Ada beberapa persoalan apabila Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI) akan memanggil Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah behubung
kenyataan liwatnya di Parlimen, dua minggu lalu.
Pertama, apakah kes ini akan membawa kepada episod ‘kes liwat Ketua
Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ketiga’?
Kedua, beranikah Ahmad Husni membawa saksi, iaitu ‘anak
saudaranya’ jika dipangil oleh JAWI; dan
Ketiga, kenapa yang membuat laporan rasmi kepada JAWI
hanya ‘orang AMANAH’ dan tiada daripada PKR?
Rabu minggu lalu, ketika berhujah pada sidang Dewan
Rakyat, Ahmad Husni mengkritik bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas
Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan memberitahu punca beliau tidak
lagi mengikuti perjuangan Anwar.
"Anda kenal siapa Dr Mahathir? Saya tahu. Saya
Menteri Kewangan II. Saya tahu apa yang berlaku masa beli Pos Malaysia, di
Perwaja. Saya tahu. Anda tahu siapa Muhyiddin. Anda tidak tahu, tetapi saya
tahu. Anda tahu siapa Anwar Ibrahim? Saya orang Anwar Ibrahim, saya tinggalkan
dia.
"Selepas dia berhenti jadi timbalan perdana menteri,
saya bantu dia, pergi ke Bukit Damansara. Bila dia terlibat dengan liwat. Dia
terlibat dengan anak buah saya. Kami semua menangis, saya pergi ke
Jordan," kata Ahmad Husni.
Kenyataan ini membawa kepada suatu situasi baru di mana
‘ada orang yang kali ketiga sudah kena liwat oleh Anwar’.
Sedangkan ketika ini Anwar sedang menjalani hukuman
penjara di Penjara Sungai Buloh selama lima tahun, sejak 2015 selepas mahkamah
mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful
Bukhari Azlan.
Ini adalah kes kedua selepas kes pertama yang membawa
kepada pemecatan Anwar dan dipenjarakan kali pertama kerana kesalahan kes lain.
Namun ramai orang beranggapan Anwar disabitkan dengan kes
‘liwat’ pada hukuman penjaranya kali pertama.
Berikutan kenyataan Ahmad Husni itu, pemimpin Pakatan
Harapan menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), menyiasat
dakwaan bekas Menteri Kewangan Kedua itu berhubung tuduhan liwatnya membabitkan
Anwar.
Ramai berpendapat tuduhan Ahli Parlimen Tambun itu
merupakan satu tuduhan berat yang perlu kepada siasatan terperinci.
Ramai juga berpendapat tuduhan itu dibuat untuk
‘mencemarkan imej Anwar’ yang dilihat kini sudah bersatu dengan Tun Dr Mahathir
Mohamad dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Pemimpin BN dikatakan sangat bimbang dengan pakatan
Anwar-Dr Mahathir dan sanggup mengambil apa sahaja langkah termasuk mengitar
semula kes lama dengan menggunakan Ahmad Husni.
Isunya juga apakah Ahmad Husni sanggup ‘mengorbankan anak
saudara dan keluarganya’ demi karier politiknya sendiri dan mempertahankan
Najib Razak serta kerajaan BN?
Ini kerana menurut Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa
Maidin, pegawai penyiasat JAWI memaklumkan kepadanya bahawa selain menyiasat laporan
qazaf terhadap Ahmad Husni, mereka juga mengatakan, jika perlu anak saudara
Ahmad Husni pun akan dipanggil.
Sebelum ini PH mengesahkan 'mangsa' liwat oleh Anwar itu
adalah kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tidakkah ini akan menjejaskan maruah ‘anak saudara dan
keluarganya’ serta tempat beliau bertugas yang sebelum ini tidak diketahui langsung ‘turut terbabit dalam
kes liwat Ketiga Anwar’ ini.
Sanggupkah anak saudara Ahmad Husni dan keluarganya
menerima aib dan malu seperti dialami oleh individu dan keluarga mereka yang
dituduh diliwat oleh Anwar dua kali sebelum ini?
Persoalan ketiga ialah di manakah pemimpin PKR sehingga
membiarkan dua pemimpin AMANAH – Mohamed Hanipa dan Datuk Raja Kamarul Bahrin
Raja Ahmad – ‘memperjuangkan’ laporan qazaf terhadap Ahmad Husni gara-gara kenyataan liwat tanpa bukti dan saksi
terhadap Anwar?
Dua pemimpin berkenaan mengambil usaha itu dengan
pendapat bahawa ‘orang yang dituduh itu di dalam penjara dan tidak boleh
membela diri’.
Diakui perkara ini memang bukan ringan dan harus diambil
tindakan sewajarnya.
Namun, apa pendirian keluarga dan rakan Anwar dalam isu
ini?
Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul sudah mencabar
Ahmad Husni mengulangi dakwaan beliau di luar Dewan Rakyat mengenai anak
buahnya diliwat Anwar namun Ahli Parlimen Tambun itu masih membisu.
Kenapa Ahmad Husni berdiam diri sedangkan bekas Menteri
itu perlu berbuat demikian bagi memperlihatkan bahawa beliau tidak berselindung
di sebalik imuniti Parlimen.
Atau apakah pemimpin PKR dan keluarga Anwar memberikan
hak memperjuangkan isu ‘liwat kali Ketiga Anwar’ ini kepada dua pemimpin AMANAH
berkenaan?
Atau apakah dua orang paling rapat dengan Anwar –
isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah sudah diberikan
nasihat oleh Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang juga merupakan peguam Anwar supaya
‘berdiam diri’ dan membiarkan kepada dua pemimpin AMANAH itu untuk mengambil
tindakan sewajarnya?
Ini kerana Sivarasa sebelum ini pernah mengatakan beliau akan
menasihati Anwar dan mungkin turut membabitkan ahli keluarga pemimpin PKR itu mengenai
tindakan undang-undang yang akan diambil
selepas ini.
Yang nyata Anwar yang dipenjarakan terpaksa berdepan
dengan satu lagi tuduhan liwat gara-gara berjuang dengan bekas musuhnya, Dr
Mahathir yang kini sangat ditakuti oleh Najib dan sekutunya.
Apapun persoalannya, apakah ‘kes Liwat Ketiga Anwar’ ini
berjaya membendung pengaruh pembangkang atau lebih memberi tekanan kepada Najib
dan BN, apa lagi Ahmad Husni sendiri?