Saturday, November 19, 2016

BERSIH5 - JAMAL ANTARA TAHAN TERBARU OLEH POLIS


Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos ditahan oleh polis awal pagi ini menjadikan sejauh ini seramai 14 orang ditahan.

Utusan Malaysia melaporkan Jamal ditahan di rumahnya di Ampang sementara Berita Harian melaporkan dia ditahan di sebuah hotel, di  Jalan Tun Razak.

Jamal, ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor, sekitar jam 1.30 pagi, ketika berada dalam bilik hotel berkenaan.

Sumber - Malaysiakini
Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam bagi membantu siasatan.

Penahanan tersebut sekaligus menjadikan 13 individu ditahan berhubung penganjuran himpunan haram di sekitar Dataran Merdeka hari ini.

Sebelum ditahan, malam tadi Jmal menyifatkan penangkapan Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah dan pegawai sekretariat gabungan itu yang juga Ahli Sekretariat Bersih,  Mandeep Singh adalah perkara yang sepatutnya dilakukan polis dalam memelihara keamanan.

Pemimpin Baju Merah itu berkata sememangnya BERSIH mempunyai “agenda jahat” menghasut rakyat turun ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang dipilih secara demokrasi menerusi sistem pilihan raya.

Dalam kenyataan malam semalam, Jamal juga berkata kumpulannya akan memastikan BERSIH gagal meneruskan demonstrasi hari ini.

Dengan penangkapan Jamal, kini seramai 14 individu yang dipercayai bakal terbabit dengan perhimpunan di sekitar ibu negara, sudah ditahan sejak jam 5 petang semalam.

Tangkapan membabitkan pemimpin kumpulan Bersih 5 dan Gerakan Merah.

Sementara itu, Maria Chin Abdullah dan, Mandeep Singh direman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur esok.


Peguam yang mewakili mereka, Eric Paulsen dan Melissa Sasidaran berkata, Maria ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana cuba untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Mandeep ditahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Kedua-dua mereka dipindahkan ke Kuala Lumpur dan akan direman pada Sabtu," kata Eric pada Sabtu.

Sejauh ini, selain Jamal,  Maria Chin dan Mandeep Singh, pemimpin lain yang juga ditahan adalah Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; bekas Exco Selangor, Ronnie Liu dan pemimpin parti PSM, S Arutchelvan.

Turut ditahan adalah dua aktivis, Luqman Nul Hakim Zul Razali dan Jurucakap Gabungan Tangkap MO1, Anis Syafiqah Md YusofAnis Syafiqah serta dua ahli DAP, Jimmy Wong dan Lee Khai Ming.

Beberapa yang lain termasuk dari Baju Merah, Baju Hitam dan aktivis masyarakat turut ditahan.

Sementara itu, kira-kira 7,000 anggota polis akan bertugas pada perhimpunan Bersih 5 dan Gerakan Merah di ibu negara hari ini.


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis juga bersedia untuk bertindak jika ada peserta perhimpunan yang melanggar undang-undang dan ingkar arahan polis.

"Tujuh ribu anggota polis akan turun ke padang bagi memastikan tiada sebarang ancaman atau perkara tidak diingini berlaku esok (hari in) ," katanya kepada pemberita pada majlis prebiu dan pelancaran buku 'Coffee Table' PDRM semalam.

Beliau berkata, tanggungjawab polis adalah untuk memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan menegakkan undang-undang yang ada di negara ini. 

"Kami akan jalankan tanggungjawab sebagai anggota polis dan saya seru agar sebaiknya orang ramai tidak terlibat dengan mana-mana pihak pada perhimpunan esok," katanya.


Dalam pada itu, polis trafik dalam satu kenyataan  menyebut 58 jalan utama di beberapa lokasi sekitar Dataran Merdeka akan dilencongkan manakala 12 laluan ditutup bermula pukul 7 pagi hingga perhimpunan selesai hari ini.