Saturday, May 31, 2014

ADUN MANA YANG AKAN MENYEBABKAN PRK DIADAKAN DI TERENGGANU


"Jika pilihan raya kecil diadakan, apakah rakyat akan menerima BN atau menolaknya gara-gara ‘dosa yang dilakukan ADUN berkenaan’...Selain itu pembangkang akan menggunakan isu ini untuk menentang BN habis-habisan dan apakah ia akan menjadi suatu keruntuhan kepada kerajaan BN hasil daripada kesan ‘teori domino’ gara-gara ADUN berkenaan?

Bolehkah kita percaya dengan berita bahawa pilihan raya kecil akan berlaku di Terengganu?

Laporan Free Malaysia Today pada 29 Mei 2014 menyebut seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan melepaskan jawatan di atas sebab-sebab peribadi.

Laporan ini menimbulkan pelbagai spekulasi terutamanya di Terengganu apabila dua persoalan diperkatakan.
Pertama - apakah benar akan berlaku pilihan raya kecil?

Kedua - benarkah ia diakibatkan oleh wujudnya perempuan simpanan seperti yang didakwa oleh portal berita berkenaan?

Kesan laporan itu besar kerana ia akan menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN) dengan kerajaan negeri.

BN kini mempunyai 17 kerusi manakala PAS dan PKR mempunyai 15 kerusi.

Jika PAS menang dalam PRK itu , ia menyebabkan BN dan PAS akan mempunyai bilangan kerusi yang sama (16 kerusi).

Persoalannya  ialah jika pilihan raya kecil diadakan, apakah rakyat akan menerima BN atau menolaknya gara-gara ‘dosa yang dilakukan ADUN berkenaan’?

Selain itu pembangkang akan menggunakan isu ini untuk menentang BN habis-habisan dan apakah ia akan menjadi suatu keruntuhan kepada kerajaan BN hasil daripada kesan ‘teori domino’ gara-gara ADUN berkenaan?

Memang diakui  laporan FMT itu menyebabkan heboh di negeri Terengganu berita kononnya satu pilihanraya kecil bakal diadakan tidak lama lagi kerana seorang ADUN dikatakan akan meletakkan jawatan.

Perkara ini sudah diperkatakan di Facebook apabila banyak komen-komen menggambarkan kedudukan negatif kepada BN dan UMNO Terengganu.

Sejak dua hari lepas memang pelbagai khabar-khabar angin bertiup di negeri tersebut.

Pejabat FMTsendiri dikatakan dihujani dengan panggilan telefon daripada orang ramai untuk mengesahkan berita tersebut.

Menurut laporan FMT ADUN itu tidak tahan dengan tekanan dan beliau akan melepaskan jawatan di atas sebab-sebab peribadi walaupun beliau telah berhasrat tidak mahu bertanding lagi pada PRU akan datang.

FMT difahamkan ia adalah kerana bekas perempuan simpanannya membuat aduan kepada istana yang mana ADUN tersebut mungkir janji.

Pihak yang rapat dengan istana ketika dihubungi menjelaskan setakat ini ahli perniagaan tersebut belum lagi membuat temujanji dengan istana.


Persoalan kini ialah apakah kes ini ada kaitan dengan laporan awal FMT sebelum ini bahawa ada Menteri Besar (MB) yang mempunyai perempuan simpanan?

Jika demikian, tidak sukar untuk meneka siapa dimaksudkan oleh FMT ini.

Bagaimanapun, identiti ADUN berkenaan masih dirahsiakan sejauh ini.

Kita ingin bertanya, sejauh manakah dakwaan perempuan berkenaan yang mendakwa dia menjadi simpanan?

Apakah perempuan berkenaan sengaja mengambil peluang apabila mengetahui bahawa pemimpin berkenaan dalam kekusutan

Bukti apa yang perempuan itu ada menyebabkan FMT begitu berani mendedahkan isu ini?

Hanya perempuan dan FMT boleh menjawab isu ini.

Mungkin ketika ini yang dituduh mendiamkan diri mungkin untuk seketika bagi melihat cara-cara atau taktik perempuan berkenaan membuat tohmahan terhadapnya.

Apakah akan ada penafian dan ADUN berkenaan berusaha membersihkan dirinya demi maruahnya, BN dan juga UMNO Negeri?

Lebih memburukkan jika ADUN berkenaan memegang jawatan penting di bahagian atau UMNO Negeri.

Kita berharap laporan FMT ini tidak benar dan perempuan yang mendakwa dia simpanan ADUN demi sesuatu kepentingan peribadinya.

Tuesday, May 27, 2014

KEPIMPINAN FAM - TENGKU ABDULLAH MINTA MASA EMPAT TAHUN


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah minta peminat-peminat bola sepak tempatan menilai barisan kepimpinannya selepas empat tahun.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu itu berkata, beliau diberi amanah besar dan ini bukan kemenangan.

“Kerjasama amat diperlukan bagi memperbaharui segala kekurangan yang ada. Saya juga sedia bekerjasama dan menghulur tangan dengan sesiapa sahaja. Ini adalah agenda negara.

“Kepada calon-calon yang tidak terpilh kali ini, jangan kecewa kerana bagi saya apabila nama sudah dicalonkan ia adalah satu kemenangan,” jelas beliau kepada media selepas majlis Kongres Tahunan Ke-50 FAM, kelmarin (Ahad).

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengucapkan tahniah kepada Tengku Abdullah yang memenangi pemilihan jawatan Presiden FAM.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang kalah dalam pertandingan satu lawan satu untuk jawatan presiden, berharap Tengku Abdullah dapat memberikan pembaharuan dan menukar landskap bola sepak Malaysia.

"Semoga Kebawah Duli Tuanku dapat memberikan pembaharuan dan menukar landskap bola sepak Malaysia. Insya-Allah," katanya dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh laman sosial rasmi Harimau Selatan itu. Tengku Mahkota Pahang memenangi jawatan presiden selepas mengalahkan TMJ dengan majoriti dua pertiga undi.

Tengku Abdullah memperoleh 27 undi manakala TMJ 12 undi pada kongres FAM ke-50 di Shah Alam, Selangor.

Tengku Abdullah berkata, dalam masa terdekat ini beliau akan berjumpa dengan ahli-ahlinya dalam melengkapkan perancangan dan hala tuju.

“Saya harapkan permulaan yang baik, dan selepas ini saya akan duduk bersama dengan ahli-ahli yang lain melakukan perbincangan. Segala keputusan yang dibuat berdasarkan keputusan bersama ahli.

"Dalam masa ini juga saya akan membuat audit dalam bukan sahaja bahagian kewangan tetapi semua termasuk pentadbiran, kejurulatihan dan pengadilan.

“Bagi saya sedikit masa. Apa yang saya harapkan agar masyarakat akan membuat penilaian barisan kepimpinan saya ini selepas empat tahun,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) mengakui dua tugas besar dalam satu masa merupakan beban besar yang perlu ditanggung.


“Ia merupakan satu beban tapi saya perlu bijak menguruskan masa. Cuma saya harap kalau ada sesiapa yang berminat dan boleh menguruskan hoki, sila tampil ke depan,” katanya.

Sebelum kongres kali ini berlangsung, penyandang Presiden Sultan Ahmad Shah mengumumkan penarikan diri daripada bertanding di atas faktor usia.

Baginda mengumumkan penarikan diri itu bagi memberi ruang kepimpinan baharu. "Saya dengan ini menarik diri daripada bertanding bagi jawatan presiden.

"Atas sebab faktor usia, saya membuat keputusan ini dan berharap lebih banyak kejayaan dicapai dalam barisan kepimpinam baharu nanti," jelas baginda dalam ucapan perasmian kongres ini.

Kongres Tahunan Ke-50 yang berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur, Ahad lalu menyaksikan perubahan besar-besaran yang mana menyaksikan sepuluh daripada 15 ahli yang terpilih adalah muka baharu.

Monday, May 26, 2014

PEGUAM - DYANA SOFEA MENIPU MENGENAI KELAYAKAN DIRINYA?

