Apakah kita tidak belajar daripada kesan 13 Mei 1969?
Bukan sekadar isu ekonomi yang menyebabkan berlakunya
tragedi sedemikian.
Isu serta api perkauman yang sengaja dibesar0besarkan juga menjadi penyumbang besar
kepada konflik perkauman. Ia dianggap satu-satunya yang paling besar berlaku
di Malaysia.
Kini selepas Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB)
dilancarkan pada awal 1970-an yang menekankan kepada membasmi kemiskinan dan
menyusun semula masyarakat , Malaysia berdepan dengan ancaman perkauman yang semakin
membimbangkan ketika ini.
Sedar atau tidak, mahu atau tidak mahu, kita perlu
menerima hakikat bahawa pemimpin politik kita semakin kurang menekankan aspek perpaduan
dalam pidato atau juga ucapan mereka.
Hanya di kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kerap menyuarakan kebimbangan mengenai perkara ini.
Hakikatnya, sejauh manakah kefahaman antara kaum sudah
dapat diwujudkan melalui pendidikan sejak di bangku sekolah dan penerapan semangat
patriotisme dan pemantauan ketika remaja berada di universiti?
Juga sejauh mana kejayaan pihak berkuasa berjaya
meleraikan pertelingkahan kaum dan tindakan agresif seperti yang pernah berlaku
pada ketika solat Jumaat di Johor Bahru tidak lama dahulu?
Rakyat memang sedar bahawa perpaduan sangat penting bagi
membentuk sebuah negara yang maju dan stabil. Tetapi siapa yang menggunakan
faktor perkauman untuk kepentingan dan laba politik?
Bukahkah kalangan pemimpin, khususnya pemimpin politik
yang mengambil kesempatan melaluinya?
Banyak manakah kata-kata dan ajakan ke arah perpaduan
yang dilaungkan oleh pemimpin kita berbanding dengan cakap-cakap mengenai
sesuatu kaum itu perlu bersatu untuk menyaingi atau bersedia menghadapi ancaman
kaum lain.
Persoalannya – apakah dalam kehidupan seharian, rakyat yang berlebih mengamalkan perkauman?
Jawapannya tidak sama sekali.
Rakyat berusaha untuk tidak menyakit atau menyebabkan
jiran mereka terasa dengan turut kata dan tindakan mereka yang bersifat perkauman.
Bagi yang sudah tinggal bersama di sesuatu kawasan sejak
bertahun-tahun lamanya sama ada di banfar atau kampung, mereka akan terus
menjaga kepentingan bersama demi keamanan dan kesejahteraan kawasan mereka.
Yang menyebabkan timbulnya perasaan perkauman dan syak
wasangka (prejudis) di kalangan
masyarakat adalah pemimpin dalam sesebuah masyarakat, khususnya orang politik.
Kajian mengenai risiko atau sikap perkauman dalam
kalangan masyarakat pelbagai kaum pula menunjukkan bahawa isu perkauman semakin
membimbangkan.
Berdasarkan kajian oleh Institut Kajian Etnik (Kita),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun lalu menunjukkan bahawa walaupun hubungan
etnik di Malaysia masih baik, namun risiko perkauman didapati semakin meningkat dan menebal.
Apakah selepas merdeka lebih 60 tahun isu perkauman masih menjadi halangan penting ke arah pembinaan negarabangsa?
Sekiranya tidak ditangani, ia akan menyebabkan
rakyat mengutamakan kepentingan etnik masing-masing dalam tindakan hidup.
Membimbangkan perkara itu akan membawa kepada gejala
negatif seperti stereotaip, prejudis, perkauman dan diskriminasi yang menebal
dalam kalangan masyarakat.
Lebih mengejutkan, faktor politik menjadi punca utama
ketegangan antara kaum di samping perbezaan agama, politik, negara, bangsa,
ekonomi dan mobiliti sosial.
Tidak dapat dinafikan bahawa risiko etnik atau sifat
perkauman akan semakin meningkat dalam kempen-kempen pilihan raya oleh
parti-parti politik untuk mempertahankan kepentingan mereka sendiri sehingga
mampu memusnahkan perpaduan.
Lebih menakutkan lagi, isu sensitiviti agama kurang
diberikan perhatian sehingga menimbulkan kemarahan dan pergaduhan antara kaum
terutamanya dengan perkembangan teknologi terkini yang membolehkan semua pihak
menularkan sesuatu perkara dengan pantas.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyalahkan orang
politik dalam mewujudkan perasaan
perkauman yang semakin menebal dan kerana itu menggesa rakyat menolak ahli
politik yang membuat kenyataan berbaur perkauman ketika kempen pilihan raya.
