Monday, February 19, 2018

‘PAS + AMANAH’ BANTU BARISAN NASIONAL/UMNO MENANG???



Pertelingkahan PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH ) tidak akan menguntungkan kedua-dua parti.

Malah, mungkin perang mulut secara terbuka yang berterusan antara pemimpin PAS dan AMANAH akan menyebabkan parti serpihan PASitu  menerima akibat lebih buruk di Terengganu  dan Kelantan, berbanding PAS.

Selepas  melabelkan pemimpin AMANAH  sebagai ;pengkhianat’ kini PAS menganggap AMANAH memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu.

Paling membimbangkan, PAN didakwa  memberi talian hayat kepada UMNO.

Benarkah AMANAH membantu UMNO?

Jika menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, AMANAH  mahu masuk pertandingan pilihan raya BUKAN untuk lawan UMNO kerana mereka sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan UMNO-PAS sejak puluhan tahun?”

Abdul Hadi mendakwa AMANAH membuat keputusan itu adalah hasil ijtihad yang salah daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tetapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja.


Jawapan kepada apa yang ditimbulkan oleh Abdul Hadi, ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin berpendapat, semuanya ini ekoran pendirian parti diterajui Abdul Hadi– PAS - sudah berubah.

“Kami (AMANAH) sibuk di situ sebab parti Pak Aji (Abdul Hadi) dah tak sibuk nak lawan parti sarkas lagi kat situ.

“Hingga ada rakyat yang dah tak nampak lagi beza parti suci dan parti sarkas,” sindirnya dengan menggelar PAS sebagai ‘parti suci’.

Menurut Pengerusi Biro Undang-undang PAN (Kanun)  itu: “Lihat saja wawancara Pak Aji. Mana ada cuit parti sarkas macam mana Pak Aji cuit AMANAH (PAN)  dan DAP.

Persoalannya, apakah PAS dan AMANAH masing-masing akan berterusan mempersoalkan peranan antara satu sama lain menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14)?

Sedangkan musuh sebenar mereka adalah Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

Melihat kepada pertelingkahan kedua-duanya, memang mereka akan membantu BN/UMNO atau dengan kata lain  ‘PAS + AMANAH Untungkan BN/UMNO’.

BN/UMNO memang mengharapkan pertandingan tiga penjuru di mana-mana kerusi yang mereka sertai.

Jika ada PAS dan AMANAH turut bertanding – Parlimen dan Dewan Undangan Negeri – pastinya pemimpin BN/UMNO akan merasa lega kerana berlakunya perpecahan undi.

Malah, umpamanya di Terengganu, dikatakan AMANAH akan menghadapi kesulitan untuk menang di kerusi seperti DUN Rhu Rendang, Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Jerteh, Paka, Jabi serta beberapa kerusi lain jika tiga penjuru – PAS, AMANAH dan BN/UMNO.

Jadi, berapa sahaja kerusi yang tinggal untuk AMANAH berpeluang menang jika enam kerusi dilihat sukar untuk dimenangi oleh AMANAH dan memberikan peluang kepada BN/UMNO menang?

Begitu juga dengan PAS - jika terus bertelagah, apakah mereka mampu bertahan di DUN Rantau Abang, Teluk Pasu, Manir, Ladang, Bukit Payong dan yang lain?

Akhirnya kedua-dua parti akan rugi.

Walaupun PAS bertanding di semua kerusi DUN (32 DUN)  di Terengganu), PAS juga dilihat tidak mampu untuk kekalkan 14 kerusi seperti yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

Beberapa kajian menunjukkan BN/UMNO akan mendapat untung daripada pertelagahan PAS dan AMANAH.

Sewajarnya pembangkang – apa lagi parti Melayu-Islam tidak bercakaran dan cuba merangka kemenangan bukan melonjakkan ‘ego’ masing-masing.

PAS - walaupun sudah lali dengan perpecahan dan AMANAH sebagai serpihan tidak perlu lantang di persada umum kerana rakyat memerhatikan gelagat mereka.

PAS yang semakin tepu dan AMANAH yang belum pasti diterima oleh rakyat perlu berhati-hati dengan jangan cuba memperlekehkan antara satu sama lain.

Mungkin ada kebenaran pada pendapat Hanifa mengenai pendapat Abdul Hadi bahawa, “Parti sarkas dan MO1 (Malaysian Official 1) tak tercuit. Kalau cuit sikit-sikit tu sajalah nak ‘berlakon’, konon kami juga lawan parti sarkas.”

Juga, jika benar PAS bertanding untuk membuat perubahan dasar dan sistem kepada penyelesaian Islam, tegurlah dengan bijaksana dan terbuka, bukan cuba ‘bermain selamat’ kerana pendirian pemimpin atasan dan bawahan perlu selari.

Pemimpin PAS seperti Abdul Hadi perlu jelas dan berterus-terang dalam menentang BN/UMNO agar rakyat tidak terkeliru.

Jangan ada perbezaan pendapat jelas antara Presiden PAS dan pemimpin lain, termasuk Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

PAS – jika benar – mahu menjadi kerajaan yang berhasrat menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah dasar negara, dan urus tadbir yang sesuai dengan penuh berhikmah dan matang jangan ‘berklu-klek’.

Tidak ada lagi watak ‘orang tengah’, ‘berkecuali’ atau ‘king maker’ untuk politik dan pentadbiran Malaysia. Jangan berangan-angan untuk menang 40 kerusi Parlimen atau negeri tertentu jika peranan PAS dilihat untuk menengangkan BN/UMNO.

Yang dilihat rakyat ialah politik berterus terang dan straight forward iaitu menumbangkan rejim Najib Razak atau mengekalkan pemerintahan ‘kleptokrasi’ sedia untuk lima tahun lagi sehingga 2022.