Rakaman kenyataan Dyana ketika sidang media pada 23 Mei.

Calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofea Mohd Daud yang mengaku sebagai peguam dilaporkan sebenarnya menipu mengenai kelayakan beliau itu.

Ekoran pengakuan Dyana itu, Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Haezreena Begum Abdul Hamid tampil membuat kenyataan mengecam pembohongan Dyana itu. Dyana-Bar-Council.

“Dia tidak harus mempromosikan dirinya sebagai seorang peguam, (tambahan pula) dia tidak mempunyai Sijil Annual dan Sijil Amalam Peguam” kata Haesreena yang dipetik portal televisyen web (web tv), Suara.TV.

Haezreena menkelaskan, seseorang yang hanya memperolehi ijazah sarjana muda undang-undang tetapi tidak melaksanakan tugas harian sebagai peguam, atau dalam bahasa mudah tidak berdaftar dengan Majlis Peguam bukanlah peguam, malah tidak boleh dikategorikan sebagai Peguam.

Beliau yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang berdaftar dengan Majlis Peguam menyifatkan tindakan Dyana itu sebagai alpa dan bodoh.

“Pada saya sekiranya calon tidak berterus terang berkenaan dengan profesyen beliau secara jelas menunjukkan kealpaan dan kebodohannnya dan tidak boleh diberikan kepercayaan sepenuhnya.

“Dia hanyalah seorang graduan undang-undang dan bukannya menjalankan amalan sebagai seorang yang berprofesion guaman maka dia harus membetulkan kenyataan bahawa beliau merupakan seorang peguam” tegas Haezreena lagi.

Turut mempertikaikan kelayakan yang mengaku peguam Dyana ialah Penasihat undang-undang Persatuan Kebajikan Shah Alam, Ahmad Soffian Mohd Shariff .

Adakala Setiausaha Agong (SUA) DAP terpaksa jadi Setiausaha Akhbar (SUA) Dyana bagi menjawap soalan media.


Adakala Setiausaha Agong (SUA) DAP kelihatan terpaksa menjadi Setiausaha Akhbar (SUA) Dyana bagi menjawap soalan media. Soffian, 27, berkata, seorang peguam wajib berdaftar dengan Bar Council (Majlis Peguam Malaysia) sebelum diberikan hak untuk beramal dalam profesyen itu dan mewakili mana-mana pihak atau individu.

“Saya ada membaca kenyataan Dyana yang mendakwa dia seorang peguam atau dalam bahasa mudah dikenali sebagai ‘non-practising lawyer’.

“Untuk makluman ‘non-practising lawyer’ bukan pengamal undang-undang atau dalam erti kata lain bukan seorang peguam dan dia mungkin hanya bekerja sebagai pengamal undang-undang sahaja.

“Macama mana nak kata dia peguam, sedangka dia tidak mengamalkan undang-undang? ” katanya yang juga dilaporkan portal tv web Suara.TV.

Soffian yang juga graduan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan, secara dasarnya mana-mana firman guaman hanya akan mengambil mereka yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman sahaja.

“Sangat tidak masuk akal mereka yang baru sahaja tamat pengajian dan melakukan chambering boleh menjadi seorang rakan kongsi. “Isu dia mudah, mereka yang tidak berdaftar dengan Bar Council, adalah bukan seorang peguam.

“Sebagai contoh, pensyarah yang mempunyai kelayakan LLB (sarjana muda perundangan) pun tidak dipanggil sebagai seorang peguam.

“Tambahan pula dia (Dyana) hanya bekerja sebagai PA (pembantu peribadi) sahaja dan sejak bila seorang PA dikenali sebagai seorang peguam,” tegas Soffian.

Dyana sebelum ini mendakwa beliau seorang peguam namun sijil peguamnya telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui kerana ingin memberikan fokus di dalam bidang politik.

“Saya adalah peguam yang dilatih (lawyer by trining) atau dalam bahasa mudah di panggil non-practicing lawyer dan saya (seorang) peguam” kata Dyana mengatakan beliau menjadi peguam pada tahun 2011.

bnbbc.my

Thursday, May 22, 2014

GELOMBANG KEDUA DASAR PANDANG KE TIMUR - APA UNTUNGNYA KEPADA MALAYSIA?

Oleh Azlina Aziz 

TOKYO (22 Mei 2014)- Langkah Malaysia untuk mengukuhkan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur, yang memberi tumpuan kepada teknologi tinggi dan pekerja berkemahiran tinggi akan membantu ekonomi meningkatkan rantaian nilai dan seterusnya kepada status berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bukan sahaja Dasar Pandang Timur diteruskan di bawah kepimpinan saya, tetapi juga selaras dengan program transformasi untuk Malaysia.

Reputasi Jepun bagi kepimpinan ekonomi sudah terkenal dan juga diperakui, kata beliau. Pada awal tahun 1980-an, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia memulakan dasar 'Pandang ke Timur', beralih ke Jepun dan Korea sebagai inspirasi, membantu untuk melatih generasi akan datang pelajar Malaysia dan pemimpin perniagaan dengan cara Asia Timur.

"Keadaan berbeza ketika itu. Asia sedang meningkat, tetapi pertumbuhan pesat sebenar masih belum berlaku," kata Najib dalam ucap tama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia, "Kebangkitan Asia: Mesej Untuk 20 Tahun Akan Datang" yang diadakan di Tokyo, hari ini.

Persidangan itu dianjurkan oleh kumpulan media antarabangsa, Nikkei Inc, Jepun. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Inc, Tsuneo Kita. Ini merupakan penampilan kedua Najib sebagai penceramah utama di persidangan Nikkei.

Kali pertama pada Persidangan Nikkei ke-17 pada 2011.

"Kemunculan ekonomi 'Harimau', dan pembaharuan di China, menunjukkan kepada dunia bahawa ada sesuatu sedang berlaku di Asia. Pada tahun 1980-an frasa 'Abad Asia' dicipta.

Tetapi bagi ramai pemerhati, Asia masih 'satu cerita untuk esok'," kata beliau.

Bagaimanapun, Najib dengan segera menjelaskan berkata 'esok itu telah tiba'. Dari segi ekonomi dan politik, Asia kini menjadi pusat hal ehwal dunia.

Rantau yang paling ramai penduduk ini juga merupakan satu daripada rantau yang paling dinamik. Perdana Menteri menekankan bahawa pembangunan ekonomi yang cemerlang telah menyebabkan dunia memberi tumpuan terhadap prospek Asia.

"Apabila krisis kewangan baru-baru ini menjejaskan keyakinan dalam pasaran kukuh, lebih banyak syarikat dan negara mula 'memandang ke Timur'.

Peningkatan kesedaran momentum ekonomi juga telah menimbulkan kepentingan geopolitik, memandangkan kuasa baru muncul dan kuasa mantap bersaing untuk pengaruh di Asia.

"Trend ini tidak menunjukkan tanda untuk reda. Dalam tempoh 20 tahun, Asia telah bersedia untuk menguasai lebih daripada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global, dan 60 peratus daripada kelas pertengahan dunia," kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertumbuhan ini akan disertai oleh kedudukan, pengaruh dan minat global yang semakin bertambah dan Asia perlu bersedia menghadapi cabaran itu.

"Ekonomi Asia akan kekal menjadi tumpuan, dan dinamik dalaman kita dalam pemerhatian. Zaman pengasingan Asia tidak akan berulang. Kita adalah satu daripada pusat baharu graviti di dunia pelbagai polar yang baharu," kata Najib.

Terdahulu dalam ucapan pembukaan Najib berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe, ekonomi Jepun telah kembali pulih dan kini kelihatan bersedia untuk melalui tempoh pertumbuhan mampan, dengan itu menetapkan satu standard baru bagi pembaharuan.

Selain itu, Malaysia mengalu-alukan penyertaan Jepun dalam proses pembidaan antarabangsa projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, kata Perdana Menteri.

