Thursday, March 22, 2018

PERBUATAN AHLI POLITIK MEMAINKAN ISU PERKAUMAN MEMBAHAYAKAN MALAYSIA!



Apakah kita tidak belajar daripada kesan 13 Mei 1969?

Bukan sekadar isu ekonomi yang menyebabkan berlakunya tragedi sedemikian.

Isu serta api perkauman yang sengaja dibesar0besarkan juga menjadi penyumbang besar kepada konflik perkauman. Ia dianggap satu-satunya yang paling besar berlaku di Malaysia.

Kini selepas Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada awal 1970-an yang menekankan kepada membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat , Malaysia berdepan dengan ancaman perkauman yang semakin membimbangkan ketika ini.

Sedar atau tidak, mahu atau tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa pemimpin politik kita semakin kurang menekankan aspek perpaduan dalam pidato atau juga ucapan mereka.

Hanya di kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kerap menyuarakan kebimbangan mengenai perkara ini.

Hakikatnya, sejauh manakah kefahaman antara kaum sudah dapat diwujudkan melalui pendidikan sejak di bangku sekolah dan penerapan semangat patriotisme dan pemantauan ketika remaja berada di universiti?

Juga sejauh mana kejayaan pihak berkuasa berjaya meleraikan pertelingkahan kaum dan tindakan agresif seperti yang pernah berlaku pada ketika solat Jumaat di Johor Bahru tidak lama dahulu?

Rakyat memang sedar bahawa perpaduan sangat penting bagi membentuk sebuah negara yang maju dan stabil. Tetapi siapa yang menggunakan faktor perkauman untuk kepentingan dan laba politik?

Bukahkah kalangan pemimpin, khususnya pemimpin politik yang mengambil kesempatan melaluinya?
 
Banyak manakah kata-kata dan ajakan ke arah perpaduan yang dilaungkan oleh pemimpin kita berbanding dengan cakap-cakap mengenai sesuatu kaum itu perlu bersatu untuk menyaingi atau bersedia menghadapi ancaman kaum lain.

Persoalannya – apakah dalam kehidupan seharian,  rakyat yang berlebih mengamalkan perkauman?

Jawapannya tidak sama sekali.

Rakyat berusaha untuk tidak menyakit atau menyebabkan jiran mereka terasa dengan  turut kata dan tindakan mereka yang bersifat perkauman.

Bagi yang sudah tinggal bersama di sesuatu kawasan sejak bertahun-tahun lamanya sama ada di banfar atau kampung, mereka akan terus menjaga kepentingan bersama demi keamanan dan kesejahteraan kawasan mereka.

Yang menyebabkan timbulnya perasaan perkauman dan syak wasangka (prejudis)  di kalangan masyarakat adalah pemimpin dalam sesebuah masyarakat, khususnya orang politik.

Kajian mengenai risiko atau sikap perkauman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum pula  menunjukkan bahawa isu perkauman semakin membimbangkan.

Berdasarkan kajian oleh Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun lalu menunjukkan bahawa  walaupun hubungan etnik di Malaysia masih baik, namun risiko perkauman didapati semakin meningkat dan menebal.

Apakah selepas merdeka lebih 60 tahun isu perkauman masih menjadi halangan penting ke arah pembinaan negarabangsa?

Sekiranya tidak ditangani, ia akan menyebabkan rakyat mengutamakan kepentingan etnik masing-masing dalam tindakan hidup.

Membimbangkan perkara itu akan membawa kepada gejala negatif seperti stereotaip, prejudis, perkauman dan diskriminasi yang menebal dalam kalangan masyarakat.

Lebih mengejutkan, faktor politik menjadi punca utama ketegangan antara kaum di samping perbezaan agama, politik, negara, bangsa, ekonomi dan mobiliti sosial.

Tidak dapat dinafikan bahawa risiko etnik atau sifat perkauman akan semakin meningkat dalam kempen-kempen pilihan raya oleh parti-parti politik untuk mempertahankan kepentingan mereka sendiri sehingga mampu memusnahkan perpaduan.

Lebih menakutkan lagi, isu sensitiviti agama kurang diberikan perhatian sehingga menimbulkan kemarahan dan pergaduhan antara kaum terutamanya dengan perkembangan teknologi terkini yang membolehkan semua pihak menularkan sesuatu perkara dengan pantas.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyalahkan orang politik dalam mewujudkan perasaan perkauman yang semakin menebal dan kerana itu menggesa rakyat menolak ahli politik yang membuat kenyataan berbaur perkauman ketika kempen pilihan raya.

