Sekali lagi tekanan adalah di atas bahu Presiden UMNO
yang juga Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi UMNO yang lain.
Ini kerana UMNO akan menyerahkan kepada Presidennya, Datuk
Seri Najib Razak bagi menentukan sama ada parti Melayu itu akan menyokong usul
rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Hari ini, Dr Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa menentukan sama ada RUU itu akan
dibahaskan atau tidak.
“Kita serahkan
sepenuhnya pada speaker,” katanya.
“Kita serahkan kepada Perdana Menteri bagi menentukan,
pada situasi yang telah ditentukan,” katanya sewaktu ditemui pemberita di
Parlimen.
Pada 4 Jun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Azalina Othman Said berkata berkata RUU yang dibentangkan Presiden PAS sebelum
ini dibuat atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan
timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya beliau menerima arahan itu selepas melaporkan
maklumat yang disampaikan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak
membantah untuk usul Hadi itu dibahaskan.
Katanya, maklumat bertulis 'tiada bantahan' itu telah
disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Satu laporan oleh PAS pada 14 Oktober lalu mengatakan RUU
yang dikemukakan oleh PAS itu telah dimasukkan dalam senarai usul yang akan
dibentangkan pada 4 November ini.
laporan blog hambali1.blogspot.my Sepytember lalu. |
Usul itu dijangka
mencetuskan perdebatan hangat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berulang kali
memberi jaminan bahawa usul pindaan tersebut tidak bertujuan melaksanakan hukum
hudud.
Ia hanya mahu meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah
dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah kecuali hukuman mati.
Berikutan itu banyak pihak, termasuk komponen parti BN termasuk
MCA, Gerakan, MIC dan beberapa parti di Sarawak dan Sabah menentang pindaan
tersebut yang dikhuatiri akan membolehkan hukum hudud dilaksanakan.
Pindaan yang dibentangkan Presiden PAS lepas itu
bertujuan memberikan kuasa lebih kepada mahkamah syariah membicarakan kesalahan
jenayah melibatkan orang Islam dan menjatuhkan hukuman lebih berat.
Ia dilihat sebagai usaha awal PAS memperkenalkan hukum
hudud di Kelantan.
Ada sesetengah laporan mengatakan rang undang-undang
persendirian itu perlu menunggu sebelum ia diketahui bila boleh dibentangkan.
Tidak dipastikan berapa lama ia perlu menunggu.
Semalam Hadi dilihat meletakkan harapan yang tinggi
kepada Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO untuk menyokong usul itu. "Insya-Allah,"
kata Hadi apabila ditanya pemberita di Lobi Parlimen semalam.
Hadi juga ditanya adakah RUU itu akan dibentangkan hari
ini (semalam) , beliau hanya menjawab 'Insya-Allah'.
Ahli Parlimen Marang itu kemudiannya tergesa-gesa
memasuki kereta sebelum meninggalkan bangunan Parlimen.
RUU itu memerlukan 112 undi untuk diluluskan dengan
majoriti mudah. Umno (86) dan PAS (14) mempunyai 100 kerusi, manakala 24 wakil
rakyat pembangkang beragama Islam iaitu PKR (16), Amanah (6) dan DAP (2). Pindaan
perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga atau 148 undi.
Terdapat 130 wakil rakyat beragama Islam di Dewan Rakyat.
MCA pada Ahad berikrar akan memastikan RUU berkenaan
tidak akan dibahaskan di Parlimen walaupun disenaraikan sebagai perkara keempat
dalam kertas aturan mesyuarat.
Menurut laporan media hari ini, walaupun ia disenaraikan
sebagai perkara keempat dalam agenda semalam (17 Oktober 2016), usul
‘kontroversi’ itu kini telah diturunkan ke senarai nombor tujuh dalam kertas
perintah bagi sesi terakhir Parlimen tahun ini.
Ia diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaandimasukkan dalam senarai. Lazimnya, usul kerajaan didahulukan berbanding usul
persendirian.
Dengan kedudukan di bawah senarai itu, ada kemungkinan usul
Hadi tidak akan dibawa ke Dewan.
Malah, ia mungkin terus ditolak lebih bawah pada kertas
perintah itu berikutan hari-hari akan datang.
Bermula minggu depan, debat parlimen akan memberi tumpuan
kepada Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak Jumaat ini.
Perbahasan hanya akan beredar kepada perkara-perkara lain
pada dua hari terakhir sesi Parlimen ini, yang berakhir pada 24 November.
Jika usul itu terus ditolak ke bawah, peluang Hadi adalah
hanya jika beliau memohon kerajaan menaikkannya.
Hari juga , meskipun sidang Dewan Rakyat masih
berlarutan, Presiden PAS itu tengahri tadi dilihat meninggalkan persidangan
hari ini.
Beliau hanya berdiam diri ketika diajukan soalan mengenai
usul persendiriannya yang telah diturunkan ke senarai nombor tujuh dalam kertas
perintah bagi sesi terakhir Parlimen tahun ini.
Malah anggota parlimen Marang itu juga hanya tersenyum
ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan sebelum kereta yang
dinaikinya meninggalkan Dewan Rakyat.
Dengan kenyataan terbaharu Dr Ahmad Zahid ini, kini ‘bola
di kembalikan ke kaki’ UMNO untuk menentuan kedudukan RUU itu.
Hadi boleh tersenyum dan menunggu tetapi apa yang akan
terjadi kepada UMNO dan pemimpin yang disebutkan ada kaitan dengan RUU,
sekiranya ia ternyata gagal dibentangkan seperti yang sudah diwar-warkan?
Apakah ‘bahangnya’ akan terpaksa ditanggung oleh UMNO,
gara-gara mahu menunjukkan ‘setia kawannya ingin berbaik-baik dengan PAS’?
Blog ini pernah menyebut perkara ini sebelum ini kerana
bimbang UMNO akan terpalit dan menyebabkan kerengganan dengan parti komponen
lain gara-gara ‘mahu berbaik dengan PAS’ kerana sebab-sebab politik.
Malah, bukan sahaja parti komponen BN yang akan
memberikan tekanan kepada UMNO dan pemimpinnya.
Rakyat dan penyokong kedua-dua belah – penyokong UMNO dan
penyokong PAS – akan menilai apa yang sedang berlaku dan apa sebenarnya ‘mainan
politik UMNO’ ketika Pilihan Raya Umum ke -14 semakin hampir.