Kenyataan ini merupakan maklum balas terhadap minat yang ditunjukkan rakan sejawatannya, Shinzo Abe, bagi syarikat-syarikat Jepun mengambil bahagian dalam projek kereta api laju itu dan pada masa yang sama mempelawa Malaysia memanfaatkan teknologi Jepun dan pengetahuan dalam pembangunan prasarana. 


Bercakap di sidang akhbar bersama yang diadakan selepas mesyuarat dua hala di Tokyo, semalam, Najib berkata Abe juga telah menyatakan harapannya untuk Malaysia menerima pakai Sistem Shinkansen, dengan menekankan sistem itu mempunyai teknologi canggih dan rekod keselamatan yang baik.

"Terutamanya, bagi projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura, saya mengulangi harapan Malaysia mengguna pakai sistem kereta api laju Jepun, Shinkansen," kata Abe.

Pada tahun 2013, Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk membina landasan kereta api laju menjelang 2020 yang akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur kepada 90 minit.

Shinkansen dikenali sebagai 'bullet train' atau kereta berkelajuan tinggi. Ia merupakan satu daripada kereta api terpantas di dunia dan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di seluruh Jepun.

Selain daripada kereta api laju, Malaysia juga menyambut baik kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara dalam pelbagai projek kemudahan prasarana di Malaysia, termasuk teknologi hijau, peralatan pelabuhan, projek kemudahan rawatan air dan pembangunan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand. 

"Saya juga berkongsi dengan Abe bahawa tumpuan seterusnya akan diselaraskan dalam bidang-bidang ini kerana ia akan menyumbang ke arah Wawasan 2020 Malaysia sebagaimana yang ditekankan dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara kita," kata beliau.

Kedua-dua negara akan terus melaksanakan dasar-dasar mesra pelaburan dan memperkenalkan insentif daya saing untuk terus merangsang aktiviti ekonomi terutamanya oleh sektor swasta, kata Najib.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua perdana menteri itu juga telah membincangkan mengenai cara untuk memperkukuhkan Dasar Pandang ke Timur Gelombang Kedua (LEP 2.0).

"Fasa LEP 2.0 seterusnya akan meningkatkan kerjasama institusi dalam latihan dan pendidikan dengan tumpuan ekonomi yang lebih kukuh ke arah meningkatkan potensi perdagangan dan pelaburan dalam bidang keutamaan kedua-dua negara," kata Najib.

Oleh itu, beberapa projek/program telah dibincangkan yang meliputi pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), katanya.

Ini termasuk untuk meningkatkan peranan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT) dan meningkatkan hubungan perniagaan dengan perniagaan terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memberi tumpuan kepada sektor makanan dan automotif.

Mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang, Najib menegaskan bahawa Malaysia dan Jepun telah mengadakan kerjasama kukuh dalam pembinaan keupayaan dan pembangunan sumber manusia dalam keselamatan maritim.

Berikutan itu, Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jepun terutamanya Pengawal Pantai Jepun (JCG) di atas sumbangan meningkatkan kapasiti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama antara APMM dan JCG dalam pembangunan sumer manusia dan keselamatan maritim," katanya.

Mesyuarat itu juga menyentuh mengenai Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015 dan dalam hal ini, Najib menegaskan bahawa Malaysia akan bekerjasama rapat dengan anggota Asean yang lain dalam merealisasikan Komuniti Asean dan mewujudkan "Asean Yang Mementingkan Rakyat".

"Kita bergantung kepada sokongan dan kerjasama daripada Jepun ke arah mencapai Komuniti Asean menjelang 2015," kata beliau.

Kedua-dua negara juga menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Oleh itu, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju bahawa isu-isu berkaitan tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu ditangani secara aman. Ini termasuk dialog dan perbincangan dalam kalangan negara-negara terbabit, tanpa memilih ancaman atau menggunakan kekerasan, sejajar dengan prinsip yang diiktiraf undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

Ketika menekankan bahawa mesyuarat itu sangat berhasil dan membina, meliputi pelbagai isu dua hala dan serantau untuk faedah bersama, Najib berkata: "Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan Jepun untuk mengukuhkan lagi hubungan kita secara progresif dan bersemangat ".

Sumber - Bernama

Wednesday, May 21, 2014

AHMAD RAZIF ATAU AHMAD SHABERY TIDAK PENTING, YANG PENTING MENANG PRU-14

"Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini...yang mustahak semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui UMNO Terengganu."
- Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman

Apakah Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman malam kelmarin sudah beri bayangan bahawa beliau tidak akan dilantik sebagai Pengerusi UMNO Terengganu?

Beberapa kenyataan, termasuk oleh Menteri Besar Terengganu itu , kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat serta Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membayangkan banyak perkara mengenai mengenai perkara ini.

Menurut Bisik-Bisik Awang Selamat: Siapakah akan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berikutan peralihan teraju kepimpinan negeri itu? Memandangkan Ahmad Razif masih baharu menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Said, adalah lebih sesuai jawatan tersebut disandang sementara oleh pemimpin UMNO lain bagi meredakan suhu politik yang masih tinggi. Awang melihat antara calon yang sesuai ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman. Walaupun bukan Ketua UMNO bahagian, beliau mempunyai kedudukan dalam Kabinet, berpengalaman luas dan disegani. Lebih daripada itu, Shabery boleh diterima oleh semua pihak yang berbeza haluan. Awang percaya beliau mampu membawa kestabilan politik kepada UMNO Terengganu. Meskipun kemelut peralihan Menteri Besar yang menggemparkan politik tanah air telah selesai, ia tidak boleh diambil ringan. Cabarannya, bersedialah menjangkakan apa lagi dugaan, juga kejutan selepas ini.

Jangan perkecilkan buah fikiran melalui kolumnya berkenaan kerana Awang Selamat jugalah yang membuka cerita akan pertukaran Menteri Besar Terengganu tempoh hari.

Sebaliknya Ahmad Shabery pula dalam kenyataannya pada 18 Mei 2014 berkata: “…perjalanan politik di sesebuah negeri akan tempang sekiranya jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri tidak dipegang oleh Menteri Besar. Menteri Besar tidak dapat menjalankan tugas dengan baik jika dia tidak mempunyai 'kuasa memerintah' dari segi mengarah, mengawal dan membangunkan visinya sekiranya tiada pegangan pada politik. Begitu juga yang pegang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, jika dia tiada kedudukan dalam kerajaan sedangkan kerajaan itu adalah Barisan Nasional, dia juga tidak dapat menjalankan tugas dengan baik." 

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia menegaskan, menjadi kelaziman menteri besar juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Suatu perkara yang perlu juga diambil kira ialah Majlis Tertinggi UMNO sudah membuat keputusan supaya semua menteri besar dijemput untuk turut hadir dalam mesyuarat MT kerana mereka ada kuasa sebagai menteri besar dan pengerusi perhubungan negeri.

Ini amalan sudah berlaku sebelum ini. Jadi, apakah sekiranya tidak memegangpun jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Razif akan menghadiri mesyuarat MT?

Isu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri ini kini hangat diperkatakan khususnya di peringkat bahagian apabila ada bahagian dikatakan ‘enggan menerima Ahmad Razif’.

Sementara jika pelantikan dibuat terhadap Ahmad Shabery, ini bermakna sejarah berulang apabila Menteri Besar Terengganu terpaksa menjadi orang nombor dua di negeri sendiri.

Perkara ini pernah berlaku kepada Ahmad Said pada 24 April 2009 apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa beliau hanya menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO sahaja sedangkan selepas menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, beliau diumumkan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada 14 Jun 2008.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu mulai tarikh itu ialah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Langkah itu difahamkan akibat ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membuat aduan dinafikan peranan mereka dalam pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pengerusi Penyelaras DUN dan Unit Bestari.

Dengan tertubuhnya organisasi parti UMNO yang baru, Ahmad Said mudah untuk ‘diturunkan pangkat’ sebelum dilantik semula menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, pada 1 Januari 2011 sehingga Pilihan Raya Umum ke 13 dengan Idris sebagai timbalan.

