Apakah keengganan pemimpin PAS hadir pada majlis
perasmian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, Shah Alam,
malam Sabtu lalu sebagai isyarat wujudnya halangan besar kepada kejayaan pembentukan Pakatan
Harapan yang mempunyai lima parti di dalamnya?
Juga apakah ia isyarat bahawa rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi - PAS + PPBM akan menjadi sukar – hanya kerana PAS seperti
tidak mengiktiraf kehadiran PPBM?
Apa yang menyebabkan mereka menolak jemputan untuk hadir
pada malam Sabtu lalu, atau kerana kehadiran pemimpin tinggi DAP dan AMANAH pada
majlis itu?
Sedangkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
pasukannya diberikan tempoh sehingga pertengahan bulan Januari ini bagi memutuskan perundingannya dengan PAS.
Ini adalah mandat khusus
kepada Presiden PPBM itu dan keputusan juga sedang ditunggu oleh tiga parti lain termasuk PKR, DAP dan AMANAH.
Untuk rekod, sehingga kini,
PPBM sudah menandatangani
perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), 13 Disember lepas.
Namun dengan keengganan pemimpin PAS hadir pada majlis
perasmian PPBM dan ulasan yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS khususnya terhadap
Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, seolah-olah mula ‘menghembuskan cahaya
di hujung terowong’.
Malah, PAS Selangor begitu sensitif apabila ada laporan media
perdana kononnya dua pemimpin mereka hadir pada pada majlis PPBM itu pada malam
Sabtu lalu.
Seolah-olah PAS tidak mahu berkait langsung dengan PPBM pada hal parti baru ini berusaha untuk mengajaknya bekerjasama.
Apakah PAS merasakan mereka begitu kuat sehinggakan keupayaan Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dipertikaikan?
PAS Selangor yang dengan tidak semena-mena menghukum media
tempatan kononnya ‘mencipta fitnah’ apabila melaporkan bahawa Timbalan Presiden
partinya hadir pada majlis itu, membawa seribu makna.
Sewajarnya, PAS Selangor tidak bersikap begitu keras
dengan media perdana kerana mungkin laporan itu dibuat sebaik sahaja mendengar Tun Dr
Mahathir Mohamad dalam ucapan awal majlis perasmian partinya itu ada menyebut
nama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat.
Malah sebuah kerusi yang kosong sehingga tamat majlis itu
juga tertera nama Iskandar Abdul Samad.
Ia mungkin sekeping gambar tetapi ada mengatakan ‘A
picture is worth a thousand words’.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Mohd Prasad Hanif marah
sungguh dan menganggap laporan berita, termasuk oleh media perdana mengenai kedatangan Pesuruhjaya PAS Selangor
itu sebagai suatu fitnah yang dimainkan dengan niat sengaja menjejaskan imej PAS
Selangor.
Hakikatnya, tidak ada sesiapa pun yang mahu membuat fitnah pun.
Ia sekadar terpetik nama daripada apa yang diumumkan oleh
Dr Mahathir dan kebetulan ada kerusi untuk Iskandar.
Kenapa sensitif sangat pemimpin PAS Selangor ini?
Ia bukan majlis parti DAP atau parti AMANAH yang sangat
dibencinya ketika ini. Sebaliknya ini majlis PPBM yang merupakan majlis pergerakan
dan perkumpulan orang Islam dan Melayu. Sepatutnya
PAS datang tetapi kalau tidak mahu datang tidak mengapalah tetapi jangan sensitif begitu sekali
Utusan Malaysia pada 14 Januari 2017 (11:25 malam) melaporkan, “Pemimpin PAS hari ini
turut hadir dalam Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di
Stadium Malawati di sini (Shah Alam).
Pemimpin PAS yang hadir ialah Naib Presiden PAS yang juga
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad. Difahamkan kehadiran
Iskandar sebagai menggantikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Man Tuan Ibrahim.”
BH Online (14 Januari, 9.37 malam) turut melaporkan mengenai kehadiran Tuan Ibrahim kerana namanya disebut dalam ucapan alu-aluan oleh Dr Mahathir.
Itu sahaja.
Cuma pelik sedikit apabila Malaysia Gazette melaporkan dengan
tajuk, “Kehadiran Tuan Ibrahim, Iskandar dapat restu
Presiden PAS” yang menyebut “Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad pada
majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) malam ini, mendapat
restu Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Parti (PAS) menerima jemputan dari PPBM, minta hadir.
Presiden (PAS) setuju dan minta saya serta Datuk Pesuruhjaya PAS Selangor
datang atas semangat setiakawan dalam politik.
