Kantoi kali kedua. Apa nak buat, ramalan tidak benar belaka.
Sebelum ini Zentrum Future Studies ramalkan pakatan pembangkang menang di Hulu Selangor dan di Sibu, Barisan Nasional (BN) ada kelebihan.
BN dikatakan unggul di depan dengan sokongan 51.6% peratus undi berbanding DAP hanya 48.2 peratus. Calon bebas pula hanya mendapat 0.5 peratus sokongan.
Ternyata sokongan di Sibu berpihak kepada DAP apabila berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan menewaskan BN majoriti tipis 398 undi.
Calon DAP Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi untuk menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi. Manakala calon Bebas Narawi Haron mendapatkan 232 undi.
Undi rosak pula berjumlah 395. Bagi undi pos pula, BN memperolehi 2,323 undi manakala calon DAP mendapat 70 undi dan calon Bebas pula mendapat 36 undi.
Jumlah pemilih yang keluar mengundi semalam ialah 70 peratus atau 37,919 orang.
Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya dari BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang timbalan menteri pengangkutan, pada 9 April lalu.
Berasaskan laporan sebuah NGO yang menjalankan kajian mikro persepsi kepercayaan politik di parlimen itu, Zentrum Future Studies, sehingga jam 3:11petang semalam (berasaskan laporan Malaysiakini), calon Barisan Nasional (BN) Robert Lau Hui Yew hanya mempunyai kelebihan tiga peratus berbanding calon DAP Wong Ho Leng dalam pilihan raya kecil Sibu semalam (16 Mei 2010).
Berdasarkan jangkaan tersebut, calon bebas Narawi Haron - yang pada mulanya yakin mendapat sekurang-kurangnya 4,000 undi - akan hilang wang pertaruhannya.
Diasaskan oleh pensyarah pengajian media Universiti Malaya (UM) Dr Abu Hassan Hasbullah, Zentrum mula terkenal tahun lalu apabila kerap diundang menyampaikan kajian mereka, terutamanya di pentas pembangkang.
Zentrum berpendapat. golongan muda dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun mewakili 42 peratus pengundi di Sibu dan kemenangan kepada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat terletak kepada keupayaan mereka untuk menarik golongan ini menyokong mereka.
Zentrum menyebut, pengaruh kedua-dua pihak bagaimanapun turun-naik dan pernah sekali seimbang sepanjang tempoh pengundian antara jam 8 pagi hingga 5 petang tadi.
Pada jam 2.30 petang semalam, Zentrum melaporkan di laman sosial Facebook-nya, BN hanya di depan tidak sampai satu peratus; dengan sokongan 50.6 peratus undi berbanding DAP yang hanya mendapat 49 peratus.
Menurut Zentrum, sebelum itu, pada jam 12.30 tengah hari semalam, keadaan agak berbeza apabila kedua-dua parti bertanding kelihatan mempunyai kekuatan yang seimbang.
Menurut kajian itu, BN mendapat 49.8 peratus sokongan, Pakatan memperoleh 49.2 peratus dan bebas 1 peratus.
Di sebelah paginya pula, ketika pusat pengundian baru dua jam dibuka pada jam 8 pagi tadi, BN mendahului dengan 53.4 peratus, Pakatan 46.2 peratus dan bebas sebanyak 0.4 peratus.
Sehari sebelum itu, menurut laporan Malaysiakini yang memetik Zentrum menyebut keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu akan dipengaruhi sebahagian besar dengan peratusan golongan muda yang bakal keluar mengundi.
Zentrum menjangkakan persaingan sengit antara BN dan pakatan pembangkang untuk mengisi kekosongan kerusi parlimen Sibu.
Zentrum berkata kerusi Sibu milik BN untuk dipertahankan, tetapi percaturan ini boleh berubah sekiranya BN tidak berhati-hati kerana ia berada hanya 4 peratus di hadapan Pakatan.
Menurut kajian Mikro Persepsi Kepercayaan Politik Zentrum, keputusan lewat malam Sabtu menunjukkan BN mendahului dengan 52.2 peratus berbanding Pakatan/DAP yang mendapat sokongan 47.6 peratus. Calon Bebas pula hanya mendapat kepercayaan 0.2 peratus.
Malah, Abu Hassan berkata pembangkang masih di belakang di semua tiga kerusi DUN iaitu Bawang Assan, Pelawan dan Nangka, yang terletak di kawasan parlimen Sibu.
“Keputusan pilihanraya esok banyak bergantung pada golongan muda membuang undi. Mereka dilihat sebagai pro-Pakatan, menurut kajian kami,” katanya kepada Malaysiakini.
“Kajian kami menunjukkan kebanyakkan golongan muda antara 21 hingga 40 di Sibu serta di pelusuk Malaysia adalah pro-Pakatan. Tetapi kajian ini tidak bermakna sekiranya, mereka tidak mengamalkan hak mereka untuk membuang undi.”
Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir kempen, menggambarkan pertempuran sengit untuk memenangi hati pengundi khasnya golongan pemuda di sana.
Menurut pensyarah dari Universiti Malaya itu lagi, majoriti golongan berusia, khususnya di kawasan pendalaman dan hulu Sibu masih berpihak kepada BN, dan keputusan esok banyak bergantung kepada peratusan golongan muda mengundi.
BN dan Pakatan, katanya harus mencari jalan untuk memastikan pe4nyokong masing-masing keluar mengundi.
Menurut Abu Hassan, trend yang sama dijangka pada pilihan raya umum ke 13 nanti dan kejayaan terletak kepada keupayaan BN dan Pakatan menarik golongan muda.