Ahmad Said sekali lagi diumumkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO pada 22 Nov 2013 tetapi kali ini Timbalan Pengerusinya ialah Datuk Jailani Johari.

Sebelum itu pada 7 Mei 2013, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar meminta Ahmad Said melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu kepada pemimpin baharu berikutan pencapaian buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 di negeri itu.

Menurut Perkasa Terengganu, langkah tersebut perlu diambil memandangkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 itu berkemungkinan disebabkan rakyat menolak cara pentadbiran Ahmad Said. “Sebagai ketua yang bertanggungjawab, adalah lebih manis jika Ahmad melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri kepada orang baharu yang dirasakan sesuai.”

Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membuat keputusan bijak demi kelangsungan pemerintahan di negeri tersebut.

"Buat masa sekarang, Ahmad perlu menjalankan siasatan berhubung kemerosotan kerusi Parlimen dan DUN di negeri itu mencakupi beberapa aspek termasuk faktor peribadi calon yang ditonjolkan tidak sesuai dengan keadaan setempat," demikian ditegaskan oleh Perkasa Terengganu pada tarikh tersebut.

Mungkin selepas meneliti perkembangan politik sejak 2008 hinggalah ke detik beliau dilantik menjadi Menteri Besar, Ahmad Razif lebih selesa menyerahkan kedudukannya dalam Perhubungan UMNO Terengganu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Bagi Menteri Besar itu keputusan Najib wajar diterima dengan tangan terbuka kerana apa yang penting ialah kebersamaan dalam memperjuangkan parti.

Selain itu, Ahmad Razif turut menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

"Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini," katanya.

Yang mustahak bagi Ahmad Razif ialah, semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui UMNO Terengganu.

Benar seperti kata Razif, yang penting ialah perpaduan dalam parti.

Selain itu, dalam saat-saat begini yang perlu diberikan keutamaan ialah kedudukan Terengganu sekarang di mana Barisan Nasional menduduki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri sementara pembangkang 15.

Jelas sudah, yang penting difahami oleh seluruh ahli dan pemimpin UMNO Terengganu ialah perpaduan, persefahaman dan perjuangan yang seiring amat penting.

Pilihan raya umum ke 14 sedang menunggu dan UMNO perlu menjamin ia mengekalkan kuasa di negeri berkenaan dengan jumlah kerusi yang jauh lebih baik daripada keputusan PRU -13.

Jika menang dengan kedudukan yang serupa atau lebih teruk sekiranya kalah, perubahan kepimpinan UMNO negeri yang dibuat baru-baru ini ternyata silap.

Kali ini bolehlah diletakkan segala kesalahan bukan sahaja di bahu Pengerusi Perhubungan UMNO  tetapi juga Najib sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang melantik Razif!

Thursday, May 15, 2014

U-TURN TIDAK SALAH, IA TINDAKAN MULIA '3 STOOGES' YANG WAJAR DIHARGAI…


"Hargailah keputusan mereka dan jangan diungkit-ungkit lagi perkara yang sudah! U-Turn yang dilakukan oleh tiga ADUN itu adalah tindakan untuk menyelamat...kesan daripada U-Turn mereka kelmarin dan semalam mahal harganya."

U-Turn tidak salah, asalkan melakukannya di tempat yang dibenarkan dan selamat.

Yang menjadi masalah kepada U-Turn ialah melakukannya tergesa-gesa, tempat yang dilarang dan membahayakan diri dan orang lain.

Melakukan U-Turn tidak wajar dipersoalkan, apalagi jika pemandunya merasakan terlajak kerana pemanduan bukan seperti mengayuh perahu apabila ‘ia boleh diundur’.

Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO mengisytihar keluar parti dan menyertai Bebas dan kembali semua kepada UMNO tidak wajar dipersoalkan, khususnya kesetiaan mereka.

Lagipun tindakan itu tidak sampai 48 jam. Hargailah keputusan mereka dan jangan diungkit-ungkit lagi perkara yang sudah! U-Turn yang dilakukan oleh tiga ADUN itu adalah tindakan untuk menyelamat dan tidak kiralah ia dilakukan di tempat dibenarkan atau ‘pakai langgar’.

Jika sebelum ini mereka keluar UMNO ‘pakai langgar’ tetapi kesan daripada U-Turn mereka kelmarin dan semalam mahal harganya. Saya ulangi, `mahal harganya’.

UMNO ada pengalaman apabila pemimpin penting serta pengikut keluar parti itu beramai-ramai menyertai Parti Semangat 46 (sebelum itu dikenali dengan Parti Melayu Semangat 46).

Kesemua mereka menjadi pembangkang bertahun-tahun dan menjadi penyebab kepada kejatuhan Kelantan kepada PAS sehingga hari ini.

Inilah dosa paling besar parti berkenaan. Namun kini parti berkenaan sudah berkubur apabila kembalinya pemimpin dan ahli parti berkenaan kepada UMNO namun Kelantan tetap tidak dapat ditawan.

Dosa lain parti berkenaan ialah mereka yang kecewa dengan UMNO dan Parti Semangat 46 ramai yang kemudian menyertai PAS.

Namun tindakan tiga ADUN UMNO dari Kijal, Bukit Besi dan Ajil ‘keluar sekejab’ dan masuk kembali adalah ‘ribut dalam secawan kopi’. Mereka tidak menyebabkan BN runtuh seperti 'tindakan lompat anggota PAS' kepada Perikatan pada 1961.


Tindakan 'Three Stooges' itu  bukan seperti ADUN PAS, Ahmad Azam Napiah serta 2 ADUN PAS yang melompat masuk UMNO serta '3 Tooges' Parti Negara iaitu Wan Daud Mohamad (Ladang), Mohamad Abd Rahman (Bukit Besar) dan Haji Mutalib Salleh (Batu Buruk).yang melompat selepas bertemu Allahyarham Tun Razak di Kuala Lumpur.

Untuk yang tidak mengetahui cerita ini, pada pilihan raya umum Tanah Melayu 1959, DUN Terengganu dimenangi oleh PAS dengan majoriti kecil apabila ia mendapat 13 kerusi, UMNO 7 kerusi dan Parti Negara (PN) 4 kerusi.

PAS berjaya memujuk Adun PN Langkap (Ismail Abbas) menyokong mereka. UMNO pula berusaha mendapat sokongan 3 lagi Adun PN.

Pada 24 Julai 1961 satu undi tidak percaya terhadap kerajaan PAS dibawa oleh seorang Adun PN Bukit Besar, Mohamad Abd Rahman. Undi tersebut gagal kerana PAS mendapat (12 undi) UMNO + PN (11 undi).  Seorang wakil PAS berkecuali iaitu Ahmad Azam Napiah. Ahmad Azam kecewa kerana tidak diberi jawatan Menteri Besar Terengganu atau pun Speaker (kerana berasal dari Perak bukan anak jati Terengganu. Beliau kemudiannya mengisytihar sebagai Adun Bebas.

Kegawatan DUN Terengganu berlarutan apabila UMNO  berjaya menarik dua Adun PAS - Mohamad Ismail dan Husin Jusoh. Kemudian, Umno juga dapat memujuk 3 Adun PN apabila mereka bertemu Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur.

Adun PN yang terbabit adalah Wan Daud Mohamad (Ladang), Mohamad Abd Rahman (Bukit Besar) dan Haji Mutalib Salleh (Batu Buruk). Keadaan tersebut membawa kepada undi tidak percaya kali kedua dibawa dan akhirnya kerajaan PAS tewas.

Sebaliknya tiga ADUN UMNO yang mengisytiharkan bebas tetap menyokong kerajaan BN sebelum mereka kembali ke pangkuan UMNO.

Namun tindakan itu membawa makna dan pengajaran paling penting bagi pihak-pihak yang terlibat atau menyebabkan peristiwa itu berlaku.


