Sunday, May 22, 2011
ALFATIHAH & DOAKAN YANG SELAMAT CEPAT SEMBUH
Jangan nak persalahkan sesiapa!
Kajian dan siasatan segera perlu dilakukan. Elakkan tragedi seperti ini berulang.
Operasi mencari dan menyelamat disambung lagi pukul 8 pagi ini. Mayat empat kanak-kanak mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, ditemui awal pagi ini.
Mayat tiga daripada mereka yang kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi, manakala mayat seorang kanak-kanak diitemui pada pukul 5.05 pagi.
Dengan penemuan empat mayat itu, kesemua mereka yang dilapor tertimbus dalam kejadian itu telah ditemui.
Kejadian pada pukul 2.30 petang semalam itu mengakibatkan 25 orang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus.
Enam belas orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal.
Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Kampung Gahal, Hulu Langat itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menteri berkenaan Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata beliau juga tidak pasti sama ada rumah anak yatim itu berdaftar di bawah mana-mana agensi di kementerian lain."Yang terlibat (dalam tragedi ini) ada pelajar, ada anak yatim, ada guru. Kita tidak tahu ia di bawah agensi mana," katanya.
Shahrizat akan mengadakan pertemuan dengan agensi dan kementerian berkaitan dalam masa terdekat untuk mengetahui status rumah anak yatim itu.
Kawasan bukit di lokasi sekitar kejadian tragedi tanah runtuh di rumah anak-anak yatim itu dipercayai mengalami kejadian runtuhan tanah sebelum ini tetapi tidak dilaporkan.
“Sekiranya perkara ini benar maka ia amat mendukacitakan. Kejadian tidak diingini boleh dihindari jika laporan awal dibuat. Biarpun membabitkan tanah persendirian, ia perlu juga merujuk JKR supaya kita dapat menghantar pasukan berkenaan, melihat dan seterusnya memantau kestabilan struktur tanah berkenaan,” kata Menteri Kerjar Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor selepas melawat kawasan kejadian, malam tadi.
Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan peruntukan segera sejumlah RM50,000 bagi membantu tragedi tanah runtuh. Sebanyak RM20,000 diperuntukan bagi kegunaan pengurusan jenazah sementara sebanyak RM30,000 diperuntukan untuk kegunaan usaha mencari mangsa dan menyelamat yang masih tertimbus.
Sementara Kerajaan Pusat pula akan memberi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa tragedi tanah runtuh dan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Malah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa tragedi yang menyedihkan ini,” kata Muhyiddin.
KHAIRY NYANYI LAGU 'KENAIKAN HARGA MINYAK' SUMBANG...
Tajuk lagu kedua-duanya ialah ‘Kenaikan Harga Minyak’.
Muhyiddin membidas pembangkang yang hanya tahu mengeksploitasi soal kenaikan harga minyak dan barangan di pasaran sedangkan mereka sendiri tidak tahu mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah itu.
Beliau berkata pembangkang tidak terbeban dengan tanggungjawab untuk menangani masalah berkenaan, kerana itu mereka hanya bijak untuk menyalahkan kerajaan dalam soal tersebut.
Kerajaan sentiasa mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil keputusan untuk menaikkan harga sesuatu barangan mahupun minyak bagi memastikan apa jua langkah yang diambil tidak membebankan rakyat, katanya.
"Dari masa ke semasa apabila ada perkara perubahan dari segi kos, kita (kerajaan) kena buat penyesuaian, tetapi kita tak buat keputusan secara tergesa-gesa. Bukan hari ini cakap esok kita buat, kita kaji dengan teliti kesannya walaupun sebesar mana kenaikan yang berlaku di pasaran. Kalau naik harga barang ini, apa kesannya kepada rakyat, itu antara perkara yang kita ambil kira," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Cukai.
Kelmarin juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Yaakob meminta rakyat menunggu pengumuman rasmi kerajaan berhubung penyelarasan harga minyak, yang akan dibuat tidak lama lagi.
Beliau berkata rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang bahawa harga RON95 akan naik dalam masa terdekat.
"Saya sentiasa maklumkan bahawa rasionalisasi subsidi akan kita buat pada hujung bulan ini, atau awal bulan depan, jadi jangan nak tuduh kerajaan itu ini sebab kita belum lagi naikkan apa-apa harga.
"Jadi, saya minta rakyat tunggu dulu, kalau nak kata kerajaan tidak bertanggungjawab dari segi jaga kepentingan rakyat, sekarang ini subsidi untuk seluruh bahan petrol dan makanan meningkat sampai RM20.58 bilion kita tanggung, jadi macam mana boleh kata kerajaan tak ambil berat," katanya.
Namun, Khairy menyanyikan lagu ini dengan kata-kata menganggap sebarang keputusan menaikkan RON 95 sebagai tidak bertanggungjawab.
Kerajaan Barisan Nasional yang UMNO menjadi tulang belakangnya tidak bertanggungjawab?
Persoalannya apakah kerajaan sekarang tidak mendahulukan rakyat dan tidak memikirkan beban rakyat? Khairy berpendapat begitu?
Sewajarnya Pemuda UMNO ketika ini sama-sama membantu kerajaan menjelaskan kepada rakyat agar tidak terlalu mengharapkan subsidi dan bukan Malaysia sahaja yang menghadapi masalah kenaikan harga minyak.
Entahlah, apa dah jadi dengan Pemuda UMNO yang selalu ‘menari tersilap renta dengan langkah yang sering sumbang’.
Khairy juga menasihatkan supaya kerajaan perlu mengubah gaya perbelanjaan dan mengamalkan sikap berjimat cermat.
Sedap bunyinya. Tetapi rakyat dan orang ramai fikirlah ketika Khairy ‘berkuasa’ ke atas bapa mentuanya, apakah kerajaan ketika itu mengamalkan sikap berjimat cermat?
Lu pikirlah sendiri dan kalau tidak dapat juga datanglah melawat Terengganu!
Muhydin semalam berkata sebelum kenaikan dilakukan kerajaan akan meneliti terlebih dahulu laporan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Bekalan dan Harga yang dipengerusikan oleh beliau.
