Sunday, August 29, 2010

SULTAN SELANGOR MURKA, NIK AZIZ PERTAHAN NIE CHING

Entah apalah nak jadi kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada ketika Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyedari beliau membuat kesilapan dan memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan kerana ‘tazkirah di surau’, Nik Aziz pula yang mempertahankan tindakannya.

Nik Aziz mempertahankan Ahli Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Hari ini, Nie Ching yang mencetuskan kontroversi apabila lawatannya ke Surau Al-Huda Kajang pada Ahad lalu dilaporkan sebagai 'tazkirah' di surau, secara rasminya memohon maaf kepada Sultan Selangor.

Beliau menyesal kerana menurutnya lawatan ikhlasnya itu telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara ini dan menurutnya lebih malang lagi apabila ada pihak-pihak tertentu mengeksploitasikannya untuk kepentingan politik mereka.

“Saya akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pada Ahad, 22hb Ogos, selaku wakil rakyat kawasan itu beliau telah mengunjungi surau al-Huda dengan tujuan menghulurkan bantuan kewangan sumbangan kerajaan negeri Selangor bagi memperbaiki pagar surau dan juga sumbangan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.,” katanya.

Semalam, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Sultan Selangor dilaporkan amat murka dan dukacita terhadap laporan akhbar berhubung 'tazkirah' Teo di surau berkenaan.

Sehubungan itu, katanya MAIS dititahkan bertindak tegas, termasuk mengambil alih surau itu dan menguruskan pentadbirannya dengan serta merta.

Mohamad Adzib juga berkata, surat amaran akan juga diberikan kepada Teo supaya mengambil perhatian terhadap perkara itu dan tidak mengulanginya lagi.

Menurut beberapa pendapat, isu yang berlaku di Kajang itu tidak sepatutnya timbul jika jawatankuasa surau berkenaan merujuk kepada majlis agama Islam negeri dan memahami garis panduannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata jawatankuasa masjid atau surau diminta merujuk kepada majlis agama Islam negeri-negeri dalam soal membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Ini kerana setiap negeri mempunyai panduan masing-masing dalam soal itu dan jawatankuasa atau pengurusan masjid perlu mematuhi panduan tersebut dan tidak sepatutnya sewenang-wenangnya membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid terutama di ruang solat.

Katanya, rumah ibadat agama lain pun, mereka mempunyai garis panduan dalam membenarkan penganut agama lain memasuki tempat ibadat mereka.

“Kita tiada masalah untuk penganut agama lain masuk ke masjid atau surau. Ada masjid-masjid kita benarkan pelancong bukan Islam masuk tetapi kita sediakan garis panduan seperti yang wanita kena menutup kepala dan sebagainya.

“Kalau nak bawa masuk bukan Islam kenalah minta kebenaran majlis agama Islam negeri-negeri. Orang bukan Islam pun kenalah hormat dengan tempat ibadat umat Islam,” katanya kelmarin.

Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan pula yang mempertahankan tindikan Nie Ching berkata, tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Apakah Nik Aziz sekali lagi menyanggah titah Sultan Selangor selepas kali pertama melakukannya beberapa bulan lalu dalam isu ‘ceramah politik’ di masjid negeri Selangor?

Nik Aziz…Nik Aziz, kenapakah mahu mempertahankan ahli politik DAP ini? Apakah kerana dia sekutu PAS dalam pakatan pembangkang?

Pastinya esok beliau akan berkata ‘saya tidak tahu yang Sultan Selangor murka’ dan Nie Ching sendiri sudah menyedari kekilafannya dan memohon maaf kepada Sultan Selangor.

Atau paling mudah, beliau akan berkata,“saya menjawab apabila pemberita meminta ulasan tanpa saya ketahui Sultan Selangor murka mengenai perbuatan wakil rakyat DAP itu”.

APABILA SURAU, MASJID MUDAH DICEMARI

Isu pemimpin pembangkang - jantan dan betina - (lelaki dan wanita) khususnya daripada DAP masuk surau dan masjid banyak diperkatakan ketika ini.