1. Elakkan perbuatan yang menggambarkan wujudnya ‘cabaran kepada pemimpin’ atau kepada ahli; 

2. Berfikir secara matang dan tidak melakukan perbuatan tergesa-gesa kerana sedikit sebanyak akan mendapat ‘malu’ kelak; 

3. Tindakan sedikit sebanyak mencemarkan imej kedua-dua pihak akan wujud syak-wasangka yang ‘tidak perlukan’ di kalangan pengikut;

4. Bebaik sangka dan merundingkan ketegangan dan salah faham dengan segara adalah jalan paling selamat dan ubat mujarab mengatasi krisis;

5. Pemimpin berani menolak ‘nasihat’ yang membawa kepada perpecahan dan ketegangan kerana ada pengikut yang suka melihat kepada perpecahan dan krisis; serta

6.Berpeganglah kepada ajaran Islam bahawa tiada masalah tidak boleh diselesaikan dan selesaikan ia dengan ciri-ciri yang disebut sebagai ‘tali Allah’. 

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Berbalik kepada isu U-Turn ini, ia tidak menyebabkan runtuhnya kerajaan BN walaupun seketika berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Jadi semua pihak perlu merenung kembali kesilapan dan kelemahan masing-masing dan dengan kesemua mereka dapat menerima kepimpinan baharu, wajarlah semua pihak kembali bertenang dan merapatkan barisan untuk menjamin kemenangan UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang.





Usah dilayan apa kata pemimpin PAS atau pihak-pihak dalam UMNO yang masih menyuarakan kesalahan tiga ADUN UMNO ini. Perkara yang berlaku sudah berlaku dan perkembangan terbaru mendatangkan kedudukan positif kepada parti dan pentadbiran Terengganu.


Jadi, ambillah kejadian baru-baru ini sebagai rujukan dan renungan. Jangan ulangi kejadian serupa dan elakkan ketegagan kerana orang Melayu sudah meluat dengan pertelingkahan dan permusuhan sesama pemimpin dan pengikut.

UMNO perlu belajar daripada kes di Kelantan (1990), Kedah (2008), Perak (2008), Selangor (2008) dan Terengganu sendiri pada (1999).

Persefahaman, menghormati orang bawahan, perundingan dan pemimpin yang tidak mementingkan kepentingan diri dan UMNO yang meletakkan kepentingan ahli melebihi ketua atau pemimpin akan pasti kekal lama.

Jika wujud cara menerajui parti mengikut selera sendiri, ia akan menjahanamkan UMNO dan payung orang Melayu akan tertutup dengan sendirinya apabila tiba ketikanya nanti.

Wednesday, May 14, 2014

PAS KECEWA, BN KEKAL MEMERINTAH DENGAN MB BAHARU…


"Situasi antara kedua-dua buah negeri (Terengganu dan Perak)  berbeza kerana apa yang berlaku adalah pengumuman secara lisan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, ADUN Ajil, dan ADUN Bukit Besi,  bahawa mereka telah keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas."
 - Pakar Perlembagaan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun

Hanya selepas Datuk Seri Ahmad Said meletak jawatan sebagai menteri besar kelmarin, barulah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu malam kelmarin.

Ini bermakna proses pertukaran Menteri Besar berlaku dengan baik namun tiba-tiba selepas itu, kemelut politik berlaku apabila tiga ADUN UMNO isytihar keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Ramai pemimpin dan penyokong PAS berharap kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dapat ditumbangkan akibat tindakan tiga ADUN berkenaan.

Malah ada beberapa blogger meramalkan Ahmad Razif akan menjadi Menteri Besar 'sementara' dan paling singkat kerana kerajaan negeri pimpinannya akan ditumbangkan oleh PAS.

Namun pastinya ramai yang kecewa kerana PAS tidak boleh mengambil alih tampuk pentadbiran Terengganu kerana 15 ADUN pembangkang, termasuk seorang daripada PKR belum menghadap Sultan Terengganu.

Soalan juga apakah Sultan Terengganu sudah berpuas hati bahawa kerajaan BN telah hilang majoriti?

Paling penting apakah Baginda berkenan melantik Menteri Besar baharu daripada PAS?

Juga ramai yang kecewa dan marah apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mohd. Zubir Embong (kanan)  semalam menafikan khabar angin kononnya dewan undangan negeri dibubarkan berikutan perkembangan politik terbaru di negeri ini.

Khabar angin tersebar luas melalui SMS dan aplikasi Whatsapp kononnya DUN Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini dan pilihan raya negeri Terengganu akan diadakan dalam masa 60 hari.

Bagi yang tahu, Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya boleh dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Namun bagi yang tidak tahu akan merapu dan menyebarkan khabar angina kononnya DUN sudah terbubar dan keadaan Terengganu kini dikawal oleh pembangkang.

Selain DUN tidak terbubar, hakikat yang wajar diketahui ialah Ahmad Razif yang baharu mengangkat sumpah pelantikan malam kelmarin tetap kekal sebagai Menteri Besar Terengganu yang sah.


Biarpun tiga wakil rakyat daripada UMNO (kini tinggal dua) mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas, namun Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar (ini bukan berita seperti dilaporkan Datuk Rahman Bakar atau Nik Dir Nik Wan Ku baru-baru ini kononnya Ahmad Said kekal Menteri Besar selepas pengesahan Ibu Pejabat UMNO dan Putrajaya).


Pakar Perlembagaan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun menjelaskan menerusi siaran langsung Buletin 12 Awani di saluran Astro Awani 502 semalam, kedudukan itu berdasarkan beberapa faktor iaitu:

1. Selagi kedudukan Ahmad Razif tidak dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diambil undi tidak percaya, maka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu adalah Menteri Besar Terengganu yang sah;

2. Selagi tiada permintaan untuk membubarkan DUN oleh Ahmad Razif selaku Menteri Besar, maka DUN sedia ada masih lagi berterusan dan beliau masih lagi memegang jawatan Menteri Besar; dan,

3.Selagi tiada pelantikan Menteri Besar baharu oleh Sultan Terengganu atas sebab baginda telah mendapati Ahmad Razif telah hilang kepercayaan ADUN-ADUN, beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Malah, seperti yang turut ditegaskan Mohd Zuber, Ahmad Razif mesti menghadap Tuanku Sultan untuk memperkenankan pembubaran DUN Terengganu dan setakat ini ia masih belum berlaku.

“Bagaimana nak bubarkan DUN, sedangkan saya sebagai Speaker DUN pun masih belum terima sebarang surat untuk membubarkannya," katanya.

Mohd. Zuber turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Kita berterima kasih kepada Polis Terengganu kerana mengeluarkan amaran selain meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita tidak sahih menerusi media baharu berhubung situasi politik di negeri itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kekecohan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan menurut undang-undang sedia ada.

"Saya lihat aktiviti penyebaran ini semakin berleluasa dan antara berita terbabit ialah pembubaran dewan undangan negeri, beberapa ADUN (anggota dewan undangan negeri) bakal keluar parti, perhimpunan serta perarakan, namun semua itu tidak benar," katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu katanya polis kini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memantau media baharu. "...kita minta pemimpin politik menasihati penyokong agar tidak melakukan provokasi, perarakan dan sebagainya yang boleh mencetuskan kekecohan sebaliknya mengunakan saluran yang betul untuk tujuan itu," katanya.

Khabar angin tersebar selepas bekas menteri besar Terengganu dan anggota DUN Kijal serta dua lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari UMNO - Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi wakil Bebas.

Bagaimanapun Roslee kini kembali ke pangkuan UMNO.

Dengan perkembangan terbaru politik itu, wakil BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) kini tinggal 15, PAS (14), PKR (1) dan Bebas (2).

Jadi tidak kena sama sekali jika ada pihak yang menyamakan keadaan yang berlaku di Perak pada 2009 apabila tiga ADUN pakatan pembangkang mengumumkan keluar parti.

Mohd Hafarizam sebaliknya menjelaskan, ini kerana tiga ADUN di Perak berkenaan bukan sahaja keluar daripada parti masing-masing menjadi ADUN Bebas tetapi turut menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Disebabkan itu, Sultan Perak selepas menemuduga 31 ADUN termasuk tiga ADUN Bebas yang memberi sokongan kepada BN telah berkenan melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menjadi Menteri Besar baharu,'' ujarnya.