"Kenaikan harga minyak, harga barang, harga gas atau elektrik ke, ini kenyataan yang harus diterima yang berlaku di mana-mana negara di dunia apabila kos meningkat. Di negara jiran baik di Singapura, Thailand, dan Indonesia isunya sama, cuma tahap yang berbeza. Di Malaysia memang ada isu itu (kenaikan) tetapi kadar inflasi kita antara yang terendah...memang ada peningkatan (inflasi) tetapi berbanding dengan apa yang berlaku di dunia, peningkatan itu tidak ketara," katanya.
Katanya, di negara ini rakyat mudah terasa apabila berlaku kenaikan harga kerana selama ini mereka banyak dibantu oleh subsidi yang diberikan oleh kerajaan.
Thursday, May 19, 2011
AMERIKA SYARIKAT BERPUASHATI DENGAN MALAYSIA....NAJIB
Ternyata lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ke AS mempunyai matlamat lebih besar dan berharap kerjasama erat dalam bidang ekonomi kedua-dua negara akan membawa kebaikan kepada suasana pelaburan di negara ini.
Laporan Bernama dari New York menyebut beberapa firma multinasional AS akan melabur antara AS$5 bilion dan AS$6 bilion di Malaysia dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata pelaburan berkenaan akan melibatkan sektor elektronik lanjutan, tenaga yang boleh diperbahrui, minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi, penjagaan kesihatan, farmaseutikal serta perkhidmatan.
Malah, beliau berkata Motorola, yang beroperasi di Malaysia sejak 37 tahun lalu dengan 7,000 pekerja, akan melabur kira-kira RM4 bilion bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Global di kilangnya di Pulau Pinang bagi menyediakan sokongan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Asia Pasifik.
"Ini adalah satu pencapaian besar...mereka berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan kerajaan Persekutuan. Mereka kini terbabit dalam sistem teknikal untuk Polis Diraja Malaysia," kata beliau kepada wartawan Malaysia hari ini pada hari kedua lawatan kerja beliau ke New York, semalam.
Najib akan melawat Johns Hopkins University di Washington.
Semasa ditanya mengenai kesan pelaburan yang bakal diterima terhadap Malaysia, Najib berkata, ia akan membawa kepada pendapatan lebih tinggi di kalangan rakyat.
Beliau berkata, negara tidak boleh mencapai status negara maju tanpa pertumbuhan tahunan purata sebanyak enam peratus.
Mengenai sebab yang dinyatakan oleh bakal pelabur yang berminat terhadap Malaysia, Najib berkata, kestabilan politik dan kesinambungan dalam dasar kerajaan, serta Model Baru Ekonomi merupakan faktor tarikan.
Beliau berkata, lebih 230,000 warga Amerika melawat Malaysia tahun lalu manakala 1,500 keluarga menyertai Program Rumah Kedua Malaysia.
Najib, yang menghadiri majlis yang dihoskan oleh Steve Forbes semalam (Rabu) berkata, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Forbes itu memberitahu beliau bahawa Persidangan Global Forbes melibatkan ketua pegawai ekseutif dari luar negara, akan diadakan di Malaysia pada September ini.
Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan berasingan dengan Gene Delaney, Naib Presiden Eksekutif Motorola, Vikram Pandit, Ketua Pegawai Eksekutif CitiGroup, Frank Kem, Naib Presiden Kanan dan Rakan Kongsi Pengarah Urusan IBM serta Jeff Hayman, Presdent/CEO AIG Consumer.
Beliau juga menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU).
MoU itu antara General Electric dan AirAsia X, Universiti Putra Malaysia dan University of Maryland serta Kementerian Kesihatan dan University of Maryland.
Monday, May 16, 2011
NIK AZIZ PENING DENGAN ONAR ANWAR...
Macam mana Musyridul Am PAS itu akan ‘spin’ untuk menepis kenyataan Hakim Mohamad Zabidin bahawa pihak Mahkamah Tinggi mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Anwar.
Yang menariknya Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan ialah:
1. Seorang saksi yang boleh dipercayai ;
2. Keterangannya selaras dengan saksi-saksi pakar;
3. Terdapat penetrasi zakar ;dan
4. Mangsa (Saiful) berada di kondominium berkenaan semasa kejadian itu sebagaimana dinyatakan dalam tuduhan.
Mohd Saiful, 25, saksi utama pendakwaan yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan memberitahu mahkamah mengenai kejadian yang didakwa itu.
Butir-butir kejadian didengar secara tertutup walaupun beliau memberi keterangan di mahkamah terbuka mengenai persekitaran yang mendorong beliau membuat laporan polis terhadap Anwar.
Ini lagi pening Nik Aziz. Perkataan-perkataan seperti ‘boleh dipercayai’; ‘keterangan selaras’; ‘penetrasi zakar’ dan ‘berada di kondominium’.
Mungkin Nik Aziz paling tak tahan ialah perkataan ‘penetrasi zakar’ yang bermakna ‘memang yang dituduh melakukannya’.
Pagi ini Mahkamah Tinggi memerintahkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri atas dakwaan liwat terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga tahun lepas.
Hakim Mohamad Zabidin menegaskan dalam keputusannya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Anwar.
Mahkamah mendapati Mohd Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan keterangannya selaras dengan saksi-saksi pakar bahawa terdapat penetrasi zakar dan mangsa berada di kondominium berkenaan semasa kejadian itu sebagaimana dinyatakan dalam tuduhan.
Ini kenyataan mahkamah, bukan dikeluarkan di tepi Masjid Negara, Masjid Wilayah atau Majid Jamik. Juga bukan di Kedutaan Turki.
Hakim Mohamad Zabidin membuat keputusan itu pagi ini selepas mendengar keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan dan hujah daripada Peguamcara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, dan peguam-peguam bela diketuai Karpal Singh di penghujung kes pendakwaan.
Pihak pendakwaan menyimpulkan kes mereka pada 24 Mac, dengan 26 saksi memberi keterangan di perbicaraan yang bermula 3 Feb tahun lepas.
Pada 7 Ogos 2008 Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan liwat bertentangan dengan peraturan alami di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10ptg dan 4.30ptg 26 Jun, 2008.
Tuduhan itu dikemukakan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.
Ini merupakan tuduhan liwat kedua Anwar hadapi. Pada 2000, beliau dituduh meliwat pemandu kepada isterinya, Azizan Abu Bakar.
Beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara.
Saturday, May 14, 2011
SOI LEK KECAM UTUSAN, BELA DAP...
