidak menggunakan kedudukannya dalam menjatuhkan hukum
wajib atau tidak berkaitan urusan undang-undang.
Untuk menghilangkan kekeliruan dan ‘kekecohan’, saranan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri supaya diberikan kefahaman, terutamanya kepada bukan Islam bahawa pindaan tersebut
hanya melibatkan orang Islam, perlu tindakan secara bersama.
Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kalau kefahaman
ini dapat digarap bahawa Akta 355 itu bukan hudud, bukan potong tangan, bukan
potong kaki, bukan rejam, akan lebih membuka mata mereka yang ragu-ragu atau
bimbang mengenainya.
Persoalannya siapa yang bertanggungjawab menerangkannya?
Juga sejauh ini, apa kesan penerangan berkenaan?
Tidak wajar melengah-lengahkan penerangan mengenai RUU
355 ini kerana pada titah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13,
Mac lalu, Tuanku Abdul Halim mahu langkah-langkah memperkukuhkan institusi
agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui
pemerkasaan Mahkamah Syariah disegerakan.