Situasi antara kedua-dua buah negeri itu juga berbeza kerana apa yang berlaku adalah pengumuman secara lisan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud bahawa mereka telah keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas.

Beberapa persoalan timbul iaitu apakah surat mengenai keputusan itu diterima oleh Pejabat Setiausaha Agung UMNO secara rasmi dan apakah dimaklumkan kepada Speaker DUN Terengganu. Sehingga petang semalam, Speaker mengesahkan tidak menerima sebarang surat dan mungkin ada surat dihantar hari ini.

Jika diambil kira pengumuman secara lisan oleh ketiga-tiga ADUN ini, mereka hanya menyatakan keluar daripada UMNO tetapi mereka tidak menyatakan menyokong PAS.

Ini berbeza dengan situasi di Perak kerana sokongan tiga ADUN Bebas telah diberikan kepada BN.


Berikutan kedudukaan terkini, rakyat Terengganu tidak perlu gusar bahawa kerajaan BN Terengganu telah tumbang kerana Ahmad Razif masih Menteri Besar.

Ini cerita benar bukan seperti cerita yang dibawa beberapa pemimpin UMNO Terengganu yang mengatakan ‘Tiada MB Baru’

Beliau yang memulakan tugas hari ini mempunyai tanggungjawab besar dan harapan yang ting¬gi terletak di bahu beliau.

Malah semalam juga  penasihat undang-undang negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid menjelaskan BN masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya dari Umno mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas.


Beliau berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 15 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang memerintah dengan kedudukan kerusi 16:15:2.

Azhar ketika dihubungi Bernama, berkata speaker DUN turut dikira bersama 15 Adun BN yang masih tinggal dan dengan itu kerajaan BN masih kekal memerintah negeri ini.


Azhar berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa undang-undang negeri untuk dirujuk berhubung perkembangan politik di Terengganu ketika ini.


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap Ahmad Razif dapat memberikan kepemimpinan yang terbaik untuk Terengganu kerana BN mempunyai kelebihan yang kecil dari segi kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Terdapat tanggungjawab yang terlalu besar memandangkan harapan tinggi bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga oleh kepemimpinan parti kepada beliau," tegas Zahid.

Tuesday, May 6, 2014

ONEDERFUL MALAYSIA - TERESA DIDAKWA DI MAHKAMAH TINGGI HARI INI


Selepas menunggu tiga bulan akhirnya Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan didakwa di Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada pukul 9.30 pagi ini (Selasa) berhubung penyiaran video kontroversi Tahun Baru Cina 'Onederful Malaysia' di Youtube, Januari lalu.

Diharapkan kertas dakwaan terhadap pemimpin wanita DAP ini lengkap untuk mengajar Teresa yang ‘sering kurang ajar’.

Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, Teresa 'berlakon' sebagai pengacara yang menemuramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina untuk tahun ini dan tetamu undangan Teresa pula mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya ialah sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah.

Pada 2 Februari lalu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata polis akan menyiasat klip video berbaur sindiran itu.

Polis menyiasat sama ada kandungan klip video bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014 Video Clip' berbaur fitnah, hasutan atau sebaliknya.

Polis berkata siasat perkara itu dibuat jika ada laporan rasmi mengenainya diterima dan akan mengambil tindakan (jika didapati bersalah).

Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis beberapa hari selepas video klip itu ditayangkan ddengan meminta tindakan diambil terhadap wakil rakyat itu kerana didakwa menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta kerajaan menerusi klip video tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata Teresa sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan bukan sebaliknya melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri sebagai anggota Dewan Rakyat.

"Maklum balas dan komen terhadap klip video di Youtube memaparkan lebih banyak kejian daripada menyokong perbuatannya.

Orang ramai akan mentertawakan beliau sebagai Anggota Parlimen terlibat dalam video tersebut berbanding lawak bodoh yang diutarakan,” ulas Razali.

Bagi polis, walaupun rakyat mempunyai kebebasan bersuara, rakyat perlu mengelak daripada menimbulkan isu-isu berbaur fitnah atau hasutan supaya masyarakat pelbagai kaum dan agama hidup secara aman.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa mengesahkan sealam Teresa akan didakwa dan polis telah melengkapkan kertas siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia itu.

Khairi bagaimanapun, enggan memberikan sebarang komen sama ada Kok akan didakwa atas kesalahan menghasut.

Monday, May 5, 2014

HADI KETANDUSAN IDEA, ANWAR TEMPOHI MASA DEPAN YANG GELAP...

Tiada yang baru diketengahkan oleh The Malaysian Insider melalui analisisnya bertajuk "Perubahan nasib pemain utama PRU13".

Selain terus mempertikaikan kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, serta memperlekehkan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN), mengejutkan ialah ia memperkecil dan mempersoalkan keupayaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara nasib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan menempuh masa depan yang gelap!

Kita tidak hairan sekiranya The Malaysian Insider memperlekehkan pemimpin BN kerana ia memang menyokong pembangkang tetapi dengan mengatakan Hadi sebagai pemimpin ketandusan idea, ia sama sekali mempersoalkan kewibawaan parti PAS dan  haluan tidak terarah yang dibawa oleh Presiden Parti Islam Semalaysia itu.


Kata The Malaysian Insider : "Beliau (Hadi) merupakan presiden Parti Islam Semalaysia (PAS), dan setakat itu sahajalah kepentingannya.

Pengundi setia PAS mungkin percaya pemimpin mereka berpeluang menjadi perdana menteri, tetapi hakikatnya beliau tidak mempunyai karisma, idea bernas atau ciri-ciri dinamik untuk menjadi lebih daripada seorang pemimpin parti politik. Ada sebabnya kerajaan yang dipimpin Hadi di Terengganu hanya bertahan untuk satu penggal: ia ketandusan idea. 

Empat bulan selepas 5 Mei, PAS kelihatan tidak bermaya dan hanyut sementara ahli progresif partinya sibuk menangkis serangan daripada golongan alim.

Malah, sudahkah PAS menjalankan post-mortem prestasi mereka bagi pilihan raya umum lalu?

Adakah Hadi mempunyai visi ekonomi untuk Malaysia, ataupun semuanya bermula dan berakhir dengan isu hudud?"

Sementara bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, The Malaysian Insider meramalkan masa depan yang gelap alibat  hukuman penjara beliau.

Kata The Malaysian Insider: "Beliau akan meninggalkan arena politik untuk jangka masa lama. Tidak mungkin beliau di dalam penjara untuk empat tahun sahaja.


Mengapa? Jika berkelakuan baik, pemimpin utama PR dan musuh BN itu akan keluar penjara tepat pada masanya untuk menjadi tandingan utama pilihan raya umum seterusnya yang dijadualkan pada 2018.

Jadi hukuman penjaranya sedang dalam rayuan, dan nampaknya tokoh politik Malaysia yang paling terkenal dan tunjang yang menyatukan PR itu akan menerima hukuman yang lebih berat. 12 bulan ini merupakan masa yang sukar buat Anwar.

PR kelihatan seperti kerjasama yang longgar daripada gabungan yang kukuh, ditarik ke pelbagai arah dengan kedegilan PAS dengan agenda hudud. Walaupun sebenarnya, lama sebelum isu hudud muncul juga gabungan itu sudah melihatkan tindakan tidak teratur mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Ada pengkritik yang mengatakan ketiadaan Anwar akan mempercepatkan kejatuhan PR, dan mungkin juga melemahkan PKR.

Pandangan inilah yang paling konvensional.

Tetapi yang baiknya, mungkin jika Anwar melepaskan tongkatnya dalam parti tersebut, golongan muda DAP, PKR dan PAS akan terpaksa menjadi lebih matang dan mengambil alih kuasa."