Dengan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin menghampiri dan suhu politik semakin panas sekarang, rakyat perlu memberi mesej kepada ahli politik supaya tidak menggunakan kenyataan berbaur perkauman untuk memancing undi.

Dalam menyatakan  sesuatu isu atau kepentingan rakyat, ahli politik cubalah elak daripada menyebut atau memfokus kepada sesuatu kaum tetapi  memanggil atau menggelar  orang ramai sebagai rakyat Malaysia.

Sebarang tindakan hendaklah memperlihat dan menjuruskan perjuangan kea rah membentuk perpaduan.

Semua pihak jangan cuba mencuri peluang untuk melaga-lagakan rakyat berbagai kaum dengan isu perkauman.

Sama ada dalam kempen, pembahagian kerusi atu juga membentuk dasar-dasar, ia perlu mewakili kepentingan dan bertujuan ‘sama merasa nikmat pembangunan negara’.

Berikutan itu laporan Laporan Diskriminasi Kaum Malaysia 2017 yang dilancarkan baru-baru ini perlu diberikan perhatian mendalam.

Kerajaan dan pemimpin sama ada yang sedang atau akan memerintah jangan sampai dituduh memungkiri janji menggalakkan perpaduan negara.

Perpaduan negara adalah elemen penting kepada pembangunan negara kerana semua rakyat adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial.

Pandangan NGO berkaitan laporan kumpulan hak asasi manusia NGO perlu diberikan perhatian segera khususnya dalam perkara bersifat perkauman kian seperti sentimen “Islam sahaja” atau “Cina sahaja” atau apa-apa sahaja yang berbau rasis.

Kita tidak mahu Malaysia yang berjaya dibangun dan dipertahankan melalui konsep dan amalan perpaduan dimusnahkan oleh eleman dalaman sendiri – masalah perpaduan dan prejudis di kalangan etnik dan kaum..

Dalam kalangan parti – khususnya parti yang dibentuk bersifat perkauman – mereka perlulah menegakkan aspirasi Barisan Nasional atau Pakatan Harapan (HARAPAN) agar isu perkauman dan prejudis terhadap kaum lain dikurangkan, jika pun tidak dapat dihapuskan.

Dalam pembentukan dasar-dasar ekonomi, pentadbiran, pendidikan, budaya dan sosial, kepentingan perpaduan perlu dijadikan asas penting.

Kita berharap semua kaum dan bukan beberapa kaum dan etnik sahaja yang mengorbankan ;kepentingan mereka’ dalam isu perpaduan tetapi yang msih mempertahankan kekebalan sikap perkauman mereka mulai merobohkan benteng kepentingan perkauman.

Hanya melalui persefahaman kental sahaja negara dapat dibangunkan secara bersama.

kerana itu rakyat wajar memilih parti atau ahli politik yang tidak mengamalkan perkauman dan meletakkan kepentingan kaum mereka sebagai penentu segala-galanya.

Yang nyata, kita tidak mahu isu perkauman dijadikan asas penting ataualat kea rah ‘pecah dan perintah.”

Janganlah kerana demi sokongan dan kemenangan demi PRU14, ahli politik di pihak kerajaan dan pembangkang  menggunakan strategi kempen dan merayu undi  berasaskan kaum – apa lagi agama - untuk meraih sokongan.

Pendedahan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia  Datuk Seri Mukhriz Mahathir kelmarin yang mengaku beliau pernah menggunakan isu perkauman dan agama ketika berada dalam UMNO adalah salah satu daripada bukti nyata bahawa orang politik bergelut dengan 'permainan isu perkauman dan agama'.


Permainan seperti ini dan diskriminasi kaum dan agama perlu diatasi segera.

Kita tidak mahu lagi membaca atau mendengar laporan mengenai tindakan seperti larangan bertudung dalam industri perhotelan,  tandas untuk Islam sahaja di satu lebuh raya, cawan minuman berasingan bagi murid-murid berbeza latar belakang agama, kedai dobi “orang Islam sahaja” serta berbagai perkara lagi.


Ini belum lagi berkaitan diskriminasi antara pengamal Islam yang menjurus kepada siapa akan masuk syurga atau neraka dan siapa pula perlu dilaknat dan siapa pula perlu dilindungi yang semakin ketara akhir-akhir ini.

