Saturday, February 10, 2018

‘FILEM TANAH FELDA’ SHAHRIR GAGAL JADI ‘BOX-OFFICE’



Tulisan ini bukan mahu menghukum ketika era siapa tanah FELDA di Jalan Semarak terjual.

Sebaliknya ia mengenai apa jadi kepada usaha dan harapan FELDA dan kerajaan Barisan Nasional/UMNO menjadikan ‘filem atau drama pentas’  tanah FELDA di Semarak yang ternyata tidak menjadi sambutan apalagi sebagai filem ‘ box-office’.

Malah ia suatu ‘filem’ yang tersangat gagal bukan sahaja daripada  segi plot ceritanya, tetapi juga bentuk lakonan dan arahan.

Spin dan usaha mempengaruhi minda rakyat bahawa tanah FELDA di Jalan Semarak jelas gagal.

Ternyata  filem  yang diarahkan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad kini terdedah bahawa  segala bukti yang dipaparkan sebelum ini, hanya sebuah ‘lakonan’ semata-mata.

Shahrir pada 15 Januari 2018 lalu memberitahu media bahawa FELDA sudah mendapatkan semula pemilikan terhadap 16 plot tanah itu.

Kenyataan itu ada kaitan dengan laporan media pada 21 Disember tahun  lepas, bahawa FELDA  berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
  
Sedangkan, setakat 31 Januari lalu ketika geran-geran itu diperolehi, kesemua 16 lot tanah tersebut masih lagi dimiliki Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (Lot 390) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (15 lot yang lain).

Shahrir -  filemnya gagal
Maka ternyatalah seperti dakwaan saya sebelum ini bahawa cubaan memutarbelitkan minda rakyat atau pendapat umum (public opinion) mengenai kononnya pemulangan kembali tanah FELDA berjaya dilakukan - adalah semata-mata sandiwara dan lakonan kerajaan BN/UMNO, termasuk Shahrir sendiri.

Dengan kata lain, terbukti kini penggunaan media – khsusunya media aliran perdana – tidak menjadi. Isu ini sebaliknya bingkas membantai diri kerajaan BN/UMNO yang semakin terperosok kini.

Biarlah Shahrir mahu meletakkan kesalahan kepada orang lain dengan mengatakan pemindahan itu berlaku sebelum ‘zamannya’, namun dia perlu bertanggungjawab di atas kenyataannya sebelum ini yang mendapat liputan luas media arus perdana.

Perjanjian jual beli antara FELDA dengan pemaju swasta berkenaan - syarikat pembangunan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd - yang menyebabkan agensi itu kehilangan 16 plot tanah ditandatangani pada Disember 2015 dan November 2016. (Semua lot itu, yang bernilai RM270 juta, didaftarkan pada Mac 2017 di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur – proses yang tidak diketahui oleh FELDA).

Rakyat tidak mahu tahu proses pemindahan, termasuk kaveat atau siapa terlibat dalam proses pemindahan itu tetapi yang penting ialah kononnya tanah itu sudah balik atau menjadi milik FELDA.

Faktanya ialah audit forensik mengenai pemindahan itu menunjukkan wujudnya elemen penipuan dan salah guna kuasa dalam transaksi itu.

Namun apa yang berlaku?

1.   Seperti didedahkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli - susulan pemeriksaan dengan membeli setiap geran yang bernilai RM30 setiap satu -  di pejabat tanah menunjukkan dua syarikat masih didaftarkan sebagai pemiliknya.

2.  Menafikan kata-katanya sendiri (seperti dilaporkan oleh media arus perdana secara besar-besaran) kini sebenarnya pemaju hanya menyerahkan dokumen penting (“Apa yang saya kata ialah pemaju menyerahkan dokumen penting kepada kami supaya kami dapat memindahkan pemilikan tanah itu kembali kepada FELDA,” kata Shahrir semalam).

3.  FELDA kini dalam proses menggunakan dokumen berkenaan untuk mendapatkan semula pemilikan terhadap plot tanah berkenaan.

Rafizi - dedah kebenaran
Berdasarkan hujah berkenaan, banyak lagi proses dan kemungkinan-kemungkinan  hasil daripada sandiwara Shahrir kerana yang pasti ketika ini,  geran tanah FELDA Jalan Semarak itu tetap hak milik pemaju.

Amat nyata, daripada penelitian yang dibuat oleh Rafizi tiada satu pun dari tanah-tanah itu yang telah dipindah milik kembali kepada FELDA.

Persoalannya, bagaimana Shahrir boleh mengumumkan bahawa  FELDA telah memiliki kembali hak milik tanah berkenaan?

Apakah maksud Shahrir sedangkan geran-geran hak milik secara jelas menunjukkan ia masih lagi hak milik pemaju?

Jika pemilik tanah berkenaan masih digengaman dua syarikat berkenaan,  bagaimana Shahrir boleh memaklumkan kepada rakyat Malaysia ia milik FELDA.

Apakah tindakan Shahrir ini sebagai mempunyai ‘niat menipu’ dan ‘menyelewengkan fakta sebenar mengenai status pemilikan’ tanah berkenaan?

Soal penubuhan jawatankuasa menyiasat  perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara FELDA dan SPSB pada 15 Jan 2018 di mana pihak pemaju iaitu SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos,  adalah soal lain.

Juga kenyataan bahawa SPSB, yang juga pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang turut bersetuju menyerahkan  kesemua suratan  hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula atas nama FELDA juga isu lain.

Yang diperkatakan di sini, amatlah malu jika Shahrir sanggup menjadi pelakon dan pengarah bagi isu ini dengan mengharapkan ia menjadi ’box office’ tetapi akhirnya penonton dapat juga menghidu bahawa penipuan terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan maruah Falda dan kerajaan BN/UMNO.

Shahrir tidak wajar bermain sandiwara kalaupun mahu melindungi pihak tertentu. Beliau juga tidak wajar untuk mengelakkan dirinya daripada tidak terlibat di dalam pelbagai urusniaga yang merugikan peneroka FELDA.

Beliau perlu bertanggungjawab sebagai pengerusi agensi itu.

Bukan sahaja peneroka dan warga FELDA yang merasa tertipu dan tersinggung dengan sandiwara ini.

Pastinya,  seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti isu ini turut rasa terkilan dan kecewa dengan lakonan Shahrir ini.