“PAS tidak ada masalah dengan PPBM. Begitu juga dengan
PKR. Kita boleh duduk se pentas. Cuma kita tidak bersedia untuk bergabung
dengan mereka dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di Stadium
Malawati di Shah Alam.
Bagaimana wartawannya Manzaidi Mohd
Amin menemubual Tuan Ibrahim jika beliau tidak pernah muncul?
Malah wartawan Malaysia Gazette itu melaporkan, “Ditanya,
adakah kehadirannya memberi gembaran bahawa PAS akan bersama PPBM dalam PH
untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14)
ini, katanya, PAS setakat ini selesa dengan Parti Ikatan Malaysia (Ikatan)
menerusi Gagasan Sejahtera.”
Mungkinkah temubual dan kenyataan ini dibuat lebih awal
(tengah hari atau pada sebelah petang) sebelum majlis itu kerana difahamkan
mulanya PAS bersetuju untuk menghantar wakilnya.
Ini berdasarkan kenyataan Tuan Ibrahim sendiri yang
mengatakan kepada Sinar Online sebagai menjelaskan laporan mengenai
kedatangannya menjelaskan, PAS tidak menghantar wakilnya pada program
pelancaran parti itu kerana sedang melaksanakan program anjurannya sendiri.
Dalam kenyataanya semalam, Mohd Prasad menyebut: “PAS
Selangor menafikan fitnah tersebut sekeras-kerasnya. Pesuruhjaya PAS Selangor
menghadiri program parti sepanjang hari semalam dalam program bertemu rakyat.”
Isunya kenapa dengan yakin Dr Mahathir pada awal ucapannyamengalu-alukan
kedatangan Tuan Ibrahim?
Apakah PAS mulanya mengesahkan kehadiran tetapi
membatalkannya di saat akhir?
Apakah maknanya apabila Dr Mahathir menyebut juga akan
kehadiran Tuan Ibrahim?
Dr Mahathir mungkin sengaja menyebutnya untuk menunjukkan
bahawa PAS boleh melakukan apa sahaja, termasuk membatalkan janjinya yang sudah
dibuat terlebih awal.
Ini hanya andaian penulis tetapi jika benar tidak tahulah apa
mahu dikatakan dengan sikap PAS akhir-akhir ini.
Jadi tidak payahlah menuduh media membuat fitnah dan
kalaupun mahu memberikan penjelasan, janganlah sampai Mohd Prasad pergi begitu jauh
dengan penuh syak wasangka bahawa dengan adanya nama disebut sebagai yang hadir
ke majlis itu, ia sudah berupa fitnah.
Diakui ia memang kesilapan tetapi tidaklah sampai berniat menabur
fitnah.
PAS Selangor janganlah beremosi sangat hingga menyebut walaupun
difitnah dan ditohmah, PAS Selangor yang dipimpin Iskandar, selaku Pesuruhjaya,
akan terus fokus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“PAS Selangor tidak akan terjerumus ke dalam politik
murahan mana-mana pihak,” katanya lagi.
Katanya, senario
yang berlaku bakal memberi petunjuk kepada rakyat dengan siapa PAS sebenarnya
walaupun parti itu menafikannya.
Iskandar dalam reaksinya pula semalam berkata, apa guna wakil PAS hadir pada majlis itu
sekiranya menadah telinga mendengar PAS dikecam dan diejek-ejek.
Namun, pertanyaan ialah, jika ada pemimpin PAS pada
majlis perasmian itu, apakah Dr Mahathir akan membidas mereka?
Di sinilah menguji keikhlasan dalam membentuk PH
dengan tujuan bersatu untuk menentang BN.
Tetapi dengan sikap PAS ini amat nyata hubungan PAS
dengan PPBM yang dilihat baik sebelum ini, kini diuji dengan berat yang mungkin akan menjadi semakin baik atau mungkin semakin
pudar.
Persoalannya juga apakah
Abdul Hadi tidak akan langsung memandang kepafa PPBM dan Dr Mahathir pada ketika Presiden PAS itu
sedang menikmati berbagai ‘pengiktirafan daripada UMNO’.
Juga mungkin mereka sedang memikirkan tawaran tertentu sama ada kepada individu tertentu atau parti secara keseluruhan.
Apapun ketidakhadiran pemimpin PAS itu juga semakin
menyerlahkan sikap PAS yang nampaknya kini berada dalam kedudukan ‘di telan mati emak, di
ludah mati bapak’ dalam hubunganya dengan PKR.
Dengan AMANAH dan DAP ia menyerlahkan ‘yang putus itu sudah
terlalu sukar dihubungkan kembali’.