“Memperkenalkan visi baru adalah biasa dan perlu demi kekuatan dan
survival politik dan negara di masa hadapan...Tetapi menghapuskan legasi
melalui visi baru tanpa mengambil kira kebaikan dan sumbangan pemimpin sebelumnya TIDAK WAJAR dan KEJAM."
Mungkin Transformasi Nasional 2050 (T50) menjadi senjata
paling ampuh ‘membunuh Wawasan 2020’.
Legasi lama itu harus diganti dengan yang baru demi masa
depan Malaysia yang diharapkan dicapai pada 2050.
Visi T50 itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak semalam pada ucapan Bajet 2017 yang dilihat sebagai serangan berani dan
terbesar terhadap legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejauh
ini.
Benarlah apa yang dikatakan oleh Ketua Penerangan UMNO,
Tan Sri Annuar Musa sebelum ini bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu
menghapuskan legasi DR Mahathir untuk menjadikan UMNO kuat.
Najib semalam membuktikan bahawa cara paling baik
menghapuskan legasi Perdana Menteri Malaysia 22 tahun itu ialah memperkenalkan
gagasan baru.
Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau dan kepimpinannya merangka
hala tuju negara berdasarkan visi baharu yang dikenali
sebagai Transformasi Nasional 2050 atau TN50.
Bagi Najib, T50 adalah ‘azimat kerajaan dan rakyat’ untuk
masa depan bagi tempoh 30 tahun akan datang.
“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama
berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui," tegas Najib.
Petikan kata-kata Perdana Menteri yang diterbitkan pada Februari 2013 oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara. Sekarang sudah bagaimana? |
Sebelum ini, rancangan pembangunan negara berdasarkan
Wawasan 2020 hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ada menyebut Wawasan 2020 diperkenalkan ketika
pembentangan Rancangan Malaysia Keenam pada 1991 dan ada yang menyebutnya lahir
hasil daripada kertas kerja bertajuk
“Malaysia-Melangkah ke Hadapan” yang dibentangkan di Majlis Perdagangan Malaysia
pada 28 Februari 1991.
Wawasan 2020 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara
maju pada tahun 2020 dengan acuan tersendiri. Ia adalah kesinambungan daripada
usaha pemimpin negara terdahulu bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara
maju dalam segenap aspek kehidupan meliputi ekonomi, politik, sosial,
kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Untuk yang mahu mengetahui dengan jelas dan mudah, baca
dokumen ‘KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN JAYAKAN WAWASAN 2020’ oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia (Februari 2013) melalui carian di
internet.
Selepas diragui wawasan itu akan mencapai sasarannya
dengan pengenalan berbagai dasar baru sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad
Badawi yang diteruskan Najib sejak 2008, ia menjadi hambar.
Malah Dr Mahathir sendiri meragui untukm dicapai kerana
pentabiran selepasnya dilihat seolah-olah ‘lepas tangan’.
Dalam pembentangan Bajet 2017 di Parlimen semalam, Najib
berkata, sejak 2010, Malaysia berada di atas landasan visi Dasar Transformasi
Negara (DTN).
Tanpa menyebut sepatah pun perkataan Wawasan 2020, Najib
mengatakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Allahyarham Tun Abdul
Razak untuk generasi baharu berjaya mencapai sasaran dalam tempoh 30 tahun.
Kerana itu, TN50 juga dijangka mengambil tempoh sama
untuk proses dan gerak kerja.
Apakah dengan tidak menyebut Wawasan 2020 itu bermakna
gagasan atau visi pembangunan sebelum ini, khususnya di era Dr Mahathir tidak
membawa sebarang kemajuan kepada rakyat dan negara?
Apakah DEB yang dijadikan asas pembangunan sejak Dr
Mahathir Mohamad mengambil alih pentadbiran pada 1982 dengan berbagai dasar
untuk Bumiputera perlu dilupakan begitu sahaja?
Apakah Najib hanya melihat legasi bapanya tanpa menyebut
legasi Tunku Abdul Rahman serta Tun Hussein Onn?