Jika sebelum ini ada pemimpin Gerakan memainkan peranan seperti ini, kini pemimpin sebuah parti komponen BN semakin menonjolkan dirinya kononnya juara bukan–Islam.
Ini dilakukan bukan untuk sokongan kepada partinya. Malah dia bersuara juga bukan kepentingan orang Kristian, tetapi kepentingan DAP.
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek – Presiden Skandal Seks - iaitu presiden sebuah parti komponen ( saya tidak salahkan parti kerana ia bukan keputusan mesyuarat parti) hari ini (13 Mei 2011) mahu pemberita dan editor Utusan Malaysia digantung tugas jika laporannya Sabtu lalu mengenai isu Kristian dan agama Islam adalah tidak benar.
Malah Presiden Skandal Seks itu berkata teguran yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri kelmarin ke atas akhbar milik Umno itu tidak mencukupi.
“Kami berharap polis akan menyiasat dengan terperinci latar belakang tulisan yang disiarkan oleh Utusan, di mana kami dimaklumkan bahawa sesetengah pihak mahu mempolitikkan agama demi kepentingan politik. Jika tulisan itu tiada sebarang asas, kama kami merasakan pihak-pihak yang bertanggungjawab di Utusan perlu digantung sebagai amaran bahawa kerajaan akan memegang mereka yang mahu mempolitikkan isu-isu agama, bertanggungjawab,” kata Chua.
Sedangkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semalam, laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai usaha pihak tertentu untuk menjadikan Kristian sebagai agama Persekutuan Sabtu lalu seperti dipetik daripada dua blog adalah berasas.
Dan asas pada pemberitaan tersebut mungkin boleh dijelaskan melalui sebuah laporan polis hari ini yang dibuat oleh seorang individu yang turut berada dalam majlis dimaksudkan di Pulau Pinang.
Selain itu, katanya, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan telah tampil menjelaskan mengenai asas laporan muka depan akhbar berkenaan sewaktu memberi keterangan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, kelmarin.,
"Jadi inilah yang saya tekankan hari itu, jangan kita beremosi tentang perkara berhubung kait agama, kaum, biar pihak berkuasa (iaitu) polis khususnya untuk jalankan tugas mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Rawatan dan Prihatin (CCSC) Chow Kit di Kuala Lumpur.
Laporan muka depan akhbar ini Sabtu lalu yang bertajuk Kristian Agama Rasmi? seperti dipetik daripada pendedahan dua blog tempatan iaitu Bigdog dan Marahku bagaimanapun turut menyiarkan penafian Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dari DAP yang turut hadir pada majlis itu.
Di Pulau Pinang semalam, seorang ahli DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman, 42, yang hadir pada majlis kesyukuran tertutup paderi-paderi berkenaan tampil membuat laporan polis bagi menceritakan insiden sebenar.
Chua beria-ia benar apabila mengatakan tidak harus ada andaian bahawa laporan-laporan itu tidak berasas dan jika dakwaan itu benar, mereka yang bertanggungjawab harus disiasat dan didedahkan.
Tegasnya: “Kami berharap bahawa dalam isu ini, kerajaan tidak akan berkompromi dan harus menegakkan keadilan dan menghantar mesej yang jelas kepada rakyat Malaysia bahawa agama tidak harus digunakan dalam pertarungan politik. Orang yang menulis berita terbabit termasuk editor harus digantung kerana menulis laporan palsu atau mencetuskan sensasi, yang tiada asas.”.
Bukan itu sahaja, Presiden Skandal Seks ini juga mahukan ‘orang di sebalik kepada semua ini’ harus berhadapan dengan tindakan.
Selain tuduhan Chuna bahawa Utusan Malaysia melaporkan perkara yang 'tiada asas', siapa orang yang dimaksudkan Chua?
Chua tuding jari terhadap seseorang?
IMEJ NUJ TERCEMAR KERANA HATA
Mana-mana yang menyeleweng tu buang saja!
Lihat saja bagaimana Presiden NUJ sekarang, Hata Wahari berlagak.
Bukan sahaja menghentam bekas majikannya secara terbuka tetapi menunjukkan sikapnya yang menyebelahi pembangkang tetapi menggunakan kedudukannya sebagai Presiden NUJ.
Malah Hata tampil berceramah di pentas PAS bagi menyatakan pandangannya terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad iaitu majikan yang memecat beliau sebelum ini.
Setiausaha Agung NUJ, V. Anbalagan berkata, pihak kesatuan telah meminta pandangan dan nasihat Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja mengenai kedudukan Hata sebagai Presiden NUJ memandangkan beliau telah dipecat oleh majikannya.
Selain itu Hatta diminta mematuhi pendirian kesatuan itu untuk bersikap berkecuali dengan tidak memihak kepada pembangkang atau kerajaan.
V. Anbalagan berkata, sebagai kesatuan mewakili 1,400 ahli, bukan dasar kesatuan untuk cenderung menyokong mana-mana parti di negara ini.
''Majlis Eksekutif NUJ telah menjelaskan pendirian kesatuan untuk pengetahuan Hata pada mesyuarat Sabtu lalu. Kalau dia masih lagi bercakap atas platform pembangkang, terpulang kepada Majlis Eksekutif untuk menentukan kedudukannya kerana (perbuatan) Hata boleh menjejaskan imej NUJ," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Difahamkan, NUJ 'kurang senang' dengan beberapa tindakan Hata yang dilihat cenderung menyokong pembangkang antaranya memberi kenyataan kepada portal-portal propembangkang.
"Sebahagian berpendapat dia (Hata) boleh memegang jawatan selagi Mahkamah Perusahaan belum membuat apa-apa keputusan manakala sebahagian lagi kata tidak boleh. Oleh itu, kami menunggu panduan daripada pihak mereka mengenai hal ini. Memang kami sedar beliau sekarang memperalatkan atau diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu dan kami sedar beliau sekarang dalam platform (pembangkang). Beliau mesti mengambil sikap berkecuali sekiranya mewakili NUJ dan sebagai presiden mesti menunjukkan sikap ini melainkan dia bercakap mewakili diri sendiri," katanya.
Sewajarnya, selepas dimaklumkan mengenai pendirian kesatuan, Hata tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan menyebelahi mana-mana pihak atas platform kesatuan.
Tetapi kerana beliau cenderung kepada politik pembangkang, beliau mengetepikan pendapat kesatuan yang beliau wakili.