Namun sehingga ini apa yang ditulis lebih banyak berkisar sekitar persepsi politik dan interpretasi agama yang samar.

Saya tertarik dengan dua laporan melalui blog angin perubahan dan The Unspinners yang mendedahkan mengenai perkara ini dengan agak mendalam.

Apakah kemasukan mereka ke dalam masjid dan surau hingga ke tepi mimbar dan atas sejadah saf pertama sebagai penghinaan kepada umat Islam?

Persoalannya seperti yang ditimbulkan oleh angin perubahan, “Apakah sampai tiada langsung wakil rakyat Islam untuk dijemput ke surau tersebut? Apakah tiada tempat lain untuk menyampaikan sumbangan dan ucapan hingga terdesak membawa masuk DAP memijak sejadah di saf pertama untuk memberi tazkirah?”

Lantas blog itu mengajak penjenguknya mendekati Mazhab As Syafie, yang mengatakan orang kafir haram dan ditegah sama sekali untuk masuk ke dalam Masjidil Haram sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah At Taubah, ayat 28.

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Ia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana" surah At Taubah ayat 28.

Al-Qurtubi, di dalam tafsirnya Al-Jami’ li-Ahkam Al-Quran melaporkan bahawa Ibn ‘Abbas r.a. berkata yang najis itu kesyirikan yang menjadi pegangannya, bukan tubuh badannya.

Lelaki dan perempuan juga tidak dibenar mendedah aurat dalam rumah ibadat.
Sementara wakil rakyat atau ADUN yang datang itu adalah mereka dari suku sakat DAP yang rata-ratanya masih lagi berideologi sosialis – sah bukan Islam.

Yang pasti, orang Islam tidak akan menjadi papa atau miskin jika DAP tidak beri bantuan dan sumbangan.

Apakah kedatangan mereka benar-benar ikhlas atau sudah berkempen sampai dalam surau dan masjid untuk bertazkirah, memberi sumbangan dan meraih undi daripada orang Islam.

Blog ini memberi ingatan agar orang Islam berhati-hati. Kata blog berkenaan, mereka ada agenda yang tersendiri.

Jika orang Melayu tidak sokong DAP, nescaya DAP tidak akan boleh berkuasa. DAP hanya mahu kuasa melalui undi orang Melayu.

Hari ini mereka akan berlakon baik, bila berkuasa nanti terserlahlah sikap sebenar DAP. “Berhati-hatilah bangsaku. Apa yang Khmer Rouge buat pada orang Islam di Kemboja perlu diambil iktibar,” blog berkenaan member ingatan.

Sila rujuk kes-kes berikut mengenai bagaimana DAP berusaha memasuki masjid tetapi PAS sebaliknya tidakpun cuba mentazkirahkan penganut agama lain melalui gereja atau rumah ibadah mereka!

Menurut laporan anginperubahan dan The Unspinners, beberapa kes ini membuktikan bagaimana DAP sanggup memasuki surau dan masjid untuk political milage mereka.

Kes Pertama:

Pada 6 September 2009, Lim Guan Eng bersama dengan Salleh Man (ADUN PAS Permatang Pasir) mengagihkan bantuan beras di Pusat Pengajian Ustaz Sobri, Padang Menora, Pulau Pinang.
Pusat pengajian agama ini telah menjadi tempat untuk kempen Lim Guan Eng meraih undi. Sampai begitu sekali PAS terdesak untuk meminta bantuan dari DAP. Pada 25 Ogos 2010, Guan Eng berbuka puasa di Masjid Tun Sardon, Pulau Pinang.

Lim Guan Eng berceramah di hadapan tahfiz Al Quran?

Bukan sekadar memberi bantuan, Guan Eng juga menyampaikan ceramah kepada mereka yang belajar di pusat pengajian tersebut.

