Tuesday, November 20, 2018

DR MAHATHIR, MALAYSIA ISTIQAMAH MENENTANG KEZALIMAN TERHADAP PALESTIN


Dalam menentang keganasan dan kekejaman terhadap dasar dan tindakan Zionis  kerajaan Yahudi Israel, Malaysia dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad - sama ada ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 atau sekarang, tidak pernah mengaitkannya dengan  sebab-sebab berkaitan agama.

Penentangan Dr Mahathir dan Kuala Lumpur  adalah terhadap penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Arab dan Palestin, khususnya di Tebing Barat.

Dr Mahathir dan Malaysia istiqomah dalam pendirian dan perjuangannya.

Kuala Lumpur tidak menggunakan faktor agama terhadap tekanan yang dinyatakannya  kepada rejim Yahudi Tel Aviv.

Ini berbeza dengan pendekatan pihak lain seperti NGO  dan parti politik tertentu di Malaysia  yang hanya menjuruskan  agama Islam sebagai faktor penting dan penanda aras menentang dasar pentadbiran dan politik Tel Aviv itu.

Dan dalam perkembangan terbaru berkaitan cadangan pemindahan kedutaan-kedutaan negara asing dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, Malaysia jelas membantah dan menentang keputusan  rejim Zionis Israel yang mendapat sokongan Amerika Syarikat.

Kini, Tel Aviv membuat pendirian bahawa Baitulmaqdis -  kota yang dianggap suci oleh penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi -  sebagai ibu negaranya buat selama-lamanya.

Bagi Australia, iaitu negara berhampiran kelompok negara majoriti penduduk Islam – Indonesia, Malaysia dan Brunei -  hasratnya memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis sudah pun disuarakan.

Walaupun keputusan muktamad akan hanya dibuat pada 25 Disember depan, namun Canberaa sudah menyatakan ia bersikap  "terbuka" dalam hal itu.

Pendirian ini menjadikan Australia negara kedua di dunia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, selepas Amerika Syarikat.


Perdana Menteri Australia, Scott Morrison  membuat kenyataan untuk memindahkan kedutaan Australia di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis ketika  partinya berdepan pilihan raya kecil di Wentworth, Oktober lalu.

Di kawasan itu, parti Morrison berdepan dengan  bilangan pengundi berketurunan Yahudi yang ramai. Namun kini partinya tetap ditolak oleh penduduk di situ untuk kali pertamanya berbanding sebelum ini.

Bukan  sahaja bimbang dengan penduduk Yahudi di Australia, Morrison juga tertekan dengan kenyataan-kenyataan pihak tertentu di negaranya  yang mahukan beliau membuat keputusan bukan berdasarkan tolak ansur dengan negara jiran – khususnya Indonesia dan Malaysia  tetapi demi kepentingan negara dan nilai-nilai negara berkenaan.

Suara yang tidak puas hati dengan Morrison mengemukakan pertanyaan bersifat menyokong rejim  Israel apabila berkata: “Mengapa kita tidak patut tunjukkan solidariti dengan satu-satunya demokrasi plural dan liberal di Timur Tengah, dengan menyokong mereka dan meletakkan kedutaan kita di ibu negara mereka?”

Ketegasan memperjuangkan isu rakyat Arab dan negara Palestin dibuktikan bukan melalui tunjuk perasaan mengangkat sepanduk dan menjerit pada himpunan dalam negeri tetapi menyatakan pendiriannya secara berdepan.

Di Singapura baru-baru ini Dr Mahathir menimbulkan isu berkenaan  dalam pertemuannya dengan rakan sejawatnya  dari Australia itu sambil memberikan peringatan dengan berkata:: “Saya pernah katakan jika kita ingin tangani terorisme, kita perlu tahu sebab-sebabnya. Menambahkan sebab-sebab ke arah terorisme tidak akan membantu.”


Ketegasan Dr Mahathir bukan kali ini sahaja.Ini  kerana sebelum ini beliau juga  mempunyai hubungan tegang dengan Perdana Menteri John Howard berhubung kenyataan Howard bahawa Australia merupakan timbalan sheriff Amerika Syarikat di bahagian rantau ini.