Thursday, May 12, 2011
ISLAM AGAMA RASMI - PENJELASAN NAJIB JELAS, TEPAT
Cukup dan tutuplah isu agama Islam bukan agama rasmi Malaysia.
Jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah jelas dan tepat.
Di pihak kerajaan, kalau ada lagi yang mempersoalkan kedudukan Islam di negara ini, hapuskan segera cakap-cakap ini dengan tindakan undang-undang. Menteri Dalam Negeri jangan asyik amaran demi amaran. Lama-lama yang bercakap tidak takut dan rakyat menjadi meluat.
Semalam Najib meminta semua rakyat menerima hakikat bahawa Islam adalah Agama Rasmi Negara.
Dengan kata lain, ia tidak boleh dipertikai, dipersoal dan diubah dalam apa juga keadaan dan cara.
Tolong faham-fahamlah mereka yang tidak faham, khususnya DAP dan pemimpin atau pendokongnya yang berminat mempersoalkan kedudukan agama Islam berkenaan.
Lagipun, walaupun agama Islam menjadi agama rasmi, ia tidak menghalang malah menyekat penganut agama lain mengamalkan ajaran agama mereka.
Baca laporan Bernama berikut:
Terima Hakikat Islam Agama Rasmi Negara:Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua pihak harus menerima hakikat tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan ia tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan.
"Ia adalah kerana realitinya kita mempunyai Perlembagaan Negara dan peruntukannya adalah amat jelas tentang kedudukan Islam dan agama-agama lain," kata Najib kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan 22 orang pemimpin dan cendekiawan Islam di Putrajaya, semalam.
"Dalam apa jua keadaan, Perlembagaan Negara tidak boleh dipinda dan oleh itu semua pihak tidaklah seharusnya merasa bimbang, gundah gelana, ataupun gelisah di dalam hal ini," katanya.
Antara pemimpin dan cendekiawan Islam yang hadir adalah Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.
Najib berkata dalam pertemuan selama sejam dengan pemimpin dan cendekiawan Islam itu, beberapa isu semasa turut dibincangkan termasuk isu "menukar" agama lain sebagai agama rasmi negara yang dilaporkan sebelum ini.
Baca laporan penuh di sini.
Tuesday, May 10, 2011
ISLAM SEBENARNYA BUKAN AGAMA RASMI…
Islam atau Kristian?
Jangan terkejut selepas Perlembagaan 1948, Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Malaysia 1963, agama Islam sebenarnya 'bukan agama Rasmi' Persekutuan.
Semalam Peguam Syahredzan Johan menegaskan, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menggariskan bahawa Islam adalah “agama rasmi” negara.
Lebih jauh beliau menyeru masyarakat Malaysia supaya ‘bangkit’ memperbetulkan fahaman bahawa Islam agama rasmi Malaysia.
Menurutnya isu ini jika dipermainkan sangat bahaya sedangkan kedudukan agama Islam tidak diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai ‘Agama Rasmi’.
“Perlembagaan sangat jelas dalam hal ini. Islam bukan agama rasmi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi semalam.
Syahredzan berkata, rakyat biasa boleh dimaafkan kerana tidak biasa dengan undang-undang, tetapi menteri dan peguam-peguam tidak boleh dimaafkan kerana ia bukan sahaja tugas mereka, tetapi tanggungjawab mereka.
Syahredzan berkata, beliau membangkitkan perkara ini sebab tiada pihak yang berbuat demikian.
“Ia perkara yang sangat bahaya dan ia dipermainkan dan disebabkan itu, ia menjadi lebih daripada isu perlembagaan semata-mata, ia menjadi momok... ia menjadi isu agama dan isu sosial dan isu politik dan satu masalah.
(Perlu ada) seseorang bangun dan mengatakan mengenai perkara ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Syahredzan, ketua jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam merujuk kepada Artikel 3 yang menyebut bahawa “agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai Persekutuan di mana-mana bahagian Persekutuan” dan menekankan bahawa perkataan “rasmi” tidak pernah disebutkan di mana-mana bahagian.
Syahredzan Johan mengulas perkara ini ketika kontroversi tercetus ekoran laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bahawa pengikut Kristian mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.
Kita menunggu pakar Perlembagaan kita, termasuk Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan , Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk memperjelaskan perkara ini.
Selain itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz juga mampu memberitahu rakyat apa kedudukan sebenar agama Islam di Malaysia.
Selain itu, apakah benar apa yang dikatakan oleh Syahredzan bahawa seksyen dalam Perlembagaan mesti ditafsir bersama Artikel 11, di mana setiap orang ada hak untuk mengamalkan agama masing-masing dan tertakluk kepada Klausa (4) yang mana berkaitan dengan Islam - untuk menyebarluaskannya.
Menurut beliau: “Kita kena faham terminologi yang betul untuk digunakan apabila kita bercakap apa sahaja berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.
Lebih jauh beliau mengatakan Menteri pun tidak tahu mengenai perkara ini.
Setiap orang, daripada kalangan menteri sehinggalah NGO, malah sehingga blogger mengatakan macam-macam, yang menunjukkan mereka tidak tahu apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.”
Katanya, dengan memasukkan perkataan-perkataan ke atas Perlembagaan, blogger, menteri dan surat khabar membaca perkara-perkara yang tiada dan meminda undang-undang.
“Dan, ia bercanggah dengan Perlembagaan,” kata peguam itu.
Oleh itu kata Syahredzan, Putrajaya mesti menerajui usaha untuk membetulkan salah tanggapan ini bagi mengelakkan malapetaka.
“Sesuatu perlu dilakukan, kerajaan mesti menyatakan dengan jelas apa yang ada dan apa yang tiada dalam Perlembagaan,” katanya.
Jawablah wahai Pak Menteri dan pemimpin UMNO. Anda kini sedang dicabar dan lebih jauh mengatakan Islam Bukan Agama Rasmi Malaysia.
KENAPA BLOG MARAHKU DIMARAHI BEGITU SEKALI...
Menurut The Unspinners, Shamsul Yunos adalah antara penulis blog yang mula mendedahkan ikrar sekumpulan pastor Kristian tempatan dan luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
Namun tulisannya bukan ditujukan kepada penganut Kristian atau mana kumpulan gereja Kristian tetapi kepada kumpulan DAP dan sekumpulan kecil aktivis gereja yang melibatkan diri dalam gerakan politik
Malah, nama Shamsul Yunos telah digantikan dengan Abdullah Shukor.