Wednesday, March 7, 2018

SELAMA MANA WAYANG KULIT 1MDB AKAN DITAYANGKAN?



Parlimen Malaysia sudah menjadi permainan ‘wayang kulit’ dalam isu penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Yang menaja permainan adalah Putrajaya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang menjadi Tok Dalang ialah kumupulan yang berkuasa di Parlimen – menteri, Speaker  serta kakitangannya - dan yang menjadi ‘watak wayang kulit’ adalah menteri dan semua pentadbir 1MDB yang cuba menjayakan jalan cerita oleh penajanya.

Ahli Parlimen pula ada yang ‘bisu dan langsung kelu’. Sementara yang  cuba bersuara pula disekat melalui Tok Dalang dan watak-watak tertentu yang ditonjolkan dengan sifat mereka yang n ‘taat membabi buta’ mereka.

Bukit 1MDB semakin membesar dengan beban hutang, rampasan-rampasanserta dakwaan di luar negara  serta  risiko yang membimbangkan.

Pertanyaan terbaru di sebalik plot ‘wayang kulit 1MDB’ ini ialah  kenapa Putrajaya dan Perdana Menteri serta konconya begitu berusaha melindungi jutawan kontroversi yang masih bebas -  Low Taek Jho atau Jho Low?

Apa istimewanya individu ini?

Kenapa penyokong Najib – termasuk Menteri dan konco-konconya -  melenting tidak tentu pasal apabila usaha menangkap dan merampas harta 1MDB yang diselewengkan oleh Jho Low  mahu dilakukan?

Apakah kerana ia ada kaitan dengan kerajaan, Putrajaya dan Najib sendiri?

Kalaupun dikhabarkan Jho Low ada kaitan dengan anak tiri Najib – Reza Aziz – biarkanlah pihak berkuasa bertindak untuk membersihkan nama individu-individu berkenaan.

Malah, adalah suatu tragedi  politik dan pentadbiran Malaysia apabila Parlimen – tepat paling mulia dan teratas bagi pembuatan dasar – menolak untuk membahaskan isu berkenaan.

Kenapa kerajaan bimbang dan takut  dengan perbahasan jika mempunyai 1001 alasan untuk mengatakan 1MDB dan Jho Low tiada kaitan langsung dengan Putrajaya, Najib dan kaum keluarganya?

Rakyat pastinya mahu tahu apa penyudahnya dengan isu ini yang berlanjutan beberapa tahun dan semakin ‘popular dan mengharumkan nama Malaysia’ di luar negara dengan panggilan negara kleptokrat?

Rakyat juga mahu tahu apakah benar Najib seorang pemimpin yang mengamalkan kleptokrasi?

Kita sebagai rakyat Malaysia bangga digelarkan sedemikian?


Yang paling tidak faham dan membingungkan kerana Putrajaya dan Najib tidak gunakan Dewan Rakyat atau Dewan Negara untuk bersihkan nama mereka.

Semakin wayang kulit dimainkan dan disekat ahli Parlimen bersuara, semakin bertambah ragu rakyat jelata dan pastinya akan semakin bertimbunlah tuduhan terhadap Putrajaya dan pemimpin utama UMNO.

Menolak usul  Ahli Parlimen pembangkang berkaitan 1MDB akan mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa banyak perkara salah sudah, sedang dan akan berlaku mengenai 1MDB.

Jika tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.

Memperkuatkan dakwaan Ahli Parlimen yang bukan ‘bisu dan pekak’ ialah mengenai tindakan beberapa negara, termasuk Amerika Syarkat melalui Jabatan Kehakiman (DOJ) –merampas kapal mewah Equanimity di Teluk Benoa, Bali.

Tindakan polis Indonesia pada 28 Februari  lalu yang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyita kapal mewah itu menjadi perhatian sebahagian Ahli Parlimen Malaysia.

Bagaimanapun usul segera mendesak Perdana Menteri menjelaskan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali bahawa kerajaan tidak akan menuntut kapal layar mewah ahli perniagaan Jho Low itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. 

Sebelum itu, akhbar Tages Anzeige  yang berpangkalan di Zurich, Selasa lalu melaporkan kerajaan Switzerland dibenarkan untuk menuntut keuntungan yang dijana secara haram.sebanyak CHF95 juta (RM400 juta) - wang dana berkaitan 1MDB yang dirampas daripada beberapa bank.
  