Kemudian pada pada 1993, perdana menteri Australia ketika itu, Paul Keating menggelar  Dr Mahathir sebagai "keras kepala" (recultraint). Ini berikutan  Dr Mahathir memboikot Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Seattle.

Mungkin juga ada tekanan daripada kalangan Yahudi di Australia apabila Dr Mahathir membuat kenyataan-kenyataan yang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pihak tertentu termasuk kenyataan menteri kewangan Australia Josh Frydenberg yang mengingatkan Mahathir memang mempunyai reputasi berkaitan pendirian dalam isu berkaitan Palestin dan Israel.

Reuters melaporkan dalam satu temubaul melalui radio, Frydenberg berang apabila Dr Mahathir mengatakan ‘orang Yahudi hidung besar’. “Dia persoal jumlah orang yang terbunuh dalam peristiwa Holocaust.”

Persoalan kini ialah dalam kedudukannya sekarang yang lebih rapat dengan negara Asia, apakah Canberra masih meletak dan melihat negara mereka dalam posisi yang masih terlalu rapat dengan Washington?

Apakah ia akan  terus mengikut telunjuk Amerika Syarikat dan memenuhi tuntutan puak Yahudi di Australia?

Morrison mengakui Dr Mahathir membangkitkan isu ini  kepadanya di Singapura tetapi menegaskan dasar luar mereka tidak akan ditentukan negara luar.

Kita menghormati pendirian Australia itu. Namun, dalam memainkan perananya di Indo-Pasifik, apakah pendirian Australia dalam sesuatu isu seperti mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel ini ditentukan oleh kuatnya pengaruh dan kepentingan Washington terhadap Canberra?

Memanglah sukar untuk memisahkan dengan lobi Yahudi di negara itu umpamanya apabila bekas Perdana Menteri, Tony Abott memuji Israel sebagai “saudara demokrasi plural” sambil menggesa Canberra mengabaikan amaran Dr Mahathir tetapi apakah ia juga akan mengabaikan amaran Indonesia?


Tidak pelik jika ada pertanyaan apakah hak Indonesia atau Malaysia untuk menentukan dasar-dasar negaranya? Namun apakah Morrison berani mengambil risiko jika Jakarta melakukan sesuatu yang akan merugikan negaranya?
Jakarta dengan jelas sudah pun menyatakan penentangannya terhadap sebarang langkah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Malah, amaran Jakarta juga ialah, ia  akan mengganggu rancangan perjanjian dagangan bebas dengan Australia.

Kerajaan Indonesia menolak cadangan Australia untuk setuju dengan hasrat Tel Aviv itu  dengan alasan majoriti Islam konservatif di negara tersebut tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Di sebalik kritikan terhadap Dr Mahathir, Parti Buruh Australia sudah menyatakan pihaknya  mahu Perdana Menteri mereka  membatalkan rancangannya memindahkan kedutaan negara itu di Israel ke Baitulmaqdis.

Jurucakap Hal Ehwal Luar parti pembangkang itu Penny Wong baru-baru ini mengingatkan, langkah memindahkan kedutaan Australia dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis tidak perlu kerana ia boleh membahayakan hubungan Australia dengan Indonesia.

Amat nyata pendirian Malaysia dan Indonesia itu turut mendapat sokongan pihak dalaman Australia. Kini jelas, keputusan di tangan Perdana Menteri Australia dan partinya.

Masa ada sebulan lagi untuk Canberra membuat keputusan. Sempena Maulidur Rasul ini marilah kita berdoa agar rakyat Arab (walau apa anutan agama mereka) yang diancam bahaya dan penindasan oleh rejim Israel, bebas dan  diselamatkan oleh Allah s.w.t.

Sokonglah pendirian Kuala Lumpur dalam menyuarakan sikap dan dasar diplomasi kita mengenai kepentingan rakyat Arab dan Palestin khususnya di Tebung Barat dalam ‘peperangan mereka menentang kezaliman dan penaklukan Zionis’ hasil dasar Tel Aviv yang bersifat penakluk hendaklah dihentikan segera.

No comments:

Post a Comment