Hairan sungguh mereka yang bertanggungjawab dengan kerja jahat ini. Sedangkan blog Marah Ku telah menjelaskan pendirianya itu dan mengetengahkan percanggahan kenyataan Lim Guan Eng berkenaan pembabitan Jeff Ooi.
Menurut The Unspinners, isu ini adalah isu politik DAP tetapi banyak pihak telah membesarkan aspek yang salah.
Ia jauh sekali adalah serangan terhadap penganut dan kumpulan-kumpulan gereja secara am.
Monday, May 9, 2011
'INSAN TERPILIH' PERTAHANKAN HADI AWANG
Malunya apabila seorang ‘Tok Guru’ terpaksa menggunakan ‘Insan Terpilih’ yang ‘Dianugerahkn Allah’ untuk menjamin kemenangannya di Parlimen Marang.
Apakah , Datuk Seri Abdul Hadi Awang semakin bimbang dengan pengaruh UMNO di kawasan Parlimen Marang?
Beliau mungkin tahu bahawa rahsianya menggunakan pengundi luar sudah tidak boleh dijadikan kelebihan lain selain pemimpin Barisan Nasional dan UMNO ‘menyerang Marang’ tanpa henti.
Sama ada di kerusi Pengkalan Berangan dan Alor Limbat yang dimenangi BN semakin teguh dengan perpaduan baru dalam UMNO Terengganu sementara kerusi Bukit Payong dan Rhu Rendang semakin goyah kerana rakyat tahu siapa pembela mereka dan siapa yang hanya menabur janji.
Pada peringkat Parlimen Marang pula, kini jelas pekerja UMNO mengadakan pelbagai program menjamin rakyat dibela dan ditolong, bukan seperti PAS yang hanya pandai ‘menyerahkan rakyat kepada Allah’ untuk dibantu.
Pemimpin PAS kini turut dibuai dan dihanyutkan mimpi untuk ‘ke Putrajaya’.
Dan kerana itu terpaksalah meminta tolong Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen bagi pihaknya?
Berceramah di Marang, Jumaat 6 Mei lalu Anwar menggesa seluruh pengundi Marang supaya mempertahankan parlimen tersebut dari jatuh ke tangan Umno dan Barsian Nasional (BN).
"Sebab itu kawan-kawan di Marang ini kena ingat, Marang ini kawasan yang dipimpin oleh tokoh besar, bukan sahaja (kepada) PAS tetapi (kepada) umat Melayu dan umat Islam. KIita kena pertahankan kerusi (parlimen) ini dan maruah kita lebih-lebih lagi sekarang."
Bunyinya sungguh terdesak dan permintaan Anwar itu dibuat pada majlis ceramah isu-isu semasa di Kedai Buluh, Bukit Payung.
Sebut sahaja UMNO, tidak ada modal lain selain mengatakan UMNO akan buat apa saja dengan wang.
Belum apa-apa Anwar sudah menggunakan mulut jahatnya apabila mengatakan: “ Umno dan BN akan melakukakan apa sahaja untuk merampas kerusi tersebut yang kini diwakili oleh Presiden PAS"dan percayalah....Umno akan buat apa sahaja, beli (undi) ugut, upah...apa sahaja, untuk melemahkan kubu kita disini,"
Dalam kempennya Anwar berkata tanggungjawab mempertahankan parlimen Marang bukan kerana peribadi Ustaz Hadi sahaja. Tetapi, katanya, Ustaz Hadi dengan ketokohan, prinsip dan peribadinya telah membawa mesej perubahan dan memperkuatkan Pakatan Rakyat.
Menurutnya, kemenangan Presiden PAS dan beberapa kawasan parlimen lain di negeri Terengganu pada pilihanraya akan datang, akan membawa perubahan dalam negara.
Persoalannya, untuk apa pertahankan Hadi? Apakah beliau wakil rakyat yang kerja untuk rakyat?
Berapa kali dia turun padang?
Inilah wakil rakyat yang rakyat di Marang mahukan?
Berikutan bimbang dengan pengaruh UMNO dan pimpinan kerajaan dengan dengan pelbagai projek rakyatnya di Marang, Hadi terpaksa ‘minta nyawa politiknya’ kepada rakyat menggunakan Anwar.
Sedangkan orang yang beliau gunakan untuk memenangkannya adalah pemimpin yang ketika ini berdepan dengan isu video seks dan penghakiman mahkamah kerana isu liwat.
Tidakkah Hadi terpikir bahawa jika apa-apa hukuman atau pendedahan terhadap Anwar, dia juga akan menerima tempelak?
Tetapi bagi pemimpin seperti Hadi yang tidak tahu turun padang dan melihat serta membela rakyat kawasannya, apa sahaja cara yang boleh mempertahankan kedudukannya demi wang dan pangkat, dia saggup menggunakan manusia seperti Anwar yang sudah terpalit dengan pelbagai ‘dosa’.
PILIHAN RAYA OH PILIHAN RAYA...JANGAN 11.11.11
Ini bermakna tahun ini tidak sesuai. Sama ada dalam masa terdekat atau tarikh keramat 11 November 2011 tidak memungkinkan. Itu pendapat Dr Mahathir.
“Ia (pilihan raya umum) tidak harus diadakan tahun. Bagaimanapun terpulang kepada Perdana Menteri, kadangkala saya terlupa bahawa saya bukan lagi Perdana Menteri,” kata beliau kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.
Dr Mahathir berpendapat, pilihan raya umum wajar diadakan tahun depan kerana perpecahan kaum di negara ini semakin tebal.
Dalam ucapannya kepada Umno Selangor, Najib baru-baru ini membayangkan pilihan raya umum semakin hampir.
Hari ini kata bekas Perdana Menteri itu, persekitaran semasa - perpecahan kaum tidak pernah berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri.
“Saya merasakan rakyat berpecah, perpecahan kaum berada di kemuncak.Pada masa lalu, kaum Cina tiada masalah dengan BN, pada 1999, meskpun (insiden) mata lebam Anwar, pembangkang mendapat sokongan Melayu, tetapi rakyat Cina menyokong BN. Kita masih ada dua pertiga ketika itu,” katanya.
Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan kekalahan terburuk dalam sejarah pilihan rayanya tiga tahun lalu dengan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tambahan empat negeri.