Akhbar itu juga memetik Menteri Kewangan, Ueli Maurer sebagai berkata, bahawa dana berkenaan telah disalurkan ke perbendaharaan persekutuan memandangkan tidak ada pihak yang menuntutnya.

Ada Ahli Parlimen Malaysia mempersoalkan Najib, apa tindakan kerajaan mengenai perkara ini? Berdiam diri sahaja?

Wang sebanyak RM400 juta itu banyak dan boleh dibelanjakan untuk faedah rakyat!


Kini rakyat bukan sekadar bingung dengan isu derma Tok Arab sebanyak RM2.6 bilion tetapi menuntut Najib berikan jawapan sejauh mana  RM42 bilion tidak hilang, sebaliknya ia memang hutang syarikat berkenaan.

Persoalannya, jika RM42 bilion itu hutang 1MDB, pasti  ada aset yang boleh ditunjuk atau diperjelas kepada rakyat. Tempat paling baik menjelaskan perkara itu ialah di Dewan Rakyat.

Dan jika menunjukkan  aset apakah nilainya  bersamaan dengan hutang RM42 bilion itu?

Pertanyaan Ahli Parlimen apakah benar  RM10 bilion hingga RM20 bilion wang 1MDB telah dibelanjakan? Jika ya, mana aset dan rekod perbelanjaannya?

Juga, benarkah daripada jumlah RM42 bilion ini, dakwaan DOJ bahawa pelbagai aset mewah dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB berjumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion)?

Banyak lagi persoalan – sama ada yang benar atau ‘karut-marut’ perlu dijawab dan kerajaan BN/UMNO serta Najib perlu bertanggungjawab keepada institusi Parlimen untuk menegakkan keadilan untuk semua – pemerintah dan rakyat.

Isu tersalah bayar oleh 1MDB kepada syarikat yang tidak pernah wujud, jumlah yang perlu lagi dibayar kepada syarikat Abu Dhabi, apa jadi dengan laporan kewangan dan audit 1MDB serta Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang masih diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan akan tetap menjadi persoalan yang memerlukan jawapan.

Dan di manakah jawapan keada semua itu dibuat? Sudah pastinya di Parlimen.

Kini sedikit terlambat untuk menghapuskan  pendapat bahawa Jho Low sangat rapat dengan Najib selain individu paling laba daripada wang 1MDB yang dilarikan.

Najib dan kerajaan hanya dapat mensucikan diri melalui penafian di Dewan Rakyat dan masa masih ada untuk berbuat demikian sebelum Parlimen dibubarkan.

Jika Najib, kerajaan BN dan UMNO yakin dengan institusi Parlimen, lakukan segera sesuatu yang mampu menghapuskan persepsi rakyat dalam keadaan keburukan  1MDB sudah tidak boleh lagi dilindungi.

Bangkai gajah sudah tidak boleh lagi ditutup lagi dengan daun pokok kurma kerana 1MDB adalah bahan berita dunia, bukan sahaja di dunia Arab tetapi dari negara Timur – Hong Kong dan China sehinggalah ke selatan (New Zealand), utara (Switzerlanf) dan barat (Amerika Syarikat).

Di Singapura pula ia seolah-olah berita berkaitan rakyat dan bank negara berkenaan. Begitulah keadaan cerita dalam wayang kulit ini.

Sudah pasti Ahli Parlimen pembangkang tidak akan berpuas hati apabila Dewan Rakyat menolak hampir kesemua soalan yang diusulkan berhubung isu 1MDB pada persidangan yang bermula kelmarin.

Tindakan  terus mengelak daripada menjawab isu skandal 1MDB akan hanya menimbulan lebih banyak perspsi buruk kepada kerajaan dan BN/UMNO serta Najib.
Untuk menyelamatkan diri dan bimbang rakyat menolak pemerintah melalui PRU14,  jangan pula menuduh pembangkang membuat fitnah.

Menggendalikan fitnah bukan dengan berdiam diri, lari atau mengelak menjawab soalan. Sebaliknya jawab persoalan di tempat yang paling sesuai, iaitu Parlimen.

Ingat, penguatkuasa undang-undang antarabangsa sudah semakin hampir ke Malaysia.

Selepas tindakan terhadap individu dan penutupan beberapa bank di Singapura dan rampasan kapal mewah di perairan Indonesia, hanya masa akan menentukan bila pula tindakan terhadap mereka yang terbabit dengan skandal ini  di Malaysia.

Tunggulah aka nada mereka yang ‘bebas ketika ini’  akan menerima padahnya!