Mengenai Najib, The Malaysian Insider  menegaskan: "Penyokong paling setianya juga perlu mengaku beberapa bulan selepas 5 Mei, perdana menteri berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Selepas memimpin BN dengan keputusan pilihan raya paling buruk dalam sejarah, dengan tekanan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemarahan orang ramai akibat peningkatan kos sara hidup, pintu keluar terbuka bagi Najib, nasib yang sama seperti Tun Abdullah Badawi selepas pilihan raya umum 2008. Pada satu tahap, penilaian prestasinya di bawah 50%, tetapi beliau masih selamat tanpa perlu berbuat apa-apa.


Lebih tepat lagi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu mencabar Najib.  Jadi, beliau kekal berkuasa, tetapi jarang sekali memainkan peranan seorang perdana menteri.

Beberapa bulan akan datang akan menjadi lebih kritikal, dan tugas utamanya adalah untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup bagi berjuta rakyat Malaysia dan pada masa yang sama menunjukkan kepada pelabur, beliau komited mengurangkan defisit bajet.

Pada masa sama, beliau juga perlu mengawal kebangkitan extrimisme dan chauvinisme."

The Malaysian Insider turut mengupas mengenai pengaruh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan semakin pudar terhadap Umno dan perdana menteri.

"Walaupun masih mencetuskan tajuk utama akhbar, bekas perdana menteri itu kini dapat melihat pengaruhnya pudar.

Benar, Najib akan bertemu dengannya sekali-kala untuk berbincang dan mendengar rungutannya tentang isu BR1M hinggalah ketagihan kerajaan dalam melantik perunding, tetapi Dr Mahathir masih gagal untuk menggoncangkan Najib.

Apatah lagi Muhyiddin atau Zahid, kedua-duanya tidak berminat untuk membantu Dr Mahathir menyerang Najib.


Tanpa sokongan pemimpin utama Umno yang berminat untuk memainkan peranan sebagai pencabar dan kepercayaan atas rancangan 'waris politik'nya, serangan Dr Mahathir terhadap perdana menteri tidak berpengaruh sama seperti memiliki senjata tidak berpeluru: walaupun cantik di luaran, sebenarnya tidak berguna, " demikian kata The Malaysian Insider.

Sebaliknya lain dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein apabila The Malaysian Insider, mengatakan beliau mendapat perhatian penuh dunia semasa insiden MH370 yang mungkin atau mungkin tidak membantunya dalam pilihan raya seterusnya.


"Sedih tetapi benar; jika bukan kerana profil tinggi insiden MH370, beliau hanyalah seorang lagi anggota Kabinet. Tidak dikenali dan tidak berpengaruh. Golongan dalaman beliau (pembantu, perunding dan penyokong) percaya prestasinya sebagai respon kerajaan kepada pesawat MH370 yang hilang meningkatkan populariti beliau dan meletakkannya di hadapan persaingan untuk jawatan timbalan perdana menteri. Tetapi mereka lupa bahawa beliau nyaris tidak menang kedudukan ketiga dalam naib presiden Umno dan ahli-ahlinya tidak akan mengundi berdasarkan kekerapan mereka muncul dalam CNN," tegas The Malaysian Insider.

Saturday, May 3, 2014

ISU GANTI MB - APABILA BERLAKUNYA TINDAKAN 'LEBIH SUDU DARIPADA KUAH'

"Menjadi seperti ‘orang lemas’ dalam politik dan pentadbiran akan hanya menonjolkan peribadi seseorang itu sendiri. Akan ada pertanyaan, kenapa orang Ahmad Said takut sangat ‘MB mereka diganti? Apakah mereka ada berbuat salah? "

Menurut laporan Terengganu Today, “di sana sini di seluruh Terengganu, banner-banner dan pemidang-pemidang yang menyatakan sokongan kepada Mat Said (Datuk Seri Ahmad Said) dapat dilihat dengan jelas dan mudah!”

Katanya lagi, “walaupun ada yang cuba memutarbelitkan kenyataan tentang calon-calon PRU13, ternyata sekarang, pembohongan tersebut tidak berkesan, memandangkan mereka sendiri terutama calon-calon yang tidak ada dalam senarai Mat Said tetapi tetap juga diangkat sebagai calon PRU13, terlibat dalam gerakan menumbangkan Mat Said.

Golongan ini sedang bergerak ke sana ke mari, mengaku mereka adalah dari kem Mat Said tetapi kemudian meracun akar umbi supaya menolak Mat Said.”

 Lebih ketara pada laporan itu berbunyi: “Ironinya, mereka terlupa tentang perkenan DYMM Sultan Terengganu kepada Mat Said sebagai peneraju utama negeri Terengganu berbanding calon-calon yang mereka cuba tonjolkan.”

Bagi saya – Hambali Abdul Latif - (tidak berselindung di sebalik nama samaran), - berpada-padalah menyatakan sokongan. Ia akan membahayakan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar!

Memang kita wajar menyokong dan memberikan sokongan kepada ketua kita apabila dalam keadaan ‘tersepit’.

Namun sokongan yang diberikan jangan berlebihan:


Tidak perlu ada sepanduk – sepanduk boleh jika kita berperang dengan ‘musuh’ seperti PAS atau pembangkang lain tidak apa. Apa maknanya apabila sepanduk sokongan dipasang?

Untuk membawa mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib supaya jangan tukar Menteri Besar? Sedangkan:

1. Jawatan Menteri Besar bukan hak hakiki seseorang seperti juga Perdana Menteri.

2. Jangan libatkan nama DYMM Sultan Terengganu dalam isu penggantian atau pertukaran ini. Ini kerana Tuanku Sultan Terengganu banyak dikaitkan dengan soal pelantikan. Jangan libatkan sampai untuk ‘mempertahankan’ Ahmad Said, dikait-kaitkan nama Tuanku. Ini tidak baik dan perkenan itu adalah dalam kes 2008 dan pelantikan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

3. Ingat dan bermuhasabahlah!


Sebagai orang Islam kita perlu mempercayai dan yakin bahawa apabila Allah berkehendak serta menghendakinya, dan apabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya: "Jadilah", maka jadilah dia.

Begitulah beberapa ungkapan ayat-ayat kun [jadi] maka faya kun [jadilah] dalam al-Quran.

Peringatan al-Quran  adalah sesuatu yang penting supaya jangan melawan takdir, jangan gedebe, jangan angkuh, jangan rasa besar, rasa berkuasa dan segala-galanya. Ini kerana Allah boleh melakukankan bila-bila dan di mana saja, selain tiada tempat berlindung dan tiada tempat bersembunyi dari-Nya.

a. [Al Baqarah:117] Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah ia."

b.  [An Nahl:40] Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya: "kun (jadilah)", maka jadilah ia".

c. [Yaasiin:82] Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia".

d.  [Al An'aam:73] Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataan-Nya di waktu Dia mengatakan: "Jadilah, lalu terjadilah", dan di tangan-Nyalah segala kekuasaan di waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui

e. [Al Mu'min:68] Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya bekata kepadanya: "Jadilah", maka jadilah ia".


4.  Perbuatan ‘baling batu sembunyi tangan’ oleh ‘orang kuat Mad Said’ tidak baik dalam konteks UMNO dan pentadbiran Terengganu. Kalaupun mahu membela Ahmad Said, belalah dengan ‘point counter point’ mengenai dasar dan program yang dilaksanakan oleh beliau terhadap kritik-kritik terhadap Menteri Besar itu. Banyak contohnya, bukan sekadar dasar perumahan sahaja. Mengambil satu dasar tidak mencukupi. Bagaimana dengan dasar pendidikan, termasuk Anjung Ilmu, program e-Book, pertanian dan yang lain? Kenapa penyokong Ahmad Said sendiri boleh lupa?

5. Jangan kita menyerang individu atau tokoh tertentu dengan menimbulkan isu peribadi. Contohnya dalam konteks seseorang yang dijadikan ‘bahan serangan’ media kerajaan negeri dan yang dikawal oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT). Tidak baik mendedahkan keburukan peribadi seseorang, apalagi orang itu, (seperti dilaporkan sudah pun berkahwin dengan wanita yang didedahkan itu).