Maka tidak menghairankan mengapa PAS begitu terbuka dan liberal dalam mendoakan kesejahteraan Guan Eng hingga sanggup menggantikan nama Yang Dipertuan Agong dalam khutbah jumaat.

Orang-orang PAS sudah kabur dengan pemberian sumbangan yang diberikan oleh DAP.

Sebab itu, Guan Eng mahu tutup isu khatib membaca khutbah dengan RM100 setahun pada warga emas, RM400 pada kakitangan kerajaan Pulau Pinang dan janji RM1,000 pada setiap warga emas jika melangkah ke Putrajaya.

DAP hanya mahu berkuasa, mereka umpan orang Melayu dengan duit untuk mendapatkan kuasa tersebut. Sampai dalam masjid dan surau pun mereka sanggup berkempen.

Kes Kedua:

Teresa Kok berbuka puasa di Surau As Siddiq, Lavender Condo, Bandar Kinrara pada 25 Ogos 2010.

Bukankan sekali dua Teresa Kok masuk ke masjid, sudah beberapa kali Teresa berbuat demikian.

DAP masuk masjid bukan dengan tangan kosong, mereka beri sumbangan beras dan duit untuk tawan hati orang Islam.

Namun soal berkaitan dengan undang-undang Islam mereka tolak sepenuhnya. Nampak jelas, DAP mengharapkan sesuatu daripada kempen-kempen mereka di masjid dan surau. Semuanya untuk meraih undi dari orang Islam.

Orang Melayu terlupa bahawa mereka sedang ditipu dengan "gula-gula" yang dibawakan DAP. Beri gula-gula tetapi balasan yang diminta adalah undi dan kuasa. Itulah niat DAP.

Kes Ketiga:

Pada 22 Ogos 2010, Teo Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) telah masuk untuk berceramah dan menyampaikan sumbangan kepada ahli-ahli PAS di Surau Al-Huda Kajang Sentral.

Bukan sekadar masuk ke dalam surau, malah Teo pergi ke barisan saf pertama untuk berceramah kepada orang Islam di dalam surau. Ketika itu jam menunjukkan 9.33 malam.

Ini bermakna, sama ada Teoh memberikan tazkirah selepas selesai solat terawih atau antara solat terawih.

Kes Keempat:

Rupanya bukan saja Teo Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) telah masuk untuk berceramah dan menyampaikan sumbangan kepada ahli-ahli PAS di Surau Al-Huda Kajang Sentral.

Masjid At-Taqwa Selayang Baru turut mentauliahkan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.

Bertopengkan majlis penyampaian sumbangan, William Leong turut diberikan ruang untuk “bertazkirah” dimana beliau berpesan supaya isu agama tidaklah dimainkan semata mata untuk kepentingan politik.

Menurut blog Medan Info, sama seperti Teo Nie Ching, William Leong juga dijemput untuk berada di tempat solat utama.

Mengapakah orang-orang PAS tidak menegur William Leong agar menyampaikan ucapan tersebut di luar masjid? Menggunakan kemudahan dewan orang ramai atau tempat lain adalah lebih sesuai daripada masuk ke bahagian utama solat.

Kes Kelima:

Pada tahun lepas juga, Xavier berceramah di dalam Masjid. Isu orang bukan Islam dibenarkan menggunakan Masjid untuk politik bukan perkara baru.

Selepas meneliti kes-kes ini, amat jelas masih banyak pihak tidak peduli dengan peringatan dan pesanan Sultan Selangor selain menghormati kesucian agama Islam itu sendiri.

Tahun lepas, RBF melaporkan Tian Chua berada dalam Masjid hingga meluahkan reaksi berikut:


Anda boleh lihat sejadah tempat orang Islam sujud kepada Allah SWT di kaki Tian Chua. Apakah hukumnya orang bukan islam memasuki surau?

Perempuan yang dalam haid , hukumnya HARAM memasuki surau. Adakah Tian Chua mandi hadas ?

Jadi apakah mereka yang lain dan turut terlibat dengan kes-kes seperti disebutkan di atas mandi hadas?