Monday, April 25, 2016

PM AKAN MENGHADAP SULTAN T'GANU, UNTUK LANTIK MB BAHARU?

"Dalam keadaan sekarang, apakah Ahmad Razif tidak bimbang akan ‘diserang lagi’ pada sidang DUN akan datang, selain membentangkan Bajet 2017 yang pastinya akan mengundang pelbagai kemungkinan? Apa jaminan bahawa usul tidak percaya terhadapnya akan dibentangkan sekali lagi?"

Dengan kedudukan sekarang, ia amat menyulitkan Datuk Seri Ahmad Razif. Ini kerana hubungannya dengan istana renggang, selain diancam oleh undi tidak percaya.

Malah, jika Ahmad Razif terus menjadi Menteri Besar, beliau terpaksa berdepan dua lagi sidang DUN akan datang.

Sidang biasa selama sehari dijangka akan diadakan pada Ogos depan, sementara  sidang khas untuk membentangkan Bajet Kerajaan Negeri pada Disember nanti. Dalam keadaan sekarang, apakah Ahmad Razif tidak bimbang akan ‘diserang lagi’ pada sidang DUN akan datang, selain membentangkan Bajet 2017 yang pastinya akan mengundang pelbagai kemungkinan?

Apa jaminan bahawa usul tidak percaya terhadapnya akan dibentangkan sekali lagi? Kali ini berani atau mampukah Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul tersebut?

Veteran UMNO Terengganu menyatakan sokongan kepada Ahmad Razif baru-baru ini selepas diasak oleh Ahmad Said di sidang DUN Terengganu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dirinya akan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat.

Tujuan apa menghadap tidak diketahui. Untuk memohon supaya pingat dipulangkan atau membincangkan kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar?

Sejauh ini tiada kenyataan rasmi daripada Istana Terengganu dalam isu ini, termasuk sama ada jawatan Menteri Besar itu perlu ditukarkan kepada pemimpin lain.

Perdana Menteri boleh meminta rakyat tidak membuat spekulasi tetapi keadaan politik Terengganu yang kini terumbang-ambing tidak akan mampu untuk menyekat rakyat berbicara mengenainya.

Najib juga perlu mengatasi isu ini segera dalam keadaan beliau sendiripun diserang dalam pelbagai isu, khususnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya dijadual menghadap Sultan Terengganu dalam masa terdekat. Selepas itu, baru saya akan keluarkan kenyataan," katanya kepada pemberita diKuching.

Kebiasaannya apabila ada krisis seperti ini, ia lebih kepada menjamin kerajaan Barisan Nasional (BN) terus stabil dengan melantik Menteri Besar baharu, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sesetengah penganalisis berkata krisis ini menyebabkan kedudukan BN Terengganu dalam bahaya kerana ia hanya mempunyai majoriti kerusi yang tipis.

BN mempunyai 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi - 14 daripada PAS dan seorang daripada PKR.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, awal bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Razif, mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran menteri besar.

Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Bagi Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail, 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kini "tergantung" selepas Ahmad Razif menafikan bekas MB Datuk Seri Ahmad Said peruntukan di kawasannya. Ahmad Said adalah ADUN Kijal.

"Dengan menafikan peruntukan tersebut kepada Ahmad, menteri besar tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai seorang ADUN BN," dakwa Azan.

BN mempunyai 17 ADUN, termasuk Ahmad, manakala kerusi pembangkang terdiri daripada 14 daripada PAS dan Azan merupakan ADUN PKR tunggal di Terengganu.

Ahmad bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Undangan Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Ahmad mengesahkan Ahmad Razif telah mengambil alih peruntukan untuk DUN Kijal.


Semalam, ada pihak mengatakan insiden penarikan balik pingat terhadap beliau oleh istana Terengganu susah untuk Ahmad Razif jalankan tugas selaku Menteri Besar.

Ini kerana kerana setiap minggu dia perlu menghadap Sultan Mizan untuk memaklumkan perkembangan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) terutama keputusan yang dibuat dan membincangkan hal pentadbiran negeri.

"Kalau Ahmad Razif kekal sebagai MB, rasanya payah. Mungkin tak lama lagi akan ada perubahan kepimpinan negeri, cuma tak pasti melalui kaedah mana, sama ada pilihan raya atau kerajaan perpaduan," katanya ketika dihubungi di Terengganu,” demikian menurut satu ulasan semalam.

Azan  "bersimpati dengan MB. Tetapi saya bersimpati lagi dengan rakyat kerana kerajaan negeri tidak akan dapat memberi tumpuan kepada menjalankan tugasnya."

Perdana Menteri membuat kenyataan selepas hadir dan memberi sokongan kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, calon BN DUN Tanjung Datu di Kuching hari ini bersempena penamaan calon pilihan raya Sarawak ke-11, meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan istana Terengganu.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata pentadbiran kerajaan negeri Terengganu masih berjalan seperti biasa.

Portal AMANAH, Malaysia Dateline Sabtu lalu memetik sumber yang mendakwa Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat lalu telah menarik balik gelaran kepada Ahmad Razif hingga mencetuskan khabar angin mengenai pertukaran menteri besar.

Menurut laporan Harian Metro pula, Ahmad Razif turut hadir semasa pelancaran majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016 di Hotel Primula di Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Mizan.

Ahmad Razif, bersama-sama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda, bagaimanapun dilaporkan meninggalkan majlis sebelum wartawan mendapatkan komen mengenai perkara itu.

Satu kejadian yang sama dilaporkan berlaku pada majlis UMNO Dungun malam Sabtu.

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 serta Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.


Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.