Tuesday, October 18, 2016

SELEPAS RUU 355 DARI NOMBOR 4 KE NOMBOR 7, UMNO PALING TERASA BAHANGNYA?


Sekali lagi tekanan adalah di atas bahu Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi UMNO yang lain.

Ini kerana UMNO  akan menyerahkan kepada Presidennya, Datuk Seri Najib Razak bagi menentukan sama ada parti Melayu itu akan menyokong usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
  
Hari ini, Dr Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa menentukan sama ada RUU itu akan dibahaskan atau tidak.

 “Kita serahkan sepenuhnya pada speaker,” katanya.

“Kita serahkan kepada Perdana Menteri bagi menentukan, pada situasi yang telah ditentukan,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen.

Pada 4 Jun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata berkata RUU yang dibentangkan Presiden PAS sebelum ini dibuat atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya beliau  menerima arahan itu selepas melaporkan maklumat yang disampaikan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak membantah untuk usul Hadi itu dibahaskan.

Katanya, maklumat bertulis 'tiada bantahan' itu telah disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Satu laporan oleh PAS pada 14 Oktober lalu mengatakan RUU yang dikemukakan oleh PAS itu telah dimasukkan dalam senarai usul yang akan dibentangkan pada 4 November ini.

laporan blog hambali1.blogspot.my Sepytember lalu.
Usul itu  dijangka mencetuskan perdebatan hangat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berulang kali memberi jaminan bahawa usul pindaan tersebut tidak bertujuan melaksanakan hukum hudud.

Ia hanya mahu meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah kecuali hukuman mati.

Berikutan itu banyak pihak, termasuk komponen parti BN termasuk MCA, Gerakan, MIC dan beberapa parti di Sarawak dan Sabah menentang pindaan tersebut yang dikhuatiri akan membolehkan hukum hudud dilaksanakan.

Pindaan yang dibentangkan Presiden PAS lepas itu bertujuan memberikan kuasa lebih kepada mahkamah syariah membicarakan kesalahan jenayah melibatkan orang Islam dan menjatuhkan hukuman lebih berat.

Ia dilihat sebagai usaha awal PAS memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.

Ada sesetengah laporan mengatakan rang undang-undang persendirian itu perlu menunggu sebelum ia diketahui bila boleh dibentangkan.


Tidak dipastikan berapa lama ia perlu menunggu.

Semalam Hadi dilihat meletakkan harapan yang tinggi kepada Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO  untuk menyokong usul itu. "Insya-Allah," kata Hadi apabila ditanya pemberita di Lobi Parlimen semalam.

Hadi juga ditanya adakah RUU itu akan dibentangkan hari ini (semalam) , beliau hanya menjawab 'Insya-Allah'.

Ahli Parlimen Marang itu kemudiannya tergesa-gesa memasuki kereta sebelum meninggalkan bangunan Parlimen.

RUU itu memerlukan 112 undi untuk diluluskan dengan majoriti mudah. Umno (86) dan PAS (14) mempunyai 100 kerusi, manakala 24 wakil rakyat pembangkang beragama Islam iaitu PKR (16), Amanah (6) dan DAP (2). Pindaan perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga atau 148 undi. 

Terdapat 130 wakil rakyat beragama Islam di Dewan Rakyat.

MCA pada Ahad berikrar akan memastikan RUU berkenaan tidak akan dibahaskan di Parlimen walaupun disenaraikan sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.

Menurut laporan media hari ini, walaupun ia disenaraikan sebagai perkara keempat dalam agenda semalam (17 Oktober 2016), usul ‘kontroversi’ itu kini telah diturunkan ke senarai nombor tujuh dalam kertas perintah bagi sesi terakhir Parlimen tahun ini.

Ia diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaandimasukkan dalam senarai. Lazimnya, usul kerajaan didahulukan berbanding usul persendirian.

Dengan kedudukan di bawah senarai itu, ada kemungkinan usul Hadi tidak akan dibawa ke Dewan.

Malah, ia mungkin terus ditolak lebih bawah pada kertas perintah itu berikutan hari-hari akan datang.

Bermula minggu depan, debat parlimen akan memberi tumpuan kepada Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini.


Perbahasan hanya akan beredar kepada perkara-perkara lain pada dua hari terakhir sesi Parlimen ini, yang berakhir pada 24 November.

Jika usul itu terus ditolak ke bawah, peluang Hadi adalah hanya jika beliau memohon kerajaan menaikkannya.

Hari juga , meskipun sidang Dewan Rakyat masih berlarutan, Presiden PAS itu tengahri tadi dilihat meninggalkan persidangan hari ini.


Beliau hanya berdiam diri ketika diajukan soalan mengenai usul persendiriannya yang telah diturunkan ke senarai nombor tujuh dalam kertas perintah bagi sesi terakhir Parlimen tahun ini.

Malah anggota parlimen Marang itu juga hanya tersenyum ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan sebelum kereta yang dinaikinya meninggalkan Dewan Rakyat.

Dengan kenyataan terbaharu Dr Ahmad Zahid ini, kini ‘bola di kembalikan ke kaki’ UMNO untuk menentuan kedudukan RUU itu.

Hadi boleh tersenyum dan menunggu tetapi apa yang akan terjadi kepada UMNO dan pemimpin yang disebutkan ada kaitan dengan RUU, sekiranya ia ternyata gagal dibentangkan seperti yang sudah diwar-warkan?

Apakah ‘bahangnya’ akan terpaksa ditanggung oleh UMNO, gara-gara mahu menunjukkan ‘setia kawannya ingin berbaik-baik dengan PAS’?

Blog ini  pernah menyebut perkara ini sebelum ini kerana bimbang UMNO akan terpalit dan menyebabkan kerengganan dengan parti komponen lain gara-gara ‘mahu berbaik dengan PAS’ kerana sebab-sebab politik.

Malah, bukan sahaja parti komponen BN yang akan memberikan tekanan kepada UMNO dan pemimpinnya.


Rakyat dan penyokong kedua-dua belah – penyokong UMNO dan penyokong PAS – akan menilai apa yang sedang berlaku dan apa sebenarnya ‘mainan politik UMNO’ ketika Pilihan Raya Umum ke -14 semakin hampir.