Bekas perdana menteri ini berkata, beliau risau dengan perpecahan di kalangan rakyat buat masa ini yang teruk berbanding masa-masa lalu.
Katanya, kerajaan mempunyai masa. “Saya fikir ia boleh berlanjutan sehingga 2012,” katanya.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula meramalkan pilihan raya umum kemungkinan diadakan sebelum Ramadan ini.
CEPATLAH SEDAR WAHAI PAS, BELAJAR APA YANG DIALAMI OLEH SNAP....
Ia menyerlahkan tembelang parti-parti pembangkang yang kononnya mereka bersatu dan sepakat serta berjuang dalam satu pasukan.
Namun hakikatnya kini terbongkar apabila pertelingkahan bukan sahaja berlaku di Sarawak tetapi ia memberikan kesan langsung kepada pakatan di semenanjung.
Kenapa penulis berkata demikian?
Pertama, kekalahan PAS khususnya dikaitkan dengan peranan dan kata-kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi terhadap kaum pribumi di Sarawak dan ia akan meninggalkan kesan yang lama;
Kedua, perpecahan yang berlaku di antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan SNAP menunjukkan mereka sebenarnya tidak mempunyai persefahaman langsung.
Apa yang digembar-gemburkan sebelum pilihan raya tidak menguntungkan sesiapa kecuali DAP.
Ketiga, antara mereka ada perbuatan untuk memanipulasi satu sama lain demi untuk mencapai ideologi politik masing-masing. Dan yang untung besar daripada tindakan itu tetap DAP.
SNAP dikatakan dipelawa oleh DAP untuk bergabung dalam usaha pembangkang untuk bertapak di kawasan majoriti Dayak.
Keputusan yang dibuat oleh SNAP hanya menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai prinsip yang sewajarnya.
SNAP cuba bermain dengan sentimen selaku parti paling tua di Sarawak dan sebuah parti yang bersejarah. Namun ia tidak diterima dengan baik oleh penduduk Sarawak, lebih-lebih lagi selepas bergabung dengan pakatan pembangkang.
Pada April tahun lepas, parti kaum Dayak itu menyertai pakatan pembangkang dan membentuk ‘PR Sarawak’.
Sebelum pilihan raya Sarawak, SNAP turut dikaitkan dengan pembentukan Barisan Borneo Bersatu (UBF) yang membabitkan beberapa pemimpin pembangkang Sabah.
Bagaimanapun, sebelum pilihan raya negeri, SNAP dan PKR berselisih faham berhubung pembahagian kerusi. Keadaan itu menyebabkan SNAP, PKR dan BN bertembung di 24 kawasan Dewan Undangan Negeri.
Amat jelas pakatan pembangkang menyerlahkan diri mereka bahawa kalau belum apa-apa lagi sudah bercakaran sesama sendiri, bagaimana kelak jika benar berjaya menakluki Putrajaya.
Rakyat Malaysia tidak wajar memberikan kuasa kepada pembangkang kerana mereka ibat ‘enau yang mementingkan diri untuk melepaskan pucuk masing-masing.
Pertelagahan akhir-akhir ini di antara parti-parti pembangkang di Sarawak menyebabkan SNAP bertindak untuk keluar dari pakatan pembangkang.
Kenapa?
Paling jelas habis manis, sepah dibuang. SNAP tidak lagi diperlukan oleh pakatan DAP-PKR.
Hubungan singkat yang dijalinkan antara SNAP dengan pakatan pembangkang Sarawak terputus juga akhirnya selepas SNAP ttidak mampu lagi bersabar dengan sikap dingin pakatan pembangkang di Sarawak.
Ia sebenarnya berlaku ketika SNAP turut menghadapi pilihan raya Sarawak ke-10 itu.
Ini diakui presiden parti itu, Edwin Dundang apabila merasakan mereka tidak lagi diterima dalam pakatan itu selepas setahun hubungan ‘cinta’ yang bertukar menjadi ‘benci’.
Malah, tidak lagi ada istilah ‘benci tapi rindu’ antara SNAP dan DAP-PKR kerana “Bukan pilihan kami untuk meninggalkan mereka... bagaimanapun kami merasakan kami tidak lagi diterima dalam pakatan itu, terutama dalam pilihan raya negeri.
"Sehubungan itu, kami tidak akan berdamai dengan PR Sarawak bermula dari sekarang," katanya kepada Bernama di Kuching, kelmarin.
Malah, SNAP merasakan mereka diketepikan begitu sahaja oleh pakatan pembangkang semasa pilihan raya negeri 16 April lalu.
Apa yang SNAP alami?
SNAP tidak pernah dijemput untuk menghadiri mesyuarat atau sebarang aktiviti bersama. Ini menunjukkan SNAP tidak penting untuk pakatan pembakang, selain meminggirkan mereka.
Kali terakhir SNAP menghadiri mesyuarat PR Sarawak ialah pada Mac lepas berhubung pembahagian kerusi pilihan raya negeri.
Amat jelas daripada peristiwa ini, zaman kegemilangan SNAP bagaikan berakhir dan penyokong mereka perlu menyedari bahawa parti itu bukan lagi sebuah wadah politik yang boleh dipercayai.
Bak kata Naib Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Sylvester Entri Muran semalam, selepas kalah teruk dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, yang menyaksikan 25 daripada 26 calonnya hilang wang pertaruhan - SNAP perlu berundur daripada politik.
"Ini menunjukkan rakyat kini tidak lagi menyokong SNAP. Bagi saya, SNAP patut tutup kedai saja," katanya mengulas mengenai tindakan parti pembangkang itu untuk keluar daripada pakatan bersama DAP, PKR dan PAS.
Entri, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DU NMarudi dalam pilihan raya 16 April lepas, mencatatkan kemenangan besar ke atas Presiden SNAP Edwin Dundang Bugak, calon PKR Gerang Dagom dan seorang calon bebas Michael Ding Tuah dengan memperoleh 4,578 undi.Dundang pula hanya meraih 281 undi dan hilang wang pertaruhan.
Persoalannya SNAP sudah sedar mainan pakatan DAP-PKR tetapi PAS bila lagi?
Mahu terima nasib seperti SNAP.
Sewajarnya PAS cepat sedar bahawa kehadiran mereka di Sarawak tidak langsung dirasa -bertanding lima kerusi, kalah habis (5-0) dan memualkan.