Dengan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin
menghampiri dan suhu politik semakin panas sekarang, rakyat perlu memberi mesej
kepada ahli politik supaya tidak menggunakan kenyataan berbaur perkauman untuk
memancing undi.
Dalam menyatakan
sesuatu isu atau kepentingan rakyat, ahli politik cubalah elak daripada
menyebut atau memfokus kepada sesuatu kaum tetapi memanggil atau menggelar orang ramai sebagai rakyat Malaysia.
Sebarang tindakan hendaklah memperlihat dan menjuruskan
perjuangan kea rah membentuk perpaduan.
Semua pihak jangan cuba mencuri peluang untuk
melaga-lagakan rakyat berbagai kaum dengan isu perkauman.
Sama ada dalam kempen, pembahagian kerusi atu juga
membentuk dasar-dasar, ia perlu mewakili kepentingan dan bertujuan ‘sama merasa
nikmat pembangunan negara’.
Berikutan itu laporan Laporan Diskriminasi Kaum Malaysia
2017 yang dilancarkan baru-baru ini perlu diberikan perhatian mendalam.
Kerajaan dan pemimpin sama ada yang sedang atau akan
memerintah jangan sampai dituduh memungkiri janji menggalakkan perpaduan negara.
Perpaduan negara adalah elemen penting kepada pembangunan
negara kerana semua rakyat adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan
sosial.
Pandangan NGO berkaitan laporan kumpulan hak asasi
manusia NGO perlu diberikan perhatian segera khususnya dalam perkara bersifat
perkauman kian seperti sentimen “Islam sahaja” atau “Cina sahaja” atau apa-apa
sahaja yang berbau rasis.
Kita tidak mahu Malaysia yang berjaya dibangun dan
dipertahankan melalui konsep dan amalan perpaduan dimusnahkan oleh eleman
dalaman sendiri – masalah perpaduan dan prejudis di kalangan etnik dan kaum..
Dalam kalangan parti – khususnya parti yang dibentuk
bersifat perkauman – mereka perlulah menegakkan aspirasi Barisan Nasional atau
Pakatan Harapan (HARAPAN) agar isu perkauman dan prejudis terhadap kaum lain
dikurangkan, jika pun tidak dapat dihapuskan.
Dalam pembentukan dasar-dasar ekonomi, pentadbiran,
pendidikan, budaya dan sosial, kepentingan perpaduan perlu dijadikan asas
penting.
Kita berharap semua kaum dan bukan beberapa kaum dan
etnik sahaja yang mengorbankan ;kepentingan mereka’ dalam isu perpaduan tetapi
yang msih mempertahankan kekebalan sikap perkauman mereka mulai merobohkan
benteng kepentingan perkauman.
Hanya melalui persefahaman kental sahaja negara dapat
dibangunkan secara bersama.
kerana itu rakyat wajar memilih parti atau ahli politik
yang tidak mengamalkan perkauman dan meletakkan kepentingan kaum mereka sebagai
penentu segala-galanya.
Yang nyata, kita tidak mahu isu perkauman dijadikan asas
penting ataualat kea rah ‘pecah dan perintah.”
Janganlah kerana demi sokongan dan kemenangan demi PRU14,
ahli politik di pihak kerajaan dan pembangkang menggunakan strategi kempen dan merayu undi berasaskan kaum – apa lagi agama - untuk
meraih sokongan.
Pendedahan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu
Malaysia Datuk Seri Mukhriz Mahathir kelmarin yang mengaku beliau pernah
menggunakan isu perkauman dan agama ketika berada dalam UMNO adalah salah satu daripada bukti nyata bahawa orang politik bergelut dengan 'permainan isu perkauman dan agama'.
Permainan seperti ini dan diskriminasi kaum dan agama perlu diatasi segera.
Kita
tidak mahu lagi membaca atau mendengar laporan mengenai tindakan seperti larangan bertudung dalam industri
perhotelan, tandas untuk Islam sahaja di
satu lebuh raya, cawan minuman berasingan bagi murid-murid berbeza latar belakang
agama, kedai dobi “orang Islam sahaja” serta berbagai perkara lagi.
Ini belum lagi berkaitan diskriminasi antara pengamal
Islam yang menjurus kepada siapa akan masuk syurga atau neraka dan siapa pula
perlu dilaknat dan siapa pula perlu dilindungi yang semakin ketara akhir-akhir
ini.
No comments:
Post a Comment