Saya bimbang dalam kita mendedahkan peribadi orang lain, peribadi kita pun tidak kurang ‘hebatnya’. Apakah ‘orang yang menyokong kuat Ahmad Said’ atau media sosial berpihak kepada Ahmad Said serta agensi-agensi yang mempertahankan Ahmad Said’ itu bersih, beriman dan ‘bebas skandal’? Skandal tidak semestinya dengan wanita sahaja. Skandal macam-macam. Jangan buka ruang untuk dibuka pekong oleh orang lain, kelak pentadbiran dan UMNO Terengganu yang akan mendapat malu dan rugi.

6. Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah mengatakan tiada pertukaran Menteri Besar. Cukuplah dengan kenyataan itu. Kalau berlaku juga selepas ini, ia berlaku bukan kerana kemahuan Perdana Menteri semata-mata tetapi pastinya mesti mendapat restu istana. Apakah kelak, jika atau sekiranya benar berlaku, pagar istana akan digoncang sekali lagi? Apakah kali ini oleh kumpulan yang sama pada 2008 atau kumpulan baru?

7. Menjadi seperti ‘orang lemas’ dalam politik dan pentadbiran akan hanya menonjolkan peribadi seseorang itu sendiri. Akan ada pertanyaan, kenapa orang Ahmad Said takut sangat ‘MB mereka diganti? Apakah mereka ada membuat salah? Apakah mereka salahguna kuasa sebelum ini? Apakah mereka melakukan rasuah? Apakah mereka mengamalkan kronisme? Atau apakah bimbang akan kehilangan ‘kedudukan dan kekayaan’? Jika seseorang tidak melakukan kesalahan, bersih, berintegriti, mereka tidak perlu.


Ambillah contoh bagaimana Ahmad Said sudah beberapa kali bersumpah dengan nama Allah yang beliau ‘bebas rasuah’ termasuk dalam isu balak serta isu-isu lain. Contohi dan ambilnya sebagai teladan. Apa yang hendak ditakutkan?

Lebih terkilan lagi apabila kritik-kritik turut dilemparkan kepada orang di luar Terengganu yang kononnya berperanan untuk menjatuhkan Menteri Besar. Siapa mereka? Orang di Ibu Pejabat UMNO Malaysiakah? Atau orang di Pejabat Perdana Menteri kah? Menyedihkan ada yang bercakap kononnya individu tertentu yang ‘rapat’ dengan Perdana Menteri memulakan ini semua.

Cuba amati balik. Yang mulakan cerita ini Awang Selamat melalui Mingguan Malaysia. Kalau nak marah, marahlah Awang Selamat, jangan orang lain jadi mangsa.

Awal-awal saya sebutkan, Awang Selamat buat spekulasi. Mungkin benar, mungkin tidak. Tidak pasal-pasal beberapa orang penting UMNO Terengganu jadi mangsa.

Damage has been done kepada Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman serta beberapa yang lain. Sepatutnya tuduhan orang itu atau orang ini nak jadi Menteri Besar tidak timbul. Walau segila atau semeroyan manapun seseorang mahu menjadi Menteri Besar kalau pucuk pimpinan dan istana tidak bersetuju, tidak akan berlaku. Paling utama yang di Atas sana itu Maha Berkuasa dan Mana Mengetahui!

Persoalan ialah kenapa nama Ahmad Said sahaja yang jadi tumpuan? Tidakkah kerana adanya tindak balas dan sikap  tindakan tidak bijak orang sekeliling Menteri Besar Terengganu.


Sepanduk dan banner sebenarnya mengeruhkan keadaan dan bersifat mencabar

Ahmad Said sendiri mengatakan malas nak ulas tetapi kenapa ada individu serta laman sosial rasmi kerajaan negeri Terengganu selain orang tertentu yang bersikap ‘lebih sudu daripada kuah’?

Thursday, May 1, 2014

ISU PERTUKARAN MB - KENAPA TAKUT SANGAT DENGAN AHMAD RAZIF?


"Jangan jatuhkan status Ahmad Said sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu berkedudukan sama dengan Ahmad Razif yang hanya Ketua Bahagian Kuala Nerus...Juga, Ahmad Said jauh lebih tinggi. Dia Menteri Besar dan Ahmad Razif hanya Exco, jauhnya kedua-dua mereka bagai awan dengan langit."

Tidak salah mempertahankan seseorang pemimpin.

Adalah baik jika kerja-kerja mempertahankan seseorang pemimpin itu secara terang, bukan menggunakan nama samaran, berselindung di sebalik blog atau laman berita di talian.

Kenyataan yang jelas daripada pemimpin yang dipetik secara tidak berselindung oleh blog dan laman sosial, termasuk portal berita lebih bermaruah, benar dan berkredibiliti daripada ulasan berselindung.

Namun, jika ada pihak yang menyamar atau menggunakan nama palsu melalui laman sosial seperti Facebook (FB), ia amat tidak bermaruah.

Ia juga akan memberikan implikasi tidak baik kepada orang yang dipertahankan.

Perbuatan menggodam laman orang lain atau mencipta akaun palsu adalah perbuatan jahat, penakut dan pengecut.

Akan ada yang bertanya, kenapa takut sangat mahu mendedahkan diri jika untuk mempertahankan ketua atau seseorang pemimpin yang memang berwibawa

Juga, kenapa tunjukkan sikap takut sangat dengan sesorang lain, jika memang yang dipertahankan itu kuat dan menjadi pilihan pemimpin pusat dan digemari istana? Menyerang seseorang dengan berselindung di sebalik akaun palsu adalah perbuatan ‘melontar batu, sembunyi tangan’. 

Malah seperti kata Datuk Seri Ahmad Said apabila akaun FBnya digodam, perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu bagai fitnah yang sengaja diadakan untuk ‘membunuh karier politiknya’.

Sedangkan dalam Islam, fitnah itu lebih kejam daripada membunuh

Saya terjumpa sebuah akaun di FB menggunakan nama Nik Omar yang kebetulan sedang meminta untuk menjadi ‘rakan FB’ saya.

Selepas berusaha mendapatkan jawapan apakah akaun ini benar-benar milik Nik Omar, saya disahkan bahawa ia akaun palsu.

Sebelum itu siapakah sebenarnya ‘Nik Omar’ yang original seperti gambar berikut?

Beliau ialah Prof. Dr Nik Wan bin Omar, Timbalan Naib Canselor HEPA, UniSZA.

Mengejutkan.

Hasil siasatan terhadap diri orang yang menamakan dirinya Nik Omar ini, lantas saya terbaca sebuah postingya yang merupakan puisi seperti di atas?

Bacalah sendiri maksud tersirat melalui kata-kata ‘Nik Omar’ palsu ini.

Apa tujuan sebenar penggendali palsu ini cuba ketengahkan?

Pertahankan Ahmad Said dengan tuduhan-tuduhan untuk melagakan?

Selain itu benarkah apa yang ditulis itu?

Apakah ia suatu persepsi semata-mata?

Kenapakah pemilik palsu ini memilih cara ini mempertahankan Ahmad Said sedemikian rupa?

Jangan jatuhkan status Ahmad Said sebagai Pengerusi Barisan Nasional  dan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu berkedudukan sama dengan Ahmad Razif hanya Ketua Bahagian Kuala Nerus.

Juga, Ahmad Said jauh lebih tinggi. Dia Menteri Besar dan Ahmad Razif hanyalah Exco, jauhnya kedua-dua mereka bagai awan dengan langit.

Sedarlah, Ahmad Razif tidak mungkin akan dapat menggantikan Ahmad Said tanpa persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan istana Terengganu.

Soalannya, apakah Perdana Menteri sudah memilih Ahmad Razif dan istana sudah mempersetujuinya?

Berpada-padalah dalam kerja memberi sokongan atau mempertahankan kedudukan seseorang, nanti kerana perbuatan tidak ‘panjang akal’ itu akan memberikan kelebihan dan mendatangkan simpati kepada mereka yang dianianya!