Kini PAS makin disisihkan, termasuk bagi Kabinet Bayangan pakatan pembangkang di Sarawak.
Sedarlah, SNAP yang berjuang untuk kaum Dayak pun ditolak pakatan pembangkang DAP-PKR, apalagi PAS yang memperjuangkan dasar Islam akan menerima nasib seperti SNAP akhirnya.
Fikirlah wahai PAS sebelum terlambat.Berdirilah sebagai parti yang bebas.
Jangan jadi SNAP ‘sudah terhantuk bagi tegadah’ – ia sudah terlambat, bukan sahaja kalah pilihan raya tetapi kini selepas ‘manisnya dikebas, ia menjadi sepah yang dibuang begitu sahaja’!
Saturday, May 7, 2011
JANGAN BIARKAN, SEKAT DARI AWAL
Bukan bimbang Kristian akan menjadi agama rasmi negara ini. Itu sukar berlaku.
Tetapi proses ke arah menjadikan agama berkenaan sebagai agama rasmi akan membabitkan kejadian-kejadian yang tidak diingini dan mungkin akan menyebabkan ketegangan kaum dan agama.
Pertama, isu agama sekali lagi menjadi perbincangan terbuka yang akan menyebabkan berlakunya syak wasangka pada ketika beberapa isu lain seperti isu bukan Islam memasuki masjid sewenang-wenangnya, bukan sahaja mentafsir al-Quran dan Hadis serta isu Kitab Injil dalam bahasa Melayu belum dapat dibereskan.
Kedua, jika benar ada pemimpin DAP melakukan perkara seperti ini, bukan sahaja agama Islam tergugat kedudukannya tetapi ‘pelindungnya’ iaitu Yang DiPertuan Agong dan sultan Melayu juga tergugat.
Ini bahaya. Bendunglah sebelum meledak!
Dua laman blog semalam, iaitu 'bigdog' di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com. memperkatakan perkara ini dan dilaporkan pula Utusan Malaysia hari ini.
Menurut laporan berkenaan satu majlis pertemuan paderi-paderi diadakan di Pulau Pinang dan berikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua blog berkenaan.
Menurut laporan Utusan Malaysia, pada majlis makan malam sempena pertemuan , seramai 35 orang paderi dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan mahu Perdana Menteri juga dalam kalangan penganut agama itu.
Laporan blog 'bigdog' mendakwa majlis itu dianjurkan oleh kawasan Parlimen DAP dipercayai Jelutong dan turut dihadiri oleh kira-kira 100 yang lain termasuk wakil rakyat parti itu dari Sarawak dan beberapa pekerja parti.
"Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi," dakwa blog berkenaan.
Blog tersebut menambah, sebagai satu komuniti minoriti, cita-cita DAP itu jelas membuktikan mereka cuba bertindak sebagai kaum majoriti.
"Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya," dakwa blog itu.
Utusan Malaysia hari ini memetik Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.
Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini sebagai tetamu.
Jeff yang ditanya mengenai ikrar itu mendakwa, ketika majlis berlangsung, beliau sibuk 'melayan' iPad selain menjamu selera walaupun turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang didakwa terlibat dalam satu pertemuan antara paderi-paderi dari seluruh negara di sebuah hotel di Jalan Macalister, Khamis lepas.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Wira Perkasa Daerah Timur Laut, Mohd Rizuad Mohd Azudin di Balai Polis Jalan Patani, di sini pada kira-kira pukul 1.20 tengah hari.
"Isu ini akan merosakkan perpaduan kaum yang telah terjalin lebih 50 tahun,” kata Mohd Rizuad selepas membuat laporan polis berkenaan.
Penulis berpendapat, elok sekali jika polis dapat menyiasat dakwaan blog berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana juga pihak yang cuba mencetuskan isu perkauman di negara ini.
Jangan jadikannya API DALAM SEKAM. Amat Berbahaya!
Tuesday, May 3, 2011
HERET ANWAR KE MAHKAMAN SYARIAH, KEMUDIAN BERSUMPAH…
Semalam, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata lafaz sumpah laknat yang dilakukan Eskay itu akan lebih bermakna jika pertuduhan ke atas Ketua Pembangkang berhubung rakaman video seks melibatkan seorang pelacur dipercayai dari China difailkan di Mahkamah Syariah.
Eskay bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim pada 21 Mac lalu mendedahkan kepada sekumpulan wartawan rakaman video kontroversi mengenai Anwar.
Ketua Pembangkang itu kemudian membuat laporan polis menafikan bahawa beliau adalah pelaku dalam rakaman itu.
Bagi Harussani, :“Sumpah itu tidak akan membawa sebarang makna jika pertuduhan tidak dibawa ke Mahkamah Syariah. Sepatutnya isu ini difailkan ke Mahkamah Syariah terlebih dahulu sebelum sebarang sumpah dilakukan."
Selepas difailkan di Mahkamah Syariah, ia akan memudahkan perbicaraan dengan kedua-dua belah pihak akan bersumpah untuk membuktikan siapa yang benar dalam hal tersebut dengan disaksikan hakim.,”
Sejauh ini beberapa ahli ulama mengatakan mahu Anwar bersumpah bagi membersihkan dirinya setelah dituduh oleh trio ‘Datuk T’ sebagai pelaku di dalam rakaman video seks melibatkan seorang pelacur dipercayai China.
Tuduhan itu diperkuatkan lagi dengan sumpah laknat bekas rakan karib Anwar, Shazryl Eskay di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, dekat sini Jumaat lalu bagi
membuktikan pembabitan Anwar sebagai pelaku di dalam rakaman video seks berkenaan.
Harussani menegaskan sumpah laknat yang dilakukan oleh bekas rakan baik Anwar itu tidak ada dalam syariat Islam.
“Bagi mana-mana pihak yang ingin mengetahui kebenarannya, maka sebaiknya perkara tersebut difailkan ke Mahkamah Syariah dan biar mahkamah yang tentukan adakah Anwar patut bersumpah atau tidak, “ kata Harussani.
Baginya, kalaupun kita desak Anwar bersumpah sekarang pun tidak ada gunanya kerana tiada sebarang desakan undang-undang yang boleh mendesak beliau berbuat demikian.