Kenapa melihat visi pembangunan DEB yang mempunyai dua
matlamat – membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat yang diteruskan
Dr Mahathir sehingga 1990-an sahaja, sedangkan negara mulai mengalami proses
industrialisasi dan ekonomi berteraskan
maklumat turut berkembang selepas Multimedia Super Corridor (MSC) diperkenalkan?
Memperkenalkan
dasar atau visi baru oleh pemimpin adalah biasa dan mungkin perlu demi
kekuatan dan survival politik dan negara di masa hadapan.
Tetapi tujuan menghapuskan legasi melalui pengenalan visi
baru tanpa mengambil kira kebaikan dan sumbangan besar visi pemimpin sebelumnya
TIDAK WAJAR dan KEJAM sama sekali.
Apakah Dr Mahathir pernah cuba menghapuskan legasi
pemimpin sebelumnya?
Tun Dr Mahathir sebut dalam pengenalan Wawasan 2020 bahawa ia adalah kesinambungan daripada usaha pemimpin negara terdahulu. |
Najib dengan bangganya mengatakan: "Biarlah TN50
jadi saksi, kita adalah bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab mewariskan
(masa depan) yang terbaik dan terhebat kepada generasi hari muka (akan datang).”
"Kalau Dasar Ekonomi Baru dulu, Allahyarham Tun
Razak rencanakan untuk menyediakan Generasi Baharu yang berjaya dalam tempoh 30
tahun, begitulah TN50 ini akan menjangkau tiga dekad proses dan gerak kerjanya,
bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta
berminda par excellence," katanya.
Najib berkata TN50 akan dimulakan oleh generasi muda yang
terdiri daripada kalangan semua kaum melalui wacana-wacana nasional.
"Biarlah TN50 ini menjadi saksi dan berkalamlah
tawarikh bahawa, Kita adalah bapa-bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab,
mahu mewariskan yang terbaik dan terhebat, diperturunkan kepada generasi hari
muka," katanya.
Sepatutnya dalam memperkenalkan visi baru, Najib atau
Kerajaan BN bersikap ‘yang baik kena katakan baik’ dan jangan kerana marah dan
dendam kita cuba pendam dan lupakan jasa dan visi sebelumnya.
Bukan mudah untuk menenggelamkan Wawasan 2020 kerana ia
sudah terpahat sebagai sejarah.
Najib dan pemimpin UMNO jangan bermain sentimen yang akan
kelak menyebabkan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu mempertikaikan
kewibawaannya.
Generasi yang menduduki bangku sekolah dan universiti
pada 1990-an dan awal tahun 2000 sudah kenal dengan visi berkenaan sama ada di
sekolah atau universiti.
Memang ada kelemahan dan kekurangan tetapi lihat juga
kepada sumbangan Wawasan 2020. Baca semula jika sudah lupa atau cuba
melupakannya.
Soalan – bilakah Menteri Komunikasi dan Multimedia akan
menghapuskan PERSPEKTIF WAWASAN 2020 daripada terus berada di laman web Jabatan
Penerangan atau NITC agar rakyat tidak terus mengingatinya atau terus
membiarkan ia menjadi legasi?
Menerusi pengumuman itu juga, kata Najib yang juga
Menteri Kewangan, kerajaan akan melancarkan siri dialog nasional bagi
menjelaskan wacana nasional baharu itu.
Cuma yang aneh, kenapa visi ini dikendalikan oleh
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui naungan beliau sendiri.
Visi yang besar seperti ini walaupun ditujukan kepada
generasi muda sepatutnya membabitkan semua pihak – semua kementerian – kerana
ia dasar dan wawasan negara.
Apakah KBS akan menjadi pusat pembentukan dasar dan
pelaksana T50?
Dengan menjadikan kementerian dan menteri KBS begitu
penting bagi T50 dengan dibantu oleh beliau memberikan suatu persepsi atau
tanggapan baru bahawa sesiapa juga yang menggendalikan kementerian ini adalah
orang kanan Perdana Menteri.
Apakah ini juga bermakna menteri ini dipersiapkan untuk
menjadi pemimpin penting negara di masa hadapan?