Jadi, adalah baik sekiranya mengheret Anwar sekarang ke mahkamah Syarikah sebelum pendedahan minggu depan dibuat oleh Eskay.
Pendedahan itu dikatan akan lebih menyulitkan Anwar kerana ia dikatakan mempunyai implikasi yang jauh lebih besar berbanding rakaman video seks yang wajah pelakunya mirip Anwar kerana ia dikatakan melibatkan soal negara.
“Apa yang saya boleh beritahu ia pendedahan yang cukup besar. Implikasinya jauh lebih besar berbanding rakaman video seks Anwar. Perkara ini melibatkan kepentingan Negara,” demikian tegas Eskay.
Eskay mengesahkn desas-desus bahawa satu lagi pendedahan besar bakal berlaku minggu depan membabitkan Anwar, selepas beliau bertanggungjawab mendedahkan rakaman video seks baru-baru ini.
Malah bukan sekadar itu, Eskay semakin mendapat perhatian apabila beliau menerima cabaran anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa supaya Anwar bersama dua lagi trio ‘Datuk T’ menjalani ujian poligraf.
Beliau yang berterima kasih kepada Husam, berpendapat pemimpin PAS kini sedia menerima bukti secara saintifik.
"Itu menunjukkan mereka sanggup menerima rakaman video itu sebagai bukti. Mereka juga perlu terima bukti DNA dan kaedah saintifik bagi mengenal pasti lelaki dalam video itu," ujarnya.
Eskay menegaskan, mereka bertiga sedia menjalani ujian poligraf bagi mengesan sama ada terdapat pembohongan atau tidak dalam isu video seks tetapi dengan syarat, Anwar juga perlu sama-sama menjalani ujian tersebut secara terbuka.
“Alhamdulillah... Saya terima cabaran tersebut dan sedia untuk menjalani ujian itu secara terbuka. Biar acara tersebut disiarkan secara langsung agar rakyat boleh menilai. Kali ini saya ingin beri penghormatan kepada Anwar terlebih dahulu. Saya mahu dia menjalani ujian terlebih dahulu kerana dalam soal sumpah laknat saya sudah mendahului dia. Sebagai pemimpin ‘terhebat’ pembangkang, saya bagi penghormatan kepada Anwar,” Kata Eskay.
Sunday, May 1, 2011
BERSUMPAH BERSIHKAN NAMA ELAK FITNAH
Oleh KHAZAN CHE MAT, (EXCO Agama dan Penerangan Terengganu)
(Berita Harian, 30 April 2011)
Sebagai Muslim kita wajib menjauhi perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Sebagai agama yang lengkap dan saling melengkapi, Islam bukan saja mencegah sesuatu perkara tetapi ia juga mencegah perkara yang boleh menyebabkan atau mendorong perkara itu berlaku.
Oleh kerana itu dalam pengharaman zina, Islam juga melarang perkara yang menghampiri kepada zina. Dalam masa Islam melarang perbuatan mencuri, Islam juga meminta supaya pemilik menjaga harta dan menyimpannya dengan baik.
Mensabitkan kesalahan mencuri dalam Islam bukan hanya sekadar memastikan tertuduh mengambil barang tanpa izin pemilik, tetapi barang itu juga hendaklah dipastikan sudah disimpan baik yang membuktikan si pengambilnya benar-benar berniat mencuri. Begitulah indahnya Islam, ia bukan saja lengkap bahkan saling melengkapi.
Oleh kerana kes zina adalah jenayah yang besar, untuk mensabitkannya dalam Islam ia memerlukan empat orang saksi yang jujur dan benar-benar menyaksikannya.
Ini bertujuan mengelakkan amalan memfitnah daripada berleluasa lebih-lebih lagi dalam perkara besar sebegini. Sekiranya gagal membawa empat saksi, orang yang menuduh juga dianggap melakukan jenayah qazaf (fitnah zina) yang mana hukumannya hanya 20 peratus kurang daripada hukuman zina bagi pesalah yang belum berkahwin.
Apabila difitnah, seseorang boleh membersihkan nama baiknya dengan penafian dan bersumpah. Sementara orang yang membuat tuduhan pula hendaklah membawa bukti atau saksi yang adil untuk sabitan jika dibawa ke mahkamah. Dalam keadaan seumpama ini apabila ada sebarang keraguan, tertuduh dianggap berada di pihak yang benar. Jika didapati bukti yang kukuh dan tertuduh juga menafi dan bersumpah, maka terserahlah kepada Allah.
Apa yang penting dia telah membersihkan nama baiknya walaupun dia mungkin dihukum bersalah.
Islam adalah agama yang realistik termasuk dalam hal sebegini.
Kelemahan dalam berhujah tidak dinafikan boleh menyebabkan tukang fitnah menang dalam mahkamah. Lantaran itulah Rasulullah SAW dalam satu hadis ada menyebut sesiapa yang mendapat sesuatu yang bukan haknya melalui kebijaksanaan berhujah dia akan mendapat balasan neraka di akhirat nanti.
Apabila orang yang dituduh tidak mahu bersumpah, ia membuka ruang kepada kesangsian dan fitnah yang berlanjutan. Walaupun penuduh dalam kes zina gagal membawa bukti empat saksi mengikut syarak tetapi bukti adillah atau petunjuk yang ditampilkan boleh menyebabkan masyarakat terjerumus dalam dosa fitnah bila membicarakan topik berkenaan.
Kisah fitnah yang membabitkan Aisyah RA, isteri Rasulullah SAW baik untuk dijadikan teladan, ada sahabat yang telah dihukum 80 pukulan kerana kesalahan qazaf kerana bercakap perkara tersebut sedangkan Abdullah bin Ubai yang memulakannya terlepas daripada tuduhan.
Demi kebenaran dan mengelakkan orang ramai terus terkeliru dan terjerumus dalam dosa fitnah, sepatutnya tidak perlu takut untuk bersumpah menafikan tuduhan atau fitnah. Saya sangat bersetuju dengan pandangan bekas Mufti Perlis yang menyarankan seorang pemimpin pembangkang supaya bersumpah untuk bersihkan nama baiknya.
Jangan kerana hukuman zina dan qazaf tidak dilaksanakan mengikut hukum Islam kita turut menolak untuk membersih nama baik kita mengikut syariat Islam dan membiarkan masyarakat terus dalam kekeliruan dan terjerumus dalam fitnah.
Bukankah itu